Search This Blog

Wednesday, January 2, 2013

3 nelayan diselamat selepas 2 hari terapung di laut




2 Januari 2013
JOHOR BAHRU - Tiga nelayan dari Tanjung Api, Kuantan diselamatkan sebuah kapal dagang semalam selepas dua hari mereka terapung di laut, kira-kira 30 batu nautika dari Tanjung Sedili, timur laut Johor.

Abdul Wahab Sidek, 62, Muhamad Abdul Mubim Abdul Wahab, 27, dan Mazuki Mohamad, 47, diselamatkan kapal 'Nueva Esperanza' kira-kira 11 pagi.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili, Kepten Maritim Rozali Mohd Said berkata bot fiber Kelas A mereka dilaporkan karam akibat dipukul ombak ketika mereka menangkap ikan kira-kira 53 batu nautika dari Kuantan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pada 4.50 petang semalam, APMM menerima maklumat bahawa kapal tersebut yang sedang dalam pelayaran dari Kuantan menuju Singapura telah menyelamatkan tiga mangsa bot karam.

Sehubungan itu, APMM kemudiannya menghantar anggota ke kapal tersebut yang  ketika itu berada kira-kira lima batu nautika dari selatan Tanjung Pengelih, katanya.

Rozali berkata, ketiga-tiga nelayan itu berada dalam keadaan selamat tetapi keletihan.

Beliau berkata, Abdul Wahab yang juga tekong bot tersebut memberitahu setelah bot mereka karam, mereka hanya berpaut kepada tong ikan sehingga mereka ditemui kapal itu. - Bernama

Lelaki Myanmar mati ditikam penyamun




2 Januari 2013
KUALA LUMPUR -  Sambutan tahun baru bagi seorang lelaki warganegara Myanmar bertukar tragedi apabila mati ditikam ketika bergelut dengan sekumpulan penyamun di Jalan Kenanga, Loke Yew, Pudu di sini.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa berumur 25 tahun dipercayai dibunuh selepas cuba melawan dengan beberapa suspek yang cuba menyamunnya.
  
"Mengikut maklumat seorang saksi, mangsa bersama beberapa rakannya sedang balik dari sambutan tahun baru, tiba-tiba dikelilingi lebih kurang 10 lelaki dipercayai untuk menyamun," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
  
Katanya, mangsa cuba melawan dengan kumpulan lelaki itu, menyebabkan salah seorang daripada kumpulan itu menikam mangsa di bahagian dada.
  
Menyaksikan kejadian itu, rakan mangsa serta kumpulan lelaki terbabit melarikan diri, katanya.
  
"Polis sedang giat mengesan kesemua suspek untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
  
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - Bernama

Mayat hampir reput ditemui di Batu Feringghi




2 Januari 2013
GEORGE TOWN - Seorang lelaki yang sedang memancing menemui mayat hampir reput di persisiran pantai berhampiran sebuah markas tentera di Batu Feringghi di sini malam tadi.
  
Mayat yang tidak dapat dikenali jantinanya itu ditemui pada pukul 8.20 malam selepas lelaki berkenaan tercium bau busuk dari kawasan sekitar.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata penemuan mayat itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak polis.
  
Mayat itu dipercayai dibawa arus ke kawasan itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau meminta mereka yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kes itu agar menghubungi pihak polis. - Bernama

Suami pukul isteri didenda RM1,800




2 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Seorang jurujual penapis air didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mencederakan isterinya, semalam.
  
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin turut memerintahkan Hazwan Sapi-ee, 24, menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda itu.
  
Hazwan didakwa mendatangkan cedera terhadap Siti Norizzah Ahmad, 24, dengan memukulnya menggunakan tangan dan kaki di Taman Aman Putra, Jinjang Utara, Sentul dekat sini, pada pukul 8 malam.
  
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya.
  
Mengikut fakta kes, tertuduh menarik mangsa masuk ke dalam bilik rumahnya lalu memukul mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka dan lebam di bahagian muka dan bibir.
  
Mangsa turut mengalami pendarahan di bahagian hidung akibat daripada perbuatan tertuduh.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping manakala Hazwan diwakili peguam Khairul Amin Abdullah. - Bernama

Bekas ASP bebas tuduhan rompak




2 Januari 2013
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) Hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan merompak dua lelaki, tiga tahun lepas.
  
Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Che Anua Che Omar, 57, di akhir kes pendakwaan.
  
Dalam penghakimannya, beliau berkata pihak pendakwaan tidak pernah mengemukakan resit pengeluaran wang daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) oleh saksi pendakwaan pertama iaitu Ahmad Shabri Mohd Halami.
  
"Selain itu tiada keterangan yang menunjukkan wang tunai serta barang kemas saksi pendakwaan pertama dirompak oleh tertuduh, wang tunai tersebut adalah kepunyaan saksi pendakwaan kedua, Kamal Ariffin Hashim yang dikeluarkan oleh Ahmad Shabri dari bank," katanya.
  
Che Anua bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang menyebabkan kerugian RM10,000 terhadap Ahmad Shabri dan Kamal Ariffin di No 44-3, Blok B, Rampai Court, Wangsa Maju di sini, pada pukul 9 malam, 5 Mei 2009.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad manakala Che Anua diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud. - Bernama

Protes gesa pemimpin letak jawatan




2 Januari 2013
HONG KONG - Puluhan ribu penduduk China melancarkan protes dengan berhimpun di jalan raya sekitar Hong Kong bagi menggesa peletakan jawatan pemimpin demokrasinya, semalam.

Menurut laporan media tempatan, Presiden Majlis Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying pernah terlibat dengan skandal sejak dilantik enam bulan lalu.

Beliau dipercayai membina rumah mewah di atas namanya sendiri yang mana secara teknikalnya melanggar undang-undang negara.

Bagaimanapun, Leung dilaporkan telah memohon maaf di atas tindakannya kerana membina kediaman peribadi tanpa persetujuan kerajaan. - Al-Jazeera

Kanak-kanak lelaki maut, ratusan cedera terkena mercun




2 Januari 2013
MANILA - Tembakan bunga api dan mercun sempena meraikan ketibaan tahun 2013 di Filipina berakhir dengan tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki maut dan lebih 400 orang cedera terkena percikan api, semalam.

Ketua polis Leonardo Espina berkata, mangsa yang maut dipercayai terkena serpihanmercun sewaktu bermain di luar rumahnya dalam daerah Mandaluyong, pinggir bandar Manila.

Katanya, pihak berkuasa kini sedang mengesan pemilik mercun berkenaan tetapi mengakui terpaksa mengambil masa yang agak lama.

"Setakat ini, kita telah menahan 10 orang yang dipercayai membakar mercun tanpa kelulusan pihak berkuasa.

"Kebanyakan yang ditahan adalah pengawal keselamatan syarikat swasta yang sedang mabuk," kata Espina.

Tambah Espina, kumpulan besar pengawal keselamatan itu turut bertindak melepaskan beberapa das tembakan dari senapang mereka sewaktu meraikan tahun baru. - AFP

Pemandu teksi pulangkan 3 juta bath




2 Januari 2013
Pongsin
Pongsin memulangkan kotak berisi jutaan wang tunai di pejabat Brink.
BANGKOK - Seorang pemandu teksi mengambil keputusan untuk memulangkan empat kotak berisi 3 juta bath (RM300,000) kepada kakitangan trak penghantaran tunai selepas menjumpainya di tepi jalan raya dalam ibu kota, awal pagi kelmarin.

Pongsin Jirakulthawornpat, 45, berkata beliau menjumpai kotak berkenaan sewaktu melalui Jambatan Rama III.

"Saya dapati, kotak-kotak ini amat berat dan bimbang akan menyebabkan kemalangan, jadi saya bawanya pulang ke rumah.

"Pada keesokan pagi, saya dapati kotak-kotak ini mengandungi wang tunai dan dipunyai Syarikat Brink," katanya merujuk kepada syarikat keselamatan dan perlindungan di negara itu.

Sementara itu, seorang daripada kakitangan syarikat, Tossaphorn Rewnak, 35, mengakui kumpulannya telah kehilangan beg berisi kotak duit berkenaan sewaktu melakukan penghantaran tunai ke mesin juruwang automatik (ATM) Bank Komersial Siam, jam 1.45 pagi. - Agensi

SK Sultan Yussuf rugi RM57,000 dipecah masuk



Sekolah pecah masuk
Keadaan SK Sultan Yussuf yang dipecah masuk mengakibatkan kerugian lebih RM57,000.
IPOH - Suasana hari pertama sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, dekat sini bertukar muram selepas 12 komputer riba milik sekolah berkenaan dilarikan penjenayah.

Sekolah itu mengalami kerugian lebih RM57,000 dalam kejadian yang hanya disedari selepas seorang gurunya mendapati bilik guru dan pejabat diceroboh pada jam 7.30 pagi, 29 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kejadian dimaklumkan kepada guru besar sekolah berkenaan yang kemudiannya membuat laporan polis.

“Berdasarkan siasatan awal yang dibuat, suspek dipercayai masuk ke kawasan sekolah melalui pagar yang telah dipotong di bahagian belakang sekolah.

“Kemudian suspek naik ke tingkat satu bangunan tanpa kamera litar tertutup (CCTV) menempatkan kedua-dua bilik terbabit, melalui pintu gril tangga yang dipercayai tidak berkunci berikutan tiadak kesan dipecahkan," katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Shaharon Anuar, suspek dipercayai lebih dari seorang telah memecah masuk bilik guru dan menyelongkar beberapa meja guru berdasarkan keadaan bilik berselerak.

Katanya, bilik guru besar yang terletak dalam pejabat terbabit diumpil dan peti besi serta almari komputer riba di dalamnya turut dipecahkan.

“Suspek mengambil beberapa komputer riba yang berada di dalam almari itu. Peti besi juga dipecahkan bagaimanapun tiada barang berharga di dalam.

“Selepas mengambil barang-barang yang dikehendaki, suspek keluar melalui jalan yang sama seperti mereka masuk,” jelasnya.

Shaharon Anuar berkata, sebanyak 12 komputer riba yang dicuri dengan nilai keseluruhan berjumlah RM57,264.50.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai didatangi mana-mana individu mencurigakan untuk menjual komputer riba dengan harga yang murah diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Suriyantee Abd Hamid di talian 05-3629222 sambungan 9066 atau telefon bimbit 017-4000950.

“Jika ada mana-mana individu yang menjual komputer riba dengan harga rendah, pastikan nombor sirinya terlebih dahulu. Jika terdapat mana-mana jenis dan nombor siri seperti mana yang dinyatakan, hubungi segera pihak polis di balai polis berhampiran atau nombor yang dinyatakan.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Ahmad Damanhuri Ibrahim ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak mengganggu sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Katanya, pihak sekolah telah diminta membuat laporan mengenai kejadian berkenaan bagi tindakan selanjutnya.

Mayat bayi lelaki ditemui terapung



30 Disember 2012
KOTA KINABALU - Mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan ditemui terapung di Pantai Kuala Laut, Taman Teluk Villa di Putatan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Ratan Kumar Singh berkata bayi malang yang dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam itu ditemui dalam keadaan bogel oleh seorang lelaki yang sedang memancing di pantai itu, pada 11.20 pagi.

"Kita percaya bayi itu baru dilahirkan berdasarkan keadaan fizikalnya yang masih sempurna dan kita masih mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan ini," katanya.

Ratan berkata bayi itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta kerjasama semua klinik kesihatan agar menghubungi balai polis berhampiran sekiranya terdapat wanita yang mencurigakan menerima rawatan di tempat mereka.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah, Penampang Inspektor Hasryman Osman di talian 088-71222. - Bernama

Warga emas kena pukul


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Januari 2013
Warga emas kena pukul
Tian Hoe ketika menunjukkan keadaan lebam yang terdapat di lengan mangsa akibat kejadian itu.
TAIPING – Seorang warga emas cedera di bahagian bahu, badan dan lengan selepas dipukul dua lelaki tidak dikenali di jalan berhampiran Pejabat Pos Pokok Assam, pada 30 Disember lalu.

Mangsa, Ng Boon Huat, 62, berkata, ketika kejadian jam lebih kurang 5.10 pagi itu, dia sedang menunggang motosikal bersendirian untuk pergi berniaga sebelum didekati sebuah motosikal ditunggang dua lelaki.

Menurutnya, pembonceng motosikal itu bertindak mengeluarkan sebilah parang, lalu memukulnya menggunakan bahagian hulu senjata berkenaan.

"Akibat pukulan itu, saya terjatuh dari motosikal dan sekali lagi dipukul oleh lelaki berkenaan.

“Kemudian dia (penjenayah) telah menarik beg duit yang  ada di dalam poket seluar dan terus melarikan diri,” katanya ketika menerima lawatan Adun Aulong, Yew Tian Hoe, di sini, semalam.

Boon Huat berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami lebam di bahagian bahu, badan dan lengan.

Jelasnya, dia turut kehilangan kad pengenalan, lesen memandu dan wang tunai RM130 dalam kejadian tersebut.

“Kerugian yang saya alami tidak  banyak, namun situasi yang berlaku memang memberi kesan kepada diri  saya.

"Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu kejadian yang sama berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Anggota polis maut


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Januari 2013
Anggota polis maut
Proton Wira dipandu mangsa remuk teruk dalam nahas di Kilometer 2, Jalan Mersing–Endau, awal pagi semalam.
Stainrod Collin Etian
Stainrod Collin Etian
MERSING - Seorang anggota  polis berpangkat lans koperal maut  selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Mersing-Endau, di sini, apabila kereta dipandunya  terbabas dan merempuh sebuah  treler yang diletakkan di tepi jalan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Stainrod Collin Etian, 26, yang  memandu Proton Wira meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Mersing, di sini, kerana mengalami  kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa adalah anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Pahang.

 Menurutnya, mangsa dipercayai baru pulang bercuti di kampungnya di Kuching, Sarawak dan baru tiba di Rompin, kelmarin.

“Mangsa dikatakan akan  mula bertugas hari ini (semalam),” katanya kepada Sinar Harian.

“Pemandu treler dilaporkan tidak mengalami  sebarang kecederaan kerana tidak  berada di dalam kenderaan berkenaan disebabkan berehat di rumah  seorang rakannya di Endau,” katanya.

Pasangan tua turut dicekup



Pasangan tua turut dicekup
Antara pasangan yang ditahan Jais dalam operasi malam kelmarin.
BATU CAVES - Pasangan kekasih tua antara dicekup dalam operasi anti zina siri 8 sekitar sini malam kelmarin.

Dalam operasi sempena sambutan tahun baru itu, seramai 21 pasangan berusia dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun ditahan. Serbuan melibatkan hotel bajet di Goh Tong, Samudera dan Sunway Batu Caves.

Pasangan berusia awal 60-an itu mendakwa berasal dari Kelantan dan menginap di hotel tersebut kerana bercuti.

Ketika disoal penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor, mereka pada mulanya mengaku suami isteri bagaimanapun gagal menunjukkan sijil nikah ketika diminta berbuat demikian.

Turut ditahan ketika serbuan ialah pasangan yang mendakwa sudah bertunang dan memberikan alasan terpaksa tinggal sebilik kerana hotel penuh.

Situasi agak tegang pada mulanya apabila pasangan terbabit enggan membuka pintu hotel ketika diketuk penguatkuasa namun akhirnya terpaksa akur.

Selain itu, hotel bajet turut dijadikan lokasi penginapan sepasang kekasih yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam sejak Ahad lalu.

Pegawai Jais yang mengetuai operasi tersebut, Luqman Ramli berkata, kesemua pasangan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan operasi berakhir pada jam 5 pagi.

Katanya, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Luqman berkata, kesemua pasangan tersebut ditahan di bawah Seksyen 29 (1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1999/1995 kerana berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan atau berkhalwat.

“Untuk tindakan selanjutnya, kesemua pasangan tersebut perlu menghadirkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak di Kuang pada 3 Januari ini.

“Operasi tersebut juga turut menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang sampel air kencingnya didapati positif dadah,” katanya.

Sementara itu, wakil MPS memaklumkan, daripada lima hotel bajet yang diserbu, tiga daripadanya dikesan tidak memperbaharui lesen perniagaan.

Terdapat juga hotel yang tidak mempunyai lesen perniagaan dan tindakan kompaun dikenakan ke atas pengusaha terbabit di bawah Undang-Undang Kecil bahagian Hotel.

Dua rakan sekerja maut


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Januari 2013
Yahaya Othman
Yahaya Othman
BANDAR PEKAN - Dua rakan sekerja maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas dan terbalik di Kilometer 31 Jalan Pekan-Nenasi, kelmarin.

Ketika kejadian 6.45 pagi itu, pemandu jip berkenaan, Chua Yeok Hwa, 30, berasal dari Jalan Sekolah, Bagan Sungai Burung, Sungai Besar, Selangor dan penumpang di bahagian hadapan, Khoo Yong Son, 57,  dari Taman Megaria 2, Kuantan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada jip yang dipandu Yeok Hwai dari arah Nenasi ke Pekan, gagal dikawal ketika tiba di tempat kejadian lalu terbabas ke kanan jalan dan terbalik.

Menurutnya, impak kejadian itu, kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan tersebut.

“Ketika kejadian, sebuah van yang dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan (Pekan) sempat mengelak ke bahu jalan walaupun van tersebut turut dirempuh sedikit di bahagian depan sebelah kanan.

“Pemandu van mengalami cedera ringan, manakala tiga lagi penumpang jip turut cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Yahaya berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa di Hospital Pekan sebelum dituntut ahli keluarga.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya mengambil iktibar di atas kejadian yang berlaku, seterusnya mementingkan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya pada setiap masa.

“Kepekaan kita dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat kepada diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Pelajar Kolej Komuniti terbabas elak lubang



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Januari 2013
Pelajar Kolej Komuniti terbabas elak lubang
Mangsa diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.
ALOR GAJAH - Seorang pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka, cedera selepas motosikal Modenas CT100 yang ditunggang terbabas sebelum dia tercampak di Jalan Perindustrian Kelemak, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Wahida Abd Rashid, 18, dari Sungai Petai ke sebuah taman di Lendu sebelum terbabas melanggar lopak lalu tercampak ke tengah jalan.

Wahida berkata, sebaik menuruni bukit di satu selekoh, motosikal yang ditunggang hilang kawalan dan memasuki jalan berumput sebelum cuba masuk semula ke atas jalan tanpa menyedari terdapat lopak.

“Jalan di situ terlalu curam dan berselekoh mengakibatkan motosikal saya terbabas ke kiri tetapi saya cuba masuk semula ke jalan namun tayar hadapan motosikal tersangkut pada lopak air yang besar dan dalam.

“Masa tu saya terasa tubuh saya melayang dan tersembam atas jalan raya sebelum terbaring di tengah jalan. Saya menyedari ada sebuah kereta melalui jalan berkenaan tetapi tidak memberhentikan kenderaannya,” katanya.

Menurutnya, dia terbaring sendirian beberapa minit dan cuba bangun sendiri tanpa dibantu orang awam, namun tidak berdaya selepas mengalami kecederaan di seluruh badan manakala dadanya terhentak ke jalan raya.

“Kebetulan ketika kejadian cuma saya melalui jalan berkenaan membuatkan saya terpaksa terbaring beberapa minit sebelum seorang pekerja di sebuah kilang berdekatan mendekati dan membantu tenangkan saya.

“Saya cuba bangun sendiri tapi gagal kemudian ada orang awam membantu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan saya diberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital,” katanya di sini.

Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Amidah Puteh berkata, setiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan terbaring berdekatan motosikalnya di tengah jalan sambil ditenangkan orang awam yang berada di situ.

“Mangsa diberikan rawatan awal di tempat kejadian dengan memasang peralatan khas di pinggang mangsa yang mengadu kesakitan akibat terhentak dan dipasang di bahagian tengkuk yang dibimbangi turut cedera.

“Sejurus rawatan awal dilakukan, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mayat pelajar ditemui dalam laut bergelora



31 Disember 2012
KUCHING - Pasukan mencari dan menyelamat terpaksa meredah laut bergelora kira-kira tujuh jam malam tadi sebelum berjaya menemui mayat pelajar lelaki yang dilaporkan hilang dibawa arus deras semasa berenang di pantai Kampung Siru Melayu, Sematan, Lundu, kira-kira 100km dari sini.

Ketua Polis Daerah Lundu, DSP Wong Chee Keong berkata, mayat Jesper Jong Yu Yu, 14, pelajar sebuah sekolah Cina di sini ditemui kira-kira 9 malam tadi selepas dilaporkan hilang pada kira-kira 2.20 petang semalam.

"Kami menerima laporan tentang kejadian itu kira-kira pukul 2.20 petang dan pasukan mencari dan menyelamat telah berjaya menemui dua mayat pertama kira-kira sejam selepas memulakan operasi mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kedua-dua mayat itu telah dikenal pasti sebagai Ling Chok Liong, 78, dan Ting Kuo Liong, 69, katanya.

Wong berkata, ketiga-tiga mangsa bersama-sama empat rakan lain yang merupakan anggota Gereja Methodist Kuching telah pergi berkelah di pantai tersebut sebelum kejadian itu berlaku.- Bernama

Peniaga bihun sup maut



Peniaga bihun sup maut
Mohamm ad Syawal
Peniaga bihun sup maut
kemalangan di Batu 11, Jalan Sungai i Petani-Kota Setar
YAN - Seorang peniaga bihun sup maut setelah keretanya terbabas lalu merempuh pokok sehingga terputus dua sebelum bahagian depan terjunam ke dalam Terusan Wan Mat Saman di Bukit Besar di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam di Batu 11, Jalan Sungai Petani-Kota Setar ketika mangsa, Mohammad Syawal Ismail, 23,  memandu kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Kota Sarang Semut dari arah Gurun.

Mangsa maut di tempat kejadian disebabkan mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

“Akibat rempuhan kuat, kereta terputus dua dan mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu terjunam ke dalam terusan bersama separuh badan kereta manakala bahagian belakang kereta tersangkut pada pokok.

“Jarak antara bahagian belakang kereta yang terputus dengan bahagian depan kira-kira 15 meter,” katanya.

Ismail berkata, kereta itu dipercayai dipandu laju dan kemungkinan terbabas disebabkan permukaan jalan licin kerana kejadian berlaku ketika hujan.

“Kita juga akan menghantarnya ke Puspakom untuk mengenal pasti sama ada ia adalah kereta potong atau tidak,” katanya.

Sementara itu, ibu tiri mangsa, Nazila Ariffin, 30, berkata, Mohammad Syawal menunjukkan tanda pelik apabila tidak mahu membantu berniaga bihun sup seperti biasa di pasar pagi Pekan Jeniang awal pagi kelmarin.

“Kebiasaannya arwah rajin membantu ayahnya berniaga di mana-mana pasar pagi tetapi semalam (kelmarin) enggan berbuat demikian.

“Namun saya tidak berfikir perkara buruk kerana menyangka mungkin disebabkan adik-adiknya yang selama ini membantu berniaga sudah mula bersekolah menyebabkannya tidak mahu membuka gerai kerana terpaksa menguruskan perniagaan seorang diri,” katanya.

Nazila berkata, walaupun Mohammad Syawal hanya anak tiri namun hubungan mereka rapat terutama dengan anak bongsunya kerana mereka tinggal bersama dan arwah seorang yang sangat peramah.

Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Sarang Semut kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Empat gadis kantoi dicekup malam tahun baru



WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Januari 2013
Empat gadis kantoi dicekup malam tahun baru
Empat gadis yang ditahan sedang disoal siasat di hadapan pintu masuk kelab eksklusif dalam serbuan sempena tahun baru di Kuala Terengganu malam semalam.
KUALA TERENGGANU – Empat gadis antara yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jaheat) dalam serbuan sempena sambutan tahun baru di sebuah kelab eksklusif di sini, malam semalam.

Dalam serbuan bermula jam 12 tengah malam itu, keempat-empat gadis berkenaan yang berusia lingkungan 20-an ditahan kerana didapati berpakaian tidak sopan di tempat awam.

Pesuruhjaya Jaheat, Datuk Rozali Salleh berkata, maklumat awal risikan mendapati penganjur secara terang-terangan mengiklankan parti itu dalam laman sosial Facebook.

“Bayaran serendah RM50 seorang yang ditawarkan menjadi taktik penganjur untuk menarik golongan pelajar dan belia menyertai parti ini.

“Melalui risikan kami (Jaheat), kebiasaannya parti sebegini ditawarkan dengan harga yang mahal dan tidak seperti yang dilakukan penganjur kali ini,” katanya kepada pemberita.

Keempat-empat gadis berkenaan bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di bawah Seksyen 35, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001, kerana mendedahkan tubuh di tempat awam dan berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau tidak melebihi enam bulan penjara atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Dalam masa sama Rozali menegaskan, operasi yang dilaksanakan adalah sebagai peringatan kepada orang ramai terutama penganjur supaya tidak sewenang-wenangnya mengadakan parti yang melanggar peraturan ditetapkan.

“Terengganu bukan tempat mereka boleh mengadakan parti seperti ini. Sebenarnya kita tidak melarang untuk berhibur tetapi perlu ada disiplin kerana sebagai umat Islam tidak boleh mengambil minuman keras, berpakaian mencolok mata dan sebagainya,” katanya.

Serbuan yang berakhir jam 3 pagi itu melibatkan 80 anggota daripada Polis Diaja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jaheat.

Dua rakan maut selepas sambut tahun baru



NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
2 Januari 2013
Dua rakan maut selepas sambut tahun baru
Anggota bomba mengeluarkan tiga rakan yang tersepit dalam kereta selepas kenderaan terbabas dan melanggar tiang lampu ketika sambutan tahun baru di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan
Dua rakan maut selepas sambut tahun baru
Anggota bomba mengeluarkan tiga rakan yang tersepit dalam kereta selepas kenderaan terbabas dan melanggar tiang lampu ketika sambutan tahun baru di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan
Dua rakan maut selepas sambut tahun baru
Anggota bomba mengeluarkan tiga rakan yang tersepit dalam kereta selepas kenderaan terbabas dan melanggar tiang lampu ketika sambutan tahun baru di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan
Dua rakan maut selepas sambut tahun baru
Rashidi dan isteri, Wan Norhayati bersama ahli keluarga menunggu jenazah mangsa sebelum dibawa pulang ke Kota Bharu, Kelantan untuk dikebumikan.
KUANTAN - Hasrat tiga rakan keluar makan lewat malam selepas meraikan sambutan tahun baru 2013 bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut setelah kereta yang dinaiki terbabas sebelum melanggar tiang lampu di Jalan Tanjung Lumpur di sini awal pagi semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 3.45 pagi itu, mangsa, Wan Adnan Wan Mustafha, 23 berasal dari Kemumin, Kota Bharu, Kelantan yang berada di tempat duduk penumpang belakang mati di tempat kejadian manakala rakannya  Sahrizal Abu Bakar, 33 dari Kampung Sungai Ular dekat sini meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Seorang lagi rakan mereka  yang memandu kereta Proton Wira  Aeroback itu dilaporkan parah dan kini dirawat di hospital sama.

Hasrat pandu Satri Neo tidak kesampaian

Abang Ipar Wan Adnan, Rashidi Mohd Ramli, 45 ketika ditemui di Unit Forensik HTAA semalam memberitahu, kegembiraan mereka sekeluarga menyambut tahun baru direntap selepas mendapat berita berhubung kemalangan yang menimpa adik iparnya itu.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian, mereka sekeluarga sempat berkumpul dan makan bersama di rumahnya di Beserah sempena meraikan hari jadi salah seorang ahli keluarga.

“Ketika itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap kerana dia seorang yang agak pendiam dan terus kembali ke biliknya selepas jamuan selesai.

“Malam tadi (kelmarin) rakannya yang turut terlibat dalam kemalangan ini datang ke rumah menjemputnya keluar sebelum kami mendapat berita dia bersama seorang lagi maut dalam kemalangan ini,” katanya.

Rashidi berkata, arwah merupakan anak kelapan daripada sembilan adik beradik dan bekerja sebagai operator kren di sebuah kilang di Gebeng.

“Arwah seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarga, setiap bulan sebahagian daripada gajinya digunakan untuk membantu keluarga di kampung.

“Baru-baru ini dia menempah kereta idamannya, Proton Satria Neo namun hajatnya untuk memandu kereta itu tidak kesampaian,” katanya.

Rashidi yang turut ditemani isteri, Wan Nor Hayati Wan Mustafha, 44 berkata, jenazah arwah akan dihantar ke Pengkalan Chepa, Kelantan untuk dikebumikan.

Arwah anak yang baik

Sementara itu bapa kepada Sahrizal, Abu Bakar Mat Tahir, 64 berkata, anaknya yang kini bekerja sebagai nelayan tergolong dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) setelah terlibat kemalangan empat tahun lalu.

Menurutnya, arwah merupakan anak kelima daripada 12 beradik dan tinggal bersama keluarga di Kampung Sungai Ular.

“Saya tidak tahu jam berapa dia keluar malam tadi (kelmarin) selepas dua rakannya itu datang ke rumah mengajaknya untuk meraikan tahun baru.

“Lebih kurang jam 4.45 pagi salah seorang anak saya datang ke rumah memberitahu Sahrizal kemalangan dan meninggal dunia,” katanya yang masih terkejut dengan kemalangan yang menimpa anaknya itu.

Abu Bakar berkata, anaknya yang masih bujang itu seorang yang pendiam namun seorang yang baik dan bertanggungjawab.

“Kali terakhir kami bertemu petang kelmarin dan ketika itu sikapnya seperti biasa,” katanya.

Dia berkata, jenazah anaknya itu akan dibawa pulang selepas proses bedah siasat selesai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Ular.

Kereta terbabas langgar tiang lampu

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, tiga rakan itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Tanjung Lumpur.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian selepas Jambatan Tanjung Lumpur, kereta yang dinaiki tiga rakan itu dipercayai terbabas semasa melalui  laluan berselekoh di situ.

“Kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang lampu yang berada di tengah laluan tersebut,” katanya ketika dihubungi  Sinar Harian petang semalam.

Abdul Aziz berkata, punca sebenar kemalangan yang meragut dua nyawa itu masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki mengaku bersalah pukul isteri guna besi


Lelaki mengaku bersalah pukul isteri guna besi
Tertuduh diiringi polis masuk ke mahkamah untuk berdepan tuduhan memukul isterinya, semalam.
KOTA BHARU – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memukul isterinya dengan besi, Jumaat lalu.

Hukuman terhadap lelaki itu bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu laporan perubatan berhubung kecederaan yang dialami mangsa.

Mohd Zulkifli Husein, 38, dari Jalan Hospital, di sini didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Siti Meriam Mohamad, 37, di rumah tidak bernombor Kampung Che Deris Badang di sini, pada jam 8.15 malam, 28 Disember lalu.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Terdahulu, Noor Dayana menawarkan jaminan RM8,000 dan tertuduh merayu jumlah jaminan itu dikurangkan.

Mohd Fazaly Ali bagaimanapun mengekalkan jumlah jaminan terbabit. Kes bersambung 3 Mac depan.

13 kaki judi terima padah



Kaki judi terima padah
Kesemua tertuduh diiringi polis keluar dari mahkamah untuk menjelaskan denda tersebut, semalam.


KOTA BHARU – Padah berjudi di bangsal penyembelihan, 13 lelaki termasuk warga emas didenda RM3,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Kesemua tertuduh berusia antara 40 dan 62 itu turut dijatuhi hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mereka ialah, Mahadi Salleh, Mat Ariffin Ibrahim, Danil Othman, Mohd Yusoff Abd Rahman, Ahmad Jaafar, Wan Roslidi Wan Yusof, Narzi Hasan, Shafei Ismail, Mohamed Abdullah, Mohamad Shafie, Jamri Mohd Nor, Zainuddin Awang dan Kamarulzaman Shafie.

Kesemuanya mengaku bersalah berjudi dengan menggunakan dadu bermuka bunga, ikan, udang serta belangkas dan wang tunai sebagai pertaruhan.

Kesalahan dilakukan di sebuah bangsal penyembelihan berhampiran kandang lembu di Kampung Chekok, Kota Bharu di sini, pada jam 2 pagi, 28 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam di hadapan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Nuri Abd Rahman.

Dalam serbuan awal pagi Jumaat itu, pihak berkuasa membuat intipan sebelum berjaya memberkas mereka dan merampas wang tunai berjumlah RM6,756 dan dadu serta kertas berlukisan binatang serta bunga.

Pada prosiding semalam, kesemua 13 tertuduh bersesak- sesak masuk ke kandang salah dan dua daripadanya terpaksa berdiri di luar kandang untuk mendengar pertuduhan berikutan jumlah mereka yang ramai.

Dalam perkembangan sama, tiga daripadanya, Mohamad Shafie, Shafei Ismail dan Zainuddin didenda RM300 sementara Mohamed Abdullah dan Jamri dihukum penjara enam bulan kerana gagal mengemukakan kad pengenalan ketika pemeriksaan.

Wanita bersuami dua








Wanita dua suami
Wanita berkenaan pada mulanya enggan mengaku telah bernikah, namun akur setelah didesak pihak berkuasa. Doktor berkenaan diambil keterangan pegawai penguat kuasa Jaij


BATU PAHAT – Perbuatan wanita lewat 30-an yang dipercayai menduakan suaminya dengan menikahi lelaki lain, terbongkar apabila dokumen pernikahannya dengan doktor ditemui pihak berkuasa.

Bertindak hasil aduan orang ramai dan siasatan selama beberapa hari, serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat dilakukan di sebuah vila semasa Operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, setelah menerima aduan, pihaknya melakukan semakan dengan pihak berkuasa di Thailand dan mendapatkan salinan dokumen pernikahan wanita terbabit.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, pada mulanya wanita berkenaan enggan mengaku bernikah secara senyap di selatan Thailand bersama seorang lelaki berusia 40-an, yang turut berada di rumah berkenaan.


Mereka bernikah di Thailand Julai lalu.

“Kami berjaya mendapatkan salinan dokumen pernikahan mereka, namun serbuan dilakukan untuk mendapatkan salinan asal surat nikah berkenaan dan bukti yang lebih kukuh kami peroleh iaitu gambar pernikahan mereka.

“Begitu licik wanita ini. Setelah hampir satu jam kami mencari, namun dokumen berkenaan gagal kami temui. Bagaimanapun setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengaku telah bernikah dan dokumen berkenaan disorok dalam kotak kasut yang diletakkan di bonet kereta.

“Kami difahamkan doktor yang menjadi ‘suami kedua’ diberitahu yang wanita terbabit sudah bercerai dengan suami pertamanya,” katanya.

Saiful berkata, kes seumpama itu kali pertama berlaku di daerah ini dan rumit diselesaikan kerana perlu dilakukan dengan teliti kerana banyak kesalahan dilakukan.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan siasatan terperinci akan dilakukan berhubung perceraian yang didakwa oleh wanita terbabit dengan suami pertamanya.

“Saya harap kes seperti ini dijadikan iktibar dan jika ada kemusykilan terhadap nikah atau kahwin, orang ramai boleh buat rujukan kepada kami.

“Kami akan terus cari punca sebenar dan bantu selesaikannya kerana tidak boleh wanita mempunyai dua suami dalam satu-satu masa.

“Jika wanita ingin berkahwin lain, dia perlu melalui proses perceraian dengan suami terdahulu, namun ia juga perlu melalui hukum ditetapkan syarak,” katanya.



Amuk di kedai nasi kandar


Amuk di kedai nasi kandar
Gambar CCTV menunjukkan lima orang mengamuk di sebuah restoran nasi kandar di Kulim, kelmarin.
Amuk di kedai nasi kandar
Seorang pekerja dapur restoran yang cedera ditetak.
KULIM - Pengunjung sebuah restoran nasi kandar di sini bertempiaran menyelamatkan diri apabila lima lelaki bersenjatakan parang dan kayu mengamuk serta mencederakan empat pekerja restoran itu awal pagi kelmarin.

Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang daripada penyerang itu hanya kerana lambat dilayan.

Menurut seorang saksi, kejadian kira-kira jam 1.40 pagi bermula apabila seorang lelaki masuk ke restoran itu untuk membeli makanan.

"Dia masuk dan beratur bersama pelanggan lain. Mungkin kerana berasa dirinya lambat dilayan, dia memarahi seorang pekerja restoran sebelum masuk ke ruang hidangan dan membelasah pekerja itu.

"Tidak lama kemudian, empat lagi rakan pelanggan panas baran itu yang sedang menunggu di luar kedai, meluru masuk membawa parang dan kayu, sambil melibas ke arah pekerja dan pelanggan.

"Mujurlah ketika itu pelanggan-pelanggan sempat lari menyelamatkan diri," katanya.

Kumpulan penyerang itu juga merosakkan beberapa perkakas di restoran tersebut, termasuk kerusi meja dan tempat meletak makanan.

"Seorang daripada penyerang itu masuk dan mengamuk di kawasan meja juruwang," katanya.

Seorang daripada empat pekerja itu parah ditetak di kepala.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, semua empat mangsa amuk itu mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Kulim.

Katanya, wajah kelima-lima penyerang itu berjaya dirakam melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di restoran tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek adalah orang tempatan dan nombor pendaftaran kereta yang mereka gunakan adalah palsu.

Sengkuap bumbung astaka runtuh



Sengkuap runtuh
Beginilah keadaan sengkuap pentas astaka di Taman Bandar Chukai, Kemaman yang runtuh menyembah bumi, kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Sengkuap runtuh
Sengkuap yang runtuh dipasang pada bumbung asal pentas astaka pada 2006 dan dipercayai runtuh disebabkan kayu reput serta strukturnya berat.
KEMAMAN – Sekumpulan pekerja yang menyiapkan kerja persediaan tempat bagi program sambutan Ambang Tahun Baru 2013 peringkat daerah, gempar apabila sengkuap pentas astaka di Taman Bandar Chukai, dekat sini, runtuh kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Bagaimanapun, tiada pekerja cedera dalam insiden itu kerana ketika kejadian pekerja sedang berehat dan keluar makan tengah hari.

Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kemaman, Mohd Rofful Hamzah, 46, berkata, dia terkejut sebaik tiba di padang astaka kira-kira jam 3 petang, sengkuap pentas menyembah bumi.

“Nasib baik sewaktu kejadian pekerja yang melakukan kerja di pentas dan padang astaka ini sedang berehat," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan lampu di khemah yang dibina di tepi padang bermula beberapa hari lalu sempena program anjuran Pejabat Daerah Kemaman.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) , Mustafar Khalid berkata, sengkuap dipasang di struktur asal bumbung pentas itu runtuh akibat strukturnya reput dan berat kerana hujan lebat di daerah ini sebelum ini.

Menurutnya, tambahan sengkuap pada struktur bumbung pentas berkenaan dibina pada 2006 dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut punca runtuhan berkenaan.

"Dua tahun berturut-turut kita memohon kepada Jabatan Landskap Negara menaik taraf Taman Bandar Chukai termasuk pentas astaka, laluan pejalan kaki, pondok wakaf dan landskap tetapi permohonan itu tidak diluluskan.

“Jadi, jika permohonan tidak diluluskan juga tahun depan, kita akan usahakan untuk membina baru pentas astaka ini dan pentas yang sudah lama akan dirobohkan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan pentas yang berekabentuk baru itu dijangka membabitkan belanja sebanyak RM400,000.

Untuk rekod, Taman Bandar Chukai termasuk pentas terbabit dirasmikan Ogos 1994 oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan menjadi tempat diadakan pelbagai aktiviti peringkat daerah setiap tahun.

Dalam perkembangan sama, Mustafar berkata, bangunan milik MPK lain terutama yang lama dan rosak juga akan diperiksa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Kejadian runtuhan seolah-olah badi bagi negeri ini kerana selepas kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu runtuh pada 2 Jun 2009, terdapat beberapa lagi kejadian runtuhan selepas itu termasuk insiden di Taman Bandar Chukai ini yang menjadi penutup tirai 2012.

2 remaja perempuan bawah umur antara ditahan di JB




1 Januari 2013
JOHOR BAHRU - Dua remaja perempuan bawah umur bersama pasangan masing-masing antara yang ditahan menerusi 'Operasi Samseng Jalanan' semasa sambutan Tahun Baru di Jalan Skudai di sini awal pagi tadi.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,  DSP Roslan Ali berkata, keterangan diambil daripada mereka sementara ibu mereka  akan turut dipanggil.

Beliau berkata remaja berumur 14 dan 16 tahun itu antara lebih 100 penunggang motosikal dan beberapa pemandu kereta yang diperiksa menerusi operasi bersepadu tersebut.

Operasi berhampiran Danga Bay itu dilakukan antara pasukan IPK, Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Rela dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang diperiksa itu didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar sementara pemandu kereta didapati mengubah suai kenderaan mereka. - Bernama

Dua maut pacuan empat roda terbabas




1 Januari 2013
PEKAN - Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda mereka terbabas di Km 31, Jalan Pekan-Nenasi dekat sini pagi tadi.
  
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, pemandunya Chua Yeok Hwa, 30, dari Bagan Sungai Burung, Selangor dan penumpang hadapan, Khoo Yong Son, 57, dari Taman Megaria 2, Kuantan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
  
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman, berkata tiga lagi penumpang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Pekan.
  
Beliau berkata mereka dipercayai dalam perjalanan menghala ke Pekan dari Nenasi.
  
Katanya sebaik tiba di tempat kejadian, pemandunya dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum kenderaannya terbabas ke kanan jalan dan terbalik melintang jalan.
  
"Pemandu bersama penumpang hadapannya tercampak keluar dan terjatuh di atas jalan. Pada masa yang sama sebuah van di belakang mereka turut terbabas," katanya.
 - Bernama