Search This Blog

Thursday, December 26, 2013

Raja samun, pecah rumah mati ditembak

Raja samun, pecah rumah mati ditembak
Abdul Rahim (tengah) menunjukkan pistol yang digunakan suspek.
 Gambar kecil: Mat Ruji.

SINAR HARIAN
26 Disember 2013
SEPANG - Ketua Geng Rantau Mahkota dikenali sebagai Mat Ruji mati ditembak polis  dalam  insiden berbalas tembak di Jalan Dagang Mas 1. Taman Mas, Sepang, kelmarin.
Kejadian jam 9 malam itu, berlaku selepas suspek yang dikehendaki polis bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang terserempak dengannya di kawasan semak berhampiran bahu jalan.

Difahamkan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) berkenaan sebelum itu baharu saja melakukan pemeriksaan ke atas kereta Nissan Grand Livina bewarna putih kepunyaan suspek yang ditinggalkan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, polis kemudiannya merampas sepucuk pistol automatik jenis VZOR berserta tiga butir peluru saiz 7.65 mm kepunyaan suspek.

"Kereta suspek juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pernah dilaporkan hilang beberapa bulan lalu. Polis turut menjumpai satu pemotong besi dan kuku kambing yang disembunyikan dalam bonet," katanya kepada pemberita, semalam.

Abdul Rahim berkata, kesan cap jari suspek juga pernah dikesan di enam lokasi  kejadian samun termasuk di Georgetown dan Telok Panglima Garang, Banting. Dia juga pernah dikenakan tindakan dibuang daerah selama dua tahun.

“Suspek berusia 43 tahun merupakan antara individu dikehendaki berikutan rekodnya yang terlibat dengan 19 kes samun pecah rumah antara tahun 2005 hingga 2007.

“Polis kini sedang memburu saki baki anggota geng ini terdiri dari empat hingga enam orang yang dipercayai masih berada di Selangor,” katanya.

Katanya lagi, dengan terbunuhnya suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes samun dan pecah rumah di Selangor.

No comments:

Post a Comment