Search This Blog

Tuesday, January 1, 2013

Banjir gelombang kedua



NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
1 Januari 2013
Banjir gelombang kedua
Che Wan Razali menyelamatkan ayam kesayangannya daripada terperangkap dalam banjir.
Banjir gelombang kedua
Wan Jeriah bersama sebahagian anak-anak mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Balok.
KUANTAN - Seramai 59 mangsa banjir melibatkan  14 keluarga dari Kampung Haji Wan Musa, Batu 13, Jalan Pelabuhan dan Sungai Ular dekat sini terpaksa kembali ke pusat pemindahan banjir  selepas kawasan itu dinaiki air kali kedua, awal pagi semalam.

Kebanyakan mangsa dari Kampung Haji Wan Musa kembali ke rumah dua hari lalu selepas berada di pusat pemindahan  berikutan kejadian banjir kali pertama yang melanda daerah ini  sejak 26 Disember lalu.

Semua mangsa mengambil keputusan kembali ke pusat pemindahan selepas air naik sejak jam 5 pagi dan kawasan tersebut ditenggelami air sedalam kira-kira 1 meter sehingga jam 4 petang semalam.

Air paras dada di laman

Salah seorang mangsa, Wan Jeriah Wan Musa, 54 berkata, hujan yang turun berterusan sejak malam kelmarin menyebabkan kawasan itu dinaiki air.

Menurutnya, air mula naik kira-kira jam 5 pagi dan mula masuk ke dalam rumah sejam kemudian.

“Paras air dalam rumah  mencapai paras betis manakala di kawasan halaman sehingga paras dada kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) lalu saya dan anak, Nor Anizawati Yusof, 31 mengambil keputusan untuk berpindah ke sini.

“Kami lega dapat kembali ke  rumah dua hari lalu tetapi kini (semalam) terpaksa kembali ke sini akibat kejadian banjir kali kedua ini,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di Dewan Balok di sini, semalam.

Kata Wan Jeriah, boleh dikatakan setiap tahun penduduk kampung itu terpaksa berpindah akibat banjir dan tahun ini sudah dua kali mereka dilanda musibah itu.

“Masalah ini mungkin disebabkan perparitan yang tidak sempurna kerana tiada longkang di kawasan ini malah kalau ada pun sudah tertimbus,” katanya.

Datang sendiri ke pusat pemindahan

Sementara itu, bagi ibu kepada empat anak termasuk bayi berusia 3 bulan, Wan Shafariah Wan Osman, 30 berkata, dia bersama anaknya terpaksa kembali ke pusat pemindahan tersebut selepas rumah mereka turut ditenggelami air.

Menurutnya, pengalaman berdepan bencana banjir saban tahun menyebabkan mereka sekeluarga sentiasa bersedia dan tidak menunggu lama untuk berpindah.

“Dalam kejadian banjir lalu kami sempat menyelamatkan barang sebelum berpindah ke pusat pemindahan dan kali ini kami juga mengambil langkah sama walaupun agak berat untuk meninggalkan rumah kali kedua.

“Kami datang sendiri dan tidak menunggu bantuan kerana bimbang air naik dengan cepat dan boleh mengancam nyawa anak-anak,” katanya.

Dia berkata, penat membersihkan rumah belum hilang dan perkara sama terpaksa dilakukan selepas banjir itu surut kelak.

Dua laluan ditutup

Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Balok, Mohd Zainul Ali, 66 berkata, semua mangsa berada di pusat itu sejak jam 11.30 pagi.

Menurutnya, kebanyakan mangsa datang sendiri ke pusat pemindahan bagaimanapun Angkatan Tentera Malaysia turut mengerahkan anggota bersama kenderaan bagi menghadapi kemungkinan sekiranya ada lagi mangsa yang terpaksa dipindahkan.

“Bagaimanapun sehingga jam 3 petang jumlah mangsa banjir tidak berubah tetapi ada kemungkinan akan bertambah jika hujan tidak berhenti.

“Setakat ini Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan masyarakat setempat tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, selain itu beberapa agensi sukarela termasuk Rela, badan bukan kerajaan (NGO) dan JKKK turut membantu mangsa.

Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melaporkan sehingga jam 5 petang semalam, seramai 59 mangsa dari 14 keluarga berada di pusat pemindahan.

Daripada jumlah itu, 50 mangsa daripada 13 keluarga berada di Dewan Balok manakala sembilan sekeluarga kini berada di pusat pemindahan Sungai Ular.

Sehingga jam 5 petang juga, dua laluan terpaksa ditutup kepada kenderaan termasuk di Jalan Gebeng berhampiran Bulatan Jabor (sejak seminggu lalu) dan Kilometer 23,

Jalan Kuantan-Kemaman.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan dilanda banjir mendapati, ada beberapa penduduk berada di kediaman masing-masing untuk menjaga rumah dan menyelamatkan haiwan peliharaan bagaimanapun kebanyakan ahli keluarga lain sudah berada di pusat pemindahan.

Berikutan kejadian banjir di kawasan itu, keadaan lalu lintas agak terganggu apabila kenderaan kecil tidak dapat melaluinya malah ada beberapa buah kereta rosak selepas tersangkut dalam air.

Keluarga mahu perogol digantung sampai mati




1 Januari 2013
NEW DELHI - Keluarga mangsa rogol beramai-ramai di New Delhi yang meninggal dunia pada Sabtu lalu menegaskan mereka tidak akan berdiam diri, menurut abangnya kepada Indian Express, semalam.

Abang mangsa juga memberi amaran bahawa perjuangan untuk menuntut bela di atas kematian adiknya tidak akan berakhir sehingga  mereka yang bertanggungjawab digantung sampai mati.

Pelajar perubatan berumur 23 tahun tersebut meninggal dunia di Hospital Mount Elizabeth akibat kegagalan fungsi organ dan kecederaan otak.

Difahamkan, enam suspek yang disyaki memperkosa mangsa dalam sebuah bas pada 16 Disember lalu telah didakwa atas kesalahan membunuh oleh pihak berkuasa. - AFP

2 mati, satu hilang banjir di Sumatera Utara




1 Januari 2013
JAKARTA -  Banjir yang melanda empat daerah iaitu Nias Selatan, Tanpanuli Tengah, Nias Barat dan Mandailing Natal di Sumatera Utara kelmarin dan semalam telah menelan dua jiwa manakala seorang lagi dilaporkan hilang apabila rumahnya dihanyutkan arus deras air sungai.

Ribuan rumah penduduk dilaporkan dinaiki air, ada yang sampai tiga meter akibat hujan lebat lebih 24 jam Sabtu lalu.

Dua mangsa ditemui mati lemas di daerah kecil Maniamolo, Nias Selatan di mana beberapa batang sungai dinaiki air antara dua hingga 10 meter dan melimpahkan air ke kawasan penempatan, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana semalam.

Seorang lelaki berusia 68 tahun di daerah kecil Lingga Bayu, Mandailing Natal masih hilang apabila rumahnya di tepi sungai bersama tiga rumah yang lain dihanyutkan arus deras awal hari ini.

Penghuni tiga rumah itu terselamat.

Banjir turut mengakibatkan beberapa tempat di Nias Selatan terputus hubungan apabila jalan ditimbus tanah runtuh, yang turut berlaku di daerah Mandailing Natal.

Lebih 1,000 mangsa banjir di Nias Selatan dipindahkan ke pusat pemindahan manakala mangsa di tiga lagi daerah masih menduduki rumah mereka atau menumpang rumah jiran.

Badan Pengurusan Bencana Sumatera Utara serta agensi berkaitan sedang menangani bencana termasuk membuka pusat penyelarasan bantuan kecemasan dan sudahpun menyalurkan bantuan lojistik ke beberapa kawasan.

Sementara itu Pihak Berkuasa Tempatan Daerah Nias Selatan telah mengisytiharkan darurat sejak Ahad hingga 12 Januari ini. - Bernama

Nelayan dan rakan maut kereta rempuh tiang lampu




1 Januari 2013
KUANTAN - Seorang nelayan dan rakannya maut apabila kereta mereka terbabas dan merempuh tiang lampu di Jalan Tanjung Lumpur dekat sini awal pagi tadi.

Nelayan tersebut Shahrizal Abu Bakar, 33, meninggal dalam perjalanan ke hospital manakala rakannya Wan Adnan Wan Mustafa, 23, meninggal di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira 3.45 pagi itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta mereka yang datang dari arah pusat bandar menghala Tanjung Lumpur tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui selekoh dan terbabas ke kanan jalan lalu merempuh tiang lampu.

Seorang lagi rakan mereka yang memandu kereta Proton Wira itu yang berumur sekitar 20-an cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini. - Bernama

Pengawal keselamatan ditahan berikutan peralatan binaan hilang



1 Januari 2013
PADANG BESAR - Seorang pengawal keselamatan yang ditugaskan di tapak projek stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Bukit Keteri dekat sini ditahan berhubung kes kehilangan pelbagai jenis peralatan binaan bernilai kira-kira RM27,000 di tapak projek itu semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros berkata, siasatan polis mendapati banyak keraguan daripada maklumat pengawal keselamatan itu menyebabkan dia ditahan untuk siasatan.

Beliau berkata, pihaknya telah mendapat perintah untuk menahan reman lelaki itu selama empat hari bermula hari ini.

Berdasarkan laporan awal, pengawal keselamatan itu mengadu telah mengesan setor yang menyimpan barangan itu telah diceroboh ketika dia melakukan rondaan sekitar jam 4 pagi semalam dan laporan dibuatnya kepada penyelia tapak projek itu lebih empat jam kemudian. - Bernama

Tiga sekeluarga ditemui mati di Pengerang




1 Januari 2013
KOTA TINGGI - Kerisauan seorang jiran di Kampung Jawa, Pengerang di sini menjadi kenyataan apabila menemui tiga beranak itu dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian berkata, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Pihak polis menemui sepasang suami isteri serta seorang anak lelaki  telah kaku di bilik tidur.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati terdapat bau asap di dalam rumah tersebut. Hasil bedah siasat juga mendapati kematian mereka tiada kaitan dengan elemen jenayah.

Suami isteri masing-masing berumur 60 dan 57 tahun manakala anak lelaki mereka yang berusia lingkungan 20-an

Bagaimanapun polis tidak mendedahkan identiti mangsa.

"Terdapat bau asap di dalam rumah itu dan kita percaya sesuatu telah dibakar di dalam bilik itu bagi tujuan melemaskan diri," katanya.

Menurut Che Mahazan, isteri dan anak mangsa merupakan penghidap sindrom down.

Juruteknik maut ditembak ketika menunggang


1 Januari 2013
Juruteknik maut ditembak ketika menunggang
Seorang juruteknik sebuah pasar raya maut selepas ditembak dari jarak dekat ketika sedang menunggang motosikalnya di Taman Merpati, Rahang di sini malam tadi. - Foto Bernama
SEREMBAN - Seorang juruteknik sebuah pasar raya di sini maut selepas ditembak dari jarak dekat ketika sedang menunggang motosikalnya di Taman Merpati, Rahang di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt Lim Kim Fook berkata, dalam kejadian pada 10.20 malam itu, mangsa Y.Gopal, 34, mati di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan di dada dan satu di kepala.

"Ketika kejadian mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC seorang diri dalam perjalanan balik ke rumah sebelum didatangi sebuah motosikal lain yang dinaiki dua suspek.

"Suspek dipercayai telah melepaskan beberapa das tembakan dengan empat tembakan terkena mangsa menyebabkan dia rebah bersama motosikalnya di hadapan sebuah rumah di taman perumahan tersebut," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang sudah beristeri dan mempunyai empat anak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat dan motif pembunuhan masih disiasat, katanya. - Bernama

Pasangan khalwat larikan kenderaan Jaip



KUANTAN - Seorang remaja yang ditahan bersama pasangannya berhubung tuduhan berkhalwat bertindak nekad melarikan kenderaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dalam cubaan meloloskan diri daripada dikenakan tindakan awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, remaja terbabit bersama pasangannya dan dua individu yang turut ditahan atas kesalahan sama dipercayai berada dalam kenderaan sementara dibawa  ke pejabat Jaip untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun remaja berusia 18 tahun itu bertindak menolak pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero sehingga terjatuh sebelum  memecut kenderaan menghala ke Indera Mahkota dari di Jalan Wong Ah Jang.

Pegawai penguat kuasa Jaip berjaya mengejar kenderaan terbabit di satu kawasan di Indera Mahkota dan menahan satu pasangan dalam kenderaan itu.

Satu pasangan lagi termasuk lelaki yang melarikan kenderaan tersebut berjaya meloloskan diri.

Bagaimanapun mereka menyerah diri di pejabat Jaip.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuantan berhubung kejadian.

Dalam Operasi Cegah Maksiat sempena Tahun Baru 2013 itu, sebanyak 13 pasangan ditahan kerana disyaki berdua-duaan dalam bilik hotel bajet sekitar bandar Kuantan.

Semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 30 tahun dibawa ke pejabat Jaip untuk disoal siasat mengikut Seksyen 145 (2) Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1984.

Kekasih bidan


MELAKA: Terdesak untuk merahsiakan hubungan bersama kekasihnya yang sudah hamil, seorang lelaki bukan saja menyediakan ‘rumah perlindungan’ sepanjang gadis itu mengandung, malah sanggup menjadi bidan menyambut kelahiran bayi itu pada awal November tahun lalu.
Ketika proses melahirkan anak oleh gadis berusia 18 tahun itu, lelaki berusia awal 20-an terbabit dengan berani menjadi bidan tidak bertauliah memotong tali pusat dan mengeluarkan uri dari perut kekasihnya itu selain menguruskan seluruh proses kelahiran terbabit di sebuah rumah di pinggir bandar ini. 
Bagaimanapun, sebulan selepas kelahiran bayi yang tidak pernah mendapat pemeriksaan kesihatan itu, perbuatan terbabit akhirnya diketahui keluarga lelaki berkenaan.

Bayi perempuan itu kemudian dibawa pulang ke kediaman mereka di pinggir bandar ini beberapa minggu lalu untuk mencari jalan penyelesaian bagi mendaftarkan kelahirannya.

Pasangan itu kemudian dirujuk di Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) oleh keluarga lelaki terbabit bagi tujuan mendapatkan bantuan pendaftaran kelahiran sebelum mereka ditahan untuk siasatan lanjut pada hujung minggu lalu.

Bedah tangan segera


KUALA LUMPUR: Bayi perempuan berusia setahun yang dipercayai didera bapa ayam di Lorong Haji Taib, di sini, sejak dua minggu lalu menjalani pembedahan tangan kanannya dalam masa terdekat.
Perkara itu disahkan doktor yang merawatnya kepada bekas pengasuh bayi berkenaan yang dikenali sebagai Ran, 35, sebaik bayi itu dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Menurutnya, dia lega dan gembira kerana bayi malang yang dipanggil Pria itu kini selamat berada di bawah pengawasan pihak hospital.
“Saya dan suami harap dapat mengambil Pria sebagai anak angkat atau sekurang-kurangnya diberi hak penjagaan sementara bapanya menjalani hukuman penjara.

“Dia (Pria) masih kecil dan memerlukan kasih sayang ibu bapa, saya bimbang apa yang berlaku kepadanya memberi kesan negatif dalam proses tumbesarannya,” katanya.

Katanya, selain patah siku, pergelangan tangan kanan bayi itu juga disahkan retak menyebabkan dia tidak mampu menggerakkan anggota berkenaan.
“Ada kesan luka yang masih baru di kelopak mata sebelah kanan selain kesan luka lama di seluruh badan dipercayai kesan dicubit dan dipukul dengan benda tumpul,” katanya.

Menurut Ran, dia menerima panggilan telefon daripada bapa ayam yang dipercayai mendera bayi malang itu jam 8 pagi semalam memaklumkan mangsa sudah berada di hospital.
“Sebelum itu, saya bersama adik lelaki pergi ke rumah lelaki terbabit dan merayu agar menyerahkan Pria kepada kami selain memberitahu kami sudah membuat laporan polis.

“Mungkin atas alasan itu, lelaki berkenaan segera menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon,” katanya.

Katanya, lelaki itu juga memaksa dia menarik balik laporan polis yang dibuat selain mengugut mencederakannya sekeluarga jika keselamatannya terancam.

Laporan muka depan Harian Metro semalam mendedahkan penderitaan yang ditanggung bayi berusia setahun terbabit akibat didera bapa ayam sejak dua minggu lalu selepas dibawa ibunya tinggal bersama lelaki terbabit.

Tangan kanan mangsa patah manakala seluruh tubuh kecilnya dipenuhi kesan lebam dan berbirat.

Mangsa dikatakan dipukul menggunakan penyangkut baju selain dipijak lelaki berusia lewat 30-an itu kerana kegagalan ibunya berusia 34 tahun untuk melacur seperti diarahkan. Malah, ibunya turut dipercayai dipukul lelaki berkenaan.

Kejadian menimpa bayi itu disedari bekas pengasuhnya selepas melawat mangsa di rumah berkenaan, jam 9 malam Sabtu lalu.

Perut melecur disimbah sup


KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 32 tahun melecur teruk di perut selepas disimbah sup panas oleh isteri majikannya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit Cheras, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, wanita berusia lewat 30-an itu bertindak demikian kerana tertekan dengan masalah dihadapinya di pejabat sebelum menjadikan pembantu rumah terbabit sebagai tempat melepaskan geram.

Biarpun mengalami kecederaan, mangsa tidak dibenarkan keluar dari rumah, namun dapat meloloskan diri jam 8 pagi sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, kelmarin.
Sumber berkata, kejadian berlaku pada Sabtu lalu jam 8 malam apabila isteri majikannya itu memintanya memasak sup.

“Selepas menyiapkannya, mangsa segera menghidangkan makanan berkenaan di meja makan di dapur sebelum isteri majikannya itu mengambil dan menyimbahnya ke perut mangsa.

“Mangsa dilaporkan menggelupur menahan kesakitan sebelum majikannya itu memberikan minyak untuk disapu,” katanya.
Sumber berkata, biarpun cedera, majikannya itu enggan membenarkan mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan majikannya itu segera bertanyakan punca tindakannya sebelum diberitahu majikannya itu tertekan dengan masalah di tempat kerja,” katanya.
Katanya, ketika majikannya keluar bekerja, mangsa menggunakan kesempatan itu melarikan diri jam 8 pagi, kelmarin.

Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi.

Difahamkan, selepas keterangan pembantu rumah itu dirakam pihak berkuasa, dia dihantar ke kedutaan untuk perlindungan.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu.

Penjenayah kembali 20 hari larikan kunci




         
JOHOR BAHRU: Sekumpulan enam penjenayah melarikan kenderaan Mazda 2 dan Mazda 3 bernilai kira-kira RM200,000, dari sebuah pusat pameran kereta di Jalan Masai Jaya 1, Plentong, di sini, Khamis lalu, selepas kira-kira 20 hari mereka melarikan kunci pendua kereta berkenaan.

Difahamkan, pada 7 Disember lalu, penjenayah sama dikatakan memecah masuk pusat servis bersebelahan pusat pameran itu dan melarikan empat kunci pendua kenderaan itu serta beberapa peralatan lain. Mereka dikatakan menunggu masa sesuai dan sebaik menyedari kereta mewah itu belum dialihkan, mereka memecah semula premis berkenaan dan melarikan kereta menggunakan kunci pendua yang dilarikan sebelum ini.


Kejadian itu mengakibatkan Pengarah Syarikat Rias Auto Sdn Bhd, Mohamed Rasul Ahmad, 50, kerugian kira-kira RM200,000 selepas penjenayah terbabit melarikan masing-masing sebuah kereta Mazda 2 dan Mazda 3 diletakkan di pusat pameran itu.

Mohamed Rasul berkata, kejadian kali kedua berlaku dalam bulan sama itu menyebabkannya kerugian kira-kira RM672,000.


“Kejadian berlaku pada jam 5.40 pagi disedari pengurus syarikat yang memaklumkan pusat pameran kami dipecah lagi dan dua daripada tiga kereta dilarikan.


“Mujurlah sebuah lagi kereta Mazda di pusat pameran itu tidak mempunyai bateri menyebabkan penjenayah tidak dapat menghidupkan enjinnya.

“Saya yakin enam penjenayah yang melakukan rompakan ini adalah penjenayah sama dalam kejadian sebelum ini yang melarikan empat kunci pendua kenderaan terbabit,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.


Menurut Mohamed Rasul, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat pameran itu mendapati enam lelaki bersenjatakan parang dan kayu memecah masuk pusat terbabit sebelum membawa keluar dua kereta berkenaan.

“Pada jam 5.40 hingga 6.10 pagi, sebuah kereta berjaya dibawa keluar, manakala kereta kedua dilarikan pada jam 6.35 pagi sebelum kesemua mereka yang pada mulanya menaiki van melarikan diri.


“Saya berharap pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian ini kerana ia berlaku dalam tempoh sebulan. “Saya juga membuat laporan polis berhubung kejadian ini di Balai Polis Johor Jaya beberapa jam selepas kejadian,” katanya.


Pada 11 Disember lalu, Harian Metro melaporkan, sekumpulan penjenayah bertindak pelik apabila hanya melarikan empat kunci pendua kereta Mazda 2 dan 3, ketika memecah masuk sebuah pusat servis kereta di Jalan Masai Jaya 1, Plentong, di sini, pada 7 Disember lalu.


Lebih pelik apabila penjenayah terbabit tidak melarikan empat kereta Mazda di pusat pameran bersebelahan pusat servis berkenaan.


Keadaan itu mungkin disebabkan pencuri berkenaan mungkin kembali semula untuk mencuri empat kereta terbabit membabitkan nilai RM472,000.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Saifi Abdul Hamid mengesahkan laporan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan.

Sebab isteri sikap dingin



         
GEORGETOWN: Tindakan seorang isteri menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki warga Pakistan membawa padah apabila dia dirogol lelaki berkenaan di tangga sebuah premis pusat membeli belah di sini dalam kejadian Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, mangsa berusia 25 tahun yang bekerja di tempat sama dengan suspek berusia 21 tahun itu, dirogol kekasih gelapnya itu selain gambarnya dalam keadaan bogel turut dirakam suspek menggunakan telefon bimbit.


Mangsa yang mempunyai dua anak sebelum itu menjalin hubungan dengan lelaki berkenaan sejak Julai lalu sebelum dia mendakwa dirogol lelaki itu dalam bulan sama.

Jurucakap polis berkata, kecurangan isterinya disedari suaminya apabila mengesyaki berlaku perubahan ketara termasuk dingin ketika mereka melakukan hubungan seks.


Menurutnya, suaminya kemudian menyiasat sebelum isterinya mengaku dirogol teman lelakinya itu di tangga tempat kerja mereka, malah gambarnya dalam keadaan bogel turut dirakam suspek.


Katanya, selepas perbuatan itu, suspek mengajak mangsa melakukan hubungan seks beberapa kali, tetapi mangsa menolaknya.

“Selepas kejadian itu, mangsa dikatakan tidak lagi berjumpa dengan suspek sebelum hubungan cinta terlarang yang dijalinkan sejak beberapa bulan itu terbongkar dan diketahui suaminya.


“Berikutan itu, suami mangsa bertindak mencari suspek di tempat kerjanya. Suspek dikatakan dipukul sebelum ditahan dan diserahkan kepada polis kerana disyaki merogol mangsa,” katanya.

Mangsa dan suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani, dekat sini Jumaat lalu.


Jurucakap polis berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau tidak melebihi 20 tahun atau sebatan dan suspek juga turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih lagi dijalankan.

Mesin kilang kejuruteraan meletup


SELAMAT DIRI...pekerja keluar selepas berlaku letupan sebuah mesin di kilang proses barang kejuruteraan di Jalan Haji Salleh, Meru, semalam.
SELAMAT DIRI...pekerja keluar selepas berlaku letupan sebuah mesin di kilang proses barang kejuruteraan di Jalan Haji Salleh, Meru, semalam.
MERU: “Mesin membuat barangan elektronik yang sedang digunakan tiba-tiba meletup menyebabkan semua pekerja berhampiran lari dan tidak sempat menyelamatkan barang seperti dompet, telefon bimbit dan barangan berharga lain,” kata seorang pekerja mengenai kebakaran sebuah kilang memproses barang kejuruteraan di Jalan Haji Salleh, di sini, petang semalam.
Pekerja yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian jam 4 petang, pekerja kilang itu dikejutkan dengan letupan sebuah mesin yang beroperasi.

“Tiba-tiba sebuah mesin meletup menyebabkan api merebak dengan cepat ke mesin lain dan rakan sekerja tergamam sebelum masing-masing melarikan diri ke tempat selamat.

“Tapi, saya bersyukur kerana rakan sekerja sempat menyelamatkan diri dan tidak berlaku insiden yang tidak diingini seperti kecederaan dan kehilangan nyawa,” katanya.

Pekerja itu berkata, kebakaran berpunca daripada mesin elektronik yang dipercayai sudah panas kerana terlalu lama digunakan untuk memproses barangan kejuruteraan.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Mohd Hamizal Ainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kebakaran itu jam 4.04 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke tempat kejadian.


“Seramai 24 anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Pinang, Pelabuhan Klang dan Kota Raja terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran itu berikutan kebakaran yang agak serius,” katanya.

Hamizal berkata, kebakaran itu berjaya dikawal jam 4.57 petang dan punca serta jumlah kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan.

Kereta curi mungkin untuk serangan Tahun Baru




         
YALA: Pasukan keselamatan di selatan Thailand diarah mencari enam kenderaan dicuri yang mungkin akan digunakan dalam serangan bom oleh anggota pemisah Islam, terutama ketika cuti Tahun Baru.

Menurut agensi perisikan pasukan keselamatan di selatan, tiga daripada enam kenderaan curi itu didaftarkan di wilayah Songkhla, dua di Yala dan satu di Pattani.
Sumber perisikan berkata, kenderaan itu disyaki dicuri oleh anggota militan baru-baru ini.

Pegawai keselamatan dan pengurusan tempatan diberi arahan untuk mencari terutama enam kenderaan dicuri itu dan melakukan pemeriksaan di jalan bandar dan luar bandar di tiga wilayah sempadan selatan.


Satu daripada kenderaan curi itu adalah Honda Civic warna Perak didaftar di Songkhla. - BP

Warder dibunuh banduan cuba lari dari penjara



         
RATCHABURI : Seorang warder penjara Khao Bin ditikam hingga mati selepas dijadikan tebusan selama tiga jam oleh tiga banduan ketika cuba melarikan diri, kelmarin.

Dua daripada tiga banduan itu kemudian ditembak mati oleh pihak berkuasa.
Warder Suthep Joisriket ditikam dijantung ketika polis berunding dengan banduan yang cuba melepaskan diri itu, kata polis.

Pesuruhjaya Polis Wilayah 7, Hanpol Nitwibul berkata, mangsa turut dikelar di leher dan di satu pergelangan tangan.


Suthep ternampak tiga banduan memandu jentera pengorek melanggar dinding penjara untuk melarikan diri.


Jentera itu berada di situ untuk digunakan dalam kerja pembinaan di penjara itu.

Banduan yang bersenjatakan pisau dan objek tajam, menangkap warder ketika dia cuba menghalang mereka.

Mereka membawa mangsa ke dalam bangunan yang sedang dalam pembinaan.

Banduan dari Zon Keenam dikenali sebagai Suthirak Sangarthit dan Prasit Sansabai, kedua-duanya dipenjara atas kesalahan membunuh, dan Ronnachai Sriparnkaew, seorang pesalah dadah yang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Beratus-ratus pegawai polis, termasuk polis rusuhan diarahkan ke penjara itu untuk mengawal keadaan sementara polis perunding berbincang dengan banduan untuk melepaskan mangsa.

Hanpol berkata, pada kira-kira jam 6 petang, banduan Suthirak, 49, bersetuju untuk menyerah diri tetapi Ronnachai dan Prasit enggan berbuat demikian dan mahu bebas dari penjara.

Sebaik saja Suthirak menyerah diri, polis berkata, dua banduan itu menikam Suthep menyebabkan polis bertindak dengan melepaskan tembakan ke arah kedua-dua mereka. - BP

Mula roboh banglo


BERHATI-HATI...sebuah banglo dirobohkan di tempat kejadian tanah runtuh di Bukit Setiawangsa.
BERHATI-HATI...sebuah banglo dirobohkan di tempat kejadian tanah runtuh di Bukit Setiawangsa.
KUALA LUMPUR: Kerja merobohkan sebuah banglo yang terjejas teruk dalam kejadian tanah runtuh di Puncak Setiawangsa, di sini, malam Jumaat lalu sudah dimulakan jam 10 pagi, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, kerja merobohkan banglo itu dilaksanakan pemaju Island and Peninsular (I&P) Sdn Bhd bersama kontraktor dilantik secara berhati-hati dan dijangka mengambil masa beberapa hari.
“Kerja merobohkan banglo itu dimulakan pada bahagian bumbung dengan menggunakan kren. Mereka perlu melakukan kerja berhati-hati kerana masih ada pergerakan tanah.

“Oleh itu, kerja merobohkan banglo itu akan mengambil masa yang lama iaitu beberapa hari bagi menjaga keselamatan pekerja dan lot kedai serta rumah teres yang ada di bahagian bawah,” katanya ketika sidang media di Bukit Setiawangsa, di sini, semalam.


Othman berkata, 283 penghuni yang terbabit juga sudah diarahkan berpindah membabitkan tujuh banglo, 58 rumah teres dua tingkat dan 13 lot kedai.

Tak sabar jadi suami isteri


DICEKUP...pasangan yang ditahan dalam Ops Tahun Baru di sebuah hotel bajet di Jalan Pantai, semalam.
DICEKUP...pasangan yang ditahan dalam Ops Tahun Baru di sebuah hotel bajet di Jalan Pantai, semalam.
BATU PAHAT: Tidak sabar untuk hidup bersama sebagai sepasang suami isteri, sepasang kekasih yang hanya menunggu tidak sampai sebulan untuk diijabkabulkan ditahan di sebuah hotel bajet di Jalan Pantai, di sini, kelmarin.
Dalam operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi itu, pasangan lingkungan 20-an itu pada mulanya berlagak seolah-olah sepasang suami isteri sebelum siasatan membongkar status sebenar hubungan mereka yang masih belum bernikah.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit enggan membuka pintu.

Menurutnya, selepas beberapa kali pintu diketuk, baru lah pasangan terbabit akhirnya membuka pintu berkenaan.

“Selepas pintu bilik dibuka, kami dapati pasangan berkenaan ketakutan selepas menyedari perlakuan sumbang mereka bakal diketahui.

“Kami dapati pasangan itu belum mempunyai ikatan sah dan tetap dikenakan tindakan kerana berada dalam bilik tertutup dan berdua-duaan sedangkan mereka bukan mahram,” katanya.


Saiful Ariffin berkata, setiap ibu bapa perlu mengingatkan anak masing-masing batasan pergaulan walaupun mereka sudah bertunang dan menunggu masa untuk bernikah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJSJ) 1997.

“Selagi belum ada ikatan, ibu bapa dan individu itu sendiri perlu menjaga batas pergaulan masing-masing,” katanya.

Pelakon sorok dalam bilik



         
PETALING JAYA: Seorang pelakon dan model wanita yang terkenal dengan pelbagai kontroversi, dicekup polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kerana didapati memiliki dadah dalam simpanan di sebuah kediaman mewah di Damansara Damai, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang, pelakon berusia 26 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya, seorang penganggur juga berusia 26 tahun, selepas didapati memiliki dua biji pil disyaki Eramin 5 dengan anggaran berat 0.60 gram ketika pemeriksaan dalam kediaman berkenaan.

Menurut sumber, pasukan polis menyerbu kediaman berkenaan selepas melakukan intipan sejurus menerima maklumat daripada orang awam mendakwa kedua-dua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek berada dalam rumah berkenaan dan mereka pada mulanya enggan bekerjasama apabila tidak membuka pintu walaupun polis sudah memperkenalkan diri.


“Selepas pegawai yang mengetuai serbuan mengetuk pintu rumah, suspek wanita membuka tingkap, tetapi segera menutupnya semula selepas menyedari kehadiran polis,” katanya.

30 mayat mangsa seksa ditemui

30 mayat mangsa seksa ditemui


BEIRUT: Tiga puluh mayat dengan kesan seksaan dan sukar dikenali ditemui di Barzeh, utara Damsyik, yang menjadi lokasi lazim pertempuran di antara tentera dan pejuang antikerajaan, kata sebuah pertubuhan pemantau semalam.

Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, berdasarkan keadaan mayat berkenaan, mereka menjadi mangsa penderaan pihak tertentu.


“Identiti mayat berkenaan belum dikenal pasti,” kata pertubuhan itu. Aktivis antikerajaan yang bergabung dalam pertubuhan Suruhanjaya Awam Revolusi Syria menganggarkan ada 50 mayat ditemui dengan “kepala dipancung serta anggota badan dipotong sehingga tidak lagi mampu dikenal pasti.” Bagaimanapun, laporan itu tidak dapat disahkan kerana larangan ke atas media antarabangsa yang dikenakan pihak berkuasa Syria. - AFP


3 sekeluarga mati di air terjun




         
JOHANNESBURG: Sepasang suami isteri yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-14 bersama-sama anak perempuan mereka, mati selepas terjatuh ketika menyeberang sebuah air terjun di Afrika Selatan.

Pasangan berkenaan bersama anak mereka berusia belasan tahun itu dipercayai berpegangan tangan ketika jatuh dari ketinggian 30 meter di air terjun berkenaan yang terletak di kawasan pedalaman, Jumaat lalu.
Menurut akhbar Beeld, mereka yang terbunuh itu ialah Pieter Prinsloo, 38, isteri, Adele, 34 dan anak mereka, Shante, 13, dari Benoni, berhampiran Johannesburg.

Mereka ditemui oleh pasukan penyelamat beberapa jam selepas terjatuh dari Air Terjun Rietfontein.


Pemilik rumah percutian, Shawne Botha mengesahkan keluarga itu menetap di chaletnya di wilayah Mpubalanga, timur Afrika Selatan.


Menurutnya, mereka keluar bersiar-siar sebaik mendaftar masuk di chalet berkenaan yang terletak berdekatan Taman Negara Kruger.

“Mereka tiba sehari selepas Krismas. Keluarga itu keluar bersiar-siar dan menemuii ajal di air terjun berkenaan.

“Amat menyedihkan kerana ketiga-tiga keluarga itu mati bersama,” kata Botha.

Menurut laporan akhbar Beeld, Prinsloo dan Adele adalah pasangan kekasih sejak kecil dan bercuti kerana meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-14 semalam.

Keluarga itu dipercayai meraikan Krismas di rumah mereka di Benoni sebelum bercuti bersama anak mereka.

Kakitangan rumah peranginan itu meminta bantuan kira-kira jam 10 malam apabila keluarga itu tidak pulang.

Kawasan tragedi itu adalah antara yang paling sibuk di Afrika Selatan pada musim cuti. - DM

Premis judi tawar cabutan bertuah




PREMIS judi di Sentul yang berselindung di sebalik perniagaan optik ini menawarkan cabutan bertuah kepada pengunjung.


KUALA LUMPUR - Sindiket perjudian tidak pernah berhenti menggunakan pelbagai taktik untuk menarik kaki judi terus menghabiskan wang di premis mereka.
Terbaharu, sebuah premis judi internet di Jalan Pasar Sentul di sini didakwa menawarkan cabutan bertuah yang mempertaruhkan sebuah motosikal jenis Honda sebagai hadiah utama selain wang RM300.
Caranya senang sahaja. Belanja sekurang-kurangnya RM50 di pusat judi itu dan secara automatik kaki judi akan diberi kupon untuk menyertainya.
Cabutan akan dilakukan setiap hujung bulan.
Bukan itu sahaja, perniagaan haram yang berselindung di sebalik kedai optik itu turut menawarkan makan tengah hari percuma kepada pelanggan.
Seorang pelanggan yang ditemui Kosmo! memberitahu, cabutan bertuah itu diadakan hampir setiap bulan namun malangnya setakat ini tiada seorang pun yang memenanginya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2Gj4Anulj 
Hakcipta terpelihara 

Cedera tercucuk jarum tukang jahit



Shezzylah menunjukkan baju kurung moden yang tidak menepati ukuran badannya di Shah Alam baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Hasrat tiga sahabat untuk bergaya dengan baju kurung yang ditempah daripada seorang peniaga menerusi laman sosial Facebook berkecai apabila produk yang dihasilkan bukan sahaja tidak menepati ukuran badan malah, salah seorang mereka cedera akibat tercucuk jarum yang terselit pada baju.
Ekoran itu, hasrat mereka untuk memakai baju kurung moden pada majlis perkahwinan seorang teman rapat mereka pada 22 Disember lalu tidak kesampaian.
Salah seorang mangsa yang ingin dikenali sebagai Shezzylah, 23, memberitahu, dia dan dua rakannya menempah baju dengan seorang tukang jahit dikenali sebagai Ara selepas mendapati harganya murah iaitu RM160 untuk tiga pasang.
Katanya, kejadian itu berlaku empat hari sebelum majlis perkahwinan berkenaan.
"Kami menempah baju itu kira-kira dua minggu sebelum majlis. Saya mula syak sesuatu apabila peniaga itu mengambil ukuran badan secara tidak konsisten.
"Kadang-kadang dia meminta kami datang untuk mengukur sendiri ukuran badan dan ada ketikanya, dia meminta kami menghantar sendiri ukuran tersebut," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Shah Alam, Selangor.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2Gj3sHPbb 
Hakcipta terpelihara 

Banjir setiap kali hujan lebat




ABDUL RAHMAN menunjukkan sistem perparitan yang tersumbat sehingga mengakibatkan banjir kilat sering berlaku di rumahnya di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan semalam.


IPOH – Sebuah keluarga terpaksa merana lebih 20 tahun apabila rumah yang didiami ditenggelami banjir setiap kali hujan lebat di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan dekat sini.
Abdul Rahman Manap, 62, berkata, kediaman yang turut dihuni lapan ahli keluarganya termasuk isteri, Zabedah Tan Diah, 58, lima anak dan seorang cucu itu akan dinaiki air banjir sehingga satu meter setiap kali hujan lebat.
“Sejak 20 tahun lalu, hati kami sekeluarga tidak pernah tenang setiap kali hujan turun walaupun pada awal pagi kerana saya tahu rumah saya mesti menerima musibahnya.
“Jumlah kerugian harta benda tak terkira malah rumah dan laman rumah saya akan dipenuhi selut serta lumpur yang datang dari Bukit Kinding berhampiran,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Abdul Rahman berkata, selain limpahan air dan lumpur dari bukit berhampiran, sistem perparitan yang tidak diselenggara juga menjadi faktor kepada masalah banjir itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2Gj3cJdhJ 
Hakcipta terpelihara 

Suami dituduh bersubahat bunuh isteri



PETALING JAYA - Seorang pengusaha rumah pusat kebajikan orang tua, M. Durai Raju dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan bersubahat membunuh isterinya, S. Suntarambhal, 33, yang mati dikelar dalam sebuah kereta, dua minggu lalu.
Turut dihadapkan ke mahkamah yang sama ialah rakannya, V. Nantakumaran, 24, yang didakwa atas tuduhan membunuh mangsa.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Surya Wati Shawal.
Durai Raju, 36, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama kerana bersubahat membunuh Suntarambhal, seorang penjual bunga, manakala Nantakumaran pula dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2Ghb6lXwO 
Hakcipta terpelihara 

Naik berang dalam mahkamah

Kosmo! Online - Negara:



MOTSAMI diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas dijatuhi hukuman gantung mati kerana mengedar dadah semalam.


ALOR SETAR - Seorang lelaki warga Nigeria yang bekerja sebagai setiausaha sebuah gereja di Bangkok, Thailand berang apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya atas tuduhan mengedar ganja seberat 8.73 kilogram tahun lalu.
Motsami Goitsemodimo Peter, 27, memberitahu, dia tidak faham bagaimana dia boleh dikenakan hukuman mati selain mempersoalkan bukti yang digunakan sehingga dia disabitkan dengan pertuduhan tersebut.
Dia yang merupakan graduan sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur itu terus mempersoalkan hukuman tersebut walaupun peguamnya, B. Murthy memintanya bertenang.
Tertuduh kemudian diam dan keluar dari kandang tertuduh selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab memberitahu hukuman itu boleh dirayu di Mahkamah Rayuan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2GhNo5i7w 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Sembilan maut bas terbabas di AS

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR menunjukkan bas yang terjatuh (dalam bulatan) ke dalam gaung dari sebatang jalan raya yang licin itu.


LOS ANGELES - Sebuah bas dalam perjalanan ke Kanada merempuh rel penghadang di sebatang jalan raya yang dilitupi salji di Oregon, Amerika Syarikat (AS) kelmarin sebelum terjunam ke dalam gaung dengan menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh kata polis.
Pihak berkuasa melaporkan, lebih 26 yang lain turut cedera dalam nahas jalan raya tersebut.
Polis negeri Oregon berkata, bas itu jatuh sejauh beberapa puluh meter ke dalam gaung.
Menurut polis, kemalangan berlaku semasa bas sewa khas itu dilaporkan menuju pulang ke Vancouver, Kanada selepas bertolak dari Las Vegas, dalam negeri Nevada, AS.
Setakat ini, polis masih menyiasat punca nahas jalan raya itu yang berlaku dekat bandar Pendleton, di timur laut Oregon.
Ketika kejadian kata mereka, terdapat 40 penumpang di dalam kenderaan tersebut tetapi jumlah sebenar masih belum dapat disahkan.
Bas itu dimiliki syarikat Mi Joo Tour & Travel dari Vancouver. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2GhBejppu 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

Ramai cedera main mercun di Filipina

Kosmo! Online - Dunia:



SEORANG peniaga menyusun mercun yang dijual di gerainya di Manila semalam.



MANILA - Pihak berkuasa Filipina melaporkan lebih banyak kecederaan akibat bermain mercun semalam ketika petugas-petugas kecemasan bersiap sedia menghadapi peningkatan kejadian tidak diingini menjelang sambutan tahun baru.
Jabatan Kesihatan mengumumkan, angka kecederaan akibat bermain mercun meningkat kepada 186 orang sejak hujung minggu cuti Krismas, termasuk 33 kecederaan mata dan enam mangsa yang terpaksa dipotong anggota badan mereka.
Setakat kelmarin, angka kecederaan akibat bermain mercun berjumlah 171 orang.
Ketua Wad Kecemasan Pusat Rawatan East Avenue di sini, Emmanuel Bello, berkata, angka kecederaan dijangka terus meningkat.
Menurutnya, hospital berkenaan telah merawat 22 kes kecederaan akibat bermain mercun setakat ini.
"Kebanyakan kecederaan melibatkan orang dewasa disebabkan mereka mabuk. Mereka minum arak dan membakar mercun," kata Bello.
"Jika mereka hilang ibu jari, mereka hilang sebahagian besar fungsi tangan dan tidak dapat bekerja sekali gus menjerumuskan keluarga mereka ke dalam kesusahan," tambahnya.
Namun, katanya, sebahagian besar angka kecederaan melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah yang tidak tahu tentang bahaya bermain mercun.
Keluarga di Filipina meraikan Hari Krismas dan tahun baru dengan membakar mercun yang mengeluarkan bunyi dentuman kuat serta asap hitam dengan menyebabkan keadaan di sebahagian kejiranan kelihatan seperti zon perang.
Pihak berkuasa Filipina melaporkan sebanyak 454 kecederaan akibat bermain mercun dicatatkan ketika sambutan menjelang tahun baru 2012. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2GhAQtjF0 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'