Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

Rakyat Malaysia dituduh rasuah di AS dibebas


SAN DIEGO 22 Nov. - Hakim Mahkamah Majistret Amerika Syarikat (AS), semalam membenarkan seorang rakyat Malaysia yang dituduh terlibat dalam kes rasuah terbesar melibatkan tentera laut negara ini, dibebaskan dengan bersyarat dan dikenakan ikat jamin sebanyak AS$1 juta (RM3.2 juta).
Hakim Jan Adler membuat keputusan itu dengan menyertakan senarai sekatan yang akan dikenakan ke atas suspek yang dikenali sebagai Leonard Francis.
Menurut syarat pembebasan, suspek akan dipantau dengan sistem kedudukan global (GPS), perlu menyewa pangsapuri di San Diego dengan dipasang kamera pemantau dan alat penggera di tingkap dan melantik pengawal keselamatan bebas yang akan memantaunya selama 24 jam, serta memaklumkan kepada pihak berkuasa jika dia cuba melarikan diri.
Adler turut mengekalkan keputusannya untuk menangguhkan satu penilaian semula oleh hakim Mahkamah Daerah AS.
Francis, Ketua Pegawai Eksekutif Glenn Defense Marine Asia Ltd., adalah suspek utama dalam kes rasuah bernilai berjuta-juta dolar yang menggegarkan Tentera Laut AS.
Dia ditahan di San Diego pada 16 September lalu atas tuduhan menawarkan percutian mewah, perkhidmatan pelacur dan beberapa habuan lain kepada pegawai-pegawai Tentera Laut AS sebagai pertukaran dengan maklumat sulit, termasuk laluan kapal.
Pendakwa raya menuduh Francis menggunakan maklumat itu untuk mengenakan bil berlebihan kepada Tentera Laut AS bagi perkhidmatan pelabuhan di Asia.
Selain Francis, seorang sepupunya yang merupakan pengurus syarikat dan tiga pegawai tentera laut, turut didakwa berhubung kes tersebut, tetapi kesemuanya mengaku tidak bersalah. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131123/lu_05/Rakyat-Malaysia-dituduh-rasuah-di-AS-dibebas#ixzz2lSPXPl00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment