Search This Blog

Monday, December 16, 2013

Dituduh bersubahat membunuh


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Seorang buruh binaan warga Indonesia berstatus penduduk tetap di negara ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan bersubahat membunuh seorang lelaki dipercayai teman lelaki anak perempuannya, dua minggu lalu.
Arifin Mistar, 44, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang hanya dikenali sebagai Hakim di medan selera Taman Angsana Hilir, dekat sini antara pukul 8 malam dan 9 malam, 2 Disember lalu.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tertuduh hanya mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Purnima manakala tertuduh diwakili peguam Dony Abdullah dan Farhan Read.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Februari tahun depan sementara menunggu laporan forensik dan kimia.
Sebelum ini, akhbar melaporkan mangsa ditemui mati dengan kesan tetakan dipercayai ketika bersembunyi di dalam tong air bagi mengelak daripada terus diserang dua lelaki.
Ketika kejadian itu, mangsa dikatakan sedang makan bersama seorang wanita berusia 20 tahun.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131217/ma_02/Dituduh-bersubahat-membunuh#ixzz2njPw5Y00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment