Search This Blog

Monday, December 16, 2013

Bermalam di lebuh raya jaga beras


Oleh Arifin Salleh
Alor Gajah: Seorang pemandu treler terpaksa bermalam di lebuh raya selepas kenderaan berat muatan beras dipandunya terbalik dalam kejadian di Kilometer 211.5, Projek Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, treler membawa 40 tan muatan beras dari Sungai Manik, Perak, berkenaan hilang kawalan ketika menuju ke Pasir Gudang, Johor untuk proses penapisan beras. 
Difahamkan, kenderaan berat dipandu Mohd Zahir Musa, 45, tanpa kelindan itu hilang kawalan ketika berada di lorong kiri kerana cuba mengelak lori yang dipandu perlahan di depan. 

Menurut Zahir, ketika kejadian, dia memandu perlahan di lorong kiri, namun tidak menyedari kenderaan berat tidak berlampu berada di depannya menyebabkannya menekan brek secara tiba-tiba.
Foto
PEKERJA memunggah beras selepas kemalangan, kelmarin.

“Saya nampak lori itu, namun apabila jarak semakin dekat, ia dilihat berhenti dalam keadaan lampu brek tidak menyala sebelum paut stereng ke kiri jalan.

“Ia mengakibatkan treler dipandu terbalik dalam kedudukan mengiring ke tebing kiri lebuh raya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin. 

Beliau berkata, dia yang tidak mengalami kecederaan serius kemudian bertindak keluar menyelamatkan diri sebelum pengguna lebuh raya turut membantu. 

“Saya sebelum itu menolak pintu pemandu dan melompat keluar ke tebing lebuh raya. Sebahagian daripada muatan beras dalam guni turut berterabur atas tebing rumput,” katanya. 

Kata Zahir, dia terpaksa bermalam di kawasan berkenaan kerana bimbang beras dicuri sebelum majikan serta rakan sekerjanya tiba tidak lama kemudian. 

“Berikutan kerja memunggah beras mengambil masa lama, saya terpaksa membentangkan tilam berehat di sekitar tebing sementara menunggu hari siang,” katanya. 

“Muatan beras itu sepatutnya dihantar ke sebuah kilang di Pasir Gudang untuk proses penapisan,” katanya yang bersyukur kerana terselamat. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

No comments:

Post a Comment