Search This Blog

Friday, November 1, 2013

Dugaan selepas lawat ayah sakit

Dugaan selepas lawat ayah sakitSiti menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Seorang wanita trauma untuk menunggang motosikal selepas berdepan dengan detik cemas ketika diragut dan samun dalam kejadian berhampiran ladang Tai Tak, dekat sini, Jumaat lalu.

Mangsa, Siti Hadijah Sumiri, 25, mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM5,000 apabila motosikal, telefon bimbit serta semua dokumen pengenalan diri miliknya berjaya dilarikan penjenayah dalam kejadian itu.

Menurutnya, dia yang sememangnya jarang keluar pada waktu malam terkejut apabila didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika dalam perjalanan pulang selepas melawat ayahnya yang sakit di Hospital Kota Tinggi (HKT).

“Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam dan jalan raya agak lengang. Pada awalnya saya perasan ada sebuah motosikal berhampiran lampu isyarat di simpang Kulai, namun saya tidak mengesyaki apa-apa.

“Tetapi saya mula merasakan sesuatu mencurigakan apabila motosikal tersebut ditunggang dalam keadaan perlahan. Saya yang mahu sampai cepat ke rumah terus memotong kenderaan berkenaan, namun lelaki terbabit memotong saya kembali dan terus menghimpit
motosikal saya,” katanya, di sini semalam.

Siti berkata, dia terjatuh selepas dihimpit kenderaan suspek menyebabkan beg tangannya dirampas sebelum suspek cuba untuk mengambil kunci motosikal miliknya pula.

“Pada awalnya, lelaki terbabit gagal merampas kunci motosikal saya kerana kunci tersebut terjatuh. Oleh kerana saya menjerit meminta tolong, mereka panik dan terus melarikan diri.

“Saya ingatkan saya sudah selamat, namun tidak apabila mereka berpatah balik sebelum merampas kunci di tangan saya dan segera membawa lari motosikal saya.

Bagaimanapun, dia yang tinggal di rumah abangnya di Taman Sri Saujana, di sini, bersyukur kerana tidak diapa-apakan meskipun masih terkejut dengan kejadian terbabit.

Katanya, susulan daripada kejadian itu, dia membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

“Meskipun masih bersedih dengan kejadian tersebut, saya amat berharap kejadian ini akan menjadi pengajaran buat wanita di luar sana agar lebih berhati-hati ketika membawa motosikal terutama pada waktu malam.

No comments:

Post a Comment