Search This Blog

Sunday, January 6, 2013

Mayat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ditemui




6 Januari 2013
BUTTERWORTH - Mayat seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dibawa arus deras ketika terjun ke laut untuk mengambil tali bot yang terlucut berhampiran pelabuhan pukal dekat Perai, di sini semalam, ditemui hari ini.

Mayat Mohd Fahmi Abu Bakar, 20, ditemui pada 2.22 petang oleh Unit Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang di kawasan kuala Sungai Perai, kira-kira dua kilometer dari lokasi remaja itu dilaporkan hilang.

Penyelia Unit Marin Bomba Negeri Mohd Rosnaidi Baharuddin berkata mayat mangsa ditemui terapung di kuala sungai dengan lengkap berpakaian.

"Ketika ditemui mayat mangsa masih lengkap berpakaian tetapi keadaan mukanya sudah sedikit kembung, mungkin sebab sudah lebih 24 jam tenggelam.

"Kita percaya mayat mangsa terdampar di kawasan berlumpur sebelum timbul berdasarkan keadaan badannya yang diselaputi lumpur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Rosnaidi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Akhbar hari ini melaporkan Mohd Fahmi keluar rumah pada 11 malam Jumaat untuk pergi memancing berhampiran Jambatan Pulau Pinang bersama seorang rakannya, Abdul Hakim Abdul Latif, 20-an dengan menaiki bot gentian kaca milik bapa Mohd Fahmi.

Mereka yang menaiki bot dari jeti di Kuala Juru itu tidak dapat meneruskan perjalanan akibat hujan dan berhenti di sebuah menara pemancar berhampiran pelabuhan pukal pada 2 pagi Sabtu sementara menanti cuaca reda.

Ketika mereka sedang menunggu di menara pemancar berkenaan tali bot yang diikat itu terlucut dan mangsa dikatakan terjun ke laut untuk mengambil tali itu sebelum dia dilihat tenggelam timbul dan tidak lagi kelihatan dipercayai dibawa arus deras.

Berikutan kejadian itu Abdul Hakim yang berada di menara itu bertindak menghubungi bomba dengan menggunakan telefon mangsa yang ditinggalkan dan dia berjaya diselamatkan kira-kira empat jam kemudian. - Bernama

Subkontraktor ditahan miliki pil kuda




6 Januari 2013
BESUT - Seorang subkontraktor ditahan kerana memiliki pil kuda (methamphetamine) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Raja di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 7.40 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Besut hasil maklumat awam itu, polis merampas 671 biji pil dipercayai pil kuda.

"Ketika serbuan, lelaki berusia 33 tahun berasal dari Kampung Renek, Jabi itu sedang tidur berseorangan dalam rumah tanpa bernombor," kata Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata kesemua dadah itu ditemui dalam satu bungkusan plastik yang disorokkan dalam mesin parut kelapa di bahagian dapur rumah berkenaan.

Difahamkan lelaki itu adalah subkontrator bagi kerja membersih kawasan di daerah ini, katanya.

Beliau berkata hasil siasatan awal polis percaya dadah yang siap dibungkus dalam kertas tisu itu adalah untuk diedar kepada penagih. - Bernama

Kemalangan maut: Rakan setugas terkulai di bahu



SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
6 Januari 2013
Kemalangan maut: Rakan setugas terkulai di bahu
Isteri arwah, Zuiziah Zauddin tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui. Gambar kecil, Zamri Hashim.
Kemalangan maut: Rakan setugas terkulai di bahu
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melawat Mohd Khairul Azhar di Hospital Slim River, malam kelmarin.
TELUK INTAN –  “Saya hanya dengar jeritan ALLAHUAKBAR sebelum melihat kepala arwah sudah terkulai di bahu saya,” kata salah seorang mangsa kemalangan maut membabitkan empat anggota polis dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, kelmarin.

Insiden yang berlaku di Kilometer 112 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Klant Halt, Behrang kira-kira jam 8.10 malam itu mengorbankan seorang anggota berpangkat Lans Koperal, sementara tiga yang lain cedera.

Zamri Hashim yang memandu kereta jenis Proton Waja maut di tempat kejadian setelah kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

Rakan mangsa, Koperal Khairul Anuar Napi yang duduk di bahagian belakang pemandu parah sementara dua rakan lain, Asisten Superitendan Mahazir Ahmad dan Inspektor Mohd Khairul Azhar Abdul Halim cedera ringan.

Tugas rasmi lawatan TPM
Menceritakan detik itu, Mahazir, 36, berkata, ketika kejadian, mereka menjalankan tugas rasmi sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Parlimen Tanjung Malim, semalam.

Menurutnya, mereka berempat bertolak dari IPD kira-kira jam 6.45 petang dan sepanjang perjalanan ke Tanjung Malim, mereka hanya berbual sebelum arwah menjerit dan memusingkan stereng kereta ke arah kiri jalan untuk mengelak.

“Saya terdengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran itu sebelum sedari kepala arwah terkulai di bahu saya.

“Saya cuba panggil arwah beberapa kali, namun tiada respons sebelum melihat keadaan anggota dan pegawai saya di bahagian belakang kereta,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kuarters Pegawai Kanan Polis IPD Hilir Perak di sini, semalam.

Mahazir berasal dari Sik, Kedah berkata, dalam keadaan panik itu, dia sempat melihat Mohd Khairul dan Mohd Khairul Azhar dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, cubaan untuk memanggil pegawai dan anggotanya gagal sebelum mengambil keputusan untuk keluar daripada kereta dan menahan kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang secara kebetulan melalui kawasan itu.

Menurutnya, dia cuba memanggil Mohd Khairul Azhar dan dia menjawab panggilannya sebelum membawanya keluar dari kereta.

Katanya, beliau cuba memanggil Khairul Anuar yang ketika itu duduk di bahagian belakang pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dan dia ada memberi respons kepada panggilannya.

Dia yang turut mengalami kecederaan di kepala dan bahu akibat kejadian itu memberitahu, kesemua rakan sekerjanya dibawa ke Hospital Slim River (HSR) untuk mendapatkan rawatan.

Mahazir berkata, dalam perjalanan ke HSR untuk mendapatkan rawatan, dia dimaklumkan Zamri meninggal dunia di tempat kejadian manakala Khairul Anuar cedera parah.

Menurut Mahazir, sebelum bertolak ke Tanjung Malim, arwah datang menjemputnya dan pada masa itu arwah berkelakuan aneh.

“Biasanya arwah akan datang ke rumah dan akan menunggu di dalam kereta untuk membawa saya. Namun semalam arwah berkelakuan aneh apabila menjemput sehingga ke pintu rumah.

“Pada mulanya saya tidak sedap hati dengan kelakuan arwah itu menjadi petanda anggota saya itu akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Terima SMS suami kemalangan

Bagi isteri kepada Inspektor Mohd Khairul Azhar Abdul Halim, Intan Suhana Mohd Anuar, 29, berkata, dia menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada suaminya mengatakan dia terlibat dalam kemalangan.

Katanya, SMS yang diterimanya itu kira-kira 8.21 malam kelmarin menyebabkan dia bimbang akan keselamatan suaminya sebelum cuba menghubungi tetapi gagal.

Menurutnya, cubaan menghubungi suaminya beberapa kali gagal sebelum dijawab oleh seorang anggota polis yang mengatakan Khairul Azhar kemalangan, namun mengalami kecederaan ringan sahaja.

Intan Suhana berkata, walaupun bersyukur suaminya selamat namun kehilangan seorang jiran dalam kemalangan itu.

Sempat bertanya khabar anak

Sementara itu, anak bongsu arwah, Mohd Iqbal Zamri Hashim, 19, pelajar Diploma Pengajian Video dan Filem di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis, cuti semester sempena Krismas lalu berkata, ayahnya tidak tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.

Katanya, dia menerima khabar berita mengatakan ayahnya kemalangan daripada jirannya dan menasihati agar bersabar dengan apa yang terjadi.

Menurutnya, dia tidak faham apa dimaksudkan jirannya sebelum dihubungi anggota polis mengatakan ayahnya meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Behrang.

“Saya memang terkejut dan macam tidak percaya kerana baru dua hari lalu bersembang dengan arwah dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitendan Othman Nanyan ketika dihubungi berkata, anggota terlibat dihantar  ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan susulan.

Menurutnya, dua lagi anggota cedera ringan berada dalam keadaan stabil setelah menerima  rawatan di HSR.

Maksiat dalam ruang sempit



HIDAYAH HAIROM
6 Januari 2013
rumah pelacuran
Bilik-bilik kecil yang dibina dalam sebuah premis dipercayai untuk aktiviti pelacuran dimusnahkan anggota penguatkuasa DBKL.
KUALA LUMPUR - Ruang sempit tidak menghalang aktiviti persundalan berleluasa.

Dalam operasi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam, setiap bilik dilengkapi pili air, juga ‘hiasan’ gambar wanita dalam keadaan menyolok mata di dinding, termasuk berpeket-peket kondom ditinggalkan, cukup menggambarkan betapa jijiknya aktiviti berlangsung dalam ruang yang hanya memuatkan satu katil bersaiz bujang.

Turut ditemui, buku senarai langganan yang mengenakan caj serendah RM100 bagi setiap pelanggan dan majalah-majalah lucah.

Walaupun beberapa kali diserbu dan dimusnahkan, premis pelacuran di Jalan Petaling, di sini terus beroperasi, memaksa penguatkuasaan dibuat dengan memecahkan struktur serta bilik-bilik yang dibina untuk aktiviti tidak bermoral itu.

Sebanyak 168 bilik meliputi tujuh premis dimusnahkan dalam operasi disertai 162 anggota pelbagai agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Imigresen.

Ketua Operasi DBKL, Minhad Ahmad, berkata, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat kerana kesemua premis yang diserbu dikosongkan terlebih dahulu.

Menurutnya, hasil serbuan mendapati terdapat 10 hingga 20 bilik dibina dalam satu-satu premis, yang mana terdapat tilam, tisu dan beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk tujuan persundalan.

“Tindakan diambil di bawah peruntukan Akta jalan, parit dan bangunan 1974 (Akta 133), ke atas sambungan membina halangan dan sekatan dalam bangunan yang dibuat tanpa kebenaran Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Pihak DBKL akan mengesan pemilik premis dan memberikan notis atas kesalahan membina halangan tanpa kebenaran, dan sekiranya didapati bersalah, kita akan kenakan tindakan mahkamah,” katanya pada sidang media selepas operasi semalam.

Beliau menambah, pihak DBKL akan terus memantau premis-premis terlibat memastikan sarang maksiat yang dimusnahkan tidak dibina semula.

Katanya, berdasarkan tindakan sebelum ini, jumlah premis dan bilik yang dimusnahkan menunjukkan pengurangan, hasil pemantauan dan tindakan berterusan dijalankan.

“Jika sebelum ini bahagian atas dan bawah digunakan bagi tujuan itu, kini aktiviti dijalankan di tingkat atas sahaja, yang turut mempunyai jalan keluar di bahagian belakang premis,” katanya.

Bayi perempuan baru lahir ditinggalkan atas tong sampah



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
6 Januari 2013
buang bayi
Mayat bayi bertali pusat disumbatkan dalam beg kertas sebelum ditinggalkan di atas tong sampah
IPOH – Mayat seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan dalam beg kertas di belakang sebuah restoran makanan segera di Jalan Datuk Onn Jaafar di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 petang itu, bayi perempuan yang masih bertali pusat itu dibalut dengan selendang berwarna merah dan disumbat ke dalam beg berwarna biru sebelum diletakkan di atas tong sampah yang dipenuhi dengan sisa tulang ayam.

Mayat bayi yang masih berdarah itu turut dimasukkan ke dalam beg bersama urinya. Ia dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh beberapa jam sebelum ditemui oleh seorang pengutip sampah yang mencari sisa barangan terpakai di kawasan itu.

Orang ramai yang ditemui di lokasi kejadian berkata, mereka dikejutkan dengan jeritan seorang wanita yang berulang kali menyebut ‘bayi’ sebelum berlari meninggalkan tong sampah terbabit.

“Tindakan wanita itu menarik perhatian orang ramai yang bertindak menghubungi pihak polis. Kami memang biasa melihat wanita tua itu mencari sisa barangan di tong-tong sampah belakang premis ini setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, anggota yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian dan menemui bayi yang masih berdarah.

Menurutnya, buat masa ini, polis belum dapat memastikan sama ada bayi berkenaan mati akibat dibuang ke dalam tong sampah atau ketika dia dilahirkan.

“Kita belum dapat mengenal pasti bangsa bayi, bagaimanapun mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, polis akan meneruskan siasatan dengan melakukan pemeriksaan rapi di setiap hospital dan klinik berhampiran bagi mengesan individu yang terlibat.

Menurutnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi di talian 05-245 1500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kali terakhir kes buang bayi dilaporkan berlaku di Perak pada 23 November 2011 lalu dengan penemuan mayat bayi tidak cukup bulan dalam keadaan berulat dalam sebuah beg plastik yang ditinggalkan di tepi Jalan Datuk Ahmad Said, Pusat Perniagaan Greentown.

Juruteknik maut motosikal langgar pembahagi jalan di Gelugor




6 Januari 2013
GEORGE TOWN - Seorang juruteknik sebuah kilang maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini, awal hari ini.

M. Mohgan, 48, dari Lintang Minden 2, Gelugor di sini dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas ke George Town sebelum motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata kemalangan pada pukul 2.15 pagi itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan badan dan mati di tempat kejadian.

Beliau meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04- 2181872 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu adik mangsa, M. Ravi, 40, berkata abangnya yang bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Bayan Lepas dikatakan keluar sebentar ke George Town tetapi tidak tahu apakah tujuannya.

"Saya mendapat tahu mengenai kejadian itu daripada abang sulung saya dan sebaik menerima berita itu saya terus bergegas ke tempat kejadian.

"Ketika sampai saya dapati abang berlumuran darah dan sudah tidak bergerak lagi. Pagi semalam dia ada menghubungi dan mengingatkan supaya jangan lupa mengambilnya untuk ke kuil bagi majlis memperingati kematian bapa saudara kami," katanya.

Ravi berkata kali terakhir dia bertemu dengan mendiang minggu lepas ketika menziarahi bapa saudara mereka yang meninggal dunia di Kuala Lumpur.

"Mendiang seorang yang pendiam dan dia meninggalkan seorang balu dan dua anak yang masih bersekolah berusia 10 dan 15 tahun," katanya. - Bernama

Dapur dihanyutkan air sungai



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Januari 2013
Dapur dihanyutkan air sungai
Timah menunjukkan keadaan tebing sungai di belakang rumahnya yang terhakis.
JOHOL – Seorang warga emas di sini, tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbangnya setiap kali hujan lebat selepas bahagian dapur rumahnya dihanyutkan air sungai yang melimpah.
Timah Rejab, 72, berkata, air sungai di belakang rumahnya akan melimpah setiap kali hujan lebat.

Menurutnya, tebing sungai itu sudah terhakis dan semakin menghampiri rumahnya.

“Bila hujan lebat, makcik memang takut. Air sungai naik dengan cepat, kadangkala halaman rumah akan digenangi air sungai.

"Bagi mengelakkan hakisan, makcik tanam pokok buluh, namun masalah itu tetap berlaku,” katanya kepada Sinar Harian ditemui di rumahnya di Kampung Renggoh, kelmarin.

Timah berkata, dia sudah empat kali mengadukan masalah itu kepada pihak berkaitan selain memohon bantuan batu sangkar di tebing rumahnya pada 2011.

“Makcik mengakui pihak berkenaan ada membantu dengan meluruskan aliran sungai selepas dapur rumah dihanyutkan air sungai.

"Walau bagaimanapun, air sungai tetap melalui aliran asalnya setiap kali hujan lebat. Mungkin kerana kapasiti air sungai luar biasa menyebabkan air melimpah ke aliran asal dan keadaan ini menyebabkan kawasan rumah makcik digenangi air sungai," katanya.

Katanya, oleh itu, diharap pihak berkenaan dapat memasang batu sangkar di kawasan tebing sungai berkenaan untuk mengelakkan hakisan.

Usaha lolos diri gagal



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Januari 2013
Sindiket mesin perjudian
Rohan (kanan) bersama kakitangan Syabas dan TNB yang terlibat dalam operasi melihat set komputer dirampas
SUNGAI BULOH – Sindiket mesin perjudian di Bukit Rahman Putra dekat sini dikesan menggunakan warga asing sebagai penjaga bagi mengelak didakwa.

Taktik itu bagaimana tidak bertahan lama apabila bekalan air dan elektrik di tiga buah premis terbabit dipotong pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) malam kelmarin.

Tindakan tegas itu diambil selepas premis haram terbabit masih berdegil dan terus beroperasi walaupun pernah  dikenakan tindakan sebelum ini.

Malah usaha dua penjaga dari salah sebuah premis untuk melarikan diri tidak berhasil apabila masing-masing dicekup ketika bersembunyi di bawah tangga.

Pegawai Turus Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian  D7 Selangor, Deputi Superintendan  Rohan Shah Ahmad berkata, sebanyak 100 set komputer dan wang tunai berjumlah RM1,284 dirampas dalam operasi di tiga premis berkenaan.

Menurutnya, empat penjaga terdiri daripada dua lelaki Bangladesh dan dua wanita Indnesia turut ditahan bersama 29 orang kaki judi berusia 20 hingga 30-an ditahan .

Sementara itu dalam serbuan berasingan di Gombak 7 premis  perjudian sama di sekitar kawasan Selayang turut dikenakan tindakan pemotongan elektrik. Tindakan diambil di bawah Akta Rumah Judi Terbuka  1953.

Kereta terbalik, 2 nyaris maut



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Januari 2013
Kereta terbalik, 2 nyaris maut
Orang awam dan anggota bomba bersama-sama mengalihkan kenderaan mangsa yang terbalik bagi melancarkan aliran trafik.
KLANG – Tindakan pantas orang awam yang memberi isyarat kemalangan kepada pemandu kenderaan lain yang melalui lorong laju sebaik menyedari sebuah kenderaan terbalik di Persiaran Raja Muda Musa menyelamatkan nyawa seorang pemandu dan penumpang semalam.
Sebaik sahaja kejadian itu berlaku, kedua-dua mangsa dikatakan segera keluar dari kenderaan mereka yang terbalik kerana khuatir dirempuh kenderaan lain yang melalui laluan tersebut.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, kereta jenis Iswara Aeroback dinaiki seorang lelaki dan wanita dipercayai berusia awal 20-an itu dari Pelabuhan Klang menghala Pusat Bandar Klang disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pengadang jalan sebelum terbalik
sejauh beberapa meter.

Berikutan kejadian itu, anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu dan menyelamatkan mangsa.

Kejadian yang nyaris meragut nyawa kedua-dua mangsa tersebut menyebabkan jalan terbabit sesak hampir setengah jam namun trafik kembali lancar tidak lama kemudian.

Orang awam yang berada di lokasi kemalangan bekerjasama dengan anggota bomba bagi mengalihkan kenderaan mangsa ke tepi jalan dalam usaha memudahkan aliran trafik supaya berjalan lancar di laluan tersebut.

Kedua-dua mangsa yang masih terkejut dengan kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kaki ‘stunt’ masuk perangkap



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Januari 2013
Kaki ‘stunt’ masuk perangkap
Remaja yang ditahan disoal siasat anggota polis.
SHAH ALAM – Walaupun pernah disabitkan kesalahan mencuri motosikal dan di bawah pengawasan polis selama dua tahun, itu belum cukup untuk menginsafkan dua remaja apabila mereka sekali lagi ditahan kerana melakukan aksi merbahaya sambil menunggang motosikal di Dataran Shah Alam awal pagi semalam.

Dua remaja berusia 18 tahun itu bersama enam rakannya yang membuat ‘pertunjukan’ di kawasan sama antara ditahan dalam operasi pencegahan kesalahan lalu lintas oleh Pasukan Khas Unit Trafik dan Ketenteraman Awam  Bukit Aman awal pagi semalam.

Dua remaja itu yang salah seorangnya bekerja kilang berkata, tujuan mereka beraksi seperti itu adalah untuk bersaing siapa lebih handal.

Lebih menjengkelkan,  ada di antara mereka  memaki hamun anggota polis selepas tidak berpuas hati ditahan .

Ketua operasi berkata, pemantauan dilakukan bermula jam 12 malam dan berakhir jam 4 pagi itu menyasarkan kawasan Dataran Shah Alam yang sejak akhir-akhir ini menjadi medan kumpulan terbabit melakukan aksi berbahaya.

“Kesemua ditahan dalan operasi selama empat jam  ini berusia belasan tahun hingga awal 20-an,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kebanyakan motosikal digunakan diubah suai untuk tujuan itu.

Kesemua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Maut dalam banjir



NORFARAHAH OTHMAN
6 Januari 2013
Maut dalam banjir
Yoke Pah diperiksa dan disahkan mati akibat serangan jantung.
BENTONG – Kesibukan penduduk di Kampung Baru Repas, dekat sini, mengemas kediaman masing-masing awal pagi semalam kerana bimbang rumah dimasuki air banjir bertukar kalut apabila seorang penduduk maut terkena serangan jantung.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, seorang pekerja kedai keranda, Chen Yoke Pah, 54, ditemui terbaring di hadapan rumahnya oleh jiran.

Mangsa dipercayai baru selesai mengemas rumahnya dan selepas itu keluar ke halaman untuk melihat jiran yang lain mengemas barang.

Dia secara tiba-tiba dipercayai sesak nafas sebelum rebah di hadapan rumahnya yang dinaiki air sebelum disedari jiran yang kemudiannya membawanya masuk ke dalam rumah semula.

Jiran mangsa bergegas menelefon ambulans meminta bantuan dan pasukan perubatan terpaksa meredah air banjir setinggi lebih kurang 0.3 meter sebelum sampai ke rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa disahkan mati akibat serangan jantung.

Menurutnya, berdasarkan rekod perubatan, selain menghidap penyakit jantung, mangsa juga mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Mangsa dibawa ke Hospital Bentong menggunakan kenderaan polis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Trauma dengan bunyi kereta api



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Januari 2013
Trauma dengan bunyi kereta api
Landasan kereta api ini menjadi tempat Zudilman dilanggar
Trauma dengan bunyi kereta api
Suziana tidak dapat menahan sebak selepas melihat mayat suaminya, diangkat anggota polis, pertengahan bulan lalu
PASIR MAS– Meskipun sudah hampir 30 hari kematian suami, seorang suri rumah di Kampung Chenok merasakan baru semalam dia mendapat berita mengenai kemalangan suaminya.

Sayu mendengar siren kereta api

Setiap kali mendengar siren kereta api pada waktu petang, Wan Suziana Wan Mohd Nizam, 28, pasti sayu kerana saat itulah dia kehilangan suami, iaitu ketika melintas landasan pertengahan bulan lalu.

Suziana berkata, dia pasti berhenti sejenak daripada melakukan sebarang kerja dan ayat yang keluar dari mulut sama ada ‘awal kereta api kali ini atau lewat pula kereta api petang ini’.

Menurutnya, tindakan luar kawal ini mungkin disebabkan rasa rindunya terhadap arwah suami, Mohd Zudilman Che Ismail, 34.

“Saya tidak dapat mengelak daripada mengungkap kata-kata itu kerana ia memberi pengalaman pahit kepada saya dan anak-anak,” katanya, semalam.

Hilang arah

Suziana berkata, pada saat dia mendapat berita mengenali kemalangan suami, dia hilang arah, panik dan tidak tahu apa tindakan yang perlu diambil.

Sehingga kini katanya, dia buntu untuk mencari rezeki buat lima anak-anaknya yang masih kecil, berusia 10 bulan hingga 10 tahun.

Menurutnya, dia tidak mempunyai sebarang kemahiran apatah lagi sijil untuk mencari pekerjaan di luar negeri.

“Selepas ini, saya sanggup mempelajari apa sahaja kemahiran, demi menyediakan sesuap nasi untuk anak-anak.

“Amanah yang diberikan arwah suami, akan dipikul sehingga mereka berjaya di dunia dan cemerlang di akhirat,” katanya, semalam.

Mohon bantuan peralatan

Demi anak-anak, Suziana sanggup bersengkang mata mempelajari apa sahaja kemahiran jahitan, masakan dan lain-lain.

Dengan cara ini katanya, dia dapat bekerja dari rumah dan menjadi pengusaha kecil-kecilan di peringkat kampung.
“Kaedah ini juga akan memudahkan saya menjaga anak-anak yang masih kecil, di samping mengelakkan saya daripada meminta simpati penduduk kampung setiap hari.
“Sekiranya saya diberi bantuan peralatan perusahaan, saya dapat menjana pendapatan dan memperoleh sumber kewangan dengan lebih stabil,” katanya, semalam.

Harap bantuan kebajikan anak-anak diluluskan

Suziana berkata, dia mengharapkan bantuan kebajikan lima anak-anaknya diluluskan dengan secepat mungkin.

“Saya bersyukur kerana penduduk di sini amat prihatin dengan keperluan kami sekeluarga, memandangkan semua kelengkapan persekolahan anak-anak dibeli di saat-saat akhir.

“Sekiranya bantuan tidak dipanjangkan, saya yakin anak-anak pasti malu untuk ke sekolah, dengan mengenakan seragam lama,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia amat bersyukur kerana anak-anak mengerti dengan keadaan yang dihadapi dan tidak menunjukkan sebarang kerenah.

Selepas kejadian itu katanya, anak-anak bersikap lebih berdikari dan bijak mengatur masa malah menjaga keperluan adik-beradik yang lain.

Dalam kejadian ini, suami Suziana yang juga pekerja sambilan Telekom Malaysia maut selepas terpelanting akibat dilanggar kereta api dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah Pada 15 Disember lalu.

Mangsa dikatakan cuba melintas landasan sambil memegang telefon bimbit, namun tidak mendengar laungan jiran dan penduduk yang berada berdekatan.

Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

'Balik sekejap pun jadilah'



WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Januari 2013
'Balik sekejap pun jadilah'
Hamidah bersama Suhaimi menunjukkan laporan polis berhubung kehilangan Suhaidi.
'Balik sekejap pun jadilah'
Suhaidi
PALONG - “ Balik sekejap pun jadilah, nak…. setidak-tidaknya terubat rindu mak ini,” luah seorang ibu empat cahaya mata yang masih menanti kepulangan anak sulungnya yang menghilangkan diri dari rumahnya Felda Palong Lapan di sini sejak dua tahun lalu.
Hamidah Chin, 55, berkata, dia tidak menyangka tegurannya kepada anak sulung, Suhaidi Shuid, 37 terkesan dan menjadi punca kehilangannya.

Menurutnya, Suhaidi membawa isteri dan dua anaknya keluar rumah selepas sambutan Aidiladha pada 2010.

“Ketika itu arwah suami, Shuid Husain masih ada namun, semasa ayahnya meninggal  hujung tahun lalu Suhaidi tidak pulang seolah-olah marah kepada kami yang memberi teguran kepadanya.

“Kali terakhir kami berjumpa bersama dia sekeluarga adalah pada Aidiladha tahun yang sama (2010).

“ Bagaimanapun, ketika arwah suami meninggal, bapa saudara Suhaidi iaitu Mohd Nayan Kassim, 53, dapat menghubungi Suhaidi selepas mencari nombor telefonnya dan memaklumkan kematian ayahnya,” katanya.

Hamidah berkata,  namun Suhaidi enggan pulang manakala berdasarkan semakan rekod laporan polis berkaitan kemalangan yang pernah dibuat Suhaidi Februari lalu, dia dipercayai pernah tinggal di Bagan Serai, Perak.

“Tetapi pencarian kami ke Bagan Serai hampa berikutan dia tidak lagi tinggal di situ. Bagaimanapun, teguran saya itu hanya untuk kebaikannya malah kini tidak tertanggung rindu kepadanya, " katanya.

Menurutnya, tidak pernah terdetik di hatinya untuk membenci mahupun marah terhadapnya (Suhaidi) bahkan tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan anaknya itu dunia dan akhirat.

“Sementara mak masih ada, besar harapan agar Suhaidi pulang dan bersama sekeluarga seperti sebelumnya malahadiknya juga merinduinya,” katanya.

Hamidah juga membuat laporan polis berhubung kehilangan Suhaidi.

Orang ramai yang mengetahui di mana Suhaidi hubungi adiknya,  Suhaimi ditalian 019275278.

Isteri dalam pantang dibelasah suami cemburu




6 Januari 2013
KANGAR - Seorang suami dilapor telah membelasah isterinya yang dalam pantang di rumah mereka di Kampong Repoh dekat sini awal pagi semalam, akibat cemburu.

Lelaki berumur 40 tahun itu bukan sahaja membelasah isterinya dengan lesung batu, kerusi dan bingkai gambar, malah membakar pakaian dan motosikal isterinya, yang baharu 40 hari melahirkan anak kedua mereka.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi.

Si suami dikatakan baharu pulang dari Kuala Lumpur dan dia kini direman selama empat hari.

Mangsa yang berumur 27 tahun kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di sini.

Abdul Rahman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api. - Bernama

Dua beradik hanyut, abang selamat adik masih hilang



NIK MOHD RAFFIQ
6 Januari 2013
Dua beradik hanyut, abang selamat adik masih hilang
Che Ku Amirudin Che Ku Bakar
Dua beradik hanyut, abang selamat adik masih hilang
Usaha mencari dan menyelamat digerakkan serta-merta.
DUNGUN – Hasrat dua beradik pulang ke rumah selepas masuk ke hutan tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri hilang ketika menyeberangi sebatang sungai dekat sini semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dipercayai berlaku ketika dua beradik, Che Ku Amirudin Che Ku Bakar, 22, dan abangnya, Che Ku Ahmad Ghadafi, 30, berenang menyeberangi Sungai Dungun selepas melihat jentera berat milik bapanya yang diletakkan dalam hutan di seberang sungai tersebut untuk kerja pembersihan selepas banjir.
Dua beradik itu yang terpaksa menyeberangi sungai itu untuk pulang semula ke rumahnya secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras menyebabkan Che Ku Amirudin tenggelam timbul dan gagal menyelamatkan diri sebelum hilang.
Abangnya, Che Ku Ghadafi bagaimanapun bernasib baik kerana sempat berpaut pada buluh yang hanyut, kira-kira 200 meter dari lokasi mereka lemas.
Kejadian tersebut turut disedari seorang penduduk yang secara kebetulan sedang memancing di kawasan berdekatan sebelum memberikan bantuan untuk menyelamatkan Che Ku Ghadafi.
Selepas dibawa naik ke tebing, Che Ku Ghadafi kemudiannya pulang ke rumah untuk memaklumkan kepada bapanya, Che Ku Abu Bakar Che Wan Abdullah, 61.
Menurut Che Ku, sebelum kejadian, dua anak lelakinya itu memaklumkan kepadanya untuk masuk ke hutan bagi melihat dua jenteranya yang diletakkan di sebarang sungai selepas melakukan kerja merata tanah selepas banjir surut, baru-baru ini.
“Mereka memaklumkan kepada saya untuk ke hutan di seberang sungai bagi melihat jentera kami kerana bimbang akan rosak jika terus ditinggalkan di situ.
“Tidak sangka pula paras air sungai dalam dan deras, kalau saya tahu, saya tak akan suruh mereka pergi,” kata Che Ku Abu Bakar.
Che Ku Ghadafi kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Jengai kira-kira jam 9 malam kelmarin berkaitan tragedi menimpa adik lelakinya itu.
Berikutan itu, gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan hilang itu diteruskan serta-merta.
Sehingga jam 4 petang tadi, operasi melibatkan pasukan bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung masih gagal menemui mangsa yang dikhuatiri hilang itu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian.

280 penerbangan di China dibatal: penumpang berang



BEIJING 6 Jan. - Lebih 280 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changshui dekat bandar selatan China, Kunming dibatalkan akibat kabus tebal semalam memaksa ribuan penumpang terkandas ketika negara ini berhadapan dengan cuaca sejuk terburuk dalam tempoh tiga dekad.
Agensi berita Xinhua melaporkan, keadaan itu mengakibatkan ribuan penumpang yang terkandas lebih daripada sehari berang dan bergaduh dengan kakitangan syarikat penerbangan serta merosakkan peralatan komputer milik syarikat sekali gus memaksa polis campur tangan bagi meleraikan pergelutan tersebut.
``Para penumpang benar-benar marah, mereka terus pergi ke kaunter pertanyaan untuk meminta maklumat, tetapi tidak mendapat apa-apa jawapan,’’ kata seorang jurugambar. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130106/lu_07/280-penerbangan-di-China-dibatal-penumpang-berang#ixzz2HCacJDBe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas Menteri Kebudayaan Mesir dilepas daripada tuduhan rasuah



KAHERAH 6 Jan. - Bekas Menteri Kebudayaan Mesir, Faruq Hosni dibebaskan daripada tuduhan rasuah, semalam.
Sebuah mahkamah jenayah di pinggir bandar Giza mendapati Faruq yang berkhidmat selama dua dekad semasa pemerintahan Hosni Mubarak tidak bersalah ke atas dakwaan rasuah dan memperolehi kekayaan secara tidak sah.
Media Tempatan pada September lalu melaporkan Faruq didakwa memiliki secara salah kira-kira AS$3 juta (RM9 juta). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130106/lu_09/Bekas-Menteri-Kebudayaan-Mesir-dilepas-daripada-tuduhan-rasuah#ixzz2HCaA97kF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lagi lima suspek militan ditembak mati



Polis Indonesia berkawal selepas polis melancarkan serangan antikeganasan di kawasan Dompu, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, semalam. - AFP
JAKARTA 5 Jan. - Polis Indonesia menembak mati lima suspek pengganas dalam satu siri serbuan antikeganasan ke atas kem-kem militan di wilayah Nusa Tenggara Barat, timur Indonesia, kata pasukan keselamatan itu hari ini.
Jurucakap polis kebangsaan, Boy Rafli Amar berkata, serbuan-serbuan berkenaan dilancarkan lewat malam tadi dan pagi ini di dua buah kem latihan berasingan di wilayah sama.
"Polis terpaksa melepaskan tembakan kerana militan mempunyai bahan letupan. Kem latihan itu digunakan untuk membuat bom," katanya.
Jelas beliau, turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah bahan membuat bom seperti serbuk baja nitrat, paku dan bateri.
Serbuan terbaharu itu dibuat sehari selepas polis membunuh dua suspek militan yang memiliki sepucuk pistol serta bom tangan dan menahan empat yang lain di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan.
"Suspek dalam kes baharu ini dipercayai sebahagian daripada anggota kumpulan pengganas di Poso," katanya merujuk kepada sarang pengganas di wilayah Sulawesi Tengah tersebut.
Polis sebelum ini berkata, kumpulan pengganas di Poso dipercayai diketuai suspek paling dikehendaki dikenali sebagai Santoso, yang berperanan melatih militan-militan muda untuk melancarkan serangan ala gerila ke atas pasukan keselamatan.
Sejak akhir tahun lalu, polis telah meningkatkan kawalan keselamatan di Poso selepas dua pegawai polis yang ditugaskan menyiasat tentang kewujudan kem latihan militan, ditemui mati tertanam dengan kesan kelar di leher. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130106/lu_02/Lagi-lima-suspek-militan-ditembak-mati#ixzz2HCZp4uLZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

19 PATI warga Myanmar diberkas UPP


19 PATI warga Myanmar diberkas UPP

SEBAHAGIAN daripada 19 PATI Myanmar yang duduk berhimpit-himpit dalam kereta ditahan oleh UPP di Jalan Menerong, Titi Tinggi di Padang Besar, Perlis, semalam.
KANGAR 5 Jan. - Hasrat 19 lelaki warga Myanmar untuk masuk ke negara ini secara haram tidak kesampaian meskipun mereka sanggup duduk berhimpit-himpit dalam dua buah kereta.
Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri, Asisten Supritendan Bahari Ahmad berkata, mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan selepas pihaknya menahan dan memeriksa dua buah kereta dinaiki pendatang asing tanpa izin (PATI) itu kira-kira pukul 2 pagi ini.
"Kemasukan PATI ini berjaya dikesan sepasukan anggota UPP yang sedang menjalankan rondaan di Jalan Menerong di Titi Tinggi, Padang Besar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan UPP yang terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja berwarna perak itu kemudian bertindak mengejar kenderaan tersebut selepas mengesyaki kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, kereta tersebut ditahan selepas terlibat dalam kemalangan kecil selepas dikejar. Ketika diperiksa, pihaknya menemui 11 warga Myanmar berhimpit-himpit dalam kenderaan itu termasuk di bahagian but.
Bahari memberitahu, pihaknya kemudian menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah yang mengekori belakang kereta Waja tersebut.
Katanya, selepas ditahan dan diperiksa, terdapat lapan warga Myanmar dalam keadaan bersesak dalam kereta berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pemandu kedua-dua kereta berkenaan sempat melarikan diri dalam suasana gelap di Kampung Titi Tinggi.
Beliau berkata, kesemua PATI itu dibawa ke Kompleks UPP Padang Besar untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.
Katanya, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130106/je_02/19-PATI-warga-Myanmar-diberkas-UPP#ixzz2HCZ3IDw3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nur Effa dipercayai mangsa bunuh



Mohd. Shafie Apdal berkata sesuatu kepada ibu bapa Allahyarham Nur Effa, Ringkasan Muksan (tengah) dan Norliana Killo (dua dari kiri) ketika menziarahi keluarga itu di Kampung Salimbangun, Semporna, Sabah, malam tadi. - MINGGUAN/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
SEMPORNA 5 Jan. - Polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang ditemui mati dalam tong dram kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Salimbangun di sini kelmarin adalah mangsa bunuh.
Keyakinan ini berdasarkan siasatan polis yang curiga bagaimana mangsa, Nur Effa Sahira Ringkasan boleh berada di lokasi mayatnya ditemui dan mampu memasuki tong dram itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu dibunuh sebelum mayatnya dibuang ke dalam tong tersebut.
Menurutnya, polis meragui bagaimana mangsa mampu berjalan seorang diri ke lokasi kejadian yang bukan merupakan kawasan permainan.
"Kita turut meragui keupayaan kanak-kanak kecil memasuki sendiri tong dram itu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Misteri kehilangan Nur Effa Sahira sejak enam hari lalu akhirnya terjawab apabila mayat mangsa ditemui dalam sebuah tong dram kira-kira 500 meter dari rumahnya kelmarin.
Mangsa merupakan anak sulung daripada tiga beradik dilaporkan hilang sejak Isnin lalu selepas keluar bermain.
Mayatnya ditemui penduduk kampung kira-kira pukul 1 petang dalam sebuah tong dram di ladang sawit tidak jauh dari rumahnya.
Menurut Mohd. Firdaus, mangsa yang berpakaian lengkap ditemui tersembam mukanya dalam tong dram itu yang turut berisi air.
"Mayat mangsa yang mula mereput dihantar ke Hospital Semporna untuk bedah siasat," katanya.
Menurut beliau, keputusan bedah siasat dijangka diketahui Selasa depan selepas pihak Hospital Semporna mendapat bantuan pakar patologi dari Kota Kinabalu.
"Ketika ini, polis masih menyiasat punca kematian kanak-kanak ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil menyalurkannya kepada polis," katanya.
Terdahulu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen Semporna meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat keluarga mangsa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130106/je_03/Nur-Effa-dipercayai-mangsa-bunuh#ixzz2HCYw0JEa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Geng Fly by night tumpas



IPOH 4 Jan. - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan perniagaan dikenali sebagai Fly by night yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM155,000, ekoran penahanan empat lelaki dan seorang wanita warga Thailand di Pulau Pinang dan Perak.
Dalam tangkapan secara berasingan sejak 20 Disember lalu itu, kesemua suspek yang ditahan berusia 43 hingga 54 tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sindiket yang menggunakan penagih dadah sebagai proksi itu menjalankan 'perniagaan' membeli barangan runcit, baja pertanian dan alatan pejabat daripada mana-mana syarikat secara pukal dengan pembayaran menggunakan cek tertunggak.
Beliau berkata, syarikat itu bagaimanapun hanya menyedari penipuan tersebut selepas cek yang dikeluarkan sindiket tidak dapat ditunaikan kerana akaunnya telah ditutup.
"Pejabat atau gudang sindiket tersebut akan dikosongkan malah semua pekerja dan pemiliknya yang baru didaftarkan menerusi sebuah syarikat itu menghilangkan diri selepas beroperasi dalam masa kira-kira dua bulan sahaja.
"Sindiket itu akan menggunakan proksi untuk mendaftarkan syarikat serta membuka akaun bank. Pada kebiasaannya, proksi ini merupakan seorang penagih dadah yang sanggup menjual identitinya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, polis telah menahan ketua kumpulan yang juga perancang sindiket berkenaan yang aktif menjalankan operasi di sekitar Manjung, Sungai Siput dan Taiping.
Katanya, selain menangkap pemilik, pekerja dan pembeli barang curi berkenaan, polis turut merampas beberapa dokumen jual beli syarikat tersebut melibatkan invois dan tempahan penghantaran.
"Turut dirampas adalah 39,320 kilogram baja pertanian, 24 unit set mangkuk tandas, 30 karton sebuk pencuci, lima karton serbuk kopi, dan 64 bungkus kerisik kelapa.
"Suspek utama dalam kes ini juga dikehendaki oleh polis kontinjen Pahang dan Pulau Pinang kerana kesalahan penipuan jenayah melibatkan modus operandi sama," katanya.
Mohd. Shukri berkata, polis kini mencari tiga lagi individu yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130105/je_01/Geng-Fly-by-night-tumpas#ixzz2HCYlmXA4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SPRM tahan tiga individu



KUALA LUMPUR 5 Jan. - Pembantu khas kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang merupakan antara tiga individu yang ditahan kerana dipercayai cuba merasuah seorang lelaki RM30,000 sebagai suapan bagi menarik balik laporan polis berkaitan gangguan seksual terhadap isterinya.
Menurut sumber, lelaki berusia 56 tahun itu dikatakan hadir bersama ketika penyerahan wang suapan yang dilakukan di sebuah restoran di pulau itu kira-kira pukul 11 malam kelmarin.
"Lelaki itu hadir di restoran tersebut bersama dua lagi individu dan menyaksikan penyerahan wang yang dilakukan oleh salah seorang daripada mereka.
"Ketiga-tiga lelaki itu kemudian ditahan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) hasil maklumat awam," kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, SPRM menahan tiga individu, termasuk seorang pegawai daerah berusia 52 tahun di Pulau Pinang kerana cuba merasuah seorang lelaki supaya menarik balik laporan polis yang dibuatnya malam kelmarin.
Selain pembantu khas Timbalan Ketua Menteri dan pegawai daerah tersebut, seorang lagi pegawai bank berusia 40 tahun turut ditahan.
Difahamkan, pengadu yang bekerja di sebuah pejabat daerah di negeri tersebut membuat laporan polis berhubung kejadian menimpanya penghujung tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi mengesahkan penahanan pembantu khas Timbalan Ketua Menteri itu antara tiga yang ditahan semalam.
"Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130106/je_01/SPRM-tahan-tiga-individu#ixzz2HCYYQ2pk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 maut pesawat ringan terhempas hempap rumah



Pegawai penyiasat syerif Flagler County dan anggota bomba, memeriksa keadaan sebuah rumah selepas pesawat kecil terhempas ke atas kediaman tersebut di Palm Coast, Florida, Amerika Syarikat, kelmarin. - REUTERS
FLORIDA 5 Jan. - Sekurang-kurangnya tiga orang maut apabila sebuah pesawat kecil terhempas di atas sebuah rumah ketika cuba mendarat di lapangan terbang di Florida, petang semalam.
Pegawai Peronda Lebuh Raya Florida, Leftenan Justin Asbury berkata, pesawat jenis Beechcraft H35 Bonanza tahun 1957 itu dalam perjalanan menuju ke Knoxville, Tennessee dari Fort Pierce ketika mula mengalami gangguan teknikal.
Laporan awal sebelum ini menyatakan, juruterbang pesawat malang itu membuat panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.10 petang waktu tempatan selepas mengalami masalah teknikal, lapor stesen NBC di Orlando, WESH.
Pengarah Lapangan Terbang Flagler County, Roy Sieger memberitahu Dayton Beach News-Journal, berdasarkan maklumat pusat menara kawalan, juruterbang pesawat itu melaporkan kokpit mereka berasap pada pukul 2.18 petang waktu tempatan dan terhempas seminit kemudian.
Pejabat Syerif Flagler County pula berkata, pesawat terbabit jatuh di atas sebuah rumah di bandar Palm Coast, tidak jauh dari Lapangan Terbang Flagler County.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian berkata, dia terdengar bunyi pesawat terhempas dari kediamannya.
Dia dan seorang lagi jiran, Armando Gonzalez kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan melihat pemilik rumah, Susan Crockett telah pun berada di luar rumah sambil memekik pesawat terhempas di rumahnya.
"Rumah itu terbakar dan letupan turut berlaku dari dalam rumah tersebut," kata Gonzalez.
Menurut Asbury, Crockett dihantar ke hospital berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, pihak berkuasa masih tidak mendedahkan identiti kesemua mangsa yang maut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130106/lu_04/3-maut-pesawat-ringan-terhempas-hempap-rumah#ixzz2HCXyTp00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

5 terbunuh pesawat terhempas di Perancis



GRENOBLE, France 6 Jan. - Lima terbunuh semalam selepas pesawat peribadi yang mereka naiki terhempas beberapa saat selepas berlepas dari lapangan terbang Grenoble di tenggara Perancis.
Polis berkata, pesawat yang berdaftar di Maghribi itu dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Maghribi dan akan singgah di Sepanyol.
Mangsa yang terbunuh masih belum dapat dikenalpasti dan polis masih menyiasat punca kejadian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130106/lu_08/5-terbunuh-pesawat-terhempas-di-Perancis#ixzz2HCXeO1EC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Satu maut, ribuan pindah kebakaran hutan di Tasmania



Sebuah rumah dijilat api dalam kebakaran hutan di Dunalley, kira-kira 55 kilometer ke timur Hobart, pulau Tasmania, semalam. - REUTERS
SYDNEY 5 Jan. - Seorang dikhuatiri maut dan beribu-ribu lagi terpaksa berpindah apabila kebakaran hutan mengganas di pulau Tasmania, Australia dan memusnahkan sekurang-kurangnya 80 bangunan.
Kebakaran yang merebak sejak semalam itu berlaku ketika negara ini mengalami musim panas melampau dengan Tasmania yang dikenali dengan iklim sejuknya, merekodkan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Satu daripada kawasan yang paling terjejas teruk ialah bandar kecil Dunalley, kira-kira 55 kilometer ke timur Hobart.
Polis menganggarkan, kira-kira 30 peratus bangunan termasuk balai polis dan sekolah musnah.
Di kawasan berhampiran Connellys Marsh pula, kira-kira 40 peratus bangunan hangus terbakar.
Menurut polis, seorang anggota bomba terperangkap dalam kebakaran hutan di Dunalley semalam, lokasi yang dipercayai tempat seorang lelaki turut maut.
"Mereka terpaksa berlindung di dalam jentera bomba ketika api sedang marak dan mangsa selepas itu tidak kelihatan.
"Akibat keadaan yang tidak selamat, kami tidak dapat membantu mereka," kata pemangku Pesuruhjaya Polis Scott Tilyard.
Seorang penduduk Dunalley, Tony Young memberitahu Australian Broadcasting Corporation, beliau menyedari tentang kebakaran serius itu selepas melihat asap hitam dan helikopter berterbangan di ruang udara pulau itu.
Di Semenanjung Tasman, timur Hobart pula, sebanyak 2,000 orang berlindung di bandar Nubeena sepanjang malam tadi, manakala lebih 700 lagi mendapatkan perlindungan di kawasan berhampiran tapak bersejarah Port Arthur.
Penduduk turut berpindah ke pusat perlindungan kecemasan di Hobart. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130106/lu_03/Satu-maut-ribuan-pindah-kebakaran-hutan-di-Tasmania#ixzz2HCRujBw6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 lelaki cedera ditetak



KOTA BHARU - Dua lelaki masing-masing cedera di beberapa bahagian pada badan akibat ditetak dalam dua kejadian berasingan masing-masing di Bukit Marak di sini dan di Besut, Terengganu semalam.

Dalam kejadian di Kota Bharu mangsa dipercayai ditetak oleh lelaki yang dikatakan di bawah pengaruh dadah manakala dalam kejadian di Besut, mangsa ditetak lelaki yang dikenali.                        

Kedua-dua mangsa kini ditempatkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, bagi menjalani rawatan susulan.

Pesta liar di kedutaan, duta Honduras dipecat



BOGOTA - Duta Honduras ke Colombia dipecat ekoran satu majlis sambutan Krismas di kedutaannya di sini bulan lalu dengan menjemput dua pelacur manakala komputer riba dan telefon bimbit pula dilarikan tetamu.

Bukti pesta liar ditemui di bangunan kedutaan itu.

Akbar tempatan melaporkan rakan seorang kakitangan kedutaan dan pelacur terbabit meninggalkan premis kedutaan dengan komputer dan telefon bimbit, yang mempunyai maklumat sensitif mengenai penyeludupan dadah.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Kementerian Luar Honduras berkata, Duta Carlos Rodriguez dilaporkan telah diminta meletakkan jawatan demi menjaga hubungan baik dengan Colombia.

Pihak berkuasa negara Amerika Latin itu sedang menyiasat laporan bahawa dua pelacur telah dijemput menghadiri sambutan yang diadakan pada 20 Disember lalu.

Sebuah jawatankuasa siasatan telah dibentuk di Honduras manakala pihak berkuasa Colombia cuba mengenal pasti dua pelacur terbabit.

Laporan media menyebut seorang pekerja yang rapat dengan Rodriguez didakwa menguruskan sambutan itu dan membawa kedua-dua pelacur berkenaan.

Kenderaan kedutaan digunakan untuk membawa mereka masuk ke dalam bangunan kedutaan.

Bagaimanapun laporan itu tidak menyebut sama ada duta hadir pada majlis itu.

Beberapa ejen khidmat risikan Amerika Syarikat juga terlibat dalam skandal seks seumpama itu tahun lalu menjelang lawatan rasmi Presiden Barack Obama ke Colombia.

Mereka dikenakan tindakan disiplin pada April lalu atas dakwaan melanggan pelacur di bilik hotel mereka.

Lelaki mati ditembak di Kota Damansara




5 Januari 2013
PETALING JAYA - Seorang lelaki mati ditembak ketika dia pulang ke rumah sepupunya di sebuah pangsapuri di Seksyen 8, Kota Damansara di
sini malam ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata mangsa yang berumur 44 tahun dan berasal dari Kedah maut di tempat kejadian selepas ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang menaiki sebuah kereta.

"Menurut orang awam yang menyaksikan kejadian itu, mangsa yang sedang menunggang motosikal ditembak di dada dan tangan kanannya pada kira-kira pukul 9 malam dan maut ditempat kejadian.
    "Mangsa datang dua tiga hari lepas untuk mencari kerja dan menumpang di rumah sepupunya di sini " katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Arjunaidi berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama