Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Sindiket black money Afrika tumpas


Mohd. Shukri Dahlan (kiri) menunjukkan sebahagian dadah dan 'wang' black money yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/ Mohd. Shaharani Saibi
SHAH ALAM 15 Nov. - Polis menahan lima warga Afrika yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan menggandakan duit dengan memperdayakan seorang kontraktor pada Oktober lalu, melibatkan kerugian sebanyak RM135,000.
Suspek berumur antara 30 hingga 40 tahun ditangkap oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di tiga lokasi berasingan di sekitar Ampang dekat sini kira-kira pukul 8.30 malam semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, warga Afrika yang memasuki negara ini menggunakan pas pelajar dipercayai aktif dengan kegiatan tersebut di sekitar Ampang sejak dua tahun lalu dengan menjadikan individu yang mempercayai perkara mistik sebagai sasaran untuk menjalankan penipuan mereka.
''Mereka didapati menggunakan elemen keagamaan untuk memperdayakan mangsa semasa bertemu dengan kontraktor berumur 50-an itu di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
''Pada mulanya suspek mendekati kontraktor itu dengan memperkenalkan diri bahawa dia berasal dari Jordan dan menyatakan mengenali seorang lelaki dari Arab Saudi yang boleh menggandakan wang bagi menyelesaikan masalah kewangan seseorang," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Mohd. Shukri berkata, dalam tempoh perkenalan hampir tiga minggu antara suspek dengan pengadu, lelaki Afrika berkenaan telah menawarkan upacara menggandakan wang kepada mangsa dan meminta kontraktor tersebut menyediakan wang sebanyak RM135,000.
''Wang tersebut digunakan untuk upacara mistik memanggil jin yang dikenali sebagai 'Jin Maimunah' dan mendakwa mangsa akan menerima wang sejumlah AS$100 juta (RM320 juta) hasil upacara mistik tersebut.
''Namun, selepas meminta RM135,000, suspek meminta lagi wang sebanyak RM201,000 untuk bacaan doa kali terakhir. Pengadu kemudiannya mengesyaki sesuatu mencurigakan kerana tempoh ditetapkan oleh suspek selama 14 hari untuk menggandakan wang itu tidak dipenuhi dan merasa dirinya telah ditipu lalu membuat laporan polis," katanya.
Beliau berkata, polis kemudian berjaya menangkap suspek setelah pertemuan diaturkan di sebuah masjid di Ampang dan selepas disiasat rupa-rupanya lelaki yang mengakui dari Jordan itu adalah warga Afrika manakala lelaki Arab Saudi itu pula sebenarnya dari Senegal dan tiga lagi dari Nigeria.
''Dalam tangkapan yang dijalankan polis telah merampas beg bimbit mengandungi sebungkus kain putih berisi empat ikat kertas yang dipotong mengikut saiz wang Amerika dolar.
''Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mulai hari ini hingga Isnin ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta boleh didenda," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131116/je_06/Sindiket-black-money-Afrika-tumpas#ixzz2kmRNQfAw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment