Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

Wanita Malaysia antara tiga hamba dibebaskan


LONDON 22 Nov. - Tiga orang wanita termasuk seorang warga Malaysia diselamatkan selepas mereka didakwa menjadi hamba domestik selama 30 tahun di sebuah rumah di selatan ibu negara ini, kata polis Britain.
Polis Metropolitan mendedahkan perkara itu selepas menahan dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita, kedua-duanya berusia 67 tahun awal pagi semalam sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung perhambaan domestik.
Pasukan siasatan perhambaan Scotland Yard dilancarkan selepas seorang daripada wanita yang dikurung itu menghubungi sebuah badan kebajikan memaklumkan bahawa dia ditahan tanpa kemahuannya dan pertubuhan itu kemudiannya membuat laporan polis,
Kesemua mangsa itu, seorang rakyat Malaysia berusia 69 tahun, warga Ireland berusia 57 dan seorang rakyat Britain yang tidak diketahui usianya dibebaskan pada 25 Oktober lalu.
Ketua Unit Pemerdagangan Manusia Polis Metropolitan, Kevin Hyland berkata, kesemua wanita itu kini 'dalam keadaan trauma'.
Menurut polis, tiada bukti berlakunya penderaan seksual ke atas mangsa.
Hyland berkata, beliau tidak tahu sebarang hubungan antara mangsa dan kedua-dua suspek terbabit.
Namun, pendedahan maklumat itu menimbulkan beberapa persoalan yang masih tidak dapat dileraikan.
Katanya, kesemua mangsa yang namanya tidak didedahkan, kini berada dalam keadaan selamat di sebuah lokasi di Britain yang tidak dinyatakan dan telah menerima rawatan pakar trauma sejak mereka diselamatkan.
Scotland Yard dalam satu kenyataan, hari ini menyatakan, polis Britain membebaskan dua suspek yang ditahan berhubung siasatan kes perhambaan tersebut, semalam dengan ikan jamin sehingga satu tarikh pada Januari ini. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131123/lu_04/Wanita-Malaysia-antara-tiga-hamba-dibebaskan#ixzz2lSPOy7Jq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment