Search This Blog

Monday, January 7, 2013

Tebusan RM30 juta, wanita dikurung 12 hari



ROSDALILAH ZAHARI
7 Januari 2013
Tebusan RM30 juta, wanita dikurung 12 hari
Lokasi dua penculik ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak malam tadi.
IPOH - Dua penjenayah yang dipercayai menculik seorang ahli perniagaan di Taiping, dekat sini, ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di sebuah rumah berhampiran bekas tapak penjualan susu getah Kilometer 76 Jalan Sitiawan-Taiping, Trong, semalam.
Kedua-dua penjenayah tersebut berusia 42 dan 35 tahun masing-masing berasal dari Puchong, Selangor dan Kangar, Perlis.
Dalam kejadian yang berlaku pada 26 Disember tahun lalu seorang wanita berusia 52 tahun diculik sekumpulan empat lelaki di hadapan rumahnya di Taiping, dekat sini.
Sebelum itu, kumpulan penjenayah terbabit cuba menculik anak saudara lelakinya berusia empat tahun namun kehadiran mereka disedari mangsa.
Mangsa yang melihat kejadian itu diculik kumpulan tersebut dan dikurung selama 12 hari sehingga dia ditemui malam tadi.
Dipercayai suspek meminta wang tebusan sebanyak RM30 juta serta berlaku tawar-menawar antara keluarga mangsa dan suspek.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kira-kira jam 9.45 malam, Pasukan Khas Polis yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim menyerbu ke lokasi mangsa dikurung untuk menyelamatkannya.
Menurutnya, pasukan terbabit bertindak atas maklumat siasatan dan ketika cuba menyelamatkan mangsa berlaku adegan berbalas tembakan antara polis dan penjenayah.

Nenek, cucu didakwa miliki heroin




7 Januari 2013
MELAKA - Seorang nenek dan cucunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki lebih dua gram heroin.

Norma Hamid, 71, dan cucunya Shaharudin Mohd Zin, 29, didakwa memiliki dadah tersebut dengan berat kasar 2.3 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Sungai Udang dekat sini pada 12.30 tengah hari, 3 Jan lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Shaharudin juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memiliki 0.3 gram heroin pada tarikh, masa dan lokasi sama mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952  dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.
Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut. Majistret Ida Rahayu Sharif membenarkan Norma diikat jamin RM1,000 manakala Shaharudin diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Feb untuk sebutan semula kes itu.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Muhamad Juhari Haron.- Bernama

Rompak, samun guna senjata api tiruan



AHMAD ISMADI ISMAIL
7 Januari 2013
Rompak, samun guna senjata api tiruan
Mohan Singh menunjukkan sepucuk pistol tiruan yang dipercayai digunakan oleh sekumpulan penjenayah dalam kes samun.
Rompak, samun guna senjata api tiruan
MOHD BAKRI
JANGAN melawan! Cepat bagi semua barang berharga! Nampak ni!” Itu antara perkataan yang sering digunakan penjenayah sambil mengacukan senjata api mahupun senjata yang menyerupai senjata api tulen kepada mangsa.

Kegiatan jenayah boleh berlaku di mana sahaja dan berlaku tanpa kita sedar. Ia juga berlaku di luar jangkaan pemikiran kita.

Senjata api tiruan berbentuk senapang atau pistol disalah guna penjenayah untuk menakut-nakutkan mangsa atau melakukan jenayah seperti peras ugut.

Hampir 90 peratus senjata tiruan yang dijual di pasaran menyamai senjata tulen, bentuk luaran, saiz, kelongsong dan kelopak peluru dan warnanya menyamai warna asal senjata tulen.

Senjata berkenaan juga boleh diubah suai untuk menggunakan peluru seperti bebola besi atau guli yang mampu mencederakan atau meragut nyawa.

Dalam kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, individu yang memiliki senjata tiruan, buatan sendiri mahupun permainan yang menyamai senjata tulen boleh ditahan dan disiasat sekiranya disyaki membabitkan isu keselamatan.

“Kalau seseorang itu menyimpan apa saja bentuk senjata api (tiruan, buatan sendiri dan permainan), sekiranya ia menyerupai dan berfungsi seperti senjata tulen, ia satu kesalahan,” katanya.

Hukuman

1 Memiliki senjata yang menyerupai senjata tulen boleh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

2 Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan boleh dikenakan hukuman sehingga satu tahun penjara atau denda sehingga RM5,000 atau kedua- duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

3 Seksyen 6, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, seseorang yang didapati bersalah kerana menunjukkan senjata api tiruan dalam melakukan suatu kesalahan berjadual boleh dipenjarakan hingga 10 tahun dan tidak kurang tiga sebatan.


Laporan media

2 Oktober 2012

BACHOK – Cubaan sekumpulan penjenayah melarikan diri ketika serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kampung Kemayang gagal apabila semuanya berjaya diberkas polis.

Seorang suspek ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tiruan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah sekitar negeri ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, turut ditemui 100 biji bebola besi (ball bearing yang digunakan sebagai peluru pistol).

“Kami percaya sebahagian kes jenayah yang melibatkan penggunaan senjata adalah pistol tiruan seperti ini untuk menakutkan mangsa kerana rupa bentuknya seperti pistol sebenar,” katanya.

29 Disember 2011

KEPALA BATAS - Sepasang kekasih ditahan polis dalam sekatan jalan raya selepas Plaza Tol Sungai Dua arah utara, di sini. Pasangan berusia 20-an itu ditahan selepas disyaki memiliki sepucuk pistol tiruan yang ditemui ketika pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki mereka kira-kira jam 3.45 pagi. Sekotak bebola besi yang digunakan sebagai peluru pistol juga ditemui.

Lebih mencurigakan apabila turut ditemui dalam kereta jenis Proton Saga terbabit adalah gari yang juga dipercayai digunakan untuk memeras ugut serta menyamar anggota keselamatan.


19 Januari 2008

RANTAU PANJANG
 - Polis menahan empat lelaki yang disyaki menyamun seorang pengusaha kantin di Bachok dengan menggunakan pistol tiruan.

Keempat-empat lelaki yang berumur antara 25 dan 51 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan, di sini. Ketika kejadian, sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol tiruan yang menyerupai jenis Baretta serta pisau itu, mengikat mangsa sebelum mengambil kad ATM dan mengeluarkan RM1,000 di salah sebuah bank di sini.
 


Tip

-Antara tip untuk mengelak dirompak di tempat awam

-Berwaspada apabila ada orang yang tidak dikenali mengekori anda.

-Elakkan dari menaiki lif dengan orang yang mencurigakan. Lebih baik mengajak seseorang untuk menemani anda pulang ke rumah.

-Apabila anda dalam lif, sentiasa berdiri berdekatan dengan panel kawalan lif. Ini membolehkan anda mengawal lif jika berlaku perkara yang tidak diingini.

-Elakkan dari memakai barang kemas atau membawa wang tunai yang banyak.

-Rancang perjalanan anda dan elakkan dari melalui tempat gelap atau sunyi.


Apa perlu mangsa lakukan apabila dirompak

-Mangsa perlu bertenang. Jangan bertindak jika perompak berkenaan mempunyai senjata.

-Perhatikan gerak-geri perompak seperti perwatakan, air muka, pakaian, tingkah laku, pergerakan dan keterangan fizikal yang lain. Ia boleh membantu polis untuk mengesan perompak berkenaan.

-Perhatikan juga ke mana arah perompak itu melarikan diri. Jika ia menggunakan kenderaan, rekodkan nombor pendaftaran, warna dan jenis kereta.

-Hubungi balai polis berhampiran dengan segera.

MCA terima 11 kes pinjaman Ah Long dalam tempoh 7 hari




7 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Biro Pengaduan Awam MCA menerima 11 aduan berkaitan peminjam wang tidak berlesen atau Ah Long melibatkan jumlah pinjaman RM500,000 hanya dalam tempoh tujuh hari, tahun ini.
  
Ketua bironya Datuk Michael Chong berkata, semua aduan telah dikemukakan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dan ia dilaporkan bukan sahaja daripada kaum Cina, malah daripada kaum lain.
  
"Mangsa-mangsa Ah Long yang diugut boleh tampil ke Balai Polis berhampiran untuk membuat aduan dan kami di Biro Pengaduan MCA sedia menerima aduan daripada mangsa tanpa mengira kaum," katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.
  
Menurut Chong mangsa lazimnya membuat laporan hanya selepas diugut, anak diculik atau rumah disimbah cat setelah hutang yang ditanggung meningkat berkali ganda.
  
"Ada mangsa yang hanya meminjam RM5,000, namun terpaksa membayar sehingga RM37,500," katanya.
 
Pada sidang media itu, seorang ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Siti, 32, berkata beliau dan tiga anak perempuannya kini hidup dalam ketakutan sejak empat tahun lalu, ekoran terpaksa menanggung beban hutang Ah Long sebanyak RM60,000.
  
Katanya, bekas suaminya seorang anggota tentera telah berhutang RM15,000 dengan Ah Long menggunakan kad pengenalannya dan beliau kini yang terpaksa membayar hutang itu meskipun telah berpisah dengan suaminya, sejak Oktober 2010.
  
"Bekas suami saya tidak pernah peduli untuk membayar balik hutang itu menyebabkan anak bongsu kami yang berumur lima tahun diculik Disember lalu," katanya.
  
Menurut Siti beliau perlu membayar RM4,000 untuk mendapat balik anaknya itu daripada Ah Long dengan meminjam daripada rakan-rakan.
  
Siti yang bekerja sebagai penjual kuih di Tanjung Karang berkata beliau diugut untuk membayar RM200 sehari kepada Ah Long, menyebabkan beliau sering berpindah-randah.
  
"Anak sulung saya akan menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) tahun ini dan dia tidak dapat memberi perhatian dalam pelajarannya disebabkan angkara bekas suami," katanya sambil menambah beliau telah banyak kali membuat laporan polis mengenai kesnya itu.
  
Sementara itu, Chong berkata pihaknya menerima sebanyak 588 kes serupa pada tahun 2012 dan hanya 60 peratus dapat diselesaikan melalui penjualan harta milik mangsa seperti rumah, tanah dan kereta kepada Ah Long.  - Bernama

Susulan tahanan lolos: 2 berjaya ditahan semula, 7 diburu




7 Januari 2013
tahanan lolos
Van polis dibawa lari oleh banduan dijumpai ditinggalkan di kawasan semak di Padang Cempedak, iaitu kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian, hari ini. - Foto Bernama
BUTTERWORTH - Dua daripada sembilan tahanan, yang meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul empat anggota polis pengiring ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di sini pagi tadi, berjaya ditangkap semula.
Sementara tujuh lagi dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapas sawit selepas berjaya membuka gari menggunakan kunci yang ada di dalam van berkenaan.

"Tujuh yang melarikan diri ini berusia antara 20 dan 30 tahun  serta sangat berbahaya dan agresif," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi dipetik Bernama petang ini.

Dalam kejadian pukul 9 pagi di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth itu, empat anggota polis terbabit turut ditolak keluar daripada van di tepi lebuh raya berkenaan.

Van itu dijumpai ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor dekat sini, kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian iaitu di Tol Bagan Ajam berhampiran Pantai Bersih, katanya kepada pemberita selepas melawat anggota polis yang cedera terbabit di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini.

Mengulas rentetan kejadian, Abdul Rahim berkata, tahanan terbabit dibawa ke mahkamah bagi prosiding sebutan semula kes dan mendapat perintah tahanan reman.

"Ketika tiba di Tol Bagan Ajam iaitu berhampiran Pantai Bersih, seorang OKT (tahanan) yang dibawa itu berpura-pura bergaduh antara satu sama lain lalu menyebabkan anggota polis yang memandu van berkenaan memberhentikan kenderaan di tepi jalan.

"Semasa van itu berhenti, salah seorang daripada suspek itu bertindak membaling serbuk cili kepada anggota polis pengiring sehingga menyebabkan mata mereka pedih.

"Dalam masa yang sama mereka (sembilan OKT) bertindak memukul empat anggota polis pengiring terbabit dengan gari dan tangan mereka," katanya.

Abdul Rahim berkata, empat anggota polis yang mengalami kecederaan di mata, kepala dan kaki itu dirawat sebagai pesakit luar di HSJ.

"Empat anggota polis berusia 30-an itu dari Balai Butterworth, di sini mendakwa dihentak dan dipukul dengan gari dan kejadian itu berlaku dengan pantas," katanya.

Kes itu disiasat menurut Seksyen 223/224 kerana cuai dan 394 Kanun Keseksaan.

"Selain itu kita juga akan menyiasat empat anggota polis yang mengiringi mereka kerana mungkin kelalaian pihak polis kerana tidak membuat pemerikaan secara terperinci ketika mengambil OKT daripada penjara," katanya.

Polis tumpas Geng Chia terbabit kes pecah rumah dan curi kenderaan




7 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan Geng Chia selepas menangkap empat lelaki dan merampas sepucuk revolver 138 bersama dua butir peluru di sebuah kedai makan di Kepong di sini pada 11.30 malam, Jumaat lepas.
  
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata kesemua suspek, berusia antara 30 dan 40 tahun, dipercayai anggota Geng Chia yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Sentul.
  
Katanya polis turut merampas tiga buah kereta iaitu Honda CRV, Perodua Myvi dan BMW 3 Series, bernilai RM400,000.
  
"Geng Chia bergerak aktif sejak enam bulan lepas selepas salah seorang daripada ahli mereka tamat perintah sekatan di bawah Ordinan Darurat pada pertengahan tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Zakaria berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek juga disyaki terlibat dalam kes samun di sekitar kawasan Bukit Sentosa, Serdang, Sungai Besi dan Kampung Baru, Subang.
  
Katanya kesemua suspek ditahan reman selama seminggu bermula Jumaat lepas. - Bernama

Tuduhan mengamuk: Muhdalena pohon untuk runding akuan bersalah




7 Januari 2013
Muhdalena
Muhdalena
PUTRAJAYA - Wanita yang didakwa mengamuk bersama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di hadapan Pejabat Perdana Menteri pada Julai tahun lepas akan memohon kepada pendakwa raya untuk runding akuan bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
  
Peguam M. Visvanathan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau akan menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara seperti yang diarah oleh anak guamnya Muhdalena Ahmad.
  
"Kami sedang menimbang kemungkinan bagi runding akuan bersalah antara pihak pembelaan dan pendakwaan dan kami akan maklumkan kepada mahkamah keputusannya esok," kata Visvanathan.
  
Terdahulu, Visvanathan, yang batuk dengan teruk di dalam mahkamah, memohon agar perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari mulai hari ini, ditangguhkan sehingga esok memandangkan beliau berasa tidak sihat.
  
Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh tidak membantah bagi kes itu ditangguhkan.

Kalmizah bagaimanapun meminta Visvanathan mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan jawapan segera.
  
Hakim Mohamed Kamil Nizam membenarkan permohonan itu tetapi meminta Visvanathan supaya memberitahu Kalmizah lebih awal jika beliau tidak dapat hadir di mahkamah esok, supaya saksi tidak perlu datang ke mahkamah.
  
Terdahulu, Kalmizah memberitahu mahkamah bahawa 22 daripada 39 saksi pendakwaan hadir di mahkamah hari ini.
  
Muhdalena, 28, dari Kota Damansara, didakwa pada 16 Julai tahun lepas di dalam wad di Hospital Putrajaya kerana menjalani rawatan selepas ditembak di paha kanan.
  
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis bantuan Ridzuan Megat Ahmad di perkarangan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri di sini pada 2.30 petang 9 Julai tahun lepas.
  
Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, turut didakwa membawa sebilah pedang di tempat dan masa yang sama. Tuduhan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
  
Dia turut berdepan dua tuduhan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
  
Bagi tuduhan pertama, Muhdalena didakwa mengingkari arahan Lans Koperal Ridzuan supaya meletakkan senjatanya di tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan dan bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengingkari perintah oleh seorang menteri dengan berada di premis itu tanpa kad atau permit masuk yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa.
  
Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, bagi setiap tuduhan.
  
Muhdalena kini dalam jaminan RM11,500 dengan seorang penjamin, sementara menunggu perbicaraan.
  
Laporan perubatan dari Hospital Bahagia, Ulu Kinta menunjukkan bahawa Muhdalena berada dalam keadaan tidak siuman semasa kejadian itu dan tidak tahu akibat daripada perbuatannnya.
  
Laporan yang disediakan oleh perunding forensik psikiatri Dr Rabaiah Mohd Salleh, bagaimanapun menyebut bahawa keadaan mental Muhdalena kini stabil dan dia cukup sihat untuk membela diri dan dibicarakan di mahkamah - Bernama

Lapan GRO dicekup ketika leka layan pelanggan



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Januari 2013
Lapan GRO dicekup ketika leka layan pelanggan
GRO yang ditahan dalam operasi di sebuah pub di Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA - Mahu kaut untung lebih jadi punca sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya dikesan menggunakan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) untuk menarik pelanggan.

Namun kegiatan tidak bermoral itu ditumpaskan Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang melakukan serbuan di premis terbabit semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner, Arjunaidi Mohamed berkata, hasil  risikan selama seminggu itu  berjaya menahan lapan  GRO   Kemboja, Flipina dan Vietnam.

“Ketika serbuan dilakukan kebanyakan pengunjung leka dilayan GRO terbabit dan siasatan mendapati ke semua wanita itu dihantar oleh ejen,” katanya.

Katanya, bayaran tips dikenakan bergantung kepada jumlah minuman keras yang dibeli.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah  Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1963 iaitu  kesalahan mengambil atau menggaji warga asing  yang tidak memiliki pas yang sah.

Insiden tembakan Colorado berulang




7 Januari 2013
tembak - Colorado
Wanita ini sempat melarikan diri dan menghidupkan alat penggera dalam keadaan ketakutan.
LOS ANGELES - Seramai tiga orang terbunuh dalam satu kejadian tembakan dilakukan seorang lelaki bersenjata di sebuah kediaman di Aurora, Colorado, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, suspek yang ditembak mati pihak berkuasa terlebih dahulu menjadikan tiga mayat melibatkan dua lelaki dan seorang wanita sebagai pelindung diri sewaktu pasukan polis tiba.

"Polis memberi pelbagai arahan agar suspek menyerah diri tetapi dia tidak mematuhinya. Suspek berkelakuan tidak waras sepanjang insiden itu," katanya.

Suspek yang menyedari kehadiran pasukan SWAT tiba di pekarangan lokasi bertindak melepaskan beberapa das tembakan tetapi tidak menyebabkan kecederaan.

Selang sejam kemudian, suspek muncul pada tingkap kedua kediaman itu dan melepaskan tembakan ke arah polis sekali gus mencetuskan tembakan balas pihak berkuasa yang menyebabkan suspek maut.

Pada pertengahan Julai tahun lalu, daerah Aurora dikejutkan dengan insiden serangan tembakan yang meragut lebih 10 nyawa dan mencederakan lebih 100 penonton yang menyaksikan penayangan filem terbaru Batman, The Dark Knight Rises. - Al-Jazeera

Penumpang pesawat diikat




7 Januari 2013
NEW YORK - Kerana memukul dan melemparkan kata-kata kesat kepada penumpang lain, seorang lelaki terpaksa diikat serta mulutnya ditampal pita pelekat oleh pembantu pesawat sistem penerbangan Icelandair Khamis lalu.

Insiden itu mendapat perhatian media selepas gambar lelaki tersebut yang menunjukkan seolah-olah dia teraniaya tersebar di internet.

Jurucakap Icelandair, Gudjon Arngrimsson berkata, mereka mengambil tindakan itu selepas mendapati tingkah lakunya mengancam penumpang lain.- AP

Pemuda maut motosikal dirempuh kereta


NOR AZIHAN MD GHAZALI
7 Januari 2013
Pemuda maut motosikal dirempuh kereta
Mohd Nazrin (dua, kiri) tidak mampu menahan kesedihan melihat jenazah mangsa di Jambatan Kota, pagi semalam.
KLANG SELATAN – “Arwah berkeras mahu menghantar adik saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)  menaiki motosikalnya  walaupun adik menolak beberapa kali, namun  desakan arwah membuatkan adik dan kami semua akur,” demikian cerita Nasrullah, 25, berkenaan perangai pelik bapa saudaranya, Muhammad Sufyan Ahnaf Ahmad Jais, 26, beberapa jam sebelum dia meninggal dunia akibat kemalangan di selekoh berhadapan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Jambatan Kota, di sini semalam.

Sebelum itu, Nasrullah berkata, sekitar jam 3 pagi, adiknya, Mohd Nazrin terjatuh motosikal di kawasan Shah Alam itu mengalami kecederaan di bahagian lutut.

“Saya, arwah dan rakan lain  di situ cuba merawat adik bagaimanapun  arwah  menawarkan  diri  untuk menghantar adik ke hospital menaiki motosikalnya.

“Awalnya adik enggan bagaimanapun akhirnya adik akur lalu membonceng motosikal arwah pada masa sama kami turut mengiringi mereka ke hospital,” katanya.

Sementara menunggu adiknya mendapatkan rawatan menurutnya, arwah kelihatan muram bagaimanapun dia sempat berseloroh bersama rakan lain.

“Ketika minum di kantin HTAR arwah mendiamkan diri bagaimanapun kami tidak menyedari itu petanda dia bakal meninggalkan kami semua.

“Selesai rawatan, kami pulang dan arwah menunggang motosikal seorang diri sementara adik menaiki kereta bersama saya sambil memandu secara beriringan dengan lima rakan lain,” katanya yang ingin pulang ke Batu 4, Jalan Kapar.

Nasrullah berkata, sebaik tiba di  lokasi kejadian, dia nampak sebuah kereta Proton Saga BLM yang berada di laluan kanan secara tiba-tiba memasuki laluan kedua ketika melalui selekoh agak tajam lalu merempuh bahagian belakang motosikal arwah.

“Saya nampak arwah hilang kawalan lalu motosikalnya merempuh penghadang batu sebelum merempuh tiang lampu.

“Dari jauh saya nampak dia tercampak ke jalan raya bersama motosikalnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa yang juga seorang mekanik beralamat di Sungai Kapar Indah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika dia bersama rakannya menghala ke Pusat Bandar Klang.

Sementara itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Juruteknik maut motosikal langgar pembahagi jalan


WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Januari 2013
Juruteknik maut motosikal langgar pembahagi jalan
Anggota polis membuat pemeriksaan di lokasi nahas.
GEORGETOWN - Hasrat seorang abang yang mahu mengajak adiknya menghadiri majlis memperingati kematian bapa saudara di sebuah kuil tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi, mangsa, M Mohgan, 48, dari Lintang Minden 2, Gelugor dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

Adik mangsa, M Ravi, 40, berkata, abang kedua daripada lima beradik itu yang bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Bayan Lepas dikatakan keluar sebentar ke pusat bandar tetapi tidak tahu tujuannya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kemalangan yang menimpa mangsa selepas menerima panggilan daripada abang sulung dari Kuala Lumpur memaklumkan kejadian.

“Saya terkejut selepas abang sulung memaklumkan Mohgan terlibat dalam kemalangan dan sebaik menerima berita, saya terus bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik sampai, keadaan abang berlumuran darah dan  tidak bergerak lagi sedangkan pagi semalam dia menghubungi dan mengingatkan saya supaya tidak lupa mengambilnya untuk ke kuil sempena majlis memperingati kematian bapa saudara.

“Mendiang seorang yang pendiam namun pemergiannya cukup menyedihkan kerana dia meninggalkan seorang balu dan dua anak masih bersekolah berusia 10 dan 15 tahun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng  mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Polis juga ingin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP).

Tahan sakit selama 20 minit



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Januari 2013
Tahan sakit selama 20 minit
Mangsa dirawat dan ditenangkan anggota JPAM serta orang awam.
ALOR GAJAH - Dua sahabat terpaksa bertahan selama lebih 20 minit selepas terperangkap dalam kemalangan di Kilometer 217 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Lee Yong Ling, 33, bersama rakan, Loh Yim Keong, 34, dari Kuala Lumpur ke Melaka hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan hingga kenderaan merempuh pengadang besi, tembok curam dan papan tanda.

Menurut sumber, ketika kejadian kereta dinaiki mangsa berada di laluan kedua dan masuk ke laluan kiri namun muncul sebuah kereta memasuki laluan di hadapan kereta mangsa sebelum terbabas.

"Mangsa gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh pengadang besi lebuh raya dan papan tanda.

"Kedua-dua mangsa terpaksa bertahan selama lebih 20 minit tanpa dibantu sesiapa berikutan keadaan sekeliling yang terlalu gelap tidak disedari pengguna lebuh raya lain," katanya, di sini semalam.

Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Saiful Nazmi Said berkata, JPAM menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira 3.35 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa sudah pun terbaring di tebing jalan.

"Penumpang yang mengalami pendarahan pada telinga dan hidung diberikan rawatan di tempat kejadian manakala pemandu patah tangan dan bahu kanan serta cedera di lutut sebelah kiri dipercayai berlaku hentakan kuat ketika merempuh papan tanda.

“Kedua-dua mangsa ditenangkan oleh anggota JPAM dan orang awam yang berhenti ketika dirawat sebelum mereka dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi semalam.

Bengang digelar 'lembu', belasah rakan hingga cedera



RUBIAH OMAR
7 Januari 2013
 Zamri Shamsuddin
Zamri Shamsuddin
KUALA TERENGGANU - Bengang digelar ‘lembu’, seorang pekerja di sebuah syarikat pembuatan tongkang naik angin apabila nekad membelasah rakannya sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka, dalam satu kejadian di sebuah jeti di sini, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, suspek, berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Bukit Datu, Bukit Tunggal, di sini, ditangkap di pejabatnya, lebih kurang jam 11 pagi, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa, 20-an, yang bekerja di bidang sama tetapi berlainan syarikat telah menggelarkan suspek ‘lembu’ selepas tidak berpuas hati berhubung urus niaga penghantaran barang.

“Dalam pertelagahan itu, mangsa telah mengeluarkan kata-kata suspek bekerja seperti ‘lembu’ sebelum suspek naik angin lalu menumbuk muka mangsa menggunakan tangannya.

“Ekoran kejadian itu, mangsa cedera di bahagian dahi dan membuat laporan polis beberapa jam selepas kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan menerima laporan dan tangkapan suspek.

Katanya, suspek kini direman sehingga 9 Januari depan untuk disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

3 sahabat rompak bersenjata



ROSMIZA KASIM
7 Januari 2013
3 sahabat rompak bersenjata
Ketiga-tiga tertuduh tenang ketika dibawa ke mahkamah semalam.
KOTA BHARU -Tiga sahabat berdepan hukuman penjara sehingga  20 tahun dan sebatan kerana merompak sebuah motosikal milik seorang pekerja kampung menggunakan pisau di Kuala Krai, Disember tahun lalu.

Wan Mohamad Ikhwan Wan Omar, 24, Mohamad Azizi Ab.Rashid, 24 dan Norhafizi Nordin, 21, membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun Hakim Azman Mustapa menetapkan 13 Januari ini untuk sebutan semula kes sebelum hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas merompak motosikal Honda EX5 milik Mohd Elias Mat Isa, 24, jam 11.30 malam di tepi jalan sebuah sekolah di Kuala Krai.

Semasa melakukan rompakan pada 4 Disember lalu tertuduh bersenjatakan pisau, oleh itu kesemuanya didakwa mengikut Seksyen 395/377 Kanun Keseksaan. Kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norhamizah Ghazali  dan jaminan tidak ditawarkan terhadap tertuduh.

Suami isteri nyaris maut



MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
7 Januari 2013
Suami isteri nyaris maut
Keadaan dua kereta yang bertembung remuk teruk dan nyaris meragut nyawa pasangan suami isteri.
KUALA ROMPIN – Seorang cedera parah manakala dua lagi cedera ringan dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Johor Bharu berdekatan Janglau di sini, jam 7.30 malam Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki terlanggar bahagian tepi kiri lori yang berada di hadapannya.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan Proton Wira yang dalam perjalanan dari Tanjung Gemok ke Rompin berpusing beberapa kali sebelum masuk ke lorong bertentangan.

“Pemandu Proton Wira gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian tepi kanan sebuah Toyota Corolla SEG dari arah bertentangan," katanya.

Johari berkata, penumpang Toyota Corolla SEG, Zarina Omar, 41, cedera di bahagian kepala selain luka di dahi dan pipi manakala suami, Zulikifli Mat Yusof, 46, dan seorang anaknya cedera ringan.

“Mangsa dirawat di Klinik Kesihatan Rompin sebelum dipindahkan ke Hospital Muadzam Shah," katanya.

Kata Johari, dua lagi penumpang Toyota Corolla dan pemandu Proton Wira yang bekerja sebagai penjaga bot di Jeti Tanjung Gemok, Pun Tiang Sang, 51, tidak mengalami kecederaan.

Panik bas dinaiki terbakar



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
7 Januari 2013
Panik bas dinaiki terbakar
Keadaan bas dua tingkat yang dinaiki 20 penumpang hangus terbakar ketika dalam perjalanan menuju ke Hatyai, Thailand
KUALA KANGSAR – Situasi panik menyelubungi 20 penumpang bas persiaran apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar di Kilometer (KM) 231.4 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Bukit Berapit, di sini, semalam.

Kejadian berlaku sewaktu bas yang dinaiki penumpang terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke Hatyai, Thailand.

Insiden berkenaan berlaku pada kira-kira jam 1.20 petang dan disedari pemandu bas selepas melihat asap tebal di bahagian belakang kenderaan dan telah mengarahkan semua penumpang turun menyelamatkan diri.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Shamsudin Abd Karim berkata, kebakaran itu menyebabkan bas persiaran dua tingkat milik Syarikat Konsortium Bas Ekspres Sdn Bhd itu musnah keseluruhannya.

“Mereka memulakan perjalanan dari Johor malam. Pemandu itu menyedari kebakaran itu setelah melihat asap tebal keluar dari bahagian belakang bas yang menempatkan enjin.

“Menyedari keadaan itu, pemandu terbabit segera memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan mengarahkan kesemua penumpang turun,” katanya.

Menurutnya, dua jentera dan 13 anggota termasuk pegawai dari Kuala Kangsar dan Taiping dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran dalam tempoh 15 minit.

“Bas tersebut terbakar 70 peratus dan kita masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian belum dianggarkan,” katanya.

Tayar letup, pengurus ladang maut kemalangan



7 Januari 2013
KUANTAN -  Akibat tayar belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya meletup, seorang pengurus ladang maut manakala dua anaknya parah selepas terlibat dalam nahas jalan raya dekat Maran semalam.

Abdul Basid Mohamed Yunus, 44, dari Permatang Badak di sini mati semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh jam 10.30 malam tadi akibat nahas yang berlaku di KM189 Lebuhraya Pantai Timur, petang semalam.

Dua anak mangsa yang cedera parah, Nurul Ain Shahirah, 11, dan adiknya, Muhammad Annuar Farhan, 8, kini dirawat di hospital yang sama.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian 3.20 petang itu mangsa dan enam anaknya dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Maran.

"Di tempat kejadian, dipercayai tayar belakang sebelah kanan kenderaan itu tiba-tiba meletup menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang di tengah jalan sebelum terbalik," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Basid yang mengalami kecederaan parah di kepala kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia tujuh jam kemudian.

"Dua anak mangsa yang cedera parah itu masih dirawat di hospital yang sama manakala empat anggota keluarga yang lain tidak cedera," katanya. - Bernama

Kempunan makan tengah hari


WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Januari 2013
Kempunan makan tengah hari
Ahli keluarga mangsa datang ke tempat kejadian sejurus mengetahui insiden yang menimpa mangsa.
MUAR - Hasrat seorang juru wayar pulang menikmati makan tengah hari bersama keluarga di rumah, tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kim Kee, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 petang itu melibatkan motosikal ditunggang mangsa, Nazli Alfaisan Othman, 22, dengan sebuah kereta jenis Chevrolet.

Mangsa dari Jalan Kim Kee meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kedua-dua kenderaan itu dipercayai dari arah sama iaitu Sungai Abong menghala ke Jalan Kim Kee.

Pemandu kereta terbabit berusia 55 tahun mendakwa, cuba mengelak anjing yang melintas jalan menyebabkan kenderaan yang dipandunya memasuki laluan kanan jalan sebelum dirempuh motosikal mangsa yang berada di belakang kereta.

Difahamkan, pemandu kereta yang pada mulanya melarikan diri telah membuat laporan di balai polis berhampiran beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mayat pemuda hanyut ketika seberangi sungai ditemui



7 Januari 2013
DUNGUN - Seorang lelaki yang dihanyut arus deras ketika menyeberangi sungai bersama abangnya di Kampung Kuala Jengal, di sini kelmarin, ditemui lemas hari ini.

Mayat Che Ku Amiruddin Che Ku Abu Bakar, 22 ditemui terapung kira-kira pukul 9.30 pagi tadi tidak jauh dari tempat mangsa dilapor hilang.

Mayat mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat yang disertai pasukan polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung yang menyambung operasi mencari kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Che Ku Amiruddin dilapor hilang ketika berenang menyeberangi sungai itu bersama abangnya Che Ku Amar, 30, kira-kira pukul 6.30 petang Sabtu lepas.

Kedua-dua beradik itu dikatakan berbuat demikian untuk meninjau jentera pengorek tanah milik ayah mereka yang ditinggalkan di seberang sungai.

Abangnya yang sempat berpaut pada pokok buluh hanyut diselamatkan seorang pemancing menaiki sebuah bot yang kebetulan lalu di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan penemuan mayat mangsa. - Bernama

9 tahanan larikan diri guna kenderaan polis


OTHMAN YAHYA
7 Januari 2013
BUTTERWORTH - Seramai sembilan tahanan polis melarikan diri ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini kira-kira jam 9.30 pagi tadi, dengan menggunakan van polis.
Difahamkan dua anggota polis pengiring turut "dilarikan" manakala dua anggota polis lagi ditinggalkan di lokasi selepas dipukul.
Kejadian berlaku di susur keluar Jalan Pantai Bersih semasa kesemua tahanan terbabit yang dalam tahanan reman dibawa dari Penjara Pulau Pinang untuk  prosiding mahkamah.
Gerakan memburu tahanan terbabit dilancarkan di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

2 pemuda berdepan tali gantung



Mohamad Azlan Mohamad (kanan) dan Wan Mohd. Firdauf W. Mustapai dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 6 Jan. - Dua pemuda berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah.
Mohamad Azlan Mohamad, 23, dan Wan Mohd. Firdauf W. Mustapai, 25, dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 200 gram di tepi sebuah kedai berhadapan dengan sebuah stesen minyak di Wakaf Che Yeh di sini pada 10.30 malam 23 Disember lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Hafiz Mohd. Noor.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130107/je_05/2-pemuda-berdepan-tali-gantung#ixzz2HGoxWtjS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Spa kesihatan diserbu



Anggota polis memeriksa sebahagian daripada wanita termasuk warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran di sebuah pusat rawatan kecantikan di Kajang, Selangor, malam kelmarin.
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Sebuah pusat rawatan kecantikan yang beroperasi di sebuah hotel dikesan turut menyediakan khidmat seks kepada pelanggan selepas diserbu sepasukan polis di sekitar daerah Kajang malam tadi.
Kegiatan itu terbongkar hasil penyamaran dua anggota polis sehingga membolehkan sebanyak 31 wanita berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan kerana terlibat dalam pelacuran.
Menurut jurucakap polis, serbuan diketuai Inspektor Emmi Shah Fadhil dari Unit Risikan dan Operasi Perancang Pencegahan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mendapati 16 daripada wanita yang ditahan merupakan warga tempatan.
"Mereka yang ditahan selebihnya terdiri daripada 11 warga Vietnam, masing-masing dua wanita China dan Indonesia serta seorang warga Rusia. Kesemua mereka didapati menyalah guna pas lawatan sosial untuk bekerja di premis itu.
"Ketika serbuan, ada pelanggan sedang diurut dan sedang melakukan hubungan seks. Seramai lima pelanggan dan dua penjaga premis ditahan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Menurut jurucakap itu, polis turut merampas buku log yang menyenaraikan nama pelanggan dan pelacur yang ditempah bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan awal turut mendapati, premis yang beroperasi 24 jam itu dilengkapi dengan kemudahan lebih 20 bilik kecil.
Difahamkan, bayaran sebanyak RM218 dikenakan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks. Bagaimanapun, pelacur terbabit hanya menerima upah RM25 bagi setiap perkhidmatan mereka.
Dalam pada itu, salah seorang pekerja seks yang ditahan mendakwa dia memperoleh gaji sehingga RM3,000 sebulan hasil pendapatan di premis tersebut.
"Saya ibu tunggal, selepas hantar anak ke sekolah, saya terus masuk kerja dan sudah empat tahun kerja di sini namun selepas pelacur warga asing masuk, pendapatan saya terjejas," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130106/wk_01/Spa-kesihatan-diserbu#ixzz2HGoletbM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Beli arak guna wang sedekah



Golongan gelandangan yang dicekup polis dalam satu operasi di sekitar Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/ ILAH HAFIZ AZIZ
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Biarpun tidak mempunyai tempat tinggal dan sumber pendapatan tetap, golongan gelandangan di ibu kota dikesan sanggup menghabiskan wang hasil kutipan meminta sedekah semata-mata untuk membeli minuman keras.
Malah siasatan pihak berkuasa mendapati, golongan itu mampu memperoleh RM40 sehari hasil kutipan sedekah namun wang itu tidak digunakan untuk membeli makanan, sebaliknya arak.
Berikutan aduan orang ramai dan langkah pencegahan, sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi membuat serbuan di beberapa lokasi di ibu negara seperti Jalan Tun H.S Lee dan Jalan Chow Kit, awal pagi ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130107/je_02/Beli-arak-guna-wang-sedekah#ixzz2HGoYEF2l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

168 bilik sarang pelacuran dirobohkan



KUALA LUMPUR 5 Jan. - Walaupun sudah berulang kali diserbu dan dimusnahkan pihak berkuasa, pengusaha pelacuran di Jalan Petaling di sini dikesan masih berdegil membina struktur-struktur bilik baru bagi menjalankan kegiatan tidak bermoral di kawasan itu.
Berikutan kedegilan itu, satu operasi bersepadu melibatkan 162 anggota dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen hari ini.
Ketua Operasi DBKL, Minhad Ahmad berkata, kesemua tujuh premis yang mempunyai 168 bilik itu dirobohkan dalam operasi bermula pukul 10 pagi ini.
"Kita dapati sebanyak 10 hingga 20 bilik dibina dalam setiap premis yang turut menyediakan tilam, kondom, tisu, majalah lucah dan beberapa barangan lain untuk aktiviti pelacuran.
"Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana ketika serbuan premis itu sudah dikosongkan," katanya.
Tambah Minhad, pihaknya akan mengesan pemilik premis untuk memberikan notis atas kesalahan membina halangan tanpa kebenaran dan tindakan mahkamah akan dikenakan sekiranya didapati bersalah.
Tindakan ini diambil mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana membina halangan dan sekatan dalam bangunan tanpa kebenaran Datuk Bandar Kuala Lumpur.
"Pemantauan terhadap premis-premis yang terlibat akan terus dilaksanakan bagi memastikan sarang maksiat yang dimusnahkan tidak dibina semula," katanya lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130106/wk_02/168-bilik-sarang-pelacuran-dirobohkan#ixzz2HGng5jts
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ahli perniagaan maut ditembak



PETALING JAYA 6 Jan. - Seorang ahli perniagaan maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki di Damansara Kim di sini kelmarin.
Ketika kejadian pukul 12 tengah malam, ahli perniagaan berusia 36 tahun itu bersama teman wanitanya dalam perjalanan ke rumah saudaranya.
Sebaik sahaja tiba di Damansara Kim, kereta jenis BMW yang mereka naiki dihalang oleh sebuah kenderaan lain dinaiki dua lelaki.
Salah seorang suspek kemudian melepaskan tembakan dari jarak dekat dan mengenai rusuk kanan mangsa menyebabkan ahli perniagaan itu cedera parah.
Mangsa dikatakan masih sedar dan sempat memecut ke sebuah hospital pakar kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian untuk mendapatkan rawatan namun meninggal dunia sebaik sahaja tiba akibat pendarahan yang serius.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130107/wk_06/Ahli-perniagaan-maut-ditembak#ixzz2HGmUNc7x
© Utusan Melayu (M) Bhd