Search This Blog

Monday, December 16, 2013

13 terbunuh rusuhan di Bangladesh


Sebahagian penyokong Parti Jamaat-e-Islami membakar tayar semasa mengadakan tunjuk perasaan membantah hukuman mati ke atas pemimpin mereka, Abdul Quader Molla di Rajshahi, semalam. - AFP
DHAKA 15 Dis. - Sekurang-kurangnya 13 orang lagi dilaporkan terbunuh dalam rusuhan oleh penyokong parti Islam, Jamaat-e-Islami di bandar-bandar di Bangladesh, hari ini dan semalam, ketika Perdana Menteri Sheikh Hasina memberi amaran mengenakan tindakan keras terhadap keganasan.
Polis berkata, penyokong parti itu membakar rumah-rumah dan bertempur di jalanan di bandar-bandar utama pada hari ketiga Abdul Quader Molla menjalani hukuman gantung atas kesalahan jenayah perang.
Di utara, di bandar Patgram, empat orang dilaporkan terkorban, manakala tujuh orang lagi terbunuh di kawasan lain, semalam ketika penyokong Jamaat-e-Islami mengadakan mogok di seluruh negara.
“Polis terpaksa melepaskan peluru getah untuk menyuraikan rusuhan selepas kira-kira 20 buah rumah milik penyokong kerajaan dibakar," kata jurucakap kerajaan Habibur Rahman.
Sementara itu, tiga orang terbunuh di selatan bandar Companyganj, tiga di utara bandar Ramganj dan seorang di pantai Laxmipur, semalam.
Di sebuah kubu pembangkang di Companyganj, polis melepaskan peluru getah bagi menyuraikan kira-kira 8,000 penyokong Jamaat-e-Islami yang membakar empat buah rumah pegawai kerajaan dan menyerang pasukan polis.
Sejak Khamis lalu, 20 orang dilaporkan terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam pertempuran antara penyokong Jamaat-e-Islami dan pasukan polis.
Sheikh Hasina memberi amaran keras terhadap perusuh dan tidak akan bertolak ansur dengan keganasan.
“Penduduk di negara ini hanya tahu untuk membalas dendam, kami juga tahu bagaimana untuk memberi tindak balas bagi mengawal kumpulan perusuh," katanya pada perhimpunan sempena memperingati mereka yang terbunuh dalam perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971, semalam.
Abdul Quader,65, menjadi orang pertama dijatuhi hukuman mati kerana terlibat dalam perang dan penyokongnya menyifatkan hukuman ke atas pemimpin mereka itu sebagai ‘pembunuhan politik’ dan mengumumkan akan membalas dendam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131216/lu_09/13-terbunuh-rusuhan-di-Bangladesh#ixzz2nd2ZLa8z
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment