Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Pelancong Taiwan ditembak mati, isteri mangsa hilang

 16 Nov 2013

SEMPORNA (Sabah): Seorang pelancong warga Taiwan ditemui mati ditembak, manakala isterinya dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di Pulau Pom-Pom, dekat sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Encik Lim Min Hsu, 57 tahun, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di koridor sebuah pusat peranginan di sini sekitar 1 pagi semalam. Isterinya, Cik An Wei Chang, 58 tahun, juga warganegara Taiwan, dilaporkan hilang susulan insiden itu.

Pasangan suami isteri itu tiba di pusat peranginan tersebut pada Selasa lalu dan dijadualkan meninggalkan pusat peranginan itu pada 20 November ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan insiden itu tetapi tidak mendedahkan maklumat lanjut.

Kumpulan bersenjata itu dilaporkan tiba di pusat peranginan tersebut menggunakan bot pam dan menyerbu tiga daripada enam vila, termasuk vila mangsa.

Ketika kejadian itu, terdapat 48 pelancong dan kakitangan pusat peranginan yang berada di pulau itu.

Kumpulan bersenjata itu kemudian dipercayai melarikan diri ke Pulau Mataking dekat selatan Filipina.

Seorang pegawai kanan keselamatan ditukil sebagai berkata mereka sedang cuba mengenal pasti sama ada kumpulan tersebut dari selatan Filipina.

Penduduk di Semporna berkata tiada aktiviti mencurigakan berlaku tetapi polis dan tentera telah mengambil langkah berjaga-jaga.

Pusat peranginan itu terletak hanya satu kilometer dari sebuah pangkalan Pasukan Gerakan Am (GOF) dan sebelum ini kawalan di perairan dari Semporna ke Lahad Datu telah dipertingkatkan ekoran serangan kumpulan bersenjata yang mendakwa penyokong Sultan Sulu di Lahad Datu pada Februari lalu. - Agensi.

No comments:

Post a Comment