Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Kes MPV: KPN jamin siasatan terperinci

 Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar 
GEORGETOWN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan polis akan menyiasat secara terperinci berhubung kes seorang pemuda melarikan kereta peronda polis (MPV) dan ditemui maut selepas MPV itu merempuh perhentian bas.

Beliau juga memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana anggotanya jika didapati terbabit dalam kematian pemuda itu yang disahkan meninggal dunia akibat tembakan di kepala.

"Setakat ini siasatan awal kita mendapati kecederaan di kepala lelaki itu adalah ditembak olehnya sendiri. Bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan secara terperinci.

"Saya sendiri akan ke Kuantan, Pahang petang ini untuk menemui anggota (polis) yang terlibat dalam kejadian untuk menyoal mereka bagi mengetahui situasi sebenar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Khalid yang ditemui selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang diminta mengulas kenyataan bapa lelaki itu yang tidak berpuas hati apabila laporan bedah siasat bercanggah dengan kenyataan polis berhubung punca kematian anaknya.  

Abdul Nasir Abdullah, 50, dilapor akhbar hari ini sebagai berkata laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah itu menyatakan kematian anaknya disebabkan oleh tembakan di kepala, bukan kerana terhentak pada stereng kereta seperti yang dinyata oleh polis.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam Khamis lepas di susur keluar Plaza Tol Chenor Lebuhraya Pantai Timur, pemuda berusia 22 tahun itu bertindak menyerang anggota polis dan merampas pistolnya sebelum melarikan MPV berkenaan.

Dia yang dipercayai mengalami masalah mental turut melepaskan empat das tembakan secara rambang dari dalam MPV sebelum kenderaan itu terbabas dan merempuh perhentian bas di persimpangan Kampung Bukit Lada, Maran.

Mengulas lanjut, Khalid berkata polis tidak menghalang jika keluarga lelaki itu mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Polis Diraja Malaysia.

Mengenai anggota yang terlibat dalam kejadian itu, Khalid berkata mereka yang berkenaan akan berdepan dengan tindakan tatatertib kerana cuai dan menyebabkan MPV dilarikan oleh suspek. - Bernama

No comments:

Post a Comment