
MOHD. Ashraf Abdullah (kanan) berbincang sesuatu bersama Penerbit Kanan TV3, Rohani Ngah (kiri) dan Liew Teck Huat ketika hadir perbicaraan kes saman Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap TV3 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 2 Jan. - Seorang Eksekutif kanan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) hari ini menafikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa pihaknya menerima arahan daripada orang luar dalam menerbitkan sesuatu berita.
Timbalan Editor Pengurusan Kumpulan, Rangkaian Televisyen dan Radio Media Prima Bhd., Datuk Mohd. Ashraf Abdullah turut berkata, TV3 tidak menyiarkan kartun-kartun oleh akhbar lain kerana telah menjadi amalan mereka tidak akan memetik sebarang berita atau artikel daripada akhbar disebabkan masing-masing mempunyai skop pembaca yang berbeza.
Beliau menyatakan demikian ketika disoal balas oleh peguam Mohd. Fitri Asmuni yang mewakili bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kes saman fitnahnya terhadap TV3.
Tuntutan saman itu berhubung penyiaran berita mengenai isu nombor pendaftaran WWW 1 milik Sultan Johor yang dimenangi melalui proses bidaan berjumlah RM520,000.
Dalam keterangannya, Mohd. Ashraf bersetuju dengan Mohd. Fitri bahawa berita yang disiarkan oleh stesen televisyen terbabit merupakan satu isu besar, membabitkan dua personaliti dan sebarang kesilapan akan menjejaskan salah satu pihak.
Walaupun turut bersetuju pihaknya tidak pernah menghubungi atau berjumpa dengan Mohammad Nizar bagi mendapatkan penjelasan berhubung tweet tersebut namun Mohd. Ashraf tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa TV3 tidak membuat sebarang pengesahan dengan Ketua Pembangkang Negeri Perak itu.
Terdahulu, Mohammad Nizar menafikan bahawa tweet beliau bertarikh 28 Mei tahun lalu ada menyatakan secara spesifik Sultan Johor mahupun menggambarkan Tuanku menyalahgunakan wang rakyat dalam membida plat WWW 1.
Sekalipun mengakui tweet yang dibuat merujuk kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar namun beliau mempertahankan bahawa kenyataan dibuat ketika itu hanyalah pandangan seorang bekas menteri besar, seorang marhaen, ketua pembangkang di Perak dan ahli politik.
Sebaliknya, plaintif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Perak itu memberitahu, kenyataannya itu telah dimanipulasikan oleh TV3 selaku defendan seolah-olah beliau menuduh Sultan Johor menyalahgunakan wang rakyat dalam mendapatkan nombor plat terbabit.
Plaintif juga mendakwa, TV3 telah mendapat arahan daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menyiarkan berita terbabit.
Di samping itu, beliau mendakwa, defendan berat sebelah apabila tidak menyiarkan dua kartun yang diterbitkan oleh akhbar Kosmo! pada 28, 30 dan 31 Mei tahun lalu yang dikatakan biadab terhadap Sultan Johor.
Mohammad Nizar yang memfailkan saman itu pada 10 Julai tahun lalu dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, beliau telah mengeluarkan satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya pada 28 Mei 2012 namun defendan telah menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap beliau dalam siaran berita Buletin Utama pada pukul 8 malam, 30 Mei 2012.
Pada prosiding hari ini, plaintif turut diwakili peguam Mohd. Zamri Ibrahim manakala TV3 diwakili peguam, Liew Teck Huat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datin Yeoh Wee Siam bersambung Jumaat ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130103/ma_01/Eksekutif-kanan-TV3-nafi-terima-arahan-dari-luar#ixzz2H0knPI4h
© Utusan Melayu (M) Bhd