Search This Blog

Thursday, January 3, 2013

Serangan bom motosikal Pakistan, 7 maut




3 Januari 2013
Serangan bom motosikal Pakistan, 7 maut
Serangan mengejut itu dipercayai dilakukan kumpulan anti-polio.
KARACHI - Seramai tujuh penumpang bas termasuk dua petugas sukarela Pakistan maut dalam nahas melibatkan serangan bom motosikal lewat malam kelmarin.

Insiden yang berlaku di Karachi itu turut mencederakan sekurang-kurangnya enam penumpang lain yang sedang dalam perjalanan pulang dari perhimpunan parti anjuran sebuah parti politik, Pergerakan Muttahida Qaumi.

"Bom berkenaan dilekatkan pada motosikal yang melanggar bas mangsa," kata jurucakap pegawai kanan polis, Imran Shokat.

Shokat turut mengesahkan, motosikal penyerang itu diletakkan di tengah-tengah laluan sesak bandar Aisha Manzil.

Pengarah sukarelawan Pakistan memaklumkan, pihaknya percaya insiden tersebut adalah serangan terbaru kumpulan anti-polio yang sebelum ini menembak mati sembilan petugas yang lain.  - Al-Jazeera

5 dituduh rogol, bunuh pelajar perempuan




3 Januari 2013
india
Peguam-peguam di India menyertai protes di luar Mahkamah Daerah Saket hari ini. - Foto EPA
NEW DELHI - Pihak berkuasa India secara formal mengenakan tuduhan merogol dan membunuh ke atas lima lelaki berhubung kejadian seorang pelajar perempuan berusia 23 tahun dirogol bergilir-gilir dalam sebuah bas sedang bergerak di sini, pertengahan bulan lalu.
Selepas dirogol, mangsa dan rakan lelakinya dicampak keluar dari bas.
Polis berkata, pihaknya mahu meminta agar mahkamah mengenakan hukuman mati ke atas tertuduh.
Pendakwa Raya Rajiv Mohan memfailkan tuduhan merogol, memusnahkan bukti, menculik, membunuh dan tuduhan-tuduhan lain.
Kelima-lima mereka akan dibicarakan di sebuah mahkamah khas, yang akan mendengar kes itu dengan segera.
Suspek keenam, seorang bawah umur, tidak dibawa ke mahkamah hari ini.
Laporan media menyebut bahawa tuduhan ke atas mereka didengar di depan majistret hari ini dan akan dipindahkan ke mahkamah khas. Prosiding dijangka bermula hujung minggu ini.
Mahkamah dijadual akan meneliti dokumen kes setebal 1,000 halaman termasuk keterangan mangsa.
Pelajar perempuan itu meninggal di Singapura ketika menerima rawatan susulan.

2 kereta Presiden NGO R disimbah cat merah



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
2 kereta Presiden NGO R disimbah cat merah
Kereta Nazri disimbah cat merah.
KOTA BHARU - Dua kereta milik Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (NGO R), Nazri Deraman dan isterinya pecah cermin belakang di samping disimbah cat merah dalam kejadian di Nilam Puri pagi tadi.

Akibat kejadian itu, Nazri menanggung kerugian lebih RM 3,000.

Nazri mengesyaki perbuatan khianat itu dilakukan pihak yang iri hati terhadap perjuangan beliau yang menuntut bayaran royalti minyak ke atas rakyat Kelantan daripada Kerajaan Pusat.

Ekoran kejadian itu, beliau akan membuat laporan polis.

Mayat lelaki ditemui di kaki lima di Bayan Lepas




3 Januari 2013
GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemui mati, dipercayai terjatuh dari tebing tinggi sebuah kawasan perumahan di Jalan Bayan Lepas, dekat sini malam tadi.
  
Mayat Yussof @ Mohamad Yussof Othman, 69, ditemui terbaring di kaki lima berhampiran tebing kawasan perumahaan berkenaan oleh orang awam yang melalui tempat itu pada pukul 9.50 malam.
  
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zin berkata lelaki yang berasal dari Sungai Nibong Kecil, di sini, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
  
"Siasatan awal mendapati mangsa terjatuh dari tempat tinggi yang dipercayai tebing kawasan perumahan berkenaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi Ibu Pejabat Polis Barat Daya, di sini hari ini.
  
Beliau berkata setakat ini polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
  
Sementara itu, Mohd Hatta berkata pihaknya menerima 11 motosikal baru untuk pasukan URB menjalankan rondaan di daerah Barat Daya.
  
"Kami akan menumpukan kawasan taman perumahan untuk mengurangkan kadar jenayah," katanya dan memberitahu pihaknya akan menerima enam buah lagi motosikal berkenaan dalam tempoh terdekat.  - Bernama

3 rumah disamun dalam 3 tiga jam kumpulan lelaki sama




3 Januari 2013
KUANTAN - Polis percaya tiga kejadian samun dalam rumah dalam tempoh tiga jam di sini semalam dilakukan kumpulan lelaki yang sama mengakibatkan kerugian hampir RM80,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata dalam kejadian pertama di Lorong Pelindung 33, di sini pukul 8.30 malam, empat lelaki bertopeng bersenjata parang menceroboh masuk rumah seorang ahli perniagaan dengan cara mengumpil pintu depan.
Ahli perniagaan berkenaan, Gow Jun Hor, 22, dalam aduannya berkata beliau berada di kedainya di Lorong Seri Kuantan apabila diberitahu ibunya mengenai kejadian dan terus bergegas balik ke rumah.
"Suspek bertindak mengeledah dalam rumah sebelum merampas barang-barang kemas dan wang tunai berjumlah kira-kira RM55,000. Ibu pengadu tidak dapat mengenali suspek kerana kesemua mereka menutup muka," kata Abdul Aziz ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata ibu pengadu tidak diapa-apakan dalam kejadian tersebut.
Abdul Aziz berkata satu jam kemudian, rumah seorang lagi ahli perniagaan di Lorong IM 2/90 dekat Bandar Indera Mahkota, diceroboh empat lelaki bertopeng dan bersenjata parang yang berjaya melarikan barang kemas, jam tangan berjenama dan wang tunai semuanya bernilai kira-kira RM20,000.
"Ketika kejadian ibu ahli perniagaan itu yang tidak dicederakan juga berada di dalam rumahnya yang dipasang kamera litar tetapi penjenayah berjaya melarikan alat berkenaan," katanya.
Aziz berkata dalam kejadian sebelum itu pukul 7.40 malam, sebuah rumah di Lorong Tok Sira 4/2 Taman Melor juga disamun sembilan lelaki bersenjatakan parang yang hanya sempat melarikan seutas gelang tangan dianggarkan bernilai RM3,000.
Beliau berkata penjenayah dipercayai daripada kumpulan yang sama melarikan diri menaiki dua buah kenderaan dan pihaknya sedang menyiasat, mengesan serta memburu suspek.- Bernama

Tanah runtuh di Subang, 6 kereta tertimbus




3 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Enam kereta tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berhampiran Balai Polis Putra Height, Subang Jaya, dekat sini hari ini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, kejadian itu dilapor berlaku pada pukul 6.12 petang.
"Sehingga kini maklumat yang diterima hanya melibatkan kenderaan yang tertimbus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sehingga kini kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan oleh tujuh anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang. - Bernama

Gadis dakwa puteri sultan



SEORANG gadis berusia 26 tahun mendakwa dirinya puteri seorang sultan di sebuah pusat hiburan, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur awal pagi semalam untuk mengelak ditahan pihak berkuasa dalam operasi cegah maksiat.
KUALA LUMPUR 1 Jan. - Gara-gara ingin melepaskan diri daripada ditangkap pihak berkuasa dalam operasi cegah maksiat, seorang gadis sanggup mendakwa dia adalah puteri kepada seorang sultan.
Gadis berusia 26 tahun itu mendakwa sedemikian ketika ditahan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy di sini awal pagi ini.
Dia yang berasal dari Kapit, Sarawak turut mendakwa telah membuat satu laporan polis berhubung statusnya pada 3 November lalu.
Operasi dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia itu dijalankan bagi mencegah maksiat yang dilakukan umat Islam sempena sambutan tahun baharu.
Semasa serbuan, seramai 99 wanita dikenakan tindakan kerana berpakaian menjolok mata serta diberi surat perintah hadir ke ibu pejabat Jawi pada 29 Januari ini dan jika gagal mereka akan dikenakan waran tangkap mengikut Seksyen 29 Akta 559 Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.
Menurut Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad, keseluruhan yang dikenakan tindakan adalah 110 orang daripada kira- kira 500 pengunjung beragama Islam di pusat hiburan itu.
Katanya, mereka ditahan kerana menghalang penjawat awam, lelaki berpakaian wanita dan minum arak.
"Kesemua yang dikenakan tindakan berusia lingkungan 20 hingga 30 an dan rata-rata berasal dari luar Lembah Klang termasuk dari Kelantan, Kedah dan Johor.
"Operasi kali kedua di Jalan Doraisamy itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berhubung pusat hiburan yang menjadi lokasi tumpuan umat Islam setiap kali sambutan tahun baharu," katanya yang ditemui selepas operasi dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130102/je_02/Gadis-dakwa-puteri-sultan#ixzz2GvHXTmYg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Juruteknik mati ditembak



ANGGOTA polis melakukan siasatan selepas seorang juruteknik maut setelah ditembak dari jarak dekat ketika sedang menunggang motosikal di Taman Merpati, Rahang, Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin. - BERNAMA
SEREMBAN 1 Jan. - Seorang juruteknik di sebuah pasar raya di sini dan juga bekas banduan maut akibat terkena tiga das tembakan jarak dekat di dada dan kepalanya oleh dua lelaki ketika menunggang motosikal di Taman Merpati, Rahang dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.20 malam itu, Y. Gopal, 34, mati di hadapan pagar sebuah rumah.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Supritendan Lim Kim Fook berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Seri Kemban dekat sini.
"Mangsa dikatakan baru sahaja tamat waktu kerja dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha LC135.
"Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, muncul sebuah motosikal dinaiki dua lelaki yang terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa. Tembakan itu menyebabkan mangsa rebah di tempat kejadian bersama motosikalnya.
"Pemeriksaan mendapati mangsa terkena dua das tembakan di dada dan satu di kepalanya. Kita juga menemui beberapa butir kelongsong peluru di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Kim Fook, siasatan awal mendapati mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia sembilan bulan hingga 13 tahun memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau termasuk samun dan dadah.
Kata beliau, pihaknya masih menyiasat motif sebenar pembunuhan itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil atau salurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk bedah siasat," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130102/je_01/Juruteknik-mati-ditembak#ixzz2GvHKFGKY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Guru warga Malaysia ditangkap menipu peniaga berlian di India



KUALA LUMPUR 2 Jan. - Polis India memberkas seorang guru lelaki warga Malaysia di Chinniampalayam, Coimbatore, India kelmarin kerana menipu seorang peniaga berlian di negara tersebut.
Mangsa berasal dari Chennai, India mendakwa mengalami kerugian lebih 10 lakh (RM55,796) setelah menyerahkan cincin dan rantai leher bertatahkan berlian kepada suspek yang mendakwa berminat membeli barang kemas tersebut pada 13 Oktober lalu.
Sumber berkata, suspek dikenali sebagai M.Ravi, 44, yang bekerja sebagai guru di negara itu, ditahan oleh polis selepas mangsa yang gagal mengesannya tampil membuat laporan polis.
Menurutnya, Ravi yang bekerja sebagai guru di Chinniampalayam telah menghubungi peniaga dari Chennai itu melalui telefon memaklumkan ada ramai usahawan berminat membeli berlian daripadanya jika pergi ke bandar tersebut.
Dalam perbualan tersebut, katanya, Ravi turut berjanji akan menanggung kos perjalanan membawa berlian itu dari Chennai ke bandar berkenaan.
"Mangsa yang mempercayai kata-kata suspek kemudian pergi ke Chinniampalayam membawa berlian diminta dan menyerahkan barang kemas tersebut kepada Ravi di sebuah pangsapuri di Peelamedu dalam daerah Chinniampalayam.
"Suspek berjanji akan membayar tunai barang kemas tersebut tetapi meminta mangsa menunggu di pangsapuri itu dengan alasan dia mahu menyimpan berlian berkenaan di beberapa rumah lain tidak jauh dari situ bagi mengelak dikesan pegawai cukai dan dipaksa membayar cukai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek menghilangkan diri selepas mengambil barang kemas tersebut dan usaha mengesannya juga gagal sehingga memaksanya membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan suspek kelmarin.
Sumber berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis berjaya menemui semula barang kemas yang diambil daripada mangsa sebelum ini.
Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan polis sedang menyiasat beberapa lagi rakyat Malaysia lain yang ditangkap di negara itu kerana terlibat dalam kes penipuan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130103/je_05/Guru-warga-Malaysia-ditangkap-menipu-peniaga-berlian-di-India#ixzz2GvH0XzVz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'DSP' ditahan cuba sogok Inspektor RM200



SHAH ALAM 2 Jan. - Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Deputi Supritendan (DSP) ditahan ketika cuba merasuah seorang Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini kelmarin.
Suspek berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.15 petang ketika cuba memberi rasuah RM200 supaya Inspektor berkenaan melepaskan dua suspek yang terlibat dengan satu kes samun dan rogol seorang warga Indonesia di Mentari Business Center, Sungai Way dekat sini pada 23 Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek yang cuba memberi rasuah kepada pegawai polis itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes penyamaran dan penipuan.
"Kita turut merampas wang tunai yang cuba diberikan kepada Inspektor berkenaan untuk dijadikan bukti," katanya di Pusat Media Selangor di sini petang ini.
Tambah Mohd. Adnan, pihaknya telah menyerahkan suspek dan semua barang bukti kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130103/je_03/DSP-ditahan-cuba-sogok-Inspektor-RM200#ixzz2GvGqyXqR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 suspek ditahan, rampas 3 pucuk pistol



Mazlan Kesah (tengah) menunjukkan pistol yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kepala Batas, semalam.
KEPALA BATAS 2 Jan. - Polis menahan empat penjenayah termasuk dua wanita serta merampas tiga pucuk pistol berserta 68 butir peluru dalam serbuan di sebuah rumah di sini awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, bertindak atas maklumat orang ramai, pihaknya melakukan serbuan itu kira-kira pukul 1 pagi dan menahan kesemua suspek berusia 39 hingga 72 tahun.
"Hasil pemeriksaan, polis merampas tiga pucuk pistol iaitu jenis LLMA, Sig Sauer dan satu lagi tiruan. Turut ditemui 68 butir peluru bersaiz antara 9 milimeter (mm), .32mm dan .45mm.
"Polis juga menemukan 90 kotak rokok pelbagai jenis yang dipercayai cuba diseludup suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini.
Beliau memberitahu, polis akan menyiasat penglibatan kesemua suspek dalam lima kes jenayah bersenjata api antaranya seorang lelaki ditembak di kepala di Mak Mandin pada 2 Februari tahun lalu.
"Polis juga percaya penangkapan empat suspek tersebut dapat menyelesaikan beberapa kes tembakan di negeri ini.
"Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130103/je_02/4-suspek-ditahan-rampas-3-pucuk-pistol#ixzz2GvFEYsLn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Zarina Anjoulie, rakan tidak mengaku miliki dadah



ZARINA Anjoulie Lavocah (tengah) menutup mukanya daripada dirakam oleh pihak media ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A.MAJID
PETALING JAYA 2 Jan. - Pelakon dan model kontroversi, Zarina Anjoulie Lavocah dan rakannya yang merupakan seorang pelajar kolej didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki dadah jenis Eramin 5 seberat 0.6 gram, tiga hari lalu.
Zarina dan Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, masing-masing berusia 26 tahun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nazri Omran.
Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul yang pernah membintangi drama Anak Pontianak didakwa bersama-sama Mohamad Fakhruzaim memiliki dua biji pil Eramin 5 seberat 0.6 gram di rumah No. C-3-10 Armanee Condo, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai di sini pada pukul 5.30 petang, 30 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Bukhari Wan Mohd. yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.
Peguam bela, Haijan Omar yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan kedua-dua anak guamnya masih belajar di sebuah kolej swasta dan telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Nazri kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Februari ini.
Kedua-duanya membayar jaminan masing-masing.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130103/je_01/Zarina-Anjoulie-rakan-tidak-mengaku-miliki-dadah#ixzz2GvEnui4U
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mangsa cuba dilanggar bas



Penunjuk perasaan di india melaungkan slogan antikerajaan berhubung jenayah rogol ekoran kematian seorang pelajar perubatan di New Delhi, semalam. - AFP
NEW DELHI 2 Jan. - Bukan sahaja dirogol dan dicampak dari bas, tetapi cuba dilanggar dengan bas oleh kumpulan lelaki yang merogol pelajar perubatan hingga meninggal dunia di Singapura minggu lalu.
Gadis malang berusia 23 tahun bagaimanapun diselamatkan oleh teman lelakinya.
Lima lelaki telah ditangkap dalam kejadian jenayah terburuk di India dan mereka dijangka didakwa atas kesalahan membunuh dan merogol esok di mahkamah khas bagi mempercepatkan kes itu.
Menurut dokumen polis yang akan difailkan di mahkamah esok, teman lelaki mangsa yang turut dipukul dan dicampak keluar bas tersebut selepas gadis itu dirogol, sempat menyelamatkannya daripada dilanggar kenderaan itu.
Akhbar dan televisyen tempatan melaporkan, mangsa sempat menggigit tiga perogol ketika cuba melawan mereka.
''Kecederaan dialami suspek serta bukti forensik seperti sampel darah, air mani dan rambut serta keterangan teman lelaki mangsa, dijangka menjadi bukti utama terhadap suspek-suspek,'' kata laporan tersebut.
Menteri Dalam Negeri India, Sushilkumar Shinde semalam berkata, lima suspek tersebut mungkin dijatuhkan hukuman mati jika didapati bersalah dan dakwaan terhadap mereka adalah kuat.
Akhbar The India Express melaporkan, gadis dan teman lelakinya dibogelkan dan dicampak keluar dari bas tersebut.
''Rakan mangsa sempat menyelamatkannya apabila melihat bas itu berundur untuk melanggar gadis tersebut,'' lapor akhbar itu semalam.
Akhbar The Times of India melaporkan, kertas pendakwaan dipercayai akan memberi maklumat terperinci bermula dengan bagaimana pemandu bas awam tersebut bersama rakan-rakannya melakukan perbuatan tersebut.
''Satu daripada tuduhan yang bakal dikenakan adalah cubaan memusnahkan bukti kerana pemandu bas itu cuba membasuh kenderaan tersebut dan membakar pakaian yang diambil daripada mangsa,'' lapor akhbar berkenaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130103/lu_01/Mangsa-cuba-dilanggar-bas#ixzz2GvCkBmpq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

16 orang maut dalam rempuhan di Angola



JOHANNESBURG 3 Jan. - Seramai 16 orang maut termasuk empat kanak-kanak, manakala 120 cedera dalam insiden rempuhan di Luanda, Angola kelmarin.
Menurut pegawai polis tempatan, Paulo Gaspar de Almeida, kejadian itu berlaku ketika orang ramai bersesak-sesak untuk mengambil sejumlah paket yang berisi air suci di pintu masuk Stadium Cidadela.
"Kebanyakan mangsa terkorban kerana sesak nafas, selain cedera akibat ditolak serta dipijak.
"Penduduk tempatan percaya air suci itu mempunyai mukjizat untuk pelbagai perkara," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130103/lu_12/16-orang-maut-dalam-rempuhan-di-Angola#ixzz2GvCCQDOe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pelajar maut jatuh tingkat 21



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Pelajar maut jatuh tingkat 21
Mayat mangsa ditemui pengawal keselamatan dalam keadaan berlumuran darah.
GEORGETOWN - Seorang pelajar tingkatan enam tidak sempat menghadiri hari pertama persekolahannya bagi sesi 2013 apabila ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah kondominium di Lebuh Tengku Kudin 2, Gelugor di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi, Cheng Bing Her, 18, ditemui oleh pengawal keselamatan dalam keadaan terbaring berlumuran darah berhampiran kawasan tempat letak kereta.

Siasatan awal polis mendapati mangsa mungkin terjatuh dari biliknya apabila mendapati tingkap biliknya itu berada dalam keadaan terbuka.  

Menurut sumber, sebelum kejadian, ibu mangsa menegur dan menasihati Bing Her agar menumpukan kepada pelajarannya dan fokus kepada persekolahan yang bakal bermula.

Sumber itu berkata, ketika kejadian semua ahli keluarganya sudah tidur dan kejadian itu hanya disedari selepas mendengar bunyi bising di bahagian bawah perumahan.

“Seorang penduduk yang terdengar bunyi dentuman kuat melaporkan kepada pengawal keselamatan dan beberapa minit kemudian mayat mangsa ditemui sudah tidak bernyawa lagi.

“Mangsa seorang pendiam dan dikatakan mempunyai masalah pembelajaran,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Kong Meng berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Mayat dibawa ke Hopital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Remaja diserang sawan ditemui lemas




2 Januari 2013
SETIU - Seorang remaja lelaki ditemui lemas di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Kampung Bukit-Kampung Las, Sungai Tong di sini semalam dikatakan akibat diserang sawan ketika menunggang motosikal.
  
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu Muhamad Shahrin Shafie, 16, terbabas ke dalam sebuah lopak setelah diserang penyakit itu.
  
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abd Rahman Raja Mohamad berkata beberapa penduduk kampung yang melalui kawasan itu tidak lama kemudian ternampak motosikal mangsa terbenam dalam lopak yang terbentuk selepas hujan lebat.
  
Berdasarkan nombor plet motosikal, penduduk kampung memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa.
  
Penduduk kampung kemudian menjalankan operasi mencari di lokasi kejadian sebelum menemui mangsa terbenam di dasar lopak berkenaan.
  
"Siasatan awal mendapati mangsa diserang sawan ketika menunggang motosikal...menyebabkan dia terbabas lalu terjatuh ke dalam lopak air," kata Abd Rahman kepada pemberita di sini hari ini.
  
Hasil laporan bedah siasat di Hospital Setiu menunjukkan mangsa mati akibat lemas.  - Bernama

Polis rampas dua pistol, 67 peluru hidup serbuan di Kepala Batas




2 Januari 2013
KEPALA BATAS - Polis menahan dua lelaki dan dua wanita serta merampas dua pucuk pistol dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini awal hari ini.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata operasi pada pukul 1 pagi oleh polis Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu turut menemui 67 peluru hidup pelbagai saiz dan sepucuk pistol tiruan.
  
"Hasil risikan dan maklumat awam, polis yakin suspek berumur antara 38 dan 69 tahun itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes samun menggunakan senjata api di sekitar daerah SPU dan kes bunuh seorang lelaki Febuari tahun lepas di sini," katanya kepada pemberita.
  
Beliau berkata polis turut merampas 80 kartun rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
 
Kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya. 
  
Mazlan berkata kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan maksimum enam kali kerana memiliki peluru hidup.
  
Sementara itu, Mazlan berkata dua remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes ragut sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Permatang Manggis di sini Jumaat lepas.
  
Dalam kejadian pada pukul 7.45 malam itu, A. Joseph, 64, dan isteri A.Alaies, 52, dalam perjalanan dari rumah mereka di Bagan Ajam ke Kepala Batas untuk menghadiri sambutan hari jadi anak saudara mereka.
  
Suspek dikatakan menghimpit dan menolak motosikal yang dinaiki pasangan itu selepas meragut rantai emas isteri mangsa yang membonceng di belakang.
  
Beliau berkata dua remaja berkenaan ditahan reman bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Rakyat India didakwa edar 4.9kg dadah




2 Januari 2013
KUANTAN - Seorang lelaki warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methaphetamin seberat 4.9 kilogram, pada 26 Disember lepas.
  
Abdulmunab Abdulkareem, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di pintu hadapan Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, di sini, pada pukul 8.10 pagi.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
membawa hukuman mati mandatori.
  
Majistret Rini Triany Mohd Ali menetapkan 1 Februari ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
  
Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang jurutera perunding di sebuah syarikat swasta dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM750 daripada seorang kontraktor pusat pelupusan sampah.
 
Khusairi Namrun, 30, didakwa menerima suapan itu daripada Zulhaimi Ismail sebagai dorongan untuk tidak melakukan pemeriksaan ke atas kerja-kerja pembinaan loji rawatan air resapan Pusat Pelupusan Sampah di Padang Sertik, Bentong.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
  
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tapak pelupusan sisa pepejal di Padang Sertik, Bentong pada pukul 2.48 petang, 16 Oktober lalu.
  
Khusairi membayar denda tersebut. - Bernama

Polis palsu ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
SHAH ALAM – Seorang lelaki yang menyamar sebagai polis ditahan selepas cuba menyogok seorang pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Isnin lalu.

Lelaki berusia 51 tahun itu cuba merasuah polis berpangkat Inspektor untuk membebaskan seorang suspek yang ditahan berhubung kes samun dan rogol warga Indonesia pada 23 Disember lalu di Sungai Way, Petaling Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, lelaki tersebut menyamar sebagai polis berpangkat Deputi Superintendan dari Bukit Aman dan menawarkan wang RM200 kepada pegawai polis untuk membebaskan suspek.

Menurutnya, lelaki tersebut ditahan selepas menyedari keadaannya yang mencurigakan.

“Siasatan awal mendapati lelaki tersebut mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kes tipu dan menyamar mengikut Seksyen 107 Kanun Keseksaan.

“Kes dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan,” katanya.

2 maut dilanggar anak, menteri Indonesia minta maaf




2 Januari 2013
JAKARTA - Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi Indonesia, Hatta Rajasa memohon maaf kepada keluarga mangsa kemalangan maut yang membabitkan kenderaan dipandu anak lelakinya dalam kejadian awal pagi semalam.
  
Hatta yang juga besan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, membuat permohonan maaf itu pada sidang akhbar di kediamannya malam tadi, selain memohon maaf secara terus kepada keluarga mangsa.
  
Katanya beliau dan keluarga berasa kesal serta sedih dengan kejadian tersebut.
  
"Kami sekeluarga meminta maaf atas kejadian tersebut, dan kami akan memberikan perhatian  yang tinggi kepada keluarga mangsa," kata Hatta.
  
Dalam kemalangan itu, kereta yang dipandu anak bongsu Hatta, Muhammad Rasyid Amirullah Rajasa bertembung dengan sebuah van di Jalan Tol Jagorawi, mengakibatkan dua yang menaiki van itu meninggal dunia dan tiga lagi cedera ringan.
  
Mereka yang maut ialah seorang lelaki berusia 57 tahun dan seorang bayi lelaki berusia 14 bulan.
  
Menteri itu juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut termasuk  tindakan undang-undang terhadap anaknya dan berjanji memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa dan keluarga mereka.
  
Jurucakap polis pada Rabu berkata Muhammad Rasyid adalah suspek dalam siasatan kes kemalangan itu.
  
Hatta yang juga Ketua Umum Parti Amanat Nasional (PAN), sebelum ini diputuskan parti itu sebagai calonnya untuk bertanding jawatan Presiden Indonesia pada Pilihan raya Umum Presiden 2014.  - Bernama

Mayat ditemui di sebalik pintu



ROSALWANI CHE SOH
3 Januari 2013
Mayat ditemui di sebalik pintu
Mayat mangsa diusung polis untuk urusan bedah siasat.
KOTA BHARU - “Kali terakhir saya bertemu dengannya pada Khamis lalu, tidak sangka kedatangan saya ke rumahnya berlaku tragedi apabila menemui mayat rakan baik saya ini, terbaring di sebalik pintu rumah."

Demikian kata jiran warga emas yang ditemui mati, Halimah Hussin, 88, di Kampung Mengkali, Peringat di sini petang kelmarin.

Mek Nab Talib, 75, yang tinggal berseorangan, ditemui Halimah, dalam keadaan terbaring kira-kira jam 1 petang, dipercayai mati sejak lima hari lalu.

“Pada mulanya, saya memberi salam, namun tidak dijawab lalu saya terus menjenguk melalui pintu hadapan rumahnya, khuatir dengan keadaan itu saya cuba masuk ikut pintu depan yang tidak berkunci, dan terkejut melihat keadaannya terlentang dengan bau busuk yang menyengat ke hidung.

“Saya terus dapatkan jiran tetangga yang lain dan menghubungi polis untuk mengesahkan keadaan mayatnya yang ditemui dalam keadaan sedemikian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Halimah, rakannya sebelum ini tidak pernah mempunyai sebarang masalah penyakit kronik dan tinggal berseorangan di rumah berkenaan sejak 30 tahun lalu, selepas suami dan dan salah seorang dari dua anaknya meninggal dunia atas masalah kesihatan manakala seorang lagi anaknya berhijrah ke Pahang setelah mendirikan rumah tangga.

“Selama mengenalinya, dia tak pernah sakit teruk hanya kadangkala mengalami batuk-batuk sahaja.

“Tidak saya sangka, dalam keadaannya yang sihat beberapa hari lalu, saya dikejutkan dengan berita kematiannya dalam keadaan demikian, lagipun kali terakhir berjumpanya, saya janji untuk datang bertemu dengannya di rumah, bagi selesaikan urusan mengambil bantuan wang zakat di Balai Islam Lundang, kelmarin, namun hajat kami tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Mengikut laporan yang diterima, kematian mangsa disebabkan masalah kesihatan dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.

Kereta melekat depan treler



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Kereta melekat depan treler
Anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Toyota Vios.
BATU PAHAT - Seorang pemuda maut apabila kereta Toyota Vios yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 3, Jalan Batu Pahat-Muar, kira-kira jam 5.20 petang semalam.

Mangsa, Mohd Shahrein Md Nasir, 27, yang tersepit di dalam kenderaannya meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kesihatan di Klinik Kesihatan Bagan itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Tanjung.

Dalam kejadian berkenaan, treler terbabit dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh dua kenderaan lain," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Pemandu van yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk menerima rawatan.

Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khaled, Saif Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 5.40 petang.

“Enam anggota serta pegawai dikerah ke lokasi kejadian. Kami mengambil masa hampir 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu kereta itu,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga warung, Rubiah Yanis, 54, berkata, dia yang sedang berniaga di warung yang terletak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian, terkejut mendengar bunyi brek kenderaan disusuli denganbunyi dentuman.

“Pada mulanya saya sangkakan ia adalah bunyi letupan namun terkejut apabila mendapati treler terbabit merempuh dua kenderaan berkenaan.

“Toyota Vios itu pula melekat pada bahagian depan treler dan diseret sejauh beberapa meter. Saya tidak berani untuk menghampiri lokasi kejadian selepas dimaklumkan oleh orang ramai pemandu kereta itu maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Penuntut kolej jual loteri haram



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Penuntut kolej jual loteri haram
Tertuduh (kiri) bersama seorang rakannya keluar daripada Mahkamah Majistret Rompin selepas membayar denda RM700.
KUALA ROMPIN - Seorang penuntut juru gaya rambut di sebuah kolej di Seri Kembangan, Selangor, didenda RM700 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Rompin di sini, kerana menjalankan kegiatan loteri haram pada 29 Mei 2010.

Tertuduh, Kaiswaran a/l Biswalingam, 22, yang sebelum ini gagal hadir ke mahkamah serta tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku melakukan kesalahan itu di hadapan Majistret, Nordiana Abd Aziz.

Tertuduh merayu hukuman ke atasnya dikurangkan memandangkan dia masih belajar dan bergantung kepada ibunya yang bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan bulanan RM800 sebulan.

“Saya merayu denda ke atas saya dikurangkan memandangkan ini kesalahan pertama. Saya tiada pendapatan tetap kerana masih belajar dan hanya bergantung kepada ibu bagi menanggung kos pembelajaran di kolej swasta,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdul Khaliq Mustapa, meminta supaya hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepadanya agar tidak melakukan jenayah yang sama pada masa akan datang.

Setelah mendengar kedua-dua keterangan, Nordiana mengarahkan tertuduh membayar denda RM700 atau sebulan penjara sekiranya gagal melunaskan bayaran denda itu.
Tertuduh ditahan di atas jambatan berhampiran Simpang Tiga Felda Keratong 9 pada jam 5 petang pada 29 Mei 2012.

Beberapa barangan ditemui dalam sebuah beg silang berwarna putih seperti wang kertas sebanyak RM805, satu mesin jenama Porti-S, pensel, pen tanpa jenama, dua telefon bimbit dan kertas putih tercatat nombor dipercayai nombor ekor haram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000.

Lapor diri terakhir



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
3 Januari 2013
Lapor diri terakhir
Mayat mangsa ditutup dengan plastik hitam manakala motorsikal dinaiki rentung setelah terbakar akibat kemalangan di KM187.1 Lebuhraya Utara-Selatan pagi semalam.
GUNUNG SEMANGGOL - Kemalangan ngeri membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 187.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan), awal pagi semalam, menguburkan hasrat seorang pelajar perubatan yang maut dalam kejadian berkenaan.

Mangsa, Mohd Kifli Madlan, 21 merupakan pelajar tahun akhir Diploma Perubatan, sedang dalam perjalanan untuk melaporkan diri ke Kolej Perubatan Ulu Kinta ketika terbabit dalam kejadian pada 6.15 pagi itu.

Lebih memilukan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan dengan tangan kirinya putus dan sebahagian besar kaki kanannya terbakar selepas mangsa bersama motosikal yang dinaikinya di langgar serta digilis MPV terbabit.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Kechil Ulu, Bandar Baharu, Kedah ke tempat pengajiannya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC.

Menurut beliau, ketika tiba di tempat kejadian, sebuah motosikal dari jenis sama yang dinaiki seorang lelaki (belum dikenal pasti identiti) dikatakan hilang kawalan lalu terbabas di laluan kecemasan.

"Mangsa yang berada di belakang motosikal terbabit, cuba mengelak dan akhirnya turut hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan (lorong laju).

"Nasib mangsa tidak begitu baik apabila dia bersama motosikalnya digilis oleh MPV jenis Ssanyong yang kebetulan sedang memandu di laluan berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mat Fauzi menambah, kejadian telah menyebabkan tangan kiri mangsa putus sehingga paras lengan manakala kaki mangsa melecur teruk setelah motosikal yang ditunggangnya terbakar.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan punca kebakaran motosikal disebabkan percikan api kerana pergeseran setelah motosikal berkenaan dilanggar MPV terbabit.

"Pemandu MPV yang ditemui memaklumkan, dia terlihat sebuah objek di tengah lebuh raya semasa kejadian, tetapi tidak sempat mengelak kerana jaraknya terlalu dekat.

"Tambahan, keadaan masih gelap pada masa itu dan pemandu terbabit memaklumkan MPV yang dipandunya tidak mampu meneruskan perjalanan selepas satu KM meninggalkan tempat kejadian akibat kerosakan," katanya.

Menurut Mat Fauzi, kebakaran motosikal dapat dikawal oleh anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kamunting yang bergegas ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat, manakala seorang lagi penunggang motosikal dilaporkan cedera parah dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.

"Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Cedera dipukul pemilik kedai



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Cedera dipukul pemilik kedai
Permal menunjukkan tangannya yang cedera dan laporan polis yang dibuat.
JITRA - Seorang pemandu lori cedera di tangan kanan dipercayai dikasari seorang pemilik kedai runcit, dekat sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, V Permal, 53, sedang menunggang motosikalnya melalui kedai runcit tersebut dan secara tiba-tiba pemilik kedai itu bertindak memukulnya di bahagian depan serta belakang dengan topi keledar sehingga jatuh daripada motosikal.

Menurutnya, kejadian tersebut berpunca akibat daripada kes sebelum itu yang mana anak pemilik kedai itu memukul anaknya kerana dituduh tidak membayar barangan yang dibeli.

“Anaknya itu sepatutnya bertanyakan mengenai perkara itu secara baik bukannya bertindak secara melulu. Disebabkan itu, saya turut menghubungi ayahnya untuk berbincang secara baik namun panggilan tidak dijawab.

“Saya terus ke kedai terbabit bertanyakan kepada anaknya itu berhubung tindakannya namun dia terus memarahi saya dan mengeluarkan perkataan yang tak sepatutnya.

Disebabkan itu tanpa saya sedari saya bertindak memukulnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, perkara itu dipanjangkan ke balai polis dan masing-masing membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut bagi menyelesaikan perkara itu.

“Pagi itu saya ke kedai di sebelahnya untuk membeli kad tambah nilai.

“Belum pun sempat turun dari motosikal dia terus menyerang saya dan saya bernasib baik kerana tindakan itu ditenteramkan oleh orang ramai di kawasan itu.

“Kemungkinan dia tidak berpuas hati berhubung kejadian sebelum itu namun disebabkan tindakan itu saya tidak dapat keluar bekerja dan saya tidak akan berdiam diri untuk melaporkan perkara ini kepada pihak yang berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mayat hampir reput dijumpai



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Mayat hampir reput dijumpai
Penduduk menguruskan mayat Jamaluddin.
KUALA NERUS – Tanda tanya jiran tetanggan mengenai seorang lelaki yang tidak kelihatan di sekitar kampung sejak tiga hari lalu, akhirnya terjawab setelah mayatnya yang hampir reput ditemui di atas lantai dalam rumahnya, di sini.

Jamaluddin Mohd Wakil, 51, yang tinggal seorang diri di rumah bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di sini, ditemui penduduk kira-kira jam 7.30 malam semalam setelah sangsi dengan kehilangannya itu.

Kebiasaannya, hampir setiap petang mangsa menaiki basikal ke kedai berdekatan untuk minum bersama rakan-rakan yang lain, namun kelibatnya tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu sebelum mayatnya ditemui.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Air, Abu Bakar Mohamad, sebaik menghampiri rumah mangsa, penduduk mula mengesyaki sesuatu setelah melihat sekitar rumahnya dipenuhi lalat dan bau busuk.

“Sebaik pintu rumah mangsa dibuka, penduduk melihat mayatnya dalam keadaan hampir reput, kerana dia seorang penghidap penyakit kronik iaitu kencing manis, buah pinggang dan jantung.

“Pihak polis turut dimaklumkan mengenai perkara itu dan segera ke rumah mangsa. Selepas perbincangan dilakukan, pihak polis menyerahkan kepada penduduk untuk menguruskan mayat yang dipercayai mati sejak tiga hari lalu itu,” katanya.

Menyifatkan arwah sebagai lelaki yang disenangi ramai, namun hidupnya penuh derita kerana terpaksa berulang alik ke hospital kerana penyakit yang dihidapinya itu.

“Meskipun arwah bukan penduduk asal di sini, namun kebajikan dia yang hidup sebatang kara memang diberi perhatian, malah rumah yang diduduki sebelum ini baru dua tahun dihuninya dan kita bersedih dengan kematiannya ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan mengklasifikasikan kejadian mati mengejut.

Jerit nafi bakar rumah sendiri



RUBIAH OMAR
3 Januari 2013
Jerit nafi bakar rumah sendiri
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam untuk mendapat perintah tahanan reman.
KUALA TERENGGANU - Berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana tidak mendapat wang yang dimintanya, seorang pemuda 24 tahun dipercayai telah bertindak membakar rumah ibu bapanya di Kampung Maras, Batu Rakit di sini, malam kelmarin.

Menurut seorang saksi, ketika kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, suspek seperti dirasuk, menjerit mengatakan rumah itu bukan rumahnya.

"Dia juga menafikan dia yang bakar rumah itu," katanya.

Dalam aduan kepada polis, bapa suspek yang berusia 54 tahun memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian, anak ketiga daripada enam beradik itu telah menghantar SMS mengugut ibunya bahawa dia akan bakar rumah jika wang yang dimintanya tidak diberikan.

Ketika itu, semua anggota keluarga suspek berada di Putrajaya kerana bapanya yang juga seorang kakitangan kerajaan baru saja dipindahkan ke sana. Hanya suspek seorang saja yang tinggal di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, keluarga malang itu mendapat tahu hal kejadian tersebut setelah dihubungi oleh jiran tetangga dan juga saudara mereka.

"Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan telah ditahan anggota polis peronda di Batu Rakit, kini sedang direman tujuh hari bermula semalam. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat menggunakan api dengan niat untuk membinasakan," katanya.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun selain denda.

Kes rogol perlu dipandang serius



WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Kes rogol perlu dipandang serius
Ketibaan Mazlan dan peserta Konvoi Jelajah Kelantan Bersama Mencegah Jenayah diraikan Shukri (kanan, tiga), Che Malek (kanan, dua) dan barisan kepimpinan UiTM Machang.
MACHANG - Sekalipun menunjukkan penurunan, kes rogol di bawah umur perlu diberi perhatian oleh ibu bapa memandangkan kebanyakan kes bermula dengan perasaan suka sama suka.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, lebih membimbangkan apabila ia dilakukan secara bergilir-gilir dengan melibatkan ramai lelaki.

Katanya, selain kes rogol, kes curi motosikal membabitkan golongan remaja menunjukkan peningkatan dan memerlukan kerjasama orang ramai bagi sama-sama memeranginya.

“Kerjasama masyarakat bagi sama-sama memerangi jenayah memainkan peranan besar dan ia dibuktikan pada statistik jenayah 2012 yang menunjukkan pengurangan sebanyak 2.37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Selain meronda bersama polis di kawasan kejiranan masing-masing, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dan menjayakan kempen cegah jenayah.

"Semua maklumat yang disalurkan kepada polis akan diberi perhatian yang sewajarnya tanpa mendedahkan identiti pemberi maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah pencegahan jenayah sempena Konvoi Jelajah Kelantan Bersama Mencegah Jenayah di sini, Ahad lalu.

Program anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Negeri Kelantan dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) itu diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot dan Rektor UiTM, Prof Madya Dr Shukri Omar.

Mazlan berkata, program tersebut merupakan usaha berterusan PDRM dalam mengurangkan jenayah di negeri ini dengan menyampaikan maklumat pencegahan yang menyeluruh kepada masyarakat.

Katanya, menutup peluang kepada penjenayah merupakan langkah yang berkesan dan mudah termasuk mengunci kenderaan dan rumah dengan selamat.

"Tugas mengurangkan jenayah bukan mudah namun akan menjadi ringan hasil kerjasama semua pihak dalam usaha melahirkan masyarakat yang aman dan harmoni.

"Dalam pada itu, rondaan yang dilakukan oleh SRS di kawasan kejiranan masing-masing juga banyak membantu mengurangkan indeks jenayah.

"Rondaan berkenaan mampu membantutkan hasrat penjenayah melakukan aktiviti mereka,” katanya.