BATU PAHAT - Kepulangannya kali ini menjadi yang terakhir buat seorang remaja apabila dia lemas ketika mandi bersama lima rakan di Tasik Parit Tabor, Yong Peng, di sini, kelmarin.

Mayat mangsa, Mohd Azhar Mohd Rahman, 16, ditemui Unit Scuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut dibantu Unit Anjing Pengesan K9 sekitar jam 2.48 petang semalam, setelah hampir 20 jam dilaporkan hilang.

Rakan mangsa, Mohd Sharil Shafiq, 21, berkata, ketika sedang mandi, dia mendengar mangsa menjerit meminta tolong kerana kakinya tersangkut pada tali pelampung di tengah tasik.

Menurutnya, dia bersama seorang rakan lain segera berenang mendapatkan mangsa bagi menyelamatkannya daripada lemas sebaik melihatnya tercungap-cungap.

“Saya menghampiri arwah dan ketika itu dia terus memeluk saya. Saya cuba menariknya tetapi sukar, kerana dia seperti turut ditarik ke  dasar tasik dengan kuat.

“Pada masa sama, saya sendiri terasa seperti ditarik ke dasar tasik menyebabkan saya terpaksa melepaskan arwah dan hanya mampu melihatnya terkapai-kapai.

“Dengan mata sendiri, saya lihat mangsa mula tenggelam dan saya hanya mampu melihat buih-buih berhampiran tempat kejadian selepas rakan saya itu tenggelam sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ibu mangsa, Rubiah Hamza, 42, berkata, dia tidak menyangka kepulangan anaknya yang baru seminggu dari Kolej Vokasional Kuantan, Pahang, itu adalah yang terakhir.

Menurutnya, arwah anaknya juga ada menyatakan mahu bermain sepuas-puasnya bersama rakan di kampung pada cuti persekolahan kali ini dan itulah yang dilakukan arwah sepanjang seminggu sebelum pemergiannya.

“Kami sekeluarga reda dengan dengan pemergian arwah dan yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmah.

“Kami terima dengan hati terbuka, meskipun selepas ini pasti akan merindui arwah yang mesra disapa Uda dalam keluarga terutama adik bongsunya yang memang rapat dengannya yang kini berusia enam tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Mencari Dan  Menyelamat, Mohd Aizad Mamat berkata, bomba tiba di lokasi sekitar jam 6 petang kelmarin dengan kekuatan 20 anggota, satu pasukan Unit Scuba dan Unit K9.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Unit Selam Bomba Johor berkata, pasukannya melakukan lima kali selaman dan akhirnya menjumpai mangsa di dasar tasik kira-kira jam 2.48 petang semalam, di mana kaki mangsa masih tersangkut pada tali pelampung.

“Dalam operasi ini, dua kali selaman dilakukan pada waktu malam (kelmarin), dua kali waktu pagi (semalam) dan hanya pada selaman kelima kami menemui mayat mangsa di dasar tasik,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali yang ditemui di lokasi kejadian berkata, tasik berkenaan perlu ditutup kepada umum dan menjadi kawasan larangan, selain ianya perlu dipagar.