Search This Blog

Monday, December 16, 2013

Tak sempat elak kereta


Oleh KHAIRUL HAMIZY RAMLEE
Kuala Terengganu: Hasrat seorang remaja untuk mewakili negeri dalam acara bola baling pada Sukan Malaysia 2015 (SUKMA) tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan di Kampung Kubang Jela, Manir, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi, Muhammad Naim Mat Nasir, 18, yang menunggang motosikal Honda Dash dikatakan tidak sempat mengelak selepas seorang warga Singapura yang memandu Honda Fit dari arah bertentangan memasuki laluan kanan jalan secara tiba-tiba.

Pelajar Institut Kemahiran Belia Negara di Wakaf Tapai itu yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 6.45 pagi semalam.

Ibu mangsa, Semek Daud, 57, yang berasal dari Felcra Gugusan Keruak, Jerteh berkata, biasanya Muhammad Naim pulang ke rumah setiap petang Khamis namun disebabkan menjalani latihan bola baling di Gong Badak, anaknya tidak pulang minggu Khamis lalu.

Menurutnya, anaknya gigih menjalankan latihan bola baling sejak kebelakangan ini dan Khamis lalu anaknya meminta dia mengirim baju sukan kepadanya.

“Walaupun sebagai pelapis, namun dia bersemangat menjalani latihan bola baling dan saya tidak sangka hasratnya untuk menyertai Sukma 2015 tidak kesampaian selepas mendapat panggilan daripada rakannya memaklumkan anak ditimpa kemalangan.

“Hati saya berdebar dan berasa tidak sedap hati selepas diberitahu berita malang itu dan kami sekeluarga bergegas ke HSNZ untuk memastikan keadaan sebenar.

“Malangnya saya dan suami Mohd Nasir Mat Zin, 57, tidak sempat melihat keadaannya apabila dia disahkan meninggal dunia ketika kami dalam perjalanan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, semalam.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

No comments:

Post a Comment