Search This Blog

Monday, November 18, 2013

Lelaki Uighur ditembak mati


Sekumpulan anggota separa tentera, meronda di sekitar jalan-jalan di Kashgar, Xinjiang, yang sering menjadi lokasi rusuhan etnik di China, pada 30 Jun lalu. - REUTERS
BEIJING 17 Nov. - Sembilan lelaki yang menyerang sebuah balai polis menggunakan kapak dan pisau ditembak mati di wilayah bergolak Xinjiang, semalam, selepas mereka didakwa membunuh dua anggota polis.
Serangan berlaku kira-kira pukul 5.30 petang (5.30 petang waktu Malaysia) di Serikbuya, daerah Bachu, lapor agensi berita Xinhua hari ini.
Menurut Xinhua, dua lagi anggota polis turut cedera dalam insiden itu, tetapi tiada butiran terperinci diberikan.
Namun, jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit berkata, kumpulan lelaki yang merupakan etnik Uighur itu sedang melakukan tunjuk perasaan dan menuduh polis yang menyebabkan berlakunya keganasan.
Katanya, selain kematian itu, berpuluh-puluh lagi etnik Uighur yang mengadakan tunjuk perasaan turut ditahan.
"Saya sekali lagi menggesa masyarakat dunia untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan tindakan kerajaan China melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan Uighur.
"Penduduk Islam Xinjiang telah dihalang daripada menggunakan kaedah yang sah di sisi undang-undang dan mempertahankan hak mereka," kata jurucakap kumpulan yang beribu pejabat di Munich, Jerman itu.
Laporan insiden itu berlaku ketika ketegangan di wilayah Xinjiang memuncak ekoran serangan di Dataran Tiananmen, Beijing pada hujung bulan lalu, yang didakwa kerajaan dilakukan oleh 'pengganas dari wilayah ini'. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131118/lu_03/Lelaki-Uighur-ditembak-mati#ixzz2l0pIlfle
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment