Search This Blog

Monday, November 18, 2013

Mangsa samun ditinggal tangan bergari


Bentong: “Ketika ditinggalkan seorang diri dalam ladang sawit sambil tangan bergari, saya hanya fikir akan mati dibaham binatang buas sebelum membayangkan wajah sedih isteri bersama tiga anak,” demikian kata seorang lelaki, Alan Ng, 43, menceritakan pengalaman menakutkan selepas menjadi mangsa samun tiga lelaki menyamar sebagai polis, pada 13 November lalu.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa dari Mentakab, dekat Temerloh ditinggalkan di dalam ladang sawit di Puncak Alam, Selangor, selepas dibawa tiga suspek terbabit sebelum suspek melarikan wang tunai RM1,200 bersama kereta Mercedes Benz bernilai RM350,000.


Menceritakan semula kejadian itu, Alan berkata, dia dalam perjalanan pulang ke Temerloh dari Genting Sempah, di sini, selepas bertemu rakan ditahan tiga lelaki yang memintas kenderaannya ketika melalui Lebuhraya Karak-Bentong.



Menurutnya, ketiga-tiga lelaki terbabit kemudian memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum seorang daripada ‘anggota’ terbabit bertindak menggari kerana menuduhnya along.


Katanya, akibat terkejut dengan tindakan tanpa bukti kukuh itu, dia bertindak membuka pintu kereta dan bergegas melarikan diri sambil menjerit meminta bantuan orang awam, namun tiada sesiapa yang tampil membantu.


Alan berkata, lebih malang lagi, beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian itu sempat merakam gambar dan bertindak menahannya sebelum menyerahkan kepada suspek kerana menyangka mereka adalah polis.

“Ketika itu, ramai yang sangka saya adalah penjenayah dikehendaki sebelum tiga suspek terbabit mengarahkan saya masuk ke dalam kereta lalu beredar dari tempat kejadian.


“Sepanjang perjalanan menghala ke Puncak Alam, Selangor, saya merayu supaya dilepaskan, namun lelaki terbabit meminta saya tidak membuat bising selain mengugut dengan pistol jika enggan mengikut arahan mereka.

“Setibanya di ladang sawit berkenaan, seorang daripada lelaki itu membuka gari besi sebelum menggari semula tangan dengan menggunakan gari plastik,” katanya yang mengusahakan sebuah pusat jualan kereta terpakai di Temerloh.


Menurutnya, dia terpaksa mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka gari plastik berkenaan sebelum berjalan keluar dari ladang berkenaan sejauh 100 meter, kira-kira jam 11.30 malam, hari sama.


Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur apabila dibantu orang awam yang menemuinya berjalan seorang diri dalam keadaan tidak terurus sebelum menceritakan kejadian yang berlaku.


Alan berkata, pada masa sama, dia kemudian menghubungi abangnya untuk meminta bantuan sebelum tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Bukit Tinggi, di sini.

No comments:

Post a Comment