Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Taufan Haiyan: Korban meningkat 4,000 orang


Sebahagian mangsa yang terselamat menerima rawatan di lobi Hospital Divine Word yang mengalami kekurangan bekalan elektrik pada hari ketujuh taufan di Tacloban, semalam. - AFP
TACLOBAN 15 Nov. - Angka kematian akibat Taufan Haiyan di Filipina hari ini meningkat mendadak kepada 4,000 orang ketika pasukan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) mula mengagih-agihkan bantuan kemanusiaan ke kawasan-kawasan bencana.
Satu papan notis yang ditempatkan di bangunan Majlis Perbandaran Tacloban menganggarkan angka kematian meningkat kepada 4,000 orang berbanding lebih 2,000 mangsa yang dilaporkan sehari sebelum itu.
Data jumlah kematian tersebut mula dikumpulkan oleh pegawai tempatan ketika mengebumikan mayat mangsa dalam satu kubur besar di sini, semalam.
Datuk Bandar Tacloban, Alfred Romualdez berkata, terdapat kemungkinan sejumlah mangsa terbunuh dihanyutkan ke laut dan mayat mereka hilang dibawa ombak seperti tsunami yang melanda kawasan persisiran pantai.
Jelasnya, satu kawasan penempatan yang mempunyai penduduk antara 10,000 hingga 12,000 orang telah musnah sepenuhnya.
Angka kematian terbaharu itu sekali gus melangkaui jangkaan Presiden, Benigno Aquino yang menganggarkan jumlah kematian hanya melibatkan 2,000 hingga 2,500 orang.
Benigno turut berdepan tekanan untuk mempercepatkan usaha pengagihan bantuan selain dikritik kerana tidak memberikan angka kematian yang tepat.
Sementara itu, Tentera Laut AS hari ini mula mengerahkan helikopter dari kapal pengangkut pesawat dan kapal perang lain untuk menghantar bantuan makanan, air dan pasukan perubatan untuk membantu mangsa taufan terbabit.
Kapal pengangkut pesawat USS George Washington dan beberapa kapal lain tiba di timur perairan wilayah Samar, petang semalam dengan membawa 5,000 krew dan lebih 80 pesawat termasuk 21 buah helikopter.
Dalam satu lagi perkembangan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan, lebih 920,000 orang dipindahkan akibat Taufan Haiyan dan mereka masih belum menerima bantuan.
Ketua misi kemanusiaan PBB, Valerie Amos berkata, pasukannya menghadapi masalah untuk ke lokasi bencana, di mana penduduk di situ terdesak untuk mendapatkan bantuan.
"Masalah ini membuatkan penduduk yang menunggu bantuan berasa kecewa kerana kami tidak dapat menghantar bekalan makanan dan perubatan dengan segera,
"Saya berharap dalam tempoh 48 jam akan datang, situasi ini akan berubah dan bantuan kemanusiaan dapat dihulurkan dengan segera kepada mereka yang memerlukan," jelasnya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131116/lu_02/Taufan-Haiyan-Korban-meningkat-4000-orang#ixzz2kmMGMp2k
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment