![]() |
Muhamad Ong Yee Cheong |
31 Disember 2013
TAIPING – Seorang warga emas ditemui rentung dalam satu kebakaran di rumahnya, di Kampung Larut Tin Tambahan, Pokok Assam, di sini, kira-kira jam 7.45 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mangsa Muhamad Ong Yee Cheong, 54, tinggal berseorangan di rumah setinggan tersebut.
![]() |
Mayat mangsa yang rentung ditemui di bahagian belakang rumahnya. |
“Difahamkan mangsa tidak mempunyai pekerjaan tetap dan rumahnya tiada bekalan elektrik,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Penguasa Hasna Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira jam 8.17 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
![]() |
Keadaan rumah mangsa yang 100 peratus terbakar. |
“Mayat mangsa ditemui rentung di bahagian belakang rumah berkenaan,” katanya.
Hasna berkata, bagi operasi menyelamat dan memadam kebakaran itu, sebanyak empat jentera bergegas ke tempat kejadian.
“Tiga dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping manakala sebuah lagi dari Balai Kamunting melibatkan 14 anggota dari Balai Taiping dan tujuh lagi dari Balai Kamunting.
“Sementara jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad yang turut ke tempat kejadian berkata, mangsa menghidap asma dan mendapat bantuan daripada baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Berikutan kejadian itu pihak kami akan uruskan pengebumian jenazah,” katanya.