Search This Blog

Thursday, January 10, 2013

Bekas banduan dapat AS$5.28 juta



Bekas banduan dapat AS$5.28 juta
Kontraktor pertahanan swasta yang didapati bersalah menganiaya banduan diarah membayar denda.
WASHINGTON - Kontraktor pertahanan Amerika Syarikat (AS) yang dituduh bersekongkol menyeksa banduan penjara Abu Ghraib, Iraq diarah membayar AS$5.28 juta (RM16 juta) kepada 71 bekas tahanan antara tahun 2003 dan 2007.

Arahan membayar denda itu merupakan kejayaan pertama peguam terhadap bekas bantuan penjara dan pusat tahanan kendalian AS di arah mengumpul wang daripada kontraktor berkenaan di bawah tuntutan melakukan penganiayaan.

Satu lagi kontraktor, CACI, dijangka akan dibicarakan atas pertuduhan yang sama pada musim panas ini.

Dua hari lalu, Pengarah Pusat Hak Perlembagaan, Baher Azmy memberitahu, setiap plaintif bakal dibahagikan wang penyelesaian itu.

Azmy bagaimanapun, enggan mendedahkan cara pembahagian wang berkenaan kerana ianya di bawah peraturan rahsia.

"Kontraktor ketenteraan swasta telah melakukan perbuatan yang kurang baik dan menyeksa terhadap bekas-bekas banduan ini," kata Azmy. -  Al-Jazeera

2 remaja lepak ditahan reman



2 remaja lepak ditahan reman
Antara rangka motosikal curi yang berjaya diperolehi hasil tangkapan dua remaja, semalam.
KUALA LANGAT - Polis masih mencari tujuh lagi rakan subahat suspek curi motosikal yang berjaya ditahan dalam keadaan mencurigakan di pekarangan flat D'Menara Bukit Changgang, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, remaja lelaki berusia 16 dan 19 tahun berkenaan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti curi motosikal sekitar Kuala Langat dan Putrajaya sejak beberapa bulan lalu ditahan serta-merta ketika melepak hasil intipan sejak dua hari lalu.

"Sepasukan anggota polis dari Unit Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) diketuai Ketua Polis Balai Banting, Inspektor Husairin Che Hussin berjaya mencekup dua suspek berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

"Ketika serbuan dibuat, polis menemui spanar T yang diubah suai dalam poket seluar suspek dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal," katanya kepada Sinar Harian selepas Rondaan Cegah Jenayah, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal, dua suspek terbabit mengakui aktif menjalankan aktiviti curi motosikal di kawasan Banting.

"Gara-gara tidak mahu bersubahat, suspek bertindak memaklumkan polis mengenai lokasi simpanan motosikal yang dicuri kumpulan mereka di sebuah rumah lot di Bukit Changgang.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan luar rumah, polis menjumpai tujuh rangka dan lima enjin motosikal," katanya.

Bagaimanapun, semuanya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Manakala nombor casis dan nombor enjinnya tiada dalam dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, siasatan turut mendapati tiga motosikal masih dilaporkan hilang berkait laporan di Kuala Terengganu, Banting dan Dengkil.

“Polis masih mengesan saki baki kumpulan terbabit dan meneruskan siasatanberhubung kes ini  memastikan sama ada suspek mempunyai sindiket curi motosikal di kawasan lain.

"Dua remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan ditahan reman sehingga esok (hari ini)," katanya.

Wanita Indonesia ke tali gantung edar dadah di KLIA



SHAH ALAM - Seorang wanita warganegara Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengedar dadah seberat 1.9kg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, empat tahun lepas.
 
Hakim Datuk Abdul Rahim Uda menjatuhi hukuman itu selepas berpuas hati tertuduh, Angelica Bennet, 28, yang berasal dari Jakarta gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
 
Tertuduh menangis teresak-esak selepas mendengar hukuman itu.
 
Enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
 
Wanita itu didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 1.6kg dan dadah jenis monoacetylmorphines seberat 289 gram di carousel A, Aras 3, balai ketibaan KLIA, kira-kira pukul 8 pagi pada 14 September 2009.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum menurut Seksyen 39B (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Jayaprakash Rao. - Bernama

Polis cari tiga individu berhubung kes curi, samun




10 Januari 2013
SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan sedang mengesan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mencuri dan menyamun.

Mereka ialah Then Wee Loong, 28, beralamat terakhir di No. 35, Jalan Bangi, Rumah Murah PKNS, Semenyih, Selangor, R. Balakrishnan, 39, beralamt No. 4H, Susur 3, Jalan Tun Abdul Razak,  Johor Baharu serta K. Punithaa, 23, beralamt di No. 20, Jalan TTS 6/1, Taman Tasik, Semenyih, Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata orang ramai yang mengetahui di mana ketiga-tiga individu ini berada diminta menghubungi pihak polis.

"Mereka dipercayai rakan kepada dua lelaki yang ditahan pada 22 Dis lepas berhubung kejadian pecah masuk sebuah rumah di Tuanku Jaafar Golf Resort," katanya kepada pemberita di sini hari ini.- Bernama

Cuba lolos diri, warga asing terjun laut dikhuatiri lemas




8 Januari 2013
TAWAU - Seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti dan bekerja sebagai buruh di Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam laut ketika mengelak daripada diberkas anggota Jabatan Imigresen.

Menurut seorang saksi, Duis Hak, lebih 10 pekerja buruh di CIQ terjun ke laut sebaik menyedari pihak Jabatan Imigresen membuat pemeriksaan di situ danberselindung di sebalik feri penumpang yang sedang memunggah barang untuk ke negara jiran ketika berada di dalam air.
  
"Rakan-rakan mangsa sudah menyerah diri kepada pihak Jabatan Imigresen namun mangsa terkapai-kapai dekat jeti pasar ikan dan sempat mengangkat tangansebanyak tiga kali sebelum tenggelam," kata Duis.
 
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Rudy Fredzek, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.44 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota dan pegawai.
  
"Pada jam 12.30 tengah hari, seorang penyelam kami memulakan selaman untuk mencari mangsa di kawasan kali terakhir mangsa dilihat oleh orang ramai. Keadaan laut bergelora dan arus deras di sebelah bawah menyukarkan pencarian di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  

Selain bomba, anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam dan polis turut terlibat dalam operasi mencarimangsa. - Bernama

RM10,000 milik jurugambar hangus



RM10,000 milik jurugambar hangus
Rumah milik Malani Mohd Yassin terbakar memusnahkan wang tunai Dino
PASIR GUDANG – "Selama ini saya fikir simpan wang di rumah senang jika berlaku kecemasan, tapi tak sangka sekelip mata musnah."

Luah Dino, 36, yang kerugian melibatkan wang tunai melebihi RM10,000 selepas rumah yang didiaminya  di Kampung Sungai Rinting C, hangus terbakar kira-kira jam 9.50 pagi, semalam.

Selain peralatan fotografi miliknya musnah, wang tunai sebanyak RM3,000 dan wang tabung anggaran RM10,000 turut hangus.

“Dua tahun lepas rumah saya dipecah masuk dan rugi sekitar RM15,000, tapi kejadian kali kedua ini memang buat saya serik nak simpan duit tunai di rumah,” katanya.

Dino yang menawarkan perkhidmatan fotografi pengantin dan set karaoke terpaksa membatalkan enam tempahan pelanggan.

“Saya bimbang mereka tak faham keadaan saya yang kehilangan semua peralatan yang menjadi sumber rezeki selama ini," katanya.

Detik cemas hari pertama kerja



Detik cemas hari pertama kerja
Anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit
Detik cemas hari pertama kerja
Keadaan lori yang remuk setelah terbalik akibat kemalangan.
BAGAN SERAI - Hari pertama bekerja pasti menjadi igauan buruk buat seorang pemandu lori apabila nyaris maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 118 Jalan Ipoh-Butterworth menghala ke utara, di sini, petang kelmarin.

Pemandu lori berusia lingkungan 20-an itu terselamat daripada maut setelah lori dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta sebelum terbabas ke dalam parit berhampiran.

Saksi kejadian, Abd Rahim Yahya, 42, berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang, dia berada di kawasan berhampiran sebelum terdengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran di antara sebuah kereta jenis Proton Iswara dan lori muatan tanah.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian dan melihat keadaan lori yang sudah terbalik manakala pemandunya tersepit di bahagian tempat duduk.

“Sedang saya mendekati pemandu, saya terdengar mangsa mengerang kesakitan dan meminta pertolongan.

“Saya kemudiannya segera menghubungi polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai bagi,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, Kampung Batu 8, di sini kelmarin.

Abd Rahim berkata, mangsa yang tersepit akhirnya berjaya dikeluarkan anggota bomba setelah bertungkus-lumus menarik keluar mangsa selama setengah jam.

“Mangsa terus dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di wad biasa manakala pemandu kereta terbabit hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Abd Rahim, berdasarkan perbualan dengan mangsa, dia difahamkan mangsa baru memulakan hari pertama bekerja sebagai pemandu lori untuk sebuah syarikat pembinaan di daerah ini.

“Agak mengejutkan mangsa masih terselamat dan hanya mengalami kecederaan biasa walaupun badannya dihempap sebahagian kerusi penumpang lori sewaktu kemalangan berlaku.

“Mujurlah tiada kemalangan jiwa berlaku dan saya berharap tahap keselamatan di lokasi kejadian dipertingkatkan demi keselamatan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan masih lagi dijalankan.

Hotel dijadikan lubuk edar heroin



Hotel dijadikan lubuk edar heroin
Abd Razak (tengah) menunjukkan heroin yang dirampas sambil diperhatikan Nazro (kanan) dan Boon Hwi.
ALOR SETAR - Taktik sepasang kekasih menggunakan bilik sebuah hotel di Jalan Putra, di sini dipercayai untuk menjalankan kegiatan pengedaran heroin terbongkar setelah ditahan polis, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Superintendan Abd Razak Md Zin berkata, pasangan berkenaan ditahan kira-kira jam 5 petang ketika sedang berehat di hotel berkenaan hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal penganggur berusia 23 tahun itu bersama teman wanitanya berumur 21 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar bandar ini sejak dua bulan lalu.

“Semasa serbuan dibuat pasangan berkenaan terkejut dengan kehadiran polis. Kita menjumpai tiga paket heroin seberat 47 gram bernilai RM1,200 disembunyikan dalam bilik air serta beberapa plastik dipercayai untuk tujuan pengedaran dadah.

“Kedua-dua suspek positif dadah dan buat sementara waktu direman sehingga 15 Januari ini,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, semalam.

Hadir sama, pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Nazro Hisham Abdullah dan Inspektor Teen Boon Hwi.

Dalam kes berasingan, Abd Razak berkata, polis menahan dua lelaki dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan Plaza Taman Jerai, Gurun pada Isnin lalu kira-kira jam 1.20 petang.

Menurutnya, lelaki tempatan berumur 25 tahun dan warga Indonesia berusia 30 tahun ditahan ketika menaiki kereta Proton Perdana.

“Hasil pemeriksaan, kita berjaya merampas dadah dipercayai jenis heroin dengan berat kasar 448 gram dan syabu 127 gram anggaran bernilai RM31,500 di bahagian kaki tempat duduk hadapan serta belakang kereta.

“Polis turut menyita wang tunai RM1,030 dan sebuah laptop dipercayai bagi tujuan pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata, warga tempatan yang bekerja sebagai pelayan karaoke berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama buruh berkenaan ditahan reman sehingga 14 Januari ini.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

Leka bakar kabel curi



Leka bakar kabel curi
Polis memunggah kabel yang dibawa ke Balai Polis Bukit Selambau pagi semalam
BUKIT SELAMBAU - Seorang suspek berusia 35 tahun ditahan ketika sedang leka membakar kabel sebelum dijual bersama dua lagi yang masih bebas dalam kejadian di Ladang Kelapa Sawit Sin Hock, Bukit Selambau berdekatan kawasan jerat Cina semalam.

Suspek yang juga merupakan penduduk tempatan ditahan semasa serbuan dijalankan oleh sepasukan empat anggota dari Balai Polis Bukit Selambau sebaik sahaja menerima maklumat dari orang awam.

Serbuan diketuai Koperal Joned Ismail bersama tiga anggota lain bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan.

Difahamkan, sebaik sampai ke lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, tiga lelaki sedang leka membakar kabel yang dipercayai dicuri di beberapa kawasan sekitar.

Bagaimanapun, dua lelaki sempat melarikan diri manakala seorang suspek yang sedang memunggah keluar kabel dalam sebuah kereta berjaya diberkas.

Jurucakap polis berkata, pihaknya mengenal pasti dua lagi suspek yang juga merupakan penduduk tempatan dan tindakan memburu kedua-duanya sedang giat dijalankan.

Katanya, hasil tangkapan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes curi kabel di sekitar Bukit Selambau dan Jeniang yang dilaporkan sebelum ini.

“Kita percaya kabel yang dicuri sekitar ini melibatkan pencawang beberapa syarikat telekomunikasi yang dipasang sekitar Bukit Selambau dan Jeniang. Kumpulan ini juga dilaporkan aktif menjalankan kegiatan mencuri kabel sejak kebelakangan ini.

“Semasa serbuan, kita dapati terdapat unggun api dalam ladang terbabit dan apabila didekati, suspek sedang membakar kabel dalam ladang berkenaan yang juga berdekatan sebuah jerat Cina dalam kejadian Subuh tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kabel yang dicuri dibakar di mana ada sebilangannya sudah pun diketuk sebelum dijual.

Rumah proses air ketum diserbu



air ketum
Barangan yang dirampas dalam serbuan, semalam
Rumah proses air ketum diserbu
Dua remaja perempuan berusia 18 (kiri) dan 20 tahun (tengah) turut ditahan
BUKIT RAMBAI - Taktik seorang pekerja kontrak menjadikan sebuah rumah tengah bendang di Batang Tiga, dekat sini untuk memproses air ketum akhirnya terbongkar selepas sepasukan penguatkuasa menyerbu rumah berkenaan, semalam.

Serbuan kira-kira 6 pagi itu dilakukan sepasukan polis terdiri daripada 16 anggota dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, diketuai Inspektor Ahmad Mokhtar Adnan.

Ketika serbuan, lelaki terbabit bersama dua remaja perempuan berusia 18 dan 20 tahun sedang tidur, sebelum salah seorang remaja berkenaan membuka pintu selepas diarahkan anggota penguatkuasa.

Pemeriksaan dilakukan kemudian membawa penemuan beratus-ratus bungkusan air ketum, alat penimbang dan peralatan merebus daun ketum termasuk periuk, dapur dan tong gas di rumah disewa suspek berusia 32 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, sebanyak 621 bungkusan air ketum ditemui di dalam empat tong kedap udara di bahagian dapur rumah yang hanya mempunyai sebuah bilik.

“Pemeriksaan badan terhadap ketiga-tiga mereka tidak menjumpai apa-apa barang salah, namun pemeriksaan seterusnya di dalam rumah berkenaan kita menemui hampir 500 liter air ketum yang dibungkus dalam 621 plastik kecil dan besar, tiga periuk, dua tong gas, sebuah
penimbang dan dapur gas.

“Sebanyak 140 botol ubat batuk dianggarkan berjumlah 12.6 liter turut ditemui dalam sebuah kotak dan baldi dalam rumah yang disewa sejak kira-kira setahun lalu,” katanya.

Salehuddin berkata, kesemua barangan termasuk air ketum untuk pasaran di Merlimau, Sungai Udang dan Tangga Batu bernilai lebih RM6,000 itu dirampas untuk siasatan lanjut.

“Ketiga-tiga mereka turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Bagaimanapun, ujian saringan awal yang dilakukan mendapati hanya remaja berusia 20 tahun itu positif dadah jenis metamphetamine dan dia turut disiasat di bawah Seksyen sama,” katanya.

Menurutnya, semakan turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod lampau dan pernah disabitkan dengan kesalahan sama di bawah akta racun tahun lalu.

Datin dedah anak dalam jagaan suami amal cara hidup bertentangan Islam



Datin dedah anak dalam jagaan suami amal cara hidup bertentangan Islam
Fatimah (kanan) ketika mengadukan masalah dihadapi kepada Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz, semalam
AYER KEROH - Seorang wanita yang berstatus Datin mengharapkan bantuan pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengembalikan anak lelakinya yang kini tinggal bersama suami di Pahang.

Ini kerana, wanita berusia 38 tahun itu bimbang akidah anak berusia 9 tahun terpesong selepas tinggal bersama suaminya, seorang mualaf yang kini tidak mengamalkan hidup cara Islam.
Difahamkan, selain anaknya itu, terdapat lagi seorang anak lelaki berusia 11 tahun yang turut tinggal bersama suaminya selepas dia tidak lagi tinggal bersama sejak 2006 dan kini sedang dalam proses penceraian.
Menurut wanita terbabit yang dikenali sebagai Fatimah (bukan nama sebenar), dia mendirikan rumah tangga dengan suaminya seorang berpangkat Datuk pada 2000.
“Saya telah melalui pelbagai penderitaan sejak berkahwin. Saya dipukul dan pernah diberi dadah oleh suami saya. Paling teruk sekali suami pernah acu untuk dera dengan seterika panas. Malah sepanjang bersamanya, dia tidak mengamalkan cara hidup Islam.

“Pada 2006 saya mengambil keputusan untuk bercerai dengannya, namun kini masih dalam proses penceraian," katanya yang mengajukan masalah dihadapinya kepada pejabat Pembela Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN), di sini semalam.

Fatimah berkata, pada mulanya, anaknya keduanya itu tinggal bersamanya setelah mendapat perintah interim dari mahkamah dan dia bertekad untuk mendapatkan hak penjagaan anak secara mutlak supaya akidah anaknya dapat diselamatkan.

Dia turut mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa anak yang dipelihara suaminya itu tidak mengamalkan cara hidup Islam, tidak menunaikan solat dan merayakan sambutan agama lain yang bertentangan dengan Islam, selain minum minuman keras.
“Paling saya bimbang apabila pernah dengar anak mengaku dia bukan orang Islam yang mungkin didorong oleh cara hidup agama lain sejak sekian lama.
“Saya harap proses penceraian ini dapat dijalankan segera dan mahu hak penjagaan anak secara mutlak,” katanya yang menyifatkan Pembela BN sebagai ikhtiarnya yang terakhir.

Terbakar ketika makan malam



Terbakar ketika makan malam
Murthy (tengah) menunjukkan keadaan rumahnya kepada Mohd Taufek (kiri) dan Gunasekaran.
SEREMBAN – Keseronokan satu keluarga menikmati hidangan makan malam terencat apabila rumahnya hangus terbakar.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam, Jumaat lalu di Taman Bandar Seremban Selatan, di sini menyebabkan B.Murthy, 29, mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM15,000 selepas wang tunai berjumlah RM1,000 serta perabot dan pakaian di bilik utama rumahnya hangus.

Murthy berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anak berusia setahun, dua adik ipar lelaki termasuk ibu-bapanya sedang menikmati makan malam di ruang garaj rumah.

“Tiba-tiba kami terdengar dentuman kuat dan kaca pecah di bahagian atas rumah menyebabkan saya dan kedua adik ipar bergegas naik untuk melihat apa berlaku.

“Saya terkejut kerana api sudah marak di dalam bilik utama rumah saya. Kami dan jiran-jiran berusaha memadamkan api, namun semuanya musnah sekelip mata,” katanya.

Apa yang lebih mendukacitakan, katanya, tiada sebarang pihak sama ada agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu menghulurkan bantuan.

Murthy yang bekerja di sebuah kilang di sini berkata, ketika ini dia bersama ahli keluarganya terpaksa menumpang di rumah abangnya di kawasan berhampiran.

“Saya amat berharap dapat berpindah semula ke rumah lama kerana tidak mahu menyusahkan abang,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Adun Senawang, P. Gunasekaran dan Adun Paroi, Mohd Taufek Abd Ghani.

Sementara itu, Gunasekaran berkata, dia musykil apabila banyak rumah di taman terbabit terlibat dalam kebakaran.

“Saya terima maklumat banyak rumah kos rendah di kawasan ini terlibat dengan kebakaran. Jadi, saya cadangkan kepada pihak bertanggungjawab agar mengeluarkan sijil selamat kepada semua rumah yang berusia lebih 20 tahun dengan mengadakan pemeriksaan selepas tempoh tersebut sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Pencuri dibelasah penduduk



Pencuri dibelasah penduduk
Rao (kanan) menunjukkan keretanya yang cuba dicuri di Flat 700, baru-baru ini.
PANDAN PERDANA - Gara-gara mengumpil pintu sebuah kereta, seorang lelaki dibelasah penduduk apabila dipercayai cuba mencuri sebuah kereta kira-kira jam 7 pagi, di Flat 700, di sini, baru-baru ini.
Pemilik kereta berkenaan, Peter Rao, 20, berkata, dia dimaklumkan penduduk kehadiran seorang lelaki mencurigakan sedang membuka pintu keretanya.

"Saya bergegas turun lalu bertanya kepada suspek dan dimaklumkan bahawa bateri kereta itu lemah sedangkan kenderaan terbabit milik saya.

“Saya tidak berpuas hati dengan jawapan itu dan bertindak menghubungi abang.

“Namun, ketika lelaki terbabit cuba melarikan diri, penduduk menahan dan memukul dia kerana tidak berpuas hati dengan penipuannya” katanya yang baru membeli kereta tersebut enam bulan lalu dari abang iparnya.

Sementara itu, abang Rao, Ray Kumar, 28,  berkata, lelaki itu memberi alasan mengatakan keretanya dicuri kemudian ditukar cat.

"Suspek memberitahu saya,  seorang kawan tinggal di tingkat enam flat ini yang memaklumkan keretanya yang hilang dijumpai dalam kawasan itu," katanya.

Saksi kejadian, Md Azmi berkata, dia menyedari seorang lelaki berbaju hitam berlegar-legar sekitar flat pada awal pagi berkenaan.
Menurutnya, dia pada mula tidak mengendahkan lelaki itu tetapi akhirnya menerima panggilan penduduk mengatakan kehadiran individu mencurigakan cuba mencuri sebuah kereta.
“Telahan saya tepat apabila lelaki yang saya nampak sebelum itu adalah orang yang sama merayau di flat ini,” katanya.

Lelaki itu yang dipukul penduduk yang tidak berpuas hati kemudiannya diserahkan kepada polis untuk disoal siasat.

Sinar Harian difahamkan lelaki berusia 49 tahun itu tinggal di Seremban berdasarkan alamat di dokumen pengenalannya.

Pengerusi JKKKB terima ugutan



Pengerusi JKKKB terima ugutan
Ah Kow menunjukkan gambar bungkusan yang diterimanya pada 31 Disember lalu mengandungi sebutir peluru tanpa sebarang nota.
BENTONG - Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Manchis, Lee Ah Kow terkejut apabila menerima bungkusan mengandungi sebutir peluru, di rumahnya di Manchis, dekat sini.

Beliau menerima bungkusan itu yang dihantar menggunakan perkhidmatan Pos Laju pada 31 Disember lalu kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurutnya, berdasarkan tarikh di bungkusan itu, ia dipercayai dihantar pada 29 Disember 2012.

“Selepas membuka bungkusan itu saya terkejut dengan kandungannya kerana terdapat sebutir peluru, namun tiada sebarang nota di dalamnya.

“Kemudian saya bergegas ke Balai Polis Manchis untuk membuat laporan berhubung penerimaan bungkusan itu,” katanya.

Ah Kow berkata, dia yakin bungkusan itu dihantar dengan tujuan untuk menakutkan dirinya.

Katanya, dia mensyaki bungkusan itu ada kaitan dengan maklumat diterimanya berhubung ucapan pembangkang mengecam 14 Ahli Parlimen MCA dalam satu siri ceramah di Bentong.

“Bagaimanapun saya tidak mahu membuat sebarang andaian yang tidak munasabah kerana perkara itu sudah diserahkan kepada  polis untuk siasatan bagi mencari dalangnya.

“Bimbang dengan keselamatan diri, saya kini mengambil langkah berhati-hati dan berharap tiada lagi ugutan seperti itu," katanya.

Ah Kow berkata, ini merupakan kali pertama dirinya berdepan pengalaman sebegitu dan berharap tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

“Setakat ini, siasatan giat dijalankan dan sekiranya ada orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Sekelip mata hilang rumah



Sekelip mata hilang rumah
Kediaman berusia 50 tahun hangus dijilat api
Sekelip mata hilang rumah
Wan Rasnah (tengah) menerima sumbangan tunai disampaikan wakil organisasi sosial Warga Raub Sejahtera.
RAUB – Tiada apa yang mampu dilakukan hanya melihat dengan perasaan bercampur baur apabila rumah didiami sejak 50 tahun lalu hangus dijilat api.
Wan Rasnah Wan Salleh, 78, berkata, ketika kejadian dia duduk di luar rumah melepaskan penat selepas mengutip kekabu.

Menurutnya, dia tidak menyangka asap yang berkepul di bahagian dapur rumahnya membawa kepada keadaan api marak sekelip mata.

“Saya terus berusaha dengan kudrat tua yang ada untuk masuk ke rumah dan mengejutkan cucu dari tidur sebelum ke bilik untuk mengambil dokumen penting.

“Kebetulan ketika kejadian pada jam lebih kurang 10 pagi itu, cucu saya Muhammad Hanafi, 15, tidak bersekolah kerana tidak sihat,” katanya.
Terus hubungi bomba
Sementara itu, anak saudaranya, Rozaini Hashim, 58, berkata, dia berada di rumah kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian dan terus bergegas keluar sebaik sahaja Muhammad memanggilnya dalam keadaan tergesa-gesa.
Katanya, tidak ada seorang pun ketika itu untuk diminta bantuan sedangkan api kian marak hampir ke seluruh rumah.

“Saya terus menyuruh Muhammad membuat panggilan kecemasan 999 sementara saya masuk ke dalam rumah mendapatkan ibu saudara saya.

“Puas saya memujuknya agar terus keluar memandangkan bahagian hadapan rumah sudah dipenuhi asap,” kata Rozaini.
Dia berkata, disebabkan ibu saudaranya itu berkeras untuk mengambil dokumen yang masih ditemui, dia terpaksa mengheret Wan Rasnah keluar dari rumah.
Peralatan sekolah musnah
Seorang lagi Wan Rasnah, Abdul Malik Abdul Rahman, 24, berkata, dia terus pulang ke kampung sebaik sahaja mendapat tahu rumah neneknya terbakar.
Menurutnya, tidak apa yang dapat dibantu untuk menyelamatkan keadaan kerana api marak dengan cepat

“Saya hanya sempat mengutip cebisan buku persekolahan Muhammad dan juga al-Quran,” katanya.

Hafiz Abdul Rahman, 20, berkata, dia sanggup pulang dari Kuala Lumpur untuk melihat sendiri keadaan sebenar rumah neneknya yang terbakar.

Katanya, di rumah itulah mereka berkumpul seisi keluarga ketika musim cuti persekolahan atau musim perayaan.

“Rumah ini besar dan mempunyai enam bilik dan keluasan rumah lebih kurang 2,000 kaki persegi, sesuai menampung semua ahli keluarga jika balik serentak.

“Saya sendiri trauma dengan kejadian ini dan turut merasakan kehilangan kerana banyak pengalaman serta peristiwa pahit manis terakam di sini,” katanya.

Masih trauma
Wan Rasnah masih mampu menunjukkan reaksi tenang walau pun sebenarnya berada dalam keadaan tergamam dan berasakan apa yang dilaluinya seperti mimpi.

Katanya, dia menjadi tidak berselera untuk menjamah makanan dan tidak dapat berfikir apa yang akan dilakukan selepas ini untuk kelangsungan hidup.

“Saya berteduh di rumah anak tiri di sini dan nasib baik kad pengenalan saya dipegang anak yang menguruskan pengeluaran wang bantuan JKM setiap bulan,” kata Wan Rasnah.

Adik belasah kakak dengan penyapu



KUALA TERENGGANU - Gara-gara membebel, seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila diserang dengan penyapu oleh adik lelakinya dalam satu kejadian di kediaman mereka di Kampung Duyong, Seberang Takir, di sini, pagi kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 30-an dipukul apabila suspek, 28, berang mendengar bebelan mangsa yang menegurnya kerana suka bangun tidur lewat.

“Sebelum ini, mangsa sering membebel menasihati suspek yang boleh dikatakan hampir setiap pagi bangun lewat, bagaimanapun, mungkin semalam (kelmarin), kesabaran suspek tercabar.

“Pada mulanya, suspek hanya mendengar bebelan mangsa yang tidak berhenti dari awal pagi berhubung sikapnya yang suka bangun lewat sebelum ‘naik hantu’ mencapai penyapu di dapur menyerang mangsa,” katanya.

Namun, mangsa bernasib baik hanya mengalami cedera ringan sebelum bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak, beberapa jam kemudian.

Suspek ditangkap di rumahnya pada jam 6 petang kelmarin, untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Bagi kesalahan itu, suspek boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan dan tangkapan suspek.

Wanita terpedaya dengan bisikan



Wanita terpedaya dengan bisikan
Mangsa ketika ditahan di Balai Polis Kulim.
KULIM - Kerana terpedaya dengan bisikan di telinga, yang mengarahkan dia harus keluar dari rumahnya segera sebelum terperangkap, seorang wanita, Nor Shuhadah Asharo, 26, berasal dari Shah Alam, Selangor, mengambil keputusan meninggalkan keluarganya.

Bagaimanapun, mangsa ditahan polis Unit MPV di Pekan Kulim, kira-kira jam 1 pagi kelmarin, kerana mengamuk dan memarahi pengunjung serta penjual burger di kawasan itu kerana enggan memberikannya makanan.

Mangsa, yang sebelum itu dilihat merayau di sekitar kawasan perhentian bas Kulim berkata, dia memperoleh banyak wang setelah diberi oleh orang ramai.

Menurutnya, dia membeli tiket bas ekspres di kaunter KL Central, Bangsar Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu untuk datang ke sini.

“Apabila tiba di Kulim, dia cuba mencari rumah datuknya di Sungai Ular, namun gagal. Sejak dari tarikh itu, mangsa terus merayau setelah kehabisan wang.

“Saya tak mahu balik ke rumah kerana tertekan. Kad pengenalan saya disimpan oleh keluarga saya, malah suara dalam rumah suruh saya keluar segera kerana rumah saya akan menjadi panas sekiranya saya terus tinggal di rumah itu,” katanya.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk lari dari suara itu dan tinggal bersama datuknya di sini.

“Sepanjang berada di Kulim, saya lupa saya tidur di mana dan mengapa pakaian saya koyak.
“Saya tidak berhadapan dengan masalah untuk makan kerana penduduk di sini baik. Apabila saya ditahan dan dihantar ke Balai Polis Kulim, anggota polis bertugas beri saya makanan dan pakaian. Terima kasih cikgu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa kemungkinan mengalami tekanan perasaan atau masalah sakit jiwa kerana dalam usia 26 tahun dia seharusnya tahu ke mana arah atau destinasi di tujunya.  
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, kedua-dua ibu bapa mangsa bekerja sebagai guru di Shah Alam dan mangsa merupakan anak sulung dari tujuh beradik.

“Polis telah memaklumkan penemuan mangsa kepada Balai Polis Seksyen 18 dan Seksyen 20 Shah Alam. Sekiranya ada laporan melibatkan orang hilang, waris terlibat boleh mengambil mangsa di sini.

“Maklumat yang diberi mangsa ada kemungkinan salah. Jadi bagi sesiapa yang mengenali mangsa, boleh datang ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan,” katanya.

Dua beradik ditangkap miliki 598 pil kuda



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Januari 2013
Dua beradik ditangkap miliki 598 pil kuda
Ab Rahim (kiri) memerhatikan Pegawai Penyiasat Bahagian Narkotik menunjukkan 598 biji pil kuda yang dirampas
BACHOK – Sebanyak 598 biji pil yang dipercayai pil kuda bernilai RM11,960 dirampas daripada dua beradik dalam tangkapan pada jam 6 petang, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Ab Rahim Che Ghani berkata, berdasarkan siasatan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, dua suspek itu ditahan ketika menaiki motosikal berdekatan Kampung Badak, tiga hari lalu.

Menurutnya, anggota polis yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Narkotik, IPD Bachok, Inspektor I Chuan A/L Eplat bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berjaya menahan suspek yang dipercayai bergiat aktif menjual dadah di sekitar daerah ini.

“Ini adalah tangkapan terbesar bagi permulaan tahun 2013 dengan pil seberat 5.98 gram. Nilaian setiap biji pil itu dianggarkan RM30 dan keseluruhannya berjumlah RM11,960. Pil kuda itu ditemui dalam tiga paket biru di dalam bakul motosikal suspek.

“Kami percaya ia untuk diedarkan di daerah ini dan dibawa masuk dari negara jiran.

Dua beradik itu yang berusia 18 dan 20 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.  Jika bersabit kesalahan keduanya boleh dihukum gantung mandatori,” katanya ketika sidang media di IPD Bachok, semalam.

Pesara forensik dituduh cabul



Pesara forensik dituduh cabul
Tertuduh diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas berdepan tuduhan, kelmarin.
KOTA BHARU - Seorang pesara forensik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kelmarin atas tuduhan mencabul seorang peniaga di sebuah rumah di Jalan Yaakobiah di sini, bulan lalu.

Tuduhan terhadap warga emas berusia 60 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Tuan Manan Tuan Soh dari Kuala Lumpur didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas wanita berusia 41 tahun itu dengan menyedari perbuatan itu akan mencabul kehormatannya jam 11 malam, 23 Disember.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad. Pada prosiding kelmarin, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, tertuduh melalui peguam belanya merayu supaya jaminan dikurangkan kerana memiliki anak yang masih bersekolah berusia antara lapan dan 12 tahun.

“Tertuduh masih mempunyai tanggungan dan seorang anaknya baru selesai menjalani pembedahan kerana ketumbuhan selain seorang isteri bekerja sebagai guru.

“Tertuduh juga menghidap penyakit diabetes dan asma serta berjanji tidak akan melarikan diri atau mengganggu mangsa,” katanya. Kes bersambung 20 Januari depan.

Sebelum itu, sebuah akhbar melaporkan seorang peniaga mendakwa kehormatannya dicabul selepas dipercayai dipukau seorang bomoh yang merawatnya.

Bomoh yang juga kenalan suaminya dari Kuala Lumpur itu dibawa ke Kelantan untuk merawat sakit lenguh badan yang dialami mangsa sebelum lelaki itu bertindak meraba wanita itu serta menyuruhnya membuka kain sarung dipakai dengan alasan membuang penyakit.

2 pengedar dadah kena cekup



2 pengedar dadah kena cekup
Abdul Aziz (tengah) menunjukkan kelongsong bom asap yang ditemui pada milikan lelaki pertama yang ditangkap di Kampung Padang Tenggala.
TEMERLOH – Polis menggagalkan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini apabila menahan dua lelaki dalam dua tangkapan berasingan membabitkan nilai keseluruhan dadah melebihi RM100,000.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam tangkapan pertama di Kampung Padang Tenggala pada malam kelmarin, polis menahan seorang pengedar dadah berumur 47 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah kira-kira jam 12.20 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan lelaki Melayu terbabit sedang tidur di bahagian bawah sebuah rumah kayu dan tersentak apabila dikejutkan dengan kehadiran sepasukan anggota polis cawangan narkotik.

“Polis turut merampas sepucuk revolver .38 di pinggang lelaki terbabit dengan enam peluru hidup masih ada pada kebuk pistol, sebilah buku lima dan 1,040 pil eramin 5 serta pelbagai jenis nombor dan huruf disyaki untuk tujuan memalsukan nombor pendaftaran,” katanya pada
sidang media semalam.

Abdul Aziz berkata, polis turut merampas 180.3 gram heroin, alatan timbang dadah, empat kelongsong peluru, satu kelongsong bom asap dan wang tunai RM1,100 pada lelaki terbabit.

Beliau berkata, sebuah kereta Proton Gen2 dipercayai ada kaitan kes samun di Pulau Pinang turut ditemui bersama lelaki terbabit.

Menurutnya, lelaki terbabit yang sudah berkahwin dan mempunyai rekod kesalahan dadah akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 8 A Akta Senjata Api.

Abdul Aziz berkata, kurang 24 jam kemudian, polis yang sedang menjalankan Ops Tapis di Lanchang berjaya menahan sebuah kereta Perodua Viva di tepi jalan Kampung Paya Siput di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit memiliki 2,200 pil kuda pada beg galas yang dipakainya.

Beliau berkata, lelaki berusia 25 tahun itu juga disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sempat mengucap di pangkuan bapa



Sempat mengucap di pangkuan bapa
Mayat mangsa diangkat oleh anggota polis sebelum dihantar ke hospital untuk urusan bedah siasat
KOTA BHARU- Seorang bapa sempat mengajar anaknya mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya, selepas remaja itu terlibat dalam nahas jalan raya di Kampung Kemumin, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Zulyusri Naserudin, 15, yang menunggang motosikal jenis Honda bersendirian maut di tempat kejadian selepas terbabas dan melanggar tiang lampu.

Kejadian kira-kira jam 12.45 pagi, itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kaki dan kepala.

Bapa mangsa, Naserudin Mohd Kasim, 47 berkata, dia hanya menyedari anaknya terlibat dalam kemalangan selepas dimaklumkan rakan anaknya yang menghubungi telefon bimbitnya.

“Saya tergamam seketika selepas menerima berita itu dan terus bergegas ke tempat kejadian dengan hanya berbaju kemeja T dan berkain pelekat.

“Tiba di lokasi, saya lihat keadaan anak saya yang parah di sebalik tiang lampu dan terus menerpa ke arahnya sambil memangku dia di atas paha yang ketika itu masih bernafas namun keadaannya lemah dan tercungap-cungap dan melihatkan keadaannya saya ajar dia mengucap,” katanya.

Naserudin berkata, sebelum kejadian, anak kedua dari empat beradik itu, tidak memberitahu kepadanya tujuan dia keluar, dan mengambil kunci motosikal sambil berlalu pergi.

“Saya pada mulanya tidak endah dengan keadaan itu, lagipun dia sering keluar rumah bertemu rakannya.

“Namun pada hari kejadian, saya sempat menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya namun tidak dijawab olehnya, tidak saya sangka, sms yang tidak berjawab merupakan petanda yang dia akan pergi buat selamanya,” katanya.

Naserudin berkata, walaupun amat perit untuk menerima pemergian anaknya, namun dia redha dengan ketentuan Ilahi.

“Semasa hayatnya, dia seorang yang baik dan tidak pernah membantah atau melawan saya, dia juga rajin  membantu saya berniaga santan di kedai saya, di Padang Tembak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 (SMKPC 2) cedera parah dan mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian
untuk bedah siasat.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarga jam 3 petang di HUSM sebelum dibawa pulang, untuk urusan pengebumian.

Suami isteri dilokap



Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria
Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria
BESUT - Sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak berusia lingkungan dua tahun meringkuk di lokap selepas ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah dan daun ketum di Kampung Bukit Keluang, di sini semalam.

Pasangan itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dipercayai menjalankan kegiatan menjual dadah dan air ketum sebagai sumber pendapatan.

Ketua Polis Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kedua-dua mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah pada jam 6 pagi semalam di rumah mereka di kampung itu.

Menurutnya, suspek lelaki berusia 28 tahun manakala isterinya 24 tahun ditahan selepas pemeriksaan di dalam poket seluar lelaki itu membawa kepada penemuan 17 biji pil dipercayai dadah jenis methamphetamine.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dua guni daun ketum seberat 20 kilogram dan 40 bungkus air ketum di ruang tamu rumah suspek,” katanya.

Kamaruddin berkata, kedua-dua mereka ditahan untuk disiasat dan saringan air kencing mendapati silelaki turut positif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)  akta yang sama dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sementara dalam kes berasingan, seorang pemuda 21 tahun yang cuba melarikan diri dengan sebuah kereta Proton ditahan di tepi jalan dekat Kampung Padang Luas, Jertih jam 11.30 malam kelmarin.
Pemuda yang beralamat di Kampung Air Jertun itu ditahan sepasukan polis dari Balai  Polis Jertih.

"Polis menemui 15 biji dipercayai pil kuda di dalam kotak rokok.
“Dia didapati positif dadah selepas saringan air kencing dijalankan,” katanya.

70 terpedaya ajaran sesat Panji Langit



70 terpedaya ajaran sesat Panji Langit
Banglo yang diserbu pihak berkuasa Sabtu lalu kerana didakwa menjalankan kegiatan ajaran sesat Panji Langit.
BANDARAYA MELAKA - Seorang bomoh yang mengaku dirinya perantara malaikat Jibrail berjaya memperdaya 70 pesakit yang datang berubat dengan mengikuti ajaran sesat dikenali sebagai Panji Langit.

Bomoh berusia 46 tahun yang juga mendakwa dia boleh mentafsir dosa pesakitnya itu dikatakan turut berjaya mempengaruhi seorang imam di Melaka Tengah untuk menjadi pengikutnya sejak penyebaran ajaran itu setahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani berkata, sejak mendapat maklumat berkenaan perkara tersebut, pihaknya telah mula memantau kegiatan lelaki yang berasal dari Muar, Johor itu.

“Ajaran Panji Langit difatwakan sebagai ajaran sesat pada 4 Disember tahun lalu selepas dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.

“Ajaran dibawa bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu mengaku sebagai perantara kepada malaikat Jibrail, selain berupaya mentafsir dosa-dosa pesakitnya,” katanya.

Rahimin berkata, pengikut ajaran Panji Langit juga diminta beriman kepadanya selain mengaku dirinya sebagai utusan untuk menghapuskan dajal dan juga pemegang takbir pembinasa dajal.

“Dia yang mengaku dirinya sempurna, mendakwa imam dan ustaz sedia ada tidak boleh dipercayai dan meminta pengikutnya supaya beriman kepadanya.

“Dia juga mengaku sebagai peringatan terakhir kepada alam ini dan hari kiamat berlaku pada 21 Disember 2012,” katanya.

Pengikut sanggup serah harta benda

Menurutnya, akibat terlalu taksub, terdapat beberapa pengikut sanggup menyerahkan harta benda dan wang selepas diminta bersumpah setia.

“Kebanyakan pengikut sangat taksub, malah ada yang sanggup serah kereta mewah, wang dan barang kemas kepada bomoh ini,” katanya.

Beliau berkata, lelaki yang pernah menyebarkan ajarannya di Tengkera, Melaka Tengah sebelum meluaskannya ke Chabau, Jasin ini juga mendakwa dirinya boleh berhujah dengan makhluk halus dan iblis.

“Dalam blog yang diwujudkannya sebagai usaha menghebahkan ajaran itu, turut memaklumkan dia mampu mengubat mereka yang diganggu makhluk halus dan iblis,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan lelaki berkenaan oleh polis, Rahimin berkata, pihaknya bercadang menangkap bomoh berkenaan, namun perlu memohon waran terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, pihak polis terlebih dahulu menangkap lelaki yang juga pernah mengajar pengikutnya memanah ini apabila mendapati dia mempunyai senjata-senjata berbahaya.

“Buat masa ini, lelaki ini masih dalam tahanan reman pihak polis dan pihak Jaim kemudian akan mendakwanya pula di Mahkamah Syariah kerana melanggar Seksyen 60 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu menyebar ajaran bertentangan hukum syarak,” katanya.

Justeru, Rahimin menyarankan supaya pengikut ajaran Panji Langit segera bertaubat selain menghubungi Jaim untuk diambil keterangan.

Tak campur dengan masyarakat kampung

Sikap pemilik banglo yang tidak bercampur dengan masyarakat sekeliling, akhirnya membongkar kisah tidak disangka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chabau, Jasin, Abu Supian Abu Samah berkata, banglo yang telah wujud sejak lima tahun lalu itu sering kali menimbulkan persoalan kerana banyak kenderaan yang datang memenuhinya terutama pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Apa yang pelik, majoriti kenderaan itu bukan dari negeri ini. Saya tidak kisah jika ramai orang yang berkunjung ke rumah penduduk dalam kampung ini, kerana itu hak masing-masing.

“Namun sangat mengejutkan apabila banglo berkenaan akhirnya diserbu pihak berkuasa dan banyak senjata ditemui seolah-olah mereka terlibat dalam gerakan militan,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Supian juga menafikan dakwaan sesetengah individu yang mengatakan mereka lambat mengambil tindakan dan tidak peka dengan apa yang berlaku sehingga pihak berkuasa membuat serbuan di sebuah rumah itu yang dipercayai menjadi pusat ajaran sesat.

“Kami buat aduan dan memaklumkan kepada Jaim sejak setahun lalu.

“Pernah satu ketika, seorang bekas imam masjid kampung itu yang juga orang kanan kumpulan ajaran sesat terbabit bertemu dengan saya untuk mendapatkan kelulusan mengadakan beberapa aktiviti seperti zikir.

“Saya tidak pernah keluarkan maklum balas bersetuju, malah memintanya dapatkan kelulusan daripada polis ataupun Jaim.

“Tapi ada segelintir penduduk yang salah sangka dan menuduh saya membenarkan kumpulan ajaran sesat bertapak di kampung ini,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, Abu Supian berkata, beliau pernah dijemput menjayakan aktiviti ibadah korban yang dianjurkan kumpulan itu tanpa mengesyaki perkara mencurigakan.
“Ibadah korban yang dilaksanakan sama sahaja seperti yang dituntut agama.
“Dalam majlis itu, saya sempat bersalaman dengan individu yang didakwa ketua kumpulan itu, namun kami tidak bercakap dan itulah kali terakhir saya bertemu dengannya,” katanya.

Banyak kenderaan mewah, tirai warna krim jadi tanda tanya

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sebelum ini, rumah bekas imam masjid yang hanya terletak beberapa kilometer dari banglo kepunyaan ketua kumpulan terbabit dijadikan tempat pertemuan dengan ahli-ahlinya, namun kemudian beralih ke rumahnya sendiri.

“Orang kampung tertanya-tanya apa yang berlaku, kerana setiap masa ada sahaja kenderaan mewah yang datang dengan nombor pendaftaran bukan dari negeri ini.

“Apa yang saya tahu, bekas imam masjid itu merupakan orang kanan kepada ketua kumpulan tersebut. Namun saya sendiri tidak pernah berjumpa dengan individu terbabit kerana dia memang tidak bercampur dengan masyarakat dan tidak pernah kelihatan dalam mana-mana program masjid,” katanya.
Katanya, selain kenderaan yang banyak, beberapa kain tirai berwarna krim yang tergantung di sekeliling rumah bekas imam itu turut menjadi tanda tanya.

“Penduduk sendiri tidak tahu ketua kumpulan itu berasal dari mana, kerana sikapnya yang tidak bergaul dengan masyarakat. Tapi yang kami tahu, individu itu berkahwin dengan isterinya yang berasal dari Chabau dan merupakan adik kepada bekas imam terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan semalam mendapati, pekarangan banglo berwarna coklat itu sunyi seolah-olah tidak berpenghuni.

Susulan tahanan lolos: 'Dik, dengar cakap kakak...'



Susulan tahanan lolos: 'Dik, dengar cakap kakak...'
Norazah Abdul Rahman
TASEK GELUGOR - “Adik, dengar cakap kakak, keluarlah dari tempat persembunyian. Serah diri kepada polis,” rayuan Norazah Abdul Rahman, 40, kakak kepada Hisham, salah seorang tahanan yang melarikan diri dan kini dijejaki polis sejak tiga hari lalu.

Norazah yang tinggal di Kampung Pokok Tampang di sini berkata, sebagai kakak dia memahami perangai dan sikap adik keempat daripada tujuh beradik itu kerana selain mempunyai hubungan yang rapat, mereka juga tinggal berdekatan di kampung itu.

“Saya percaya dia terpengaruh dengan enam rakannya untuk melarikan diri kerana dia sebenarnya bukan seorang yang berani tetapi mudah terikut.

“Saya merayu agar dia muncul dan menyerah diri kepada polis kerana sebagai anggota keluarga yang rapat kami akan sentiasa memberi sokongan kepadanya terutama di saat getir sebegini,” katanya.

Norazah yang bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah di sini berkata, adiknya itu mula menjadi liar selepas kematian ibu bapa mereka dua tahun lalu.

“Dia tinggal bersama arwah di rumah pusaka bersebelahan rumah saya dan sejak kematian mereka, dia dilihat sering berkeadaan murung dan tidak ceria.

“Dia juga dikesan mula mengambil dadah selepas bercerai dengan isterinya, malah mula meninggalkan kerja sebagai pengawal keselamatan sebelum terlibat dalam beberapa jenayah kecil sekitar kampung sehingga ditangkap akhir tahun lalu," katanya.

Hisham, duda beranak dua adalah salah seorang tahanan yang dicari selepas meloloskan diri bersama lapan rakannya sewaktu dibawa untuk prosiding di Mahkamah Butterworth Isnin lalu.

Norazah berkata, difahamkan adiknya dibawa ke mahkamah pada hari kejadian untuk dijatuhi hukuman selepas didapati bersalah merompak hujung tahun lalu.

“Dua hari sebelum kejadian itu, suami kakak melawatnya di Penjara Pulau Pinang dan selepas dinasihati dia berjanji untuk bertaubat dan menjadi manusia baik.

“Kami gembira mendengar berita itu tetapi sayang tak menjadi kenyataan apabila dimaklumkan yang dia kini menjadi buruan polis,” katanya.

Norazah berkata, sejak kejadian itu adiknya tidak lagi menghubunginya atau pulang ke rumah menyebabkan mereka sekeluarga bimbang mengenai nasibnya.

“Keluarlah dari tempat persembunyian dan serah diri kerana lambat laun polis akan berjaya tangkap juga. Tambahan lagi hidup sebagai pelarian tidak ada kesudahannya.

“Kotakan janji adik untuk menjadi manusia baik dengan langkah pertama menyerah diri kepada polis terlebih dahulu,” kata Norazah dalam keadaan sedih.