Search This Blog

Tuesday, January 8, 2013

Kes culik: Polis buru seorang lagi suspek




8 Januari 2013
Tebusan RM30 juta, wanita dikurung 12 hari
Lokasi dua penculik ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak malam tadi.
IPOH - Polis giat memburu seorang daripada empat suspek utama kumpulan yang menculik seorang wanita berusia 52 tahun di Taiping dekat sini pada Disember lepas.
Timbalan Ketua Polis Perak, SAC Datuk A. Paramasivam berkata, setakat ini pihaknya belum mempunyai butiran terperinci mengenai suspek berkenaan manakala polis masih menyoal siasat rakan suspek yang kini ditahan.
"(Rakan) suspek yang kini ditahan polis itu memang ada rekod jenayah dan mengikut risikan dua lagi suspek utama yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis pada malam semalam juga terlibat dalam beberapa kes jenayah," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis 'Community Policing' di Mydin Mall di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa keluarga mangsa telah menyerahkan wang tebusan berjumlah RM3 juta kepada kumpulan penjenayah terbabit termasuk dakwaan berlakunya proses tawar-menawar tuntutan itu.
Pada malam semalam, wanita yang diculik sejak 26 Disember lepas dengan tuntutan wang tebusan RM30 juta berjaya diselamatkan sepasukan polis khas selepas dua daripada empat penculiknya ditembak mati di bekas premis jualan susu getah di Trong, Taiping.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kamunting, Taiping pada pukul 4 pagi dan polis kini memburu seorang lagi suspek utama serta menyiasat kemungkinan terdapat rakan penjenayah lain yang terlibat dalam kes penculikan itu.
Mengenai kes seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dan pembantu rumah yang ditemui mati di Sitiawan petang semalam, Paramasivam berkata kes itu masih disiasat dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.
"Kita minta orang ramai terutama penduduk kampung itu memaklumkan kepada polis mengenai sebarang pergerakan ke rumah itu pada awal pagi. Kita syaki ada rakan penjenayah yang datang ke rumah mangsa pada pagi itu membuat tinjauan sebelum kejadian pembunuhan itu berlaku," katanya.
Beliau berkata polis percaya penjenayah mengenali seorang daripada mangsa.
Semalam, seorang lelaki OKU dan pembantu rumahnya ditemui mati oleh rakan mangsa yang ingin melawatnya di sebuah rumah di New Village, Kampung Koh masing-masing dengan kesan kelar dan kecederaan parah di bahagian kepala.  - Bernama

Warga asing cedera parah diserang hendap


KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
8 Januari 2013
KUALA KURAU - Seorang cedera parah dan seorang lagi cedera ringan selepas terbabit dalam satu pergaduhan menggunakan senjata melibatkan enam lelaki warganegara asing di pekarangan sebuah rumah di Taman Pelangi, Batu 7, dekat sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, empat lelaki terbabit berusia di antara 30 dan 45 tahun dipercayai menyerang hendap mangsa dan seorang lagi lelaki warganegara Myanmar yang ketika itu sedang membuat kerja mengecat rumah berpunca daripada perselisihan faham.

Akibat pergaduhan itu, seorang daripada mereka cedera parah di kepala manakala seorang lagi cedera di badan selepas dipukul dengan senjata tumpul oleh empat lelaki yang dipercayai bekerja di sebuah kilang baja di kawasan berdekatan.

Wanita Indonesia ditemui mati di Flat Sri Kuching




8 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan dua kesan tetakan pada lehernya, di rumah sewanya di Flat Sri Kuching di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt Othman Abu Bakar berkata, wanita berusia 36 tahun itu dipercayai mati akibat dibunuh pagi ini.

"Mayat mangsa ditemui berpakaian lengkap dan terlentang di dalam bilik air. Terdapat kesan lebam pada mata serta dua tetakan di belakang lehernya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, polis turut menjumpai sebilah pisau pemotong daging di bahagian dapur yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Berikutan kejadian itu, katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang tinggal serumah dengan mangsa.
  
Othman berkata, mangsa yang bekerja di sebuah pusat snuker, tidak ke tempat kerjanya pagi tadi menyebabkan majikannya ke rumah mangsa.

"Setelah tiada yang membuka pintu, majikan itu bertindak memecah pintu berkenaan dan menemui mayat wanita itu," katanya.

Beliau berkata, mayat wanita dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Dua ditembak mati, mangsa culik diselamatkan



IPOH 7 Jan. - Seorang wanita yang diculik sejak 11 hari lepas dengan tuntutan wang tebusan RM30 juta berjaya diselamatkan selepas dua daripada empat penculiknya ditembak mati di bekas premis jualan susu getah di Trong, Taiping malam tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata operasi pada pukul 9.45 malam tadi dijalankan sepasukan polis khas selepas risikan selama dua minggu dan ketika serbuan itu, dua penjenayah terbabit berada bersama mangsa.
"Menyedari kehadiran polis, penculik bertindak melepaskan tembakan dan menyebabkan berlaku kejadian tembak menembak antara polis dan penjenayah terbabit.
"Dua penjenayah berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditembak mati manakala wanita itu berjaya diselamatkan dan hanya mengalami cedera ringan. Dia kini dirawat di hospital," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata polis menemui sepucuk pistol auto jenis Walter .22, sebutir peluru, sepucuk pistol mainan, 44 biji bebola besi, dua pasang gari, satu topeng muka, sepasang sarung tangan kain, tiga sarung kaki perempuan, satu bahan bacaan berbahasa Cina di tempat kejadian.
Turut ditemui di tempat kejadian ialah tiga kelongsong peluru, makanan ringan dan minuman botol.
Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kamunting, Taiping pada pukul 4 pagi ini dan polis kini memburu seorang lagi suspek utama serta menyiasat kemungkinan terdapat rakan penjenayah lain yang terlibat dalam kes penculikan itu.
Wanita berusia 52 tahun itu diculik di hadapan rumahnya di Taiping pada 26 Disember oleh sekumpulan empat penjenayah bersenjatakan pistol dan dikurung di premis yang terletak di Km 76 Jalan Sitiawan-Taiping itu.
"Empat suspek yang bersenjatakan pistol itu turut cuba menculik anak saudara mangsa yang berumur empat tahun yang berada bersama-sama wanita berkenaan di rumah kediamannya pada hari kejadian, tetapi gagal," katanya.
Mohd Shukri berkata susulan daripada laporan yang dibuat oleh keluarga mangsa, polis menubuhkan pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim untuk menjalankan risikan.
Polis percaya kesemua suspek itu turut terlibat dalam kes jenayah lain. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130107/je_12/Dua-ditembak-mati-mangsa-culik-diselamatkan#ixzz2HOenDmnr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SPRM tahan kontraktor

SEORANG kontraktor ditahan oleh SPRM kerana dipercayai terlibat
dengan kes potongan rebat bantuan yang disalurkan kepada beberapa
 NGO di Ibu Pejabat SPRM, Alor Setar, Kedah, semalam.


ALOR SETAR 7 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang kontraktor berusia 46 tahun hari ini kerana dipercayai terlibat dalam kes potongan rebat sehingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang disalurkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohamad Yusoff Akope berkata, siasatan mengenai kes tersebut bermula Februari tahun lalu setelah media massa melaporkan dakwaan yang melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan Negeri, Tan Chow Kang.
Beliau berkata, laporan tersebut menyatakan bahawa Chow Kang telah mengarahkan wakilnya untuk membuat potongan rebat sehingga 30 peratus ke atas sumbangan kepada beberapa NGO di Sungai Petani sebagai balasan kepada sumbangan yang diberikan.
"SPRM telah memanggil kira-kira 30 orang saksi dan berdasarkan siasatan yang dijalankan pihak kami mendapati perkara ini tiada kaitan dengan Chow Kang, sebaliknya dilakukan oleh kontraktor tersebut.
"Kontraktor ini dipercayai memalsukan dokumen pembekalan peralatan sedangkan NGO tersebut tidak menerima barangan tersebut.
"Lelaki terbabit ditahan kira-kira pukul 10.45 pagi di Ibu Pejabat SPRM Alor Setar di Bangunan Persekutuan dan akan didakwa di Mahkamah Sungai Petani esok," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Yusoff, terdapat enam pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 akan dikenakan terhadap kontraktor tersebut dan pertuduhan itu melibatkan tuntutan pembekalan peralatan kepada enam pertubuhan NGO bernilai RM28,000.
"Enam tuntutan ini melibatkan Persatuan Teo Chew Jalan Sekerat berjumlah RM5,000, Persatuan Penganut Dewa Fu De Ci berjumlah RM3,000, Persatuan Bomba Sukarela Semeling (RM5,000), Persatuan Bomba Sukarela Sungai Petani (RM5,000), Persatuan Penduduk Batu 2 Sungai Petani (RM3,000) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Min Terk (RM7,000)," jelasnya.
MCA Kedah pada 16 Februari tahun lalu mengemukakan senarai lapan NGO yang didakwa terlibat memulangkan semula antara 25 hingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang diterima daripada kerajaan negeri.
Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew turut mengemukakan bukti salinan jumlah peruntukan yang diterima oleh pihak tersebut dalam bentuk cek dan wang tunai.
Katanya, bukti tersebut diperoleh daripada wakil NGO terbabit dan ia pertama kali didedahkan ekoran penafian pihak kerajaan negeri berhubung isu tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130108/je_07/SPRM-tahan-kontraktor#ixzz2HOe2jPZi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nur Effa mati akibat kecederaan di kepala



SEMPORNA 7 Jan. - Kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Nur Effa Sahira Ringkasan yang mayatnya ditemukan dalam tong dram pada Isnin lalu dikenal pasti berpunca kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah berkata, berdasarkan hasil bedah siasat tiada kecederaan di badan dan kesan rogol atau cabul terhadap mangsa.
"Berdasarkan laporan itu juga, terdapat lebam dan retak di kepala mangsa yang berkemungkinan akibat terjatuh atau dihentak.
"Polis belum dapat mengesahkan sama ada mangsa mati dalam tong dram atau mayatnya dibuang di situ kerana keadaan otak mangsa telah reput," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Firdaus, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis giat melakukan siasatan secara menyeluruh.
"Kita menyoal siasat ramai individu dan sedang mengumpulkan hasil siasatan daripada segenap sudut.
"Setakat ini belum ada tangkapan atau suspek utama dikenal pasti dalam pembunuhan kejam ini," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130108/je_aa/Nur-Effa-mati-akibat-kecederaan-di-kepala#ixzz2HOdaQMsq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PGA rampas rokok seludup



MOHD. Saleh Mohd. Hussain (tengah) menunjukkan rokok seludup bernilai lebih RM1 juta yang dirampas di Kompleks Bebas Cukai, Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
KUBANG PASU 7 Jan. - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 186 kotak rokok seludup bernilai lebih RM1 juta, termasuk cukai di kawasan pinggir hutan berhampiran Kompleks Bebas Cukai di sini pada Sabtu lalu.
Rokok jenama John Black itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan ditemukan sepasukan anggota PGA diketuai oleh Asisten Supritendan Mohd. Yuseri Ahmad kira-kira pukul 5 petang.
Pegawai Turus Risik Gerakan Briged Utara PGA, Deputi Supritendan Mohd. Saleh Mohd. Hussain berkata, pasukan itu yang membuat rondaan di kawasan tersebut ternampak barang yang mencurigakan di pinggir hutan.
Katanya, setelah diperiksa pihaknya menemukan 186 kotak besar dengan setiap kotak berisi 50 karton rokok bernilai RM665,000 dan nilai cukai RM418,000.
"Pasukan ini menunggu di kawasan pinggir hutan ini sehingga cuaca gelap sekitar pukul 8 malam namun tiada pemilik datang mengambil barangan tersebut.
"Ini merupakan rampasan terbesar untuk tahun ini dan rokok itu kemudian dibawa ke Markas Taktikal PGA di sini untuk siasatan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Saleh, rokok yang disorok di kawasan tersebut dipercayai diangkut sedikit demi sedikit oleh anggota sindiket dipercayai pada waktu malam.
Katanya, barang seludup itu dipercayai untuk dipasarkan ke serata tempat termasuk ibu negara untuk peniaga pasar malam dan peruncit di kawasan kampung.
"Setiap kotak yang berisi 20 batang rokok dipercayai dijual sehingga RM7 berbanding harga pasaran negara ini RM10 sekotak," katanya.
Menurut Mohd. Saleh, rokok itu akan diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan dengan kesalahan pertama boleh didenda tidak lebih 10 kali nilai barangan atau tidak lebih tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130108/je_08/PGA-rampas-rokok-seludup#ixzz2HOdTdMlH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lebih 200 lorong tikus dikesan



Mohd. Saleh Mohd. Hussain (tiga dari kanan) memeriksa laluan penyeludup memasuki negara ini berhampiran pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam. (Gambar kecil) Seorang anggota PGA menunjukkan pagar berhampiran pintu sempadan yang dipotong penyeludup bagi memasuki negara ini.
KUBANG PASU 7 Jan. - Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan lebih 200 lorong tikus di sepanjang kira-kira lima kilometer pintu pagar sempadan negara yang digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyusup masuk ke negara ini.
Pegawai Turus Risik/Gerakan Briged Utara pasukan itu, Deputi Supritendan Mohd. Saleh Mohd. Hussain berkata, saiz lorong tikus yang dibuat dengan memotong pagar sempadan bukan sahaja boleh dimasuki oleh tubuh manusia malah objek sebesar lori treler.
"Laluan ini digunakan penyeludup untuk membawa masuk rokok, minuman keras dan mercun ke negara ini," katanya dalam sidang akhbar di Markas Taktikal Batalion Ke-18 PGA, di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut mengesan taktik PATI yang menyamar sebagai pelancong dengan berjalan kaki dari pintu sempadan Malaysia-Thailand di sini dengan tertangkapnya 13 PATI Myanmar termasuk dua wanita pada Sabtu dan Ahad lalu.
Kata beliau, kesemua yang ditemui dalam keadaan mencurigakan di Kompleks Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam di sini.
"Mereka mula memasuki Malaysia sebaik sahaja pintu pagar sempadan dibuka pada pukul 6 pagi secara berkumpulan sekitar 10 orang.
"Setelah diperiksa mereka yang berusia antara 19 hingga 30 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.
Mohd. Saleh berkata, kesemua mereka berjalan kaki kira-kira 300 meter dari pintu sempadan negara jiran dan menyusup masuk ke Kompleks Bebas Cukai sebelum menyusuri lorong tikus di pintu pagar di kawasan hutan berdekatan untuk masuk ke negara ini.
"Setelah menyusuri hutan di kawasan kelab golf di situ mereka akan keluar di Taman Perumahan Seri Temin dan seterusnya menuju ke destinasi tertentu dengan bantuan sindiket.
"Laluan itu merupakan jalan alternatif bagi mengelak pemeriksaan ketat di pintu sempadan negara," katanya.
Tambah beliau, sepanjang tahun lalu, pihaknya menahan 148 PATI melibatkan 146 warga Myanmar termasuk 21 wanita dan masing-masing seorang warga Thailand serta Pakistan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130108/je_06/Lebih-200-lorong-tikus-dikesan#ixzz2HOdLBKzD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua syarikat kereta mewah rugi RM400,000



KUALA LUMPUR 7 Jan. - Dua pusat pameran kereta mewah di Jalan Chan Sow Lin di sini, masing-masing kerugian kira-kira RM200,000 selepas seorang lelaki melarikan sebuah kereta sports jenis Audi TT dan Volkswagen Golf GTI dalam tempoh hanya sejam kelmarin.
Salah sebuah syarikat kereta yang menjadi mangsa pencuri licik tersebut iaitu Pusat Jualan dan Servis Audi sebelum ini pernah mengalami kerugian selepas sebuah kereta mewahnya dicuri oleh seorang ejen penghantaran kastam yang dituduh mencuri sebuah kereta Porsche di sebuah bilik pameran di Jalan Bukit Bintang pada Oktober tahun lalu.
Difahamkan, suspek yang dipercayai melakukan jenayah itu bersendirian telah melarikan sebuah kereta sports jenis Volkswagen Golf GTI di Pusat Jualan dan Servis Volkswagen di Jalan Dua, Chan Sow Lin pada pukul 7 pagi sebelum melarikan sebuah lagi kereta sports jenis Audi TT selang sejam selepas itu.
Seorang pekerja di Pusat Jualan dan Servis Volkswagen yang enggan dikenali ketika ditemui memberitahu, kehilangan kereta Volkswagen Golf GTI berharga RM210,000 yang disimpan dalam bengkel itu disedari hilang ketika mahu diperiksa sebaik sahaja mereka memulakan perniagaan pada hari tersebut.
"Kehilangan kereta yang belum didaftarkan itu tidak disedari oleh pengawal keselamatan kerana suspek mungkin memasuki bengkel tempat menyimpan kereta melalui bilik stor di bahagian belakang sebelum memandu keluar kenderaan tersebut.
"Kami tidak tahu bagaimana suspek dapat menghidupkan enjin kereta tetapi pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian berjaya mengesan seorang lelaki melarikan kereta berkenaan," katanya.
Sementara itu, seorang pekerja di Pusat Jualan dan Servis Audi yang juga enggan dikenali memberitahu, suspek sama yang melarikan kereta Volkswagen Golf GTI telah mengunjungi syarikat mereka pada pukul 8 pagi tetapi dihalang masuk oleh pengawal keselamatan kerana waktu operasi perniagaan bermula pukul 8.30 pagi.
Menurutnya, suspek yang berpura-pura beredar kemudian berpatah balik dan menyusup masuk ke bilik pameran sebelum mengambil kesempatan melarikan sebuah kereta Audi TT berharga RM200,000 sebaik sahaja pintu masuk dibuka pada pukul 8.30 pagi.
"Rakaman CCTV berjaya merakam suspek yang memandu kereta tersebut dan lelaki itu memang kelihatan profesional melakukan jenayah tersebut.
"Kejadian ini sudah dilaporkan kepada polis dan beberapa pengawal keselamatan sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130108/je_05/Dua-syarikat-kereta-mewah-rugi-RM400000#ixzz2HOd2QKHI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis selamatkan mangsa culik, tembak mati dua penjenayah



IPOH 7 Jan. - Drama tebusan selama 12 hari seorang wanita ahli keluarga usahawan terkenal di negeri ini berakhir dengan mangsa berjaya diselamatkan dan polis menembak mati dua penculik yang meminta wang tebusan RM30 juta di Taiping, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.45 malam, dua penjenayah berusia 30 dan lingkungan 40-an terbunuh selepas berbalas tembakan dengan pasukan khas polis yang mahu menyelamatkan wanita itu di tempat dia dikurung iaitu di bekas tapak penjualan susu getah di Kilometer 76, Jalan Sitiawan-Taiping di Trong.
Seorang lagi suspek kumpulan penjenayah itu yang berusia 33 tahun ditangkap di Kamunting pada pukul 4 pagi ini.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya berbangga kerana berjaya menyelesaikan satu kes culik berprofil tinggi di negeri ini dan pada masa sama berjaya menyelamatkan mangsa.
Katanya, mangsa cuma mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.
"Saya ucapkan tahniah kepada pasukan khas polis kerana dapat menangani kejadian culik ini yang merupakan kes jenayah serius," katanya.
Yang turut hadir timbalan beliau, Datuk A. Paramasivam dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim.
Mohd. Shukri berkata, pemeriksaan polis di tempat kejadian turut menemukan tiga kelongsong peluru yang digunakan penjenayah berkenaan.
"Polis merampas sepucuk pistol automatik jenis Walther .22 bersama kelopak, sebutir peluru hidup dalam kelopak, sepucuk pistol mainan jenis Penthum, 44 biji bebola besi, dua pasang gari, topeng ski, tiga sarung kaki perempuan, satu bahan bacaan berbahasa Cina dan makanan ringan serta botol minuman," katanya.
Menurut beliau, mangsa diculik di hadapan rumahnya di Taiping oleh empat lelaki bersenjatakan pistol pada 26 Disember lalu.
"Semasa kejadian kumpulan penjenayah berkenaan juga cuba menculik seorang anak saudara mangsa berusia empat tahun namun gagal," kata beliau.
Mohd. Shukri berkata, berdasarkan cara kumpulan penjenayah itu mengendalikan kes culik ini, polis percaya mereka berpengalaman dan mungkin pernah terlibat dalam beberapa kes culik lain.
Menurutnya, butir-butir penjenayah masih dalam siasatan dan ketika ini polis sedang mengesan ahli kumpulan mereka yang masih bebas.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130108/je_03/Polis-selamatkan-mangsa-culik-tembak-mati-dua-penjenayah#ixzz2HOcZOlGr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saya tidak maafkan suami - Anira



Anita Aziz menunjukkan kepada wartawan badan adiknya, Anira Aziz yang cedera akibat dipukul oleh suami adiknya itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Repoh, Kangar, semalam. - UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli
KANGAR 7 Jan. - "Saya tidak akan maafkan dia (suami) kerana cukuplah selama tujuh tahun berkahwin, saban minggu saya dipukul bagi melepaskan kemarahannya akibat cemburu buta."
Demikian kata Anira Aziz, 27, yang teruk dibelasah suaminya dengan menggunakan kerusi, lesung batu dan bingkai gambar kelmarin.
Menurutnya, kali ini dia memang sudah tidak tahan dengan sikap suaminya yang kaki pukul dan sering menjadikan alasan dia ada lelaki lain dan curang.
"Sebelum ini, lambat masak nasi pun saya akan kena pukul kerana alasannya saya leka berbual dengan lelaki lain," katanya yang menetap bersama suaminya itu di Kuala Lumpur ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin memberitahu, mangsa dibelasah oleh suspek yang merupakan seorang pekerja kontrak berusia 40 tahun yang dikatakan baharu sahaja sampai di rumah itu selepas pulang dari Kuala Lumpur.
Menurut Rahman, suspek dikatakan ternampak isterinya sedang berpelukan dengan lelaki lain menyebabkannya berang lalu memukul mangsa.
Berikutan itu, Anira yang masih dalam pantang kerana bersalin anak keduanya terpaksa ditahan sehari di wad Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kerana luka di bahagian mata, hidung dan mulut selain luka dihiris pisau di bahu belakang dan kepala sehingga terpaksa menerima 10 jahitan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130108/je_02/Saya-tidak-maafkan-suami---Anira#ixzz2HOb6JuKX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lapan maut gas bocor dalam lombong arang batu



ISTANBUL 8 Jan. - Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam tragedi kebocoran gas di dalam lombong arang di Laut Hitam Kozlu, utara Turki, semalam.
Kejadian tersebut berlaku selepas sejumlah besar gas metana bocor di lombong tersebut di kawasan itu.
Sehingga semalam, pasukan penyelamat meneruskan pencarian mangsa yang lain di bahagian bawah tanah dan seorang dilaporkan berjaya diselamatkan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130108/lu_10/Lapan-maut-gas-bocor-dalam-lombong-arang-batu#ixzz2HOaRV5Ns
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rogol: 5 dihadap ke mahkamah



NEW DELHI 7 Jan. - Lima lelaki yang dituduh merogol dan membunuh seorang pelajar perubatan wanita berumur 23 tahun yang mencetuskan bantahan di negara ini, dihadapkan di mahkamah hari ini, dengan majistret mengarahkan proses pendakwaan terhadap mereka dijalankan secara tertutup.
Kelima-lima suspek berumur 19 dan 35 tahun itu buat pertama kalinya hadir di Mahkamah Daerah Saket untuk mendengar pertuduhan ke atas mereka.
Majistret Namrita Aggarwal berkata, mahkamah menjadi terlalu sesak.
''Sukar untuk mahkamah ini menjalankan prosiding terhadap kes ini,'' katanya.
Sekumpulan peguam dari Kompleks Mahkamah Saket mengutuk peguam yang tampil membela tertuduh, keadaan yang melambatkan prosiding di mahkamah tersebut sebelum tengah hari.
Kira-kira 150 orang termasuk berpuluh-puluh peguam yang tidak mempunyai kaitan dengan kes itu serta wartawan tempatan dan asing, bersesak-sesak dalam bilik mahkamah kecil yang hanya mampu menempatkan 30 kerusi.
Kelima-lima suspek itu menghadapi tuduhan membunuh, menculik dan merogol dalam kes yang menggemparkan India.
Terdahulu, kelima-lima suspek tiba di mahkamah itu selepas dua daripada mereka menawarkan menjadi saksi sebagai pertukaran kepada hukuman lebih ringan.
Gambar Reuters merakamkan lelaki-lelaki tersebut keluar dari van polis berwarna biru yang membawa mereka dari penjara Tihar.
Kelima-lima lelaki itu kemudian dibawa ke bilik tahanan, sementara menunggu majistret mendengar kes mereka. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130108/lu_01/Rogol-5-dihadap-ke-mahkamah#ixzz2HOaG3c7C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suspek serangan hilang abang akibat ditembak



Anggota polis menjalankan siasatan di luar sebuah rumah selepas empat individu termasuk penyerang, maut dalam satu kejadian tembakan di bandar Aurora, Colorado, Sabtu lalu. - REUTERS
AURORA, Colorado 7 Jan. - Suspek yang melepaskan tembakan rambang sehingga membunuh tiga orang di sini, kelmarin baru kehilangan abangnya yang mati ditembak di Denver pada September lalu.
Identiti suspek yang dikenali sebagai Sonny Archuleta, 33, didedahkan jirannya kepada media, semalam.
Seorang saudara kepada Archuleta memberitahu New York Post bahawa mangsa yang terbunuh pula dikenali sebagai Stacie Phillbrook dan teman wanita Phillbrook serta bapa angkatnya, manakala isteri Archuleta terselamat dalam kejadian itu.
Insiden kelmarin merupakan kejadian tembakan rambang kedua terburuk di pekan Aurora yang turut mengakibatkan Archuleta mati ditembak polis selepas dia enggan menyerah diri.
Dalam pada itu, laman sosial MySpace dan Twitter kepunyaan Archuleta mendedahkan dia kehilangan abangnya, Patricio, 34, yang ditembak dalam satu kejadian keganasan pada September lalu.
Ekoran kejadian itu, Archuleta dalam akaun twitter miliknya menulis bahawa abangnya dibunuh di Denver dan dia meminta orang ramai berdoa untuk keluarganya dan yakin Tuhan akan memberi kemenangan daripada tragedi tersebut.
Sementara itu, dalam kejadian serangan serupa di panggung wayang di pekan Aurora pada Julai lalu yang mengorbankan sebanyak 12 nyawa, suspek dalam insiden itu didakwa di mahkamah di sini, hari ini.
Hakim akan memutuskan sama ada terdapat cukup bukti untuk mengadakan perbicaraan penuh ke atas James Holmes.
Terdapat beberapa laporan mendakwa perbicaraan yang dijadual berlangsung selama seminggu itu turut memasukkan kenyataan daripada mangsa yang terselamat, bukti video dan panggilan kecemasan 911, namun perbicaraan bergantung kepada tahap kewarasan suspek. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130108/lu_09/Suspek-serangan-hilang-abang-akibat-ditembak#ixzz2HOX9N0uU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tujuh terkorban helikopter terhempas di Peru



LIMA 8 Jan. - Sebuah helikopter yang digunakan oleh sebuah syarikat minyak dan perlombongan terhempas di atas bangunan komersial di sebuah kampung di utara Peru, semalam mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk lima warga Amerika Syarikat (AS).
"Tujuh orang disahkan terbunuh termasuk lima warga AS dan dua Peru," kata pendakwaraya tempatan, Marcos Ochoa kepada radio RPP Peru selepas penduduk kampung melaporkan melihat sebuah helikopter meletup dan terbelah dua selepas terhempas.
Kejadian berlaku pukul 2.57 petang waktu tempatan di kampung San Juan, di kawasan berhutan di wilayah Ucayali manakala pihak polis dan para pakar sedang menyiasat punca kejadian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130108/lu_12/Tujuh-terkorban-helikopter-terhempas-di-Peru#ixzz2HOVndscs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 polis dibelasah tahanan, sembur serbuk lada



OTHMAN YAHAYA
8 Januari 2013
Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
Orang ramai memberikan bantuan kepada seorang anggota polis yang cedera selepas dipukul sekumpulan OKT , semalam.
Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
Polis dibelasah penjenayah: Sembur serbuk lada
BUTTERWORTH - Empat anggota polis cedera dibelasah sembilan tahanan ketika dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam.

Kesemua mereka akan menghadapi prosiding perbicaraan pagi semalam.

Tahanan berkenaan kemudiannya meninggalkan empat anggota pengiring itu di tepi jalan sebelum bertindak melarikan van polis dinaiki untuk meloloskan diri.

Dalam kejadian di susur keluar ke Pantai Bersih itu, pemandu van polis berkenaan yang dikenali sebagai Nazzwan cedera parah di kepala akibat dihentak dengan gari.

Manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ringan di kepala dan beberapa bahagian badan masing-masing selepas dibelasah tahanan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian itu berlaku ketika keempat-empat anggota polis dari unit pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth.

“Kesemua mereka dalam keadaan bergari diambil sebelumnya dari Penjara Pulau Pinang untuk proses reman dan pertuduhan berkaitan kes bunuh, samun dan mencederakan orang.

“Pemandu van ditemani seorang anggota duduk di hadapan manakala dua anggota pengiring duduk di bahagian hadapan tengah van mengawasi semua tahanan yang ditempatkan di bahagian belakang,” katanya.

Menurut Datuk Abdul Rahim, ketika van melalui Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) berhampiran Bagan Ajam, beberapa OKT (orang kena tuduh) berpura-pura bergaduh sesama sendiri menyebabkan pemandu van memberhentikan kenderaan itu bagi meleraikan pergaduhan tersebut.

“Ketika itulah salah seorang OKT melempar serbuk cili ke arah salah seorang anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan antara polis dan OKT.

“Pada masa yang sama, beberapa orang OKT bertindak menendang kesemua anggota polis berkenaan keluar dari kenderaan itu selain membelasah mereka di tepi jalan,” katanya.

Rahim berkata, OKT terbabit kemudiannya merampas kunci gari dari salah seorang anggota polis sebelum menaiki semula van dan melarikan diri bersama kenderaan itu.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini semalam ketika melawat keempat-empat mangsa berkenaan yang menerima rawatan.

Kejadian yang berlaku kira-kira dua kilometer dari Kompleks Mahkamah Butterworth itu bagaimanapun sempat dilihat oleh pengguna jalan raya yang kemudiannya memberikan bantuan kecemasan kepada anggota terbabit sebelum semuanya dihantar mendapatkan rawatan ke HSJ kemudiannya.

Menurut Abdul Rahim lagi, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, polis telah melancarkan gerakan mengesan van dan OKT yang terlibat.

“Tidak sampai 30 minit selepas operasi dilancarkan, pihak kita menemui semula van itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Cempedak, Tasek Gelugor iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian.

“Semasa ditemui dua OKT masih berada di lokasi van itu dan tidak mengikuti tujuh rakan mereka yang dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit di sekitar kampung berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis kini menjejaki Mohd Sharimy Md Nor, 28; Farid Akhtar 24; Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 25; Hamizani Harun, 37; Hisham Abd Rahman, 39; Mohd Fairuz Adam, 31; dan Mohd Noor Mustafa, 28.

“Kita telah melancarkan gerakan mengesan kesemua OKT yang melarikan diri termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di sekitar Tasek Gelugor.

“Kita juga minta kerjasama orang awam melaporkan kepada polis sekiranya mereka ternampak atau mengetahui lokasi OKT ini bersembunyi dan jangan mengambil tindakan sendiri atau cuba menahan kerana mereka merbahaya,” katanya.

Rahim menambah, keempat anggota polis berkenaan akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan tahanan lari dari jagaan yang sah.

Manakala tujuh suspek terbabit dicari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan mencederakan.

Katanya, jika kelalaian menjadi puncanya hingga OKT terbabit berjaya meloloskan diri pihaknya akan mengambil tindakan ke atas empat anggota pengiring terbabit.

OKU, pembantu dibunuh kejam



SITI SAFA MOHD NOR 
8 Januari 2013
OKU, pembantu dibunuh kejam
Keadaan mayat Mee Jai yang ditemui dengan kecederaan di leher dan kepala.
MANJUNG - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) bersama pembantunya ditemui mati dibunuh  kejam di sebuah rumah di New Vilage, Kampung Koh, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berkenaan kejadian itu pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku awal pagi semalam sebelum disedari rakan mangsa yang ke kediaman tersebut untuk melawat mangsa.

“Mangsa OKU dikenali sebagai Nga Mee Jai @ Nga Mee Kok, 68, manakala pembantunya dikenali sebagai D Hemalata, 23, yang datang setiap hari untuk menjaganya dan membersihkan rumah sebelum pulang pada waktu malam.

“Semasa dijumpai, keadaan rumah mangsa berselerak dipercayai dilakukan oleh suspek terlibat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mangsa OKU mengalami kecederaan di leher manakala pembantunya mengalami kecederaan di kepala.

“Kita masih lagi menyiasat motif pembunuhan ini dan suspek terlibat sedang diburu,” katanya yang menjelaskan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jaafar berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.

TLDM bantu selesai kes pinjam ah long




8 Januari 2013
TLDM bantu selesai kes pinjam ah long
Abdul Aziz beramah mesra dengan anggota TLDM yang hadir pada majlis Perutusan Tahun Baru 2013 di pangkalan TLDM, semalam
LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil langkah proaktif membantu 102 anggotanya yang membuat pinjaman ah long dengan menyelesaikan kesemua nilai pinjaman terlibat iaitu RM139,000.   

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, seramai 178 anggota dikenal pasti terlibat membuat pinjaman daripada pemberi pinjaman tanpa lesen itu.

“Seramai 76 anggota lagi dibantu melalui ceramah dan khidmat nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Kami dapat bantuan daripada agensi luar yang berbincang dengan pemberi pinjaman tanpa lesen,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan Tahun Baru kepada kira-kira 2,000 pegawai dan anggota di Pangkalan TLDM di sini, semalam.
Beliau berkata, usaha TLDM itu memberi keyakinan dan semangat kepada anggota yang terjebak serta TLDM akan membuat pemantauan terhadap anggota supaya tiada yang terlibat lagi.

"Mereka yang terlibat adalah anggota pelbagai pangkat dan pihak pengurusan TLDM mengadakan pertemuan dengan mereka untuk mengetahui punca sebenar pinjaman dibuat," katanya.

Beliau yang tidak menafikan kemungkinan masih ada anggota terlibat dengan pinjaman ah long berkata, pihaknya menugaskan pegawai untuk memberi penerangan serta mengenal pasti anggota bermasalah.

“Kita menasihatkan mereka berjimat cermat, menabung dan hanya membenarkan  pinjaman dibuat atas sebab yang betul-betul memerlukan melalui prosedur yang betul dan bukan dalam jumlah yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, TLDM bekerjasama dengan institusi perbankan untuk memudahkan anggota membuat pinjaman berdasarkan kemampuan pembayaran balik pinjaman.
Ditanya mengenai kemungkinan segelintir anggota yang meminjam ah long terlibat dengan aktiviti perjudian mesin slot, Abdul Aziz berkata, Protela (Polis TLDM) memantau aktiviti di premis yang menjalankan kegiatan itu.

Pada majlis itu, Abdul Aziz turut melancarkan pelan strategik TLDM 2013 hingga 2020 yang merangka strategi jangka pendek dan panjang berlandaskan Pelan Strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pelan Strategik TLDM yang baru merangkumi 14 objektif antaranya kesiagaan tertinggi, sumber yang dioptimumkan, kecemerlangan tadbir urus dan kesesuaian polisi dan doktrin. - Bernama

Polis antara 13 suspek jenayah Filipina



8 Januari 2013
Polis antara 13 suspek jenayah Filipina
Salah sebuah SUV yang berjaya dihalang polis dan askar tempatan.
ATOMONAN - Seramai 13 penjenayah ditembak mati dan tiga daripadanya adalah anggota polis dalam insiden tembak dengan pasukan keselamatan Filipina di lebuh raya, semalam.

Jurucakap polis, Erwin Obal berkata, kesemua penjenayah menaiki tiga buah kenderaan SUV hitam dan melepaskan tembakan ke arah lebih 50 tentera dan polis di Quezon, tenggara Manila.

"11 suspek termasuk tiga anggota polis yang bersubahat maut di lokasi," katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa turut mengenal pasti dua lagi mayat yang dipercayai bekas dan pasukan perkhidmatan perisikan negara.

Polis juga tidak menolak kumpulan itu adalah ahli operasi bersenjata dalam wilayah selatan Manila.  - AP

Protes tuntut kebebasan akhbar



8 Januari 2013
Protes tuntut kebebasan akhbar
Kumpulan aktivis berhimpun di pekarangan syarikat penerbitan akhbar Southern Weekly.
BEIJING - Ratusan peguam berkumpul di pekarangan pejabat akhbar liberal Cina, Southern Weekly dalam Guangzhou, bagi menuntut hak kebebasan akhbar, semalam.

Menurut aktivis, kesemua peserta protes melaungkan ungkapan kebebasan sambil mengangkat poster menggesa media China bebas bersuara.

"Kami mahukan kebebasan akhbar, fahaman perlembagaan dan demokrasi," laung peserta.

Beberapa hari lalu, sekumpulan petugas dan pelatih akhbar menghantar sepucuk surat menggesa pegawai propaganda wilayah, Tou Zhen melepaskan jawatannya susulan penerbitan artikel tahun baru yang menyatakan perubahan hak berperlembagaan menjurus kepada pandangan Parti Komunis.

Sementara itu, jurucakap kementerian hal ehwal China di Beijing berkata, tiada mana-mana penapisan berita di China.

Minggu lalu, kerajaan China bertindak menutup laman web sebuah majalah pro-pembaharuan yang menyiarkan artikel mengenai pembaharuan politik dan kerajaan berperlembagaan.  - Al-Jazeera

Nenek, cucu dituduh miliki heroin



8 Januari 2013
Nenek, cucu dituduh miliki heroin
Norma (gambar kecil) dan cucunya, Shaharudin ketika dibawa keluar dari mahkamah.
AYER KEROH - Seorang nenek dan cucunya dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memiliki lebih 2 gram dadah, di Sungai Udang, minggu lalu.

Tertuduh, Norma Hamid, 71 dan cucunya Shaharudin Mohd Zin, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majisret, Ida Rahayu Sharif.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa memiliki dadah jenis heroin berat kasar 2.3 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Sungai Udang kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 3 Januari 2013.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum minima dua tahun dan maksima lima tahun dan sebat dari tiga hingga sembilan kali sebatan.

Shaharudin turut dituduh memiliki heroin seberat 0.3 gram pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM3,000 bagi pertuduhan yang dihadapi kedua-dua pertuduhan dan RM3,000 bagi pertuduhan dihadapi Shaharudin.

Bagaimanapun, hanya Shaharudin yang merupakan pekerja mekanik merayu jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menyara nenek dan ibunya.

Selepas mendengar rayuan tersebut, Ida Rahayu kemudian menetapkan ikat jamin RM1,000 terhadap Norma dan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dihadapi Shaharudin.

Beliau menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Februari depan bagi mendengar laporan kimia untuk mengetahui berat sebenar dadah.

Penyamun masuk melalui tingkap



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Januari 2013
Penyamun masuk melalui tingkap
Mohd Ikram menunjukkan besi tingkap yang dibengkokkan penyamun tersebut.
PORT DICKSON – Seorang pengusaha sebuah kedai serbaneka di sini mengalami kerugian lebih RM1,000 apabila kedainya dipecah masuk, malam kelmarin.

Kejadian disedari oleh pemilik kedai, Mohd Ikram Azmi, 26, dan isterinya Nurul Nabilah Kamal, 27, ketika membuka kedai mereka pada jam 9.20 pagi semalam.

Mohd Ikram berkata, dia mengesyaki kedainya dimasuki penyamun selepas 4 pagi kerana mesin tambah nilai telefon yang diletakkan di kedainya berfungsi sehingga 3.50 pagi dan selepas itu bekalan elektrik dipercayai diputuskan oleh mereka.

“Sebaik memasuki kedai, isteri saya curiga dan bertanyakan kenapa saya tidak menutup laci ketika meninggalkan kedai. Dari situ saya terus mengesyaki kedai dipecah masuk ditambah pula rokok yang disusun pada rak sudah kosong.

"Saya segera memeriksa laci tempat menyimpan wang dan mendapati wang berjumlah RM501 turut hilang," katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Menurutnya, dia kemudiannya segera memeriksa bahagian belakang kedai dan mendapati tiga keping cermin tingkap telah dipecahkan selain besinya dibengkokkan.

“Sejak setahun saya berniaga di sini, ini adalah kejadian pertama kedai dipecah masuk pencuri dan sebelum ini kedai saya pernah disembur cat dipercayai perbuatan remaja nakal di sini,” katanya.

Berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir remaja di kawasan itu, Mohd Ikram turut menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pencuri ini dengan memberi maklumat terus kepada polis ataupun kepadanya untuk tindakan memerangkap mereka bagi mengurangkan kejadian seperti ini.

Katanya, akibat bekalan elektrik yang telah diputuskan oleh pencuri menyebabkan banyak aiskrim cair dan rosak serta tidak boleh dijual lagi.

“Pada masa akan datang, saya khuatir kejadian seumpama ini akan berlaku lagi memandangkan kawasan ini sering dijadikan tempat melepak remaja sehingga lewat malam,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Lukut.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, beberapa keping cermin yang dipecahkan dibiarkan berselerak berhampiran kedai berkenaan.

Kaki pancing jumpa mayat lelaki tanpa pakaian



8 Januari 2013
KOTA TINGGI - Kehadiran sekumpulan pengunjung di Pantai Che Minah, Bandar Penawar, di sini untuk memancing dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki terdampar tanpa pakaian kira-kira jam 12.45 tengah hari kelmarin.

Mayat lelaki berusia sekitar 30-an itu ditemui di kawasan kira-kira dua batu dari pantai awam Desaru berhampiran sebuah padang golf.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan penemuan mayat tersebut berkata, salah seorang pemancing telah menghubungi polis sebelum sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, hasil laporan bedah siasat mendapati mayat itu mempunyai kesan suntikan BCG di lengannya dipercayai warga tempatan dan tiada sebarang kecacatan. Mayat terbabit dipercayai lemas dalam tempoh 24 jam.

“Mangsa juga dipercayai berketurunan Melayu berkulit hitam manis dan mempunyai ketinggian 169 sentimeter, berambut pendek serta berbadan gempal anggaran berat 74 kilogram.

“Mayat tersebut dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat dan diminta mana-mana pihak yang kehilangan waris boleh membuat pengecaman di Unit Forensik HKT,” katanya.

Diperlaku seperti orang mati



8 Januari 2013
Diperlaku seperti orang mati
Anita menunjukkan tempat barangan yang dibakar oleh suaminya.
Diperlaku seperti orang mati
ANITA
KANGAR - “Saya sudah serik diperlakukan sedemikian,” luah Anita (bukan nama sebenar), yang mendakwa dipukul suaminya ketika masih berpantang selepas 42 hari melahirkan anak bongsunya.

Menurutnya, semasa kejadian berlaku, dua jiran lelaki secara kebetulan datang ke rumahnya selepas mendengar anaknya menangis di tengah malam, lalu mereka ingin membawa anaknya untuk mendapat rawatan di hospital berdekatan.

“Baru beberapa minit sahaja mereka di rumah saya, suami saya terus sampai lalu bertanyakan kasut siapa yang berada di luar rumah. Belum sempat untuk menjawab dia terus menendang perut dan menumbuk muka saya.

“Saya meraung meminta tolong, tetapi tiada siapa yang berani membantu. Lalu dia memukul saya dengan kerusi dan lesung batu di kepala,” katanya.

Ibu tiga anak itu berkata, lebih teruk lagi, apabila suaminya membogelkannya dan menyeret sehingga ke birai pintu seolah-olah dia diperlakukan seperti orang yang sudah mati.

Mangsa berkata, suspek yang berusia 40-an itu bukan hanya membakar motosikal milik ibunya malah semua pakaian, dokumen peribadi, peralatan elektrik termasuk kipas dan televisyen turut dibakar.

Dalam kejadian ini, mangsa menerima 10 jahitan di kepala dan lebam di badan serta kedua-dua matanya.

Ibu mangsa, Aminah (bukan nama sebenar), berkata, dia sedih kerana kejadian ini berlaku ketika anaknya masih berpantang.

“Motosikal yang saya belikan untuk memudahkan perjalanan anak saya pergi ke klinik berhampiran untuk memeriksa kandungannya sebelum ini turut dibakar oleh suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas suspek berhubung kejadian itu yang didapati bercanggah dengan laporan yang diterima sebelum ini.

“Sekiranya belum mempunyai bukti yang kukuh, kita akan menyambung reman suspek berdasarkan pengesahan daripada Mahkamah Majistret di sini untuk beberapa hari lagi,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya serangan bermotifkan cemburu dan sudah menahan reman suspek empat hari bermula kelmarin sehingga 9 Januari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.

‘Toyol’ pecah kedai dipenjara



RUBIAH OMAR
8 Januari 2013
‘Toyol’ pecah kedai dipenjara
Kedua-dua sahabat ini mengaku bersalah melakukan pecah kedai dan mencuri barangan yang bernilai keseluruhan RM500 di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
KUALA TERENGGANU - Perbuatan dua sahabat yang layak digelar ‘toyol’ melakukan pecah kedai dan mencuri pelbagai barangan runcit bernilai keseluruhan RM500 menerima pembalasan apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu diputuskan selepas kedua-dua mereka, Muhamad Aminurdin Mamat, 32, dari Kampung Kuala Bekah, di sini, dan Muhammad Hishamudin Baharun, 29, dari Kampung Pulau Musang, di sini, mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah bangunan.

Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai buruh itu mengaku bersalah melakukan pecah kedai runcit milik Suhaimi Abdul Ghani, 67, terletak di Jalan Kamarudin, di sini, pada 27 Disember lalu lebih kurang antara jam 5 pagi hingga 5.30 pagi.

Mereka turut mengaku bersalah telah mencuri enam botol minyak wangi jenama Al-Habib; 13 batang pemetik api jenama Aladin; tujuh kotak pemetik api jenama Yeppi; tiga bungkusan tembakau rokok gulung jenama Cherry Choice; dua bungkusan tembakau rokok gulung jenis perisa Blueberry dan wang syiling berjumlah RM13.70 yang melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM500.

Justeru itu, mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Susulan pengakuan bersalah kedua-duanya, Noradila menjatuhkan hukuman lima bulan penjara terhadap Muhamad Aminurdin manakala tiga bulan penjara bagi Muhammad Hishamudin.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian lebih kurang jam 5.05 pagi, mangsa telah pergi ke kedai miliknya bagi membuat persiapan awal sebelum memulakan operasi perniagaan seperti biasa.

Bagaimanapun, setibanya di kedai, mangsa ternampak kelibat dua lelaki tidak dikenali sedang terjun dari bumbung kedainya sebelum bertindak menangkap seorang daripada mereka, Muhamad Aminurdin manakala seorang lagi iaitu Muhammad Hishamudin, berjaya melarikan diri.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis daerah Kuala Terengganu dan susulan laporan dibuat, pada 28 Disember lalu lebih kurang jam 3.15 pagi, Muhamad Hishamudin yang berjaya melarikan diri itu ditangkap ketika berada di perkarangan Masjid Jamek Pengadang Baru, Chabang Tiga, di sini.

4 beranak tinggal dalam kebun



WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Januari 2013
4 beranak tinggal dalam kebun
Hazman dan tiga anaknya tinggal di pondok ini yang dibina atas tanah milik ibunya.
4 beranak tinggal dalam kebun
Norol Azali menghulurkan biskut kepada dua anak Hazman selepas menyerahkan bantuan peribadi semasa mengunjungi keluarga terbabit di Kampung Guai.
4 beranak tinggal dalam kebun
Anak-anak Hazman yang masih kecil memerlukan kehidupan lebih selesa.
BERA - Kesempitan hidup memaksa seorang bapa menjadikan sebuah pondok dalam kebun getah, di sini, sebagai tempat tinggal tiga anaknya yang masih kecil.

Hazman Misman, 35, terpaksa membawa tiga anaknya iaitu Nurul Natasha Amani, 7, Nurul Alisya Qaisara, 3, dan Muhammad Mikail Nur Iman, 20 bulan, tinggal
bersamanya setelah berhadapan krisis keluarga.

“Nasib baik ibu benarkan saya tinggal di kebun getah ini. Dari sinilah saya dapat pendapatan untuk menyara kehidupan anak-anak.

“Saya tahu apa yang disediakan untuk anak-anak tidak selesa, tetapi inilah yang terbaik buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia pernah bekerja di Pelabuhan Klang, Selangor sebelum berpindah dan menetap di rumah mentuanya di Paya Pulai selama hampir dua tahun.

Akibat beberapa masalah keluarga, dia terpaksa keluar dari rumah mentuanya bersama anak-anaknya dan berpisah dengan isterinya dan kini, sudah beberapa bulan menetap di pondok itu.

Tiada bekalan air, elektrik

Tinjauan Sinar Harian bersama Adun Guai, Norol Azali Sulaiman semasa Program Walkabout di Kampung Guai, mendapati Hazman sekeluarga hidup dalam serba kekurangan tanpa sebarang kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

Menurut Hazman, dia sering berulang alik ke Kampung Lebak Seberang untuk mendapatkan bekalan air bersih sebagai bekalan minuman, memasak dan mandi.

“Walaupun kami tinggal di sini, tapi saya mesti dapatkan air bersih demi kesihatan keluarga. Dalam keadaan begini, saya harus memastikan anak-anak sihat.

“Begitu juga dengan pendidikan anak-anak. Saya tetap menghantar anak sulung saya ke sekolah supaya tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Ada masanya, Hazman terpaksa meninggalkan dua anaknya yang masih tidur bersendirian di pondok itu kerana menghantar anak sulungnya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu.

Sebaliknya, jika mereka sudah bangun seawal jam 6 pagi, dia terpaksa membawa kesemua anaknya ke sekolah dengan hanya menunggang motosikal.

“Setakat ini, pendapatan saya lebih kurang RM400 hingga RM500 sebulan kalau menoreh semua 110 batang pokok getah di kebun ibu ini.

“Dengan duit itulah saya menyara anak-anak supaya mereka dapat pendidikan secukupnya. Saya harap kehidupan kami bertambah baik pada masa akan datang,” katanya.

Bantu cari penyelesaian

Sementara itu, Norol Azali menasihatkan Hazman berbincang dengan ahli keluarga yang lain supaya masalahnya boleh diselesaikan dengan cara baik.

“Persekitaran dan keadaan sekarang tidak sesuai dengan anak-anak Hazman lebih-lebih lagi mengenai keselamatan mereka.

“Kita akan cuba bantu keluarga ini menerusi agensi berkaitan kerana apa yang penting anak-anak ini mendapat kehidupan lebih baik,” katanya.