KAHERAH - MESIR -  Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi kini sudah dipindahkan ke sel biasa selepas menerima rawatan 10 hari di hospital tentera di Penjara Borg al-Arab berhampiran Iskandaria.

Pegawai perubatan melaporkan, selepas hadir ke perbicaraan 4 November lalu, Mursi, 62, terus dibawa ke hospital penjara selepas mengalami tekanan darah tinggi.

“Selepas ini Mursi tidak akan menerima rawatan khas ketika berada dalam sel,” katanya.

Terdahulu, anaknya Osama Mursi berkata, pihak keselamatan enggan memberi kebenaran beliau dan ibunya untuk melawat Mursi selepas mengetahui keadaan kesihatan pemimpin itu terjejas.

“Mereka menolak permintaan kami untuk sekali lagi melawat ayah di penjara. Kami percayai, perkara ini adalah ‘hukuman’ selepas ayah menyampaikan kenyataan kepada peguam kami,” katanya yang dipetik Al Arabiya

Semalam, peguam Mohamad al-Damati menyampaikan kenyataan Mursi melalui televisyen menyatakan tentera adalah pengkhianat negara.

Sementara itu, perbicaraan Mursyidul Am Ikwanul Muslimin, Mohamed Badie dan dua timbalannya, Khairat al-Shater dan Rashad al-Bayoumi atas tuduhan menghasut disambung semula 11 Disember ini.

Sumber perundangan berkata, tarikh baru itu dibuat selepas tiga hakim perbicaraan tersebut meletak jawatan 29 Oktober lalu atas sebab tertentu.