Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

Pegawai AADK mengaku tidak salah palsu dokumen




SEREMBAN – Seorang Ketua Pegawai di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Tampin mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 13 tuduhan tuntutan palsu dokumen Pesanan Kerajaan (LO) pada 2010.
Mohamad Noorsham Mohamad Sapian (gambar), 39, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.
Tertuduh didakwa dengan enam pertuduhan antara 8 Oktober hingga sekitar Disember 2010 iaitu membuat tuntutan palsu menerima bekalan makanan mentah daripada Syarikat Ikhlas Saujana Enterprise bagi Program Badget Daycare AADK Tampin menerusi Pesanan Kerajaan bernombor LO 267260500100243, LO 267260500100244, LO 267260500100260, LO 267260500100327, LO 267260500100383 dan LO 267260500100384 membabitkan jumlah RM16,194.60 di pejabat AADK Tampin.
Dia turut didakwa dengan tujuh pertuduhan antara Januari hingga November 2010 iaitu tuntutan palsu terhadap kerja-kerja pembersihan di pejabat AADK Tampin, bekalan set karaoke, kamera digital, meja kayu, selimut dan khemah daripada syarikat dan di pejabat yang sama.
Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai jumlah atau butiran palsu atau RM10,000 mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurdiyanah Mohd. Nawawi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Kamarul Arifin Mohd. Wafa.
Nursinah mengenakan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM15,000 dan menetapkan 22 Januari 2014 tarikh sebutan semula kes. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2lRVSb23p 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment