Search This Blog

Saturday, November 23, 2013

Jangan mudah tertipu pakej umrah murah - Menteri


KUALA LUMPUR 23 Nov. - Pengguna Muslim dinasihat tidak terpedaya dengan pelbagai janji ditawarkan dalam pakej umrah dengan harga murah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, pihak yang membuat tawaran itu hanya memikirkan keuntungan semata-mata berbanding kepentingan pengguna.
"Ada yang janji pakej murah, hotel dekat dengan Kaabah tapi bila sampai di Tanah Suci, berlaku sebaliknya.
"Ada juga yang mengalami masalah visa pada saat akhir, sedangkan duit untuk menunaikan ibadat umrah telah dibayar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Kembali ke Sekolah peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur Festival City di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan bahawa sebanyak 85 syarikat terbabit dalam kes penipuan pakej umrah melibatkan tuntutan RM6.9 juta sejak 2009.
Dalam pada itu, Hasan menggesa orang ramai tampil membuat aduan lengkap kepada pihak kementerian sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga barangan secara tidak munasabah.
"Saya minta kerjasama pengguna buat aduan di talian 1-800-886-800 supaya tindakan boleh diambil segera," katanya.
Mengenai program Jualan Kembali ke Sekolah tahun ini, Hasan berpuas hati dengan penglibatan pihak swasta yang semakin meningkat berbanding sebelumnya.
Program tahun itu bermula 15 November hingga 31 Disember ini di seluruh negara dengan menawarkan barangan persekolahan seperti uniform, alat tulis, kasut dan keperluan persekolahan dengan harga yang berpatutan.
Pasar raya seperti AEON, Giant, Tesco, Mydin, Aeon Big dan Parkson menyertai program ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan lapan negeri - Negeri Sembilan, Kelantan, Selangor, Kedah, Johor, Sarawak, Terengganu dan Sabah.
Pada pelancaran itu, seramai 50 kanak-kanak pelbagai kaum dari sekolah rendah dan menengah menerima sumbangan barangan persekolahan untuk sesi 2014. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131123/dn_26/Jangan-mudah-tertipu-pakej-umrah-murah---Menteri#ixzz2lSWrTeZ4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment