Search This Blog

Saturday, January 12, 2013

Justin Bieber disaman



LOS ANGELES 11 Jan. - Bekas pengawal peribadi Justin Bieber, Moshe Benabou, semalam mengemukakan saman terhadap bintang pop itu bagi menuntut kira-kira AS$420,000 (RM1.3 juta) berhubung pembayaran gaji dan elaun lebih masa yang tidak diterimanya.
Dalam tuntutannya, lelaki itu turut mendakwa Bieber memarahi dan memukul dadanya selepas satu pertengkaran tercetus antara mereka pada Oktober lalu.
Selepas pertengkaran itu, Benabou mendakwa penyanyi itu terus memecatnya.
Dia juga mendakwa tersilap diberitahu bahawa dia tidak layak menerima bayaran lebih masa dan terpaksa bekerja antara 14 dan 18 jam sehari, antara Mac 2011 dan Oktober lalu.
Bagaimanapun, pegawai Bieber tidak dapat dihubungi bagi menjelaskan perkara tersebut.
Benabou meminta bayaran kerosakan yang tidak dinyatakan jumlahnya berhubung serangan Bieber dan beberapa dakwaan lain serta menuntut sebanyak AS$421,261 (RM1.3 juta) bagi bayaran lebih masa, percutian dan faedah gaji lain.
"Lebih dua tahun Benabou bertugas bagi memastikan keselamatan Bieber. Dia layak menerima bayaran itu seperti mana pekerja lain, serta dilayan secara hormat, bermaruah dan mengikut undang-undang," kata peguam Benabou, Ilan Heimanson dalam kenyataannya. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130112/lu_04/Justin-Bieber-disaman#ixzz2Hm7ImVeX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ketua kampung upah tangkap monyet liar



Seekor monyet liar berada di atas bumbung kediaman seorang penduduk di Kota Bambu Utara, Palmerah, Jakarta Barat baru-baru ini.
JAKARTA - Seorang ketua penduduk di Kota Bambu Utara, Palmerah, Jakarta Barat menawarkan ganjaran wang kepada sesiapa yang dapat menangkap monyet liar yang berkeliaran di kawasan tersebut.
Monyet liar itu sudah berkeliaran di kawasan penduduk di Kota Bambu Utara lebih sebulan lalu dan menyebabkan 10 orang cedera.
"Sesiapa yang dapat menangkap monyet liar itu, saya akan berikan ganjaran wang sebanyak 300,000 rupiah (RM95)," kata ketua penduduk, Fahmi yang dipetik oleh Inilah.com.
Seorang penduduk yang mengikuti acara pemburuan monyet liar yang dianjurkan oleh masyarakat setempat, Rudy berkata, dia menyertai pemburuan itu bukan kerana wang, tetapi kerana bimbangkan keselamatan penduduk, terutamanya kanak-kanak.
"Bagi saya, duit adalah perkara kedua, keselamatan penduduk yang lebih penting," ujarnya.
Anggota polis dan kakitangan jabatan kesihatan dan penternakan turut menyertai pemburuan itu.
Sebelum ini, monyet-monyet itu dilaporkan telah menyerang penduduk menyebabkan 10 orang cedera.
Dalam kejadian terbaharu, seorang penduduk, Ujang Bani, 47, terpaksa menerima 18 jahitan di leher kerana digigit monyet.- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130112/lu_09/Ketua-kampung-upah-tangkap-monyet-liar#ixzz2Hm6TpfSj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek rogol muncul di televisyen



NEW DELHI 11 Jan. - Pemandu bas yang terlibat dalam kejadian rogol berkumpulan ke atas seorang pelajar perubatan di India, Ram Singh, pernah muncul dalam satu rancangan televisyen yang dikendalikan oleh bekas pegawai polis terkenal, Kiran Bedi, tiga tahun lalu.
Dalam rancangan Aap Ki Kacheri yang bermaksud "Mahkamah Anda," tertuduh utama kes rogol tersebut meminta pertolongan bagi mendapatkan ganti rugi disebabkan kecederaan yang dialaminya ketika memandu sebuah bas.
Dalam episod tersebut, yang kini boleh ditonton menerusi YouTube, Singh dan pemilik bas yang menolak permintaannya untuk membayar ganti rugi, duduk di atas pentas sambil disoal oleh Bedi yang mengendalikan kes itu.
"Ram Singh cuba membuli bekas majikannya," kata Bedi, mengulas tentang rancangan itu.
Dalam rancangan itu, Singh berkata, dia penat untuk pergi ke mahkamah tribunal bagi mendapatkan ganti rugi berikutan kecederaan yang dialaminya.
"Saya terpaksa mengeluarkan banyak duit untuk bergerak ke sana sini. Saya merayu kepada anda, tolong bantu saya," katanya kepada Bedi.
Pemilik bas itu pula menolak untuk membayar ganti rugi kerana mendakwa Singh mabuk, cuai dan memandu dalam keadaan tidak cermat.
Bedi, yang juga merupakan aktivis anti-rasuah berkata, Singh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah ketika muncul dalam rakaman itu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130112/lu_07/Suspek-rogol-muncul-di-televisyen#ixzz2Hm5jyXd2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tanah runtuh 42 maut



Pasukan penyelamat mengangkat mayat seorang penduduk yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di daerah Zhenxiong, wilayah Yunnan, semalam. - REUTERS
BEIJING 11 Jan. - Sekurang-kurangnya 42 orang terkorban dan lebih 10 orang yang lain terperangkap dalam satu tragedi tanah runtuh di barat daya negara ini, semalam.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku di Kampung Gaopo di selatan wilayah Yunnan dan menyebabkan 16 buah rumah musnah, kata kerajaan wilayah itu menerusi laman web.
Setakat ini, jumlah yang terkorban dalam tragedi adalah 42 orang termasuk tujuh daripada sebuah keluarga, manakala antara 20 dan 30 orang lagi masih terperangkap dalam kejadian tersebut.
Satu tayangan video yang dikeluarkan oleh rangkaian sosial negara ini memaparkan sekumpulan penduduk kampung sedang menggali lumpur tebal untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
Wilayah Yunnan, terletak bersempadan dengan Myanmar dan Laos, merupakan satu daripada kawasan yang miskin di China.
Kawasan pergunungan tersebut mudah terdedah kepada tragedi tanah runtuh.
Satu gempa bumi berlaku di kawasan kediaman itu menyebabkan 18 orang terkorban, manakala dua gempa bumi di Yunnan pada September lalu mengorbankan 81 penduduk, manakala beratus-ratus yang lain cedera. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130112/lu_03/Tanah-runtuh-42-maut#ixzz2Hm58bw2v
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Geng Ayie BMW tumpas



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Januari 2013
Geng Ayie BMW tumpas
Sahadan (kiri), menunjukkan sebuah kereta mewah yang berjaya dijumpai hasil dari serbuan di sebuah rumah di Tanjung Agas.
LEDANG - Polis menahan tiga lelaki dipercayai ahli geng Ayie BMW di sebuah rumah di Tanjung Agas, Ledang, dekat sini, Rabu lalu selepas disyaki terlibat dalam kes curi dua kereta mewah milik seorang ahli perniagaan bergelar datuk, di Melaka yang bernilai kira-kira RM800,000.

Ahli kumpulan terbabit yang masing-masing berusia 19, 20 dan 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima maklumat berkaitan kejadian curi kereta kira-kira jam 5 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, pihaknya menghantar sepasukan anggota menyerbu rumah berkenaan dan merampas sebuah kereta mewah BMW 6 Series dianggarkan bernilai RM600,000 yang disembunyikan kumpulan terbabit di sebuah rumah di kampung itu.

Menurutnya, turut dirampas pelbagai peralatan diguna untuk memecah rumah dan kenderaan seperti tukul, parang, ragum, senjata tajam dan dadah yang disembunyikan dalam rumah berkenaan.

“Kumpulan terbabit disyaki mencuri dua kereta mewah itu daripada rumah seorang Datuk di Melaka sebelum menyembunyikannya di sini. Sebuah daripada kereta berkenaan iaitu Mini Cooper bernilai kira-kira RM260,000 ditemui sekitar jam 4 petang, hari ini (semalam) yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Ahli kumpulan terbabit berjaya ditahan hanya kira-kira 18 jam selepas mereka melakukan kegiatan jenayah di Melaka,” katanya pada sidang akhbar di IPD Muar, semalam.

Sahadan berkata, kumpulan terbabit yang dipercayai dianggotai lebih daripada tiga orang itu juga didapati melakukan kira-kira lima kes pecah rumah di sekitar daerah ini sejak lebih setahun lalu dengan melibatkan kerugian kira-kira RM300,000.

Beliau berkata, pihaknya juga menemui pelbagai barang kemas yang sudah dibakar dipercayai bagi mengeluarkan emas sebelum dijual kepada pihak tertentu selain ujian dadah mendapati mereka positif ketamin.

“Tiga lelaki terbabit yang berasal dari Ledang kini ditahan reman sehingga 16 Januari mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sahadan berkata, pihaknya juga meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan kumpulan itu.

Sehubungan itu katanya, pihaknya ingin menghubungi Khairul Azrul Abdul Latiff, 21, beralamat di Kampung Pulai, Melaka serta Ahmad Kushairi Mohd Saari, 26, berasal dari Kuala Kangsar, Perak bagi membantu siasatan.

“Kepada mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Sahadan berkata, dua pengedar dadah serta 26 penagih ditahan menerusi operasi selama tiga hari membabitkan Jabatan Narkotik IPD Muar di sekitar daerah ini dan Pagoh yang berakhir kelmarin.

Katanya, dua pengedar berkenaan yang masing-masing berusia 29 dan 35 tahun ditahan di Bakri serta Pagoh dan pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah.

Kes samun meningkat



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Januari 2013
Kes samun meningkat
Seu Kai (kiri) dan Tian Hoe (kanan) menunjukkan sebahagian tandatangan bukti keprihatinan penduduk.
TAIPING - Sebanyak 3,000 tandatangan orang ramai  berjaya dikumpul bagi menyatakan rasa tidak puas hati penduduk di sekitar Taiping terhadap kes samun yang kerap berlaku di situ.

Adun Aulong, Yew Tian Hoe berkata, satu perjanjian persefahaman (MoU) akan dibentangkan kepada Polis Perak dan Bukit Aman berhubung perkara terbabit.

Menurutnya, kesungguhan penduduk untuk menangani permasalahan terbukti apabila dapat mengumpulkan tandatangan berkenaan dalam tempoh enam hari.

“Ramai dalam kalangan penduduk khuatir keluar rumah terutama seorang diri kerana takut disamun memandangkan kes itu semakin menjadi-jadi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, sejak akhir Disember hingga awal Januari ini terdapat beberapa kes samun yang  melibatkan golongan peniaga berlaku.

“Situasi ini sememangnya menakutkan mereka terutama yang terpaksa keluar pada awal pagi untuk berniaga,” katanya.

Sementara itu, Adun Pokok Assam, Yee Seu Kai berkata, beliau turut kecewa kerana dua tahun lalu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Lee Chee Leong pernah berjanji untuk menangani masalah itu dengan memasang 20 kamera  litar tyertutup (CCTV) terutama kawasan yang kerap berlaku kes samun.

“Saya dimaklumkan bahawa sejak kebelakangan ini hampir tiap-tiap hari kes samun dan rompak terhadap golongan penjaja dan peniaga berlaku,” katanya.

Golongan penjenayah menjadikan peniaga sasaran mereka mungkin disebabkan golongan ini mempunyai wang saku untuk berniaga.

“Selain itu, jenayah samun itu sering dilaporkan berlaku sekitar jam 5 hingga 6 pagi,” katanya.
Seu Kai berharap dengan peruntukan sebanyak 134 unit motosikal peronda polis yang diumumkan Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan dapat mencegah jenayah itu.

"Diharap agar pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha menangani masalah ini,” katanya.

Penjenayah lagak mewah



MOHD FIRDAUS YON
12 Januari 2013
Penjenayah lagak mewah
Roslan (tengah) menunjukkan antara barangan yang berjaya dirampas.
PASIR GUDANG - Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah kedai dan mencuri peralatan kelengkapan sembahyang di Taman Johor Jaya, Pasir Gudang, dekat sini pada 24 Disember lalu, diberkas polis.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, kedua-dua suspek berumur 37 dan 40 tahun terbabit dipercayai memecah masuk premis berkenaan dan mencuri pelbagai jenis barangan yang dianggarkan sebanyak RM60,000.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, bertindak atas maklumat, anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menyerbu dan menahan suspek di Pangsapuri Vista, Bandar Seri Alam, Seri Alam, di sini, Isnin lalu.

“Selain penangkapan tersebut, pihak polis juga merampas 32 patung Buddha, 11 gelang sembahyang, 376 loket, 116 arca Buddha, 13 helai kain sembahyang yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz.

“Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis BMW 5 Series yang dipercayai dicuri dan dijadikan kenderaan bagi melakukan kegiatan jenayah mereka,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Seri Alam, di sini semalam.

Roslan berkata, seorang daripada suspek didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan juga di bawah Seksyen 10(A) Akta Pertaruhan 1953, manakala suspek kedua tidak mempunyai sebarang rekod.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 13 Januari ini untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Katanya, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 29(1) Undang-undang Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara atau kedua-duanya.

“Hasil pemeriksaan, penjenayah terbabit juga merupakan penagih dadah jenis syabu. Dengan penangkapan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah dan curi yang berlaku di daerah ini,” katanya.

Pelajar maut motosikal dirempuh



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Januari 2013
Pelajar maut motosikal dirempuh
Mangsa terperosok di bawah lori sebelum digilis kereta lain.
KULIM - Hasrat seorang pelajar lelaki untuk mengambil adiknya pulang dari sekolah di Karangan tidak kesampaian apabila mangsa maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mangsa berusia 17 tahun menunggang motosikal dari arah Merbau Pulas menuju ke Sungai Karangan namun apabila tiba di Bukit Chong, mangsa cuba memotong sebuah kereta yang berada di hadapannya.

Menurutnya, akibat kegagalan mangsa memotong kereta di hadapannya, motosikal mangsa melanggar lori yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa terperosok di bawah lori dan mengakibatkan lori terlibat hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta dari Merbau Pulas ke Sungai Karangan sebelum terbabas di tepi jalan.

"Nasib tidak menyebelahi mangsa apabila kereta yang berada di belakang lori turut menggilis mangsa. Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Ismail berkata, sehingga 9 September 2013, enam kemalangan maut dilaporkan berlaku dan kebanyakan mangsa terlibat terdiri dari golongan remaja selain penunggang motosikal merupakan mangsa yang paling ramai terlibat.

Katanya, bagi mengatasi masalah ini, pihaknya akan mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya dan saman terhadap pengguna jalan raya yang ingkar mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Apabila polis mengeluarkan saman terhadap pelajar sekolah dan orang ramai, orang awam akan merungut dan beranggapan kami zalim. Tetapi sekiranya mereka terlibat dibiarkan tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil, jumlah kemalangan maut akan meningkat.

Semua ini berlaku kerana kecuaian penunggang dan pengguna jalan raya.

"Sekiranya mereka mematuhi undang-undang yang sudah ditetapkan dan memandu secara berhemah, saya yakin kemalangan maut akan berjaya dikurangkan. Kita akan mengambil tindakan lebih serius terhadap pesalah lalu lintas selepas ini,” katanya.

Terpaksa pecah pintu klinik



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Januari 2013
kebakaran
Stor simpanan ubatan mengalami kebakaran teruk dalam kejadian itu
KUALA PEGANG - Tiga premis melibatkan sebuah kedai basikal, klinik dan stor simpanan ubatan hampir hangus dalam kejadian kebakaran jam 11.50 pagi di Pekan Kuala Pegang di sini, semalam.

Stor simpanan ubatan antara yang terbakar teruk kerana struktur premis terdiri daripada kayu berbanding dua premis lain.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Baling, Abdul Kudus Abdul Malik berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan melainkan kerosakan harta benda.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.01 tengah hari dan seramai tujuh anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

"Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dalam masa 20 minit selain mendapat kerjasama dari pasukan bomba sukarela Kuala Ketil dan Kuala Pegang selain penduduk setempat.

“Pintu klinik terpaksa dipecahkan bagi mengelakkan kebakaran merebak ke bahagian dalam klinik selain menyelamat beberapa barangan dalam premis itu,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk bersama pasukan penyelamat memberikan kerjasama baik dalam usaha membantu memadamkan kebakaran.

Beberapa kemudahan klinik antaranya kerusi, meja dan sofa sempat dipindahkan dalam kejadian itu.
Difahamkan, pemilik klinik itu tidak menetap di daerah ini dan semasa kejadian, dua premis perniagaan itu ditutup kerana hari cuti.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan anggaran kerugian bernilai lebih RM400,000.

Suami, isteri maut rempuh belakang lori



NUR SHARIEZA ISMAIL
12 Januari 2013
Suami, isteri maut rempuh belakang lori
Lokasi kejadian yang meragut nyawa sepasang suami isteri
NILAI – Sepasang suami isteri maut setelah motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 276.2, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 8.10 pagi itu, motosikal jenis Suzuki Shogun 120 yang ditunggang mangsa itu dikatakan terbabas lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori satu tan yang diletakkan di laluan kecemasan akibat kerosakan tayar di bahagian depan.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia 30-an itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Katanya, mangsa yang tidak dikenal pasti identiti namun dipercayai bekerja kontrak di Seremban manakala isterinya, dikenali Rinaningsih dari Yogyakarta itu dikatakan sedang dalam perjalanan menghala ke selatan.

“Daripada hasil siasatan mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas sebelum merempuh sebuah lori yang diletakkan di laluan kecemasan akibat kerosakan tayar di bahagian depan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa terpelanting ke atas jalan sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut jurucakap polis, kemalangan berlaku sebelum sempat mekanik menukar tayar yang rosak pada lori satu tan yang membawa barangan runcit terbabit.

“Ketika itu, kon kecemasan sudah diletakkan sebagai tanda amaran di laluan kecemasan, tetapi mangsa tidak menyedari lalu gagal mengawal motosikal yang ditunggang dan merempuh lori berkenaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat pada Isnin ini sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, polis hanya menemui pasport milik isteri mangsa di tempat kejadian bagaimanapun, identiti mangsa masih belum diketahui setakat ini dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

“Sehubungan dengan itu, polis meminta saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7991222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan  kejadian berkenaan dan kes ini akan siasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Nyaris maut kereta terbabas



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Januari 2013
Nyaris maut kereta terbabas
Penduduk membantu mengalihkan kenderaan pasangan terbabit yang hampir terbalik
BALING - Niat sepasang suami isteri untuk untuk membeli belah di Sungai Petani tidak kesampaian setelah mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 1.30 petang di Ketemba, Jalan Baling-Kulim di sini, semalam.

Mereka yang enggan dikenali itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan tangan.

Difahamkan, kejadian berlaku setelah kenderaan pasangan terbabit melanggar sebuah kereta yang ingin memasuki persimpangan kanan jalan itu.

Keadaan itu mengakibatkan kereta pasangan terbabit terbabas dan hampir terbalik di bahu jalan.

Menurut sumber, kejadian berlaku disebabkan kecuaian berikutan pemandu kereta di hadapan pasangan itu sudah memberikan lampu isyarat sebelum membelok.

Lima deretan kedai terbakar



HIDAYAH HAIROM
12 Januari 2013
Kebakaran
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran lima dereta premis di Jalan Pantai Dalam, lewat malam kelmarin.
KUALA LUMPUR - Lima deretan premis berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Pantai Dalam, di sini, musnah dalam kebakaran lewat malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam itu melibatkan sebuah bengkel motosikal, bengkel kereta, tempat cuci kereta dan kediaman yang dihuni lima keluarga.

Pemilik premis, Rosman Ramli, 42, berkata, dia dimaklumkan oleh pekerja salah satu bengkel terlibat yang memaklumkan berlaku kebakaran dari sebuah rumah kosong terletak bersebelahan.

Menurutnya, struktur premis yang diperbuat daripada papan menyebabkan api marak dengan cepat.

“Keberadaan pili bomba yang agak jauh dari lokasi kejadian juga menyebabkan kerja memadam api mengambil sedikit masa.

“Kedua-dua bengkel terlibat kerugian kira-kira RM120,000 apabila tujuh motosikal di bengkel berkenaan turut terbakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosman menambah, dia menyewa tapak premis tersebut sejak 12 tahun lalu.

“Struktur di situ juga sudah berusia lebih 50 tahun,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, empat jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Seputeh dan Hang Tuah bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan.

Menurutnya, seramai 35 anggota pelbagai pangkat terlibat dalam operasi memadam kebakaran yang padam sepenuhnya pada jam 2.15 pagi.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Tukang rumah maut nahas



ROSALWANI CHE SOH
12 Januari 2013
kemalangan
Kereta Proton Iswara Areoback yang bertembung dengan mangsa dari arah bertentangan.
kemalangan
Motosikal Mohd Ridhuan yang terbakar dalam kemalangan itu.
KOTA BHARU- Seorang tukang rumah maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Jembal, Kampung Tawang, Bachok, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.50 pagi itu, mangsa Mohd Ridhuan Muhamad, 26, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, dari arah Tawang, meninggal di tempat kejadian, manakala pemandu Proton Iswara Aeroback dari arah bertentangan, Mohammad Suharnur Hasebullah, 21, mengalami kecederaan di muka dalam nahas itu.

Dua lagi penumpang yang bersama Mohamad Suharnur dalam kereta tersebut, Muhammad Zuhairi Ramli, 19 dan Mohamad Rozaimi Haron, 25, tidak mengalami sebarang kecederaan dan di rawat sebagai pesakit luar.

Adik Mohd Ridhuan, Mohd Saiful, 22 berkata, dia tidak mengetahui tujuan abangnya keluar pada malam kejadian.

“Lagipun kerana sibuk dengan kerja, saya jarang jumpa dia di rumah, tetapi semalam dia ada berbual dengan saya bertanyakan saya balik kerja pada waktu bila, namun saya tidak menyangka pertanyaannya itu merupakan pertanda dia akan pergi buat selamanya.

“Terkejut menerima berita itu dari rakannya yang datang ke rumah, saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat mayat abang terbaring kaku kira-kira dalam jarak 20 meter di kawasan saya berdiri. Sebak melihat mayatnya, namun saya gagahkan diri menatap mayatnya buat kali terakhir," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, mangsa yang meninggal dunia akibat cedera parah pada bahagian leher itu berasal dari Kampung Padang Dalam, Kota Bharu manakala pemandu kereta yang terbabit masih dalam keadaan kritikal ditempatkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Mohd. Ridhuan dikatakan masuk kelaluan kanan dan melanggar bahagian hadapan kereta yang dipandu oleh Muhammad Suharnur.

“Keadaan itu menyebabkan berlakunya pertembungan yang kuat secara berhadapan sehingga menyebabkan Mohd. Ridhuan bersama motosikalnya terseret kira-kira 20 meter lalu terbabas sebelum melanggar sebatang tiang elektrik di kawasan yang berdekatan,” katanya.

Ab. Rahim berkata, kedua-dua mangsa sempat diselamatkan sebelum motosikal dan bahagian hadapan kereta berkenaan terbakar.

Beliau berkata, mayat Mohd Ridhuan dihantar ke Hospital HUSM untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

Perodua Viva tinggal rangka



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Januari 2013
Kereta terbakar
Perodua Viva milik Mohd Firdaus tinggal rangka akibat kejadian awal pagi itu.
MARANG - Seorang pemandu bas rugi RM40,000 apabila kereta Perodua Viva yang telah diubahsuai terbakar di hadapan rumah keluarganya, di Taman Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Mohd Firdaus Che Dahalan, 27, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan ibu mentuanya, Hasmah Muda, 53, yang mendakwa terdengar bunyi letupan kecil sebelum melihat kereta itu terbakar di luar rumah.

Menurut Mohd Firdaus, ahli keluarganya kemudiannya keluar dan terkejut apabila melihat kereta yang sering digunakan adik iparnya, Shahirram Mohamad, 18, itu mengeluarkan asap tebal dan terdapat letupan kecil pada bahagian belakang kenderaan.

“Salah seorang daripada ahli keluarga kami cuba memadamkan api dengan menyiram air, namun api terus menyambar dengan marak menyebabkan kami terpaksa menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

“Mujur bomba tiba di tempat kejadian lebih awal. Mereka bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran itu tetapi kereta berkenaan hangus terbakar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah keluarganya itu di sini, semalam.

Mohd Firdaus berkata, sebelum kejadian, kereta itu dipandu Shahirram yang keluar minum di luar sebelum pulang semula ke rumah berkenaan pada jam 12 tengah malam.

“Saya tidak dapat pastikan sama ada kejadian ini berunsurkan khianat atau terdapat masalah pada sistem pendawaian kenderaan. Oleh itu, saya serahkan kejadian ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Zamri Awang Long yang mengetuai operasi memadam kebakaran berkata, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu berlaku.

Warga emas nyaris rentung



ROSALWANI CHE SOH
12 Januari 2013
Warga emas nyaris rentung
Tiga kediaman sementara musnah sekelip mata dalam kebakaran di Kampung Paloh, Pintu Geng semalam. Gambar kecil, Asmah.
KOTA BHARU-Jeritan seorang warga emas, dari dalam rumah selepas ternampak api dari bahagian dapur, menyelamatkan dirinya dari kebakaran selepas jiran sebelah rumahnya, bertindak menyelamatkan wanita itu dalam kejadian di Kampung Paloh, Pintu Geng di sini semalam

Kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah sementara itu menyebabkan kesemua kediaman berkenaan musnah sekelip mata.

Warga emas terbabit, Asmah Yusof, 64 berkata ketika kejadian dia sedang menyediakan kuih muih untuk jualan sebelum ternampak api bermula dari bahagian dapur rumahnya.

“Tidak sampai setengah jam mengukus kuih di dapur, saya nampak api nyala dari atas lantai tempat anak saya yang mengambil upah melakukan kerja-kerja mencanting batik.

“Ketika kejadian, saya tidak menyedari anak saya tiada di rumah kerana  dia singgah di rumah rakannya, mujurlah jiran cepat bertindak selepas mendengar saya menjerit. Jika tidak saya tidak tahulah bagaimana nasib saya,” katanya kepada pemberita ketika di ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu menurut jiran warga emas berkenaan, Marfadli Mohd Razali 31, dia bertindak menyelamatkan jirannya itu selepas mendengar jeritannya.

“Saya tidak berfikir panjang pada ketika itu dan terus bergegas ke rumahnya, dan menyelamatkan mangsa.

“Selepas itu saya suruh anak-anak, adik dan keluarga keluar dari rumah dan selamatkan diri disebabkan api semakin marak,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jabatan Bomba Darul Naim, Zainal Fitri Husain berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.21 petang dan tiba jam 5.25 petang.

“Dengan lima jentera, iaitu sebuah dari balai Darul Naim, tiga balai Kota Bharu dan sebuah dari Tunjung dan kekuatan 27 anggota kita berjaya mengawal api dalam masa 20 minit.

“Setakat ini punca kejadian dan kerugian akibat kebakaran terbabit masih dalam siasatan,” katanya.

Tahanan lolos: Rakan bantu sembunyi suspek



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Januari 2013
Tahanan lolos 12 Januari
Abdul Rahim (kanan) menggari salah seorang pekerja warga negara asing yang dokumen perjalanan telah tamat tempoh ketika membuat sekatan jalan raya.
BUTTERWORTH - Polis Pulau Pinang mengenal pasti dua lelaki yang dipercayai membantu memberi perlindungan dan makanan kepada lima tahanan yang masih bebas dan bersembunyi di sekitar Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dua lelaki yang tinggal di dua lokasi berasingan di Ara Kuda itu berusia 31 tahun dan 60-an.

Katanya, mereka juga dipercayai memberikan wang dan pakaian kepada tahanan terbabit.

“Berdasarkan maklumat lelaki berusia 31 tahun itu merupakan rakan kepada salah seorang tahanan itu dan telah memberikan bantuan dan perlindungan kepada mereka selama ini.

“Manakala warga emas terbabit merupakan bekas banduan dan dia juga dikatakan memberi makanan, rokok serta duit kepada tahanan bermula kelmarin,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan sekatan jalan raya bagi mengesan tahanan terbabit di Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE), di sini semalam.

Pelajar tahun dua UTP maut



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
12 Januari 2013
Pelajar UTP maut
Kenderaan dipandu Ahmad Alamin remuk selepas dirempuh lori dari Ipoh, semalam.
BATU GAJAH – Seorang pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut apabila kereta yang dipandu rakannya memasuki laluan bertentangan ketika cuba mengelak dari sebuah lori di Kilometer 17.5 Jalan Ipoh – Lumut, di sini, semalam.

Mangsa, P Jeyaganthan,21, dari Kota Baharu, Kelantan adalah penuntut tahun dua Kejuruteraan Petroleum, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Satria dinaiki mangsa cuba mengelak lori yang datang dari arah Ipoh selepas keluar simpang di hadapan stesen minyak.

“Sebuah lagi kereta dari arah Lumut tidak sempat menekan brek lalu melanggar bahagian belakang kiri iaitu tepat di tempat duduk Jeyagathan menyebabkan mangsa terhantuk.

“Jeyaganthan maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk dibedah siasat, manakala dua lagi rakannya yang cedera mendapat rawatan di hospital sama,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, pemandu kereta, Ahmad Alamin Zainal Abidin, 23, nyaris maut apabila keretanya tiba-tiba masuk ke jalan bertentangan lalu merempuh lori di Kilometer 25.5, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur.

Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dihubungi untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan mengalami cedera ringan sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Kampar.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dera: Saya menyesal serah Fatin



IZWAN ROZLIN
12 Januari 2013
Norfatin - dera
Gambar Fatin yang dipercayai selepas didera.
GOMBAK – “Tergamak lelaki itu buat Norfatin begini, memang kejam dan tidak berperikemanusiaan,” begitulah reaksi pertama Roszaidah Mohd Salleh, 30, apabila menemui gambar Norfatin Aqilah berikat dengan tali di leher dengan muka lebam dalam telefon bimbit milik ibu kandungnya yang kini ditahan polis berhubung kes penderaan kanak-kanak berusia dua tahun itu.

Menurutnya, dia menangis kerana tidak dapat menahan rasa sebak sebaik sahaja melihat gambar yang menyayatkan hati itu tersebut.

“Kalau tahu begini saya takkan serahkan Norfatin, memang menyesal sangat kerana sampai sekarang Norfatin menangis melihat besi penyangkut baju atau diangkat secara tiba-tiba kesan daripada penderaan yang berlaku ke atasnya.

“Dia memang nampak trauma, tidur pun kadangkala terjaga... memang apa yang dilaluinya cukup buruk. Terima kasih kepada polis kerana menangkap mereka yang bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian.

Roszaidah yang merupakan ibu angkat kanak-kanak itu lega apabila Norfatin dilihat masih ceria dan mahu bermain cuma tutur katanya tidak sepetah dulu serta mungkin mengambil masa untuk dia kembali normal.

“Saya harap dia gembira dan aktif seperti dahulu. Biarlah saya yang menjaganya,” katanya.

Dalam kejadian jam 10 malam, Isnin lalu, Norfatin Aqilah Abdullah dipercayai didera teman lelaki ibunya yang berusia 23 tahun.

Terdapat kesan ikatan pada pergelangan kaki dan tangan mangsa manakala kesan luka, termasuk lebam lama dan baru selain kesan seperti dicucuh putung rokok.

Saman adik sendiri


Saman adik sendiri
SYAMILAH ZULKIFLI
12 Januari 2013
Saman adik sendiri
Zaiton (kiri) bersama peguamnya Zorah.
SEREMBAN – Kesal kerana wang RM320,000 yang didakwa dipinjam daripadanya tidak dibayar, seorang wanita bertindak menyaman adik lelakinya sendiri.

Zaiton Omar, 59, memfailkan saman berkenaan terhadap Esa Omar, 56, di mahkamah sesyen di sini, Jun lalu.

Semalam, Hakim Elesabet Paya Wan menolak permohonan Esa menggugurkan saman itu dan menetapkan 13 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, Zaiton, seorang usahawan, diwakili peguam Zorah Jan Mohd Newaz, manakala defendan tidak hadir.

Zaiton, selaku plaintif dalam tuntutannya memberitahu, dari 2004 hingga 2008, defendan membuat beberapa pinjaman yang keseluruhan berjumlah RM320,000 bagi tujuan perniagaan.

Katanya, pada 26 Februari 2009, Zaiton dan Esa membuat perjanjian bertulis di mana Esa mengakui membuat pinjaman daripada plaintif dan bersetuju membayarnya sebelum atau pada 31 Julai 2009.

Melalui notis tuntutan bertarikh 15 Mac 2012, peguam Zaiton menuntut RM220,000 dan RM100,000 daripada Esa, namun dia didakwa gagal menjelaskan hutang tersebut.

Zaiton mendakwa dia beberapa kali cuba berunding dengan Esa secara baik bagi menyelesaikan perkara itu, tetapi hingga kini Esa gagal dan enggan
atau tidak membayar hutang berkenaan.

Esa juga didakwa gagal atau sengaja tidak mengambil sebarang tindakan dan langkah munasabah untuk menyelesaikan hutang berkenaan.

Untuk segala urusan pinjaman, Zaiton mendakwa memberi wang itu kepada Esa secara tunai dan cek.

Berikutan itu, Zaiton menuntut Esa menjelaskan hutang berkenaan, faedah 8 peratus setahun dan kos-kos lain yang ditetapkan mahkamah.

Polis Pulau Pinang ubah lokasi operasi buru tahanan




12 Januari 2013
TASEK GELUGOR - Polis Pulau Pinang hari ini mengubah kawasan operasi mengesan lima tahanan yang masih bebas ke kawasan Permatang Pauh, dekat sini kerana dipercayai bersembunyi di situ.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata selepas menerima maklumat tahanan terbabit berada di kawasan Permatang Pauh, pihaknya menghantar lebih ramai anggota polis ke kawasan itu bagi menjalankan rondaan dan Operasi Kesan Gelugor di situ.
"Malam tadi kita dapat beberapa maklumat berhubung tahanan terbabit di Permatang Pauh dan berikutan itu sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kubang Ulu pada 6.15 pagi ini.
"Bagaimanapun kita gagal kerana ketika diserbu hanya terdapat pekerja asing di rumah berkenaan dan saya percaya mereka (tahanan) telah melarikan diri.
Maklumat yang polis terima tahanan terbabit bersembunyi di sekitar kawasan rumah sewa itu," katanya pada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis.
Abdul Rahim berkata polis hari ini turut mengedarkan 2,000 keping salinan gambar lima tahanan yang masih diburu itu di sekitar Tasek Gelugor dan Permatang Pauh bagi memudahkan orang ramai membantu polis mengesan mereka.
"Kita edarkan salinan gambar itu di lapan sekatan polis yang diadakan, kedai makanan dan juga kepada orang ramai di sekitar kawasan operasi.
"Dalam salinan berkenaan kita turut sertakan nombor telefon polis untuk orang awam hubungi kerana polis memang memerlukan maklumat daripada masyarakat.
Salinan itu akan ditambah dari semasa ke semasa," katanya.
Dua tahanan yang ditembak mati pada Khamis ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.
Mereka yang masih diburu ialah Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, Mohamad Farid Akhtar, 24, Hamzani Harun, 37, Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, dan Hisham Abdul Rahman, 39.
Sementara itu, mengulas mengenai penahanan seorang lelaki malam tadi kerana dipercayai memberi bantuan makanan kepada lima tahanan yang lolos itu, Abdul Rahim berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan ketika berada di dalam kereta di perkarangan Masjid Al-Falah, di Pengkalan Tambang, Permatang Pasir dekat sini pada 10 malam.
"Dia datang bersama rakannya untuk berjumpa dengan salah seorang tahanan.
Tetapi rakan lelaki itu berjaya melarikan diri di kawasan ladang sawit yang  terdapat berhampiran kawasan itu.
"Ketika ditahan polis turut merampas sejumlah dadah jenis syabu dan berdasarkan siasatan, suspek memang dikehendaki polis berkaitan kes ugutan jenayah dan melakukan khianat," katanya.
Dia kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya. - Bernama

Lebih 100 maut letupan bom Pakistan




12 Januari 2013
Letupan bom
Mangsa yang terbunuh dipercayai gagal menyelamatkan diri sebaik bom kedua meletup.
QUETTA - Seramai 120 orang seluruh Pakistan maut, termasuk 86 mangsa terbunuh dalam letupan berkembar di barat daya Baluchistan, semalam.

Pegawai polis, Hamid Shakeel berkata, kebanyakan yang terbunuh adalah pegawai polis, wartawan dan petugas keselamatan yang berada di lokasi letupan pertama.

Katanya, kebelakangan ini kumpulan minoriti Syiah sering dijadikan sasaran serangan bom oleh penyokong Sunni.

"Kita mendapat tindak balas daripada wakil Lashkar-e-Jhangvi, ekstremis Sunni yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan bom mengorbankan ratusan pengikut Syiah serta kakitangan awam," katanya.

Letupan mengejut itu merupakan serangan terbesar pada tahun ini, sekali gus mencetuskan keganasan berpanjangan melibatkan perjuangan ekstremis, pertubuhan pemisah Islam dan kumpulan jenayah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengutuk serangan berdarah itu dan mengatakan ia adalah perbuatan kejam yang tidak wajar diberi pengampunan. - AP

13 maut kebakaran di Bahrain




12 Januari 2013
MANAMA - Satu kawasan perumahan yang sedang dalam pembinaan terbakar dan menyebabkan 13 pekerjanya maut, petang semalam.

Kebakaran berlaku di kawasan Mukhrqa melibatkan bangunan perumahan tiga tingkat dan mangsa yang maut akibat kebakaran itu kebanyakannya pekerja dari Asia.

Menurut pihak berkuasa, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.

Seperti negara teluk lain, ekonomi Bahrain turut bergantung kepada pekerja asing.

Sementara itu, sumber dari Kementerian Dalam Negeri berkata, seorang pekerja cedera apabila bumbung bangunan runtuh dalam kebakaran tersebut.
Menurut bancian pada tahun 2010, terdapat lebin 600,000 warga asing menetap di Bahrain dan majoritinya daripada Asia.

Lagi kes rogol, mahkamah India pantas jatuh hukuman




12 Januari 2013
NEW DELHI - Sebuah mahkamah menjatuhi hukuman penjara 10 tahun kepada seorang lelaki kerana menculik dan merogol rakan sekerjanya yang berusia 17 tahun, Khamis lalu iaitu lapan hari selepas menerima kes tersebut.
Hakim JS Bhinder berkata, mahkamah perlu lebih bertanggungjawab dan sensitif dalam kes-kes serangan seksual terhadap wanita.
Hukuman 10 tahun penjara dijatuhkan kepada tertuduh yang dikenali sebagai Pawan Dubey.
Hukuman itu dijatuhkan dengan pantas berikutan kes geng rogol pelajar 23 tahun di Delhi yang membangkitkan kemarahan rakyat negara itu.
Sebelum ini, penyelesaian kes rogol di India mengambil masa sehingga 10 tahun di mahkamah.
Sementara itu, mangsa bekerja di sebuah kilang di Ludhiana di tempat kerja yang sama dengan Pawan.
Gadis malang itu diculik Mei lalu dan dibawa ke Delhi bersama beberapa lelaki lain dan dirogol kira-kira 15 hari.
Pawan bagaimanapun cuba membuat rayuan dan memberi alasan dirinya miskin, belum berkahwin dan terpaksa menyara keluarganya tetapi rayuannya ditolak mahkamah.
Dalam pada itu, beribu-ribu rakyat negara itu membuat demo bantahan berikutan kematian pelajar yang menjadi mangsa geng rogol Disember lalu.

Wabak selesema H3N2 ragut 18 nyawa di AS




12 Januari 2013
WASHINGTON - Amerika Syarikat kini dilanda wabak selesema pembawa maut, H3N2 dan telah meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa kanak-kanak.

Pengarah Institut Penyakit Berjangkit dan Alahan Kebangsaan, Dr Anthony Fauci berkata, keadaan itu dilaporkan paling buruk sejak tahun 2003 dan 2004.

"Wabak selesema paling berbahaya dalam sejarah tersebut telah menjangkiti ribuan penduduk di seluruh negara," jelasnya. - AFP

‘Lembik’ dibelasah



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Januari 2013
lembik dibelasah
Keadaan mangsa yang cedera dibelasah tiga lelaki.
PETALING JAYA – Seorang remaja dipukul dan dibelasah hingga separuh nyawa sebelum ditinggalkan di tepi jalan oleh penyerangnya yang menaiki sebuah kereta.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa Mohd Yefri Adison, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah dekat sini ditemui terbaring tidak sedarkan diri di laluan pejalan kaki (Jalan Tanjung) oleh penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut.

Menurut sumber, mangsa sebelum ini dikatakan dicekup tiga lelaki ketika berjalan kaki seorang diri di Seksyen 10, Kota Damansara.

“Mangsa kemudiannya di bawa ke satu tempat sebelum dibelasah dengan ranting pokok dan batang kayu dikepala dan seluruh badannya,” katanya.

Mangsa ketika ditemui tidak dapat mengingati apa yang berlaku tetapi hanya tahu tiga lelaki menaiki Protion Wira menariknya masuk ke dalam kereta dan terus dibawa ke satu tempat.

Polis Damansara Utama yang tiba di tempat kejadian kemudiannya memberikan bantuan sebelum mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, polis masih lagi menyiasat motif kejadian.