Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Empat dicekup ketika jual beli ganja

Shah Alam: Seorang lelaki yang juga tukang masak sebuah restoran diberkas bersama tiga lagi ketika sedang menjalankan urusan jual beli dadah secara terbuka di kawasan Taman Medan, Petaling Jaya, jam 6.30 petang Selasa lalu.
Lebih mengejutkan, ada antara suspek menjalankan aktiviti berkenaan bersama isterinya dan mereka dipercayai membuat pertemuan secara terbuka bersama pasangan masing-masing namun satu lagi ‘pasangan dadah’ yang diberkas tidak diketahui status hubungan mereka.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, penahanan mereka yang berusia 20-an hingga 56 tahun itu dibuat selepas polis mengesan dua kenderaan iaitu sebuah Honda Jazz dan Perodua Viva yang mencurigakan di lokasi kejadian sebelum ternampak pemandu Perodua mengeluarkan kotak dari keretanya.
Menurutnya, sebaik melihat tindakan itu, sepasukan anggota polis menyerbu kedua-dua kenderaan berkenaan dan menahan semua yang ada dalam kenderaan itu membabitkan dua lelaki dan dua wanita ditahan.

“Mereka diberkas selepas polis menemui lima ketul daun kering disyaki ganja mampat seberat lima kilogram (kg) menyebabkan siasatan susulan dilakukan.

“Selepas selesai menjalankan siasatan, pasukan berkenaan dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran dan di situ, mereka menemui dua lagi ketulan daun kering disyaki ganja mampat selain 30 peket plastik berisi ganja dianggar seberat 1.5 kilogram,” katanya.
Selepas ditahan katanya, suspek diarahkan menjalani ujian saringan air kencing sebelum tiga daripada mereka termasuk seorang wanita didapati positif dadah manakala seorang lagi wanita, bebas daripada bahan terlarang itu.

No comments:

Post a Comment