Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Tonto terpedaya, serbuan berjaya

Kota Bharu: Taktik sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan menaiki sebuah bas ekspres seolah-olah mahu mengikuti kursus di Kuala Lumpur berjaya memerangkap ‘tonto’ pusat hiburan yang menyediakan pelayan pelanggan (GRO) di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, kelmarin.
Difahamkan, ‘tonto’ yang sentiasa memantau pergerakan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen itu terpedaya selepas mendapati bas terbabit sudah separuh jalan ke Kuala Lipis dan tidak lagi mengekorinya.

Bagaimanapun, sebaik menyedari pergerakan tidak lagi diintip, rombongan pasukan penguat kuasa itu berpatah balik dan terus melakukan serbuan di dua pusat hiburan haram di situ dan berjaya menahan seramai 20 GRO warga Thailand dan Kemboja.
Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Kelantan Abdul Basek Abu Bakar berkata, seorang daripada 18 GRO yang ditahan adalah pondan, manakala dua lagi warga Kemboja. “Mereka ditahan ketika melayan pelanggan dalam keadaan berpakaian seksi. Ketika serbuan beberapa insiden berlaku seperti ada enam GRO cuba melarikan diri ke dalam semak berdekatan namun kita berjaya menahan mereka,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dua pusat hiburan itu sudah beberapa kali cuba diserbu tetapi gagal berikutan pergerakan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen sentiasa dipantau oleh ‘tonto’ yang diupah pemilik pusat hiburan berkenaan.

Katanya, pihaknya terpaksa menukar taktik bagi ‘menjerat’ mereka dan berpura-pura menaiki bas seolah-olah mahu mengikuti kursus di Kuala Lumpur.
Foto
ABDUL Basek (kanan) menyoal siasat sebahagian daripada 20 GRO warga Thailand dan Kemboja yang ditahan.
“Semua GRO warga asing yang ditahan berusia antara 15 hingga 48 tahun dan mereka akan dihantar ke Depoh Tahanan Asing di Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh.

“Kebanyakan yang ditahan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1963,” katanya.
Abdul Basek berkata, siasatan dilakukan mendapati pemilik pusat hiburan berkenaan tidak serik menjalankan kegiatan mereka kerana mendapat sambutan daripada pelanggan yang menganggap mereka hanya berhibur.

No comments:

Post a Comment