Search This Blog

Thursday, December 26, 2013

Kegembiraan lima beradik mandi-manda bertukar tragedi


2013/12/25


DUNGUN : Kegembiraan lima beradik termasuk seorang sepupu mandi di kawasan air terjun Tasek Puteri, Bukit Besi, dekat sini, bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka lemas, petang kelmarin.

Bagaimanapun mangsa Nur Sumayyah Mukhtar, 13, Pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, di sini, gagal diselamatkan dan disahkan meninggal di Hospital Dungun, kira-kira jam 9.20 malam.


Sebelum kejadian, mangsa mandi bersama adik-beradiknya Nurhidayah, 24; Nur Aisyah, 16; Nur Nasisah, 10, dan sepupunya, Hanis Syazira Anum Suhaimi, 14, mandi, di situ, kira-kira jam 5 petang.

Ketika sedang mandi, mangsa bersama kakaknya Nur Aisyah dikatakan lemas dan tengelam timbul di tasik terbabit sebelum kakaknya Nurhidayah mengharungi tasik itu dan berjaya menarik Nur Aisyah sebelum dibawa ke tebing sungai.

Kakaknya itu yang mendapati mangsa tenggelam ke dasar tasik terbabit sekali lagi bertindak mengharungi tasik dan berusaha mencari mangsa termasuk menggunakan kaki untuk menyentuh mangsa berikutan air tasik yang keruh.

Bagaimanapun usahanya itu berjaya dan mangsa berjaya ditarik oleh kakaknya itu sebelum membawa mangsa naik ke daratan.

Beberapa pengunjung yang terdengar jeritan meminta tolong daripada kakak mangsa bergegas ke tempat kejadian sebelum bergegas ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.
Mangsa yang kelihatan lemah kemudiannya dikejarkan ke Hospital untuk untuk menerima rawatan lanjut dan mangsa bagaimanapun disahkan meninggal kira-kira jam 9.20 malam.

Sementara itu, Nurhidayah berkata, dia membawa adik-adiknya itu berkunjung ke tasik terbabit bertujuan untuk memberi keseronokan adiknya beriadah di tasik itu.

Katanya, mereka mandi di kawasan yang cetek dan tidak menyangka keseronokan itu membawa kepada kejadian yang cukup menyedihkan.

"Saya sama sekali tidak menyangka hasrat saya untuk menggembirakan adik-adik bertukar dengan kejadian sedih yang membuatkan saya sukar melupakan kejadian malang terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pemangku Superintandan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihak hospital memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan setakat ini polis masih belum menerima laporan daripada keluarga mangsa.

No comments:

Post a Comment