Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Lagi mayat warga Myanmar ditemui


16 November 2013


BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemui di kawasan belukar di Kampung Tok Panjang, Juru dipercayai dibunuh berdasarkan kesan kelar di leher dan tikaman di perut mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang awam yang lalu di kawasan berkenaan pada kira-kira 9.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.

"Ketika ditemui, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan dompet duit juga tidak ditemui, mungkin mangsa disamun dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di belukar berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Seorang saksi, Roslan Abdul Rahman, 53, berkata mangsa bukan orang tempatan kerana dia tidak pernah melihat kelibat lelaki berkenaan di kampung itu.

"Saya dimaklumkan rakan tentang kejadian itu. Kami terus ke situ dan melihat keadaan mangsa yang terbaring berlumuran darah serta terdapat kesan kelar di bahagian leher dan tikaman di bahagian perut," katanya sambil menambah kejadian itu adalah  yang pertama berlaku di kawasan berkenaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment