Search This Blog

Sunday, December 1, 2013

Kelantan tertinggi penggunaan pil kuda


KOTA BHARU 30 Nov. - Kelantan mencatatkan penggunaan pil methamphetamine atau pil kuda tertinggi dalam negara dengan statistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mendapati sekurang-kurangnya 60 orang ditahan setiap hari kerana positif mengambil bahan terlarang itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, jumlah penahanan tersebut konsisten sejak 30 bulan lalu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan dalam tempoh itu adalah sekurang-kurangnya 54,000 orang.
Katanya, statistik itu merisaukan kerana penggunaan pil kuda turut membabitkan remaja dan mendorong kepada berlakunya beberapa jenayah lain seperti kecurian harta-benda dan jenayah berat seperti rogol serta kekerasan.
"Saya tidak boleh berikan peratusan tetapi bagi saya di Kelantan penglibatan pil kuda ini, ia setiap hari kita menangkap tidak kurang 60 orang sejak hampir dua tahun enam bulan yang lalu.
"Kalau kita tangkap 150 orang sehari, 50 peratus positif pil kuda, kalau sehari 60 orang maka sebulan hampir 2,000 orang, setahun sudah berapa? Jadi mahu kata peratusan saya tidak boleh ukur tetapi pil kuda ini majoriti memang banyak permintaan, begitu tinggi di Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Karnival Bersatu Tangani Jenayah di Pusat Transformasi Luar Bandar, Tunjong di sini hari ini.
Karnival tersebut dirasmikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu ketika berucap semasa karnival itu, Jalaluddin berkata, peningkatan gejala sosial di negeri ini sukar diatasi kerana dipengaruhi oleh pengambilan pil kuda.
Katanya, ini terbukti apabila kebanyakan suspek kes rogol, curi harta benda dan kekerasan yang ditahan didapati positif pil kuda.
"Jumlah remaja terlibat dengan pengambilan pil kuda juga tinggi dengan statistik mendapati lebih 65 peratus daripada suspek yang ditahan kerana terlibat curi harta benda seperti kenderaan dan motosikal adalah remaja termasuk yang baru berusia 13 hingga 15 tahun," kata beliau.
Sehubungan itu katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah menetapkan supaya polis Kelantan menjalankan operasi setiap hari untuk sekurang-kurangnya menahan 50 penjenayah dadah.
"Polis juga meminta bantuan daripada semua pihak untuk meningkatkan kesedaran orang awam seperti pihak berkuasa agama dan para guru untuk mengingatkan pelajar sekolah mengenai penyalahgunaan dadah," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131201/je_06/Kelantan-tertinggi-penggunaan-pil-kuda#ixzz2mDhzyimB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment