Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

Dua peragut maut motosikal rempuh jentolak


DUA pemuda yang dipercayai baru melakukan jenayah ragut maut selepas merempuh sebuah jentolak ketika dikejar anggota polis dalam kejadian di simpang tiga dekat Kampung Tok Alang Tasek Gelugor, Pulau Pinang , semalam. - UTUSAN/ Sazali Che Din
TASEK GELUGOR 15 Nov. - Drama seorang anggota polis mengejar dua peragut berakhir dengan tragedi apabila mereka terlibat dengan kemalangan maut.
Dua peragut berkenaan yang masing-masing berusia 19 dan 27 maut akibat kecederaan parah di kepala selepas merempuh bahagian hadapan sebuah jentolak dalam kejadian di persimpangan Jalan Ara Kuda ke Tasek Gelugor.
Anggota polis berkenaan yang bertugas di Balai Polis Padang Serai ketika kejadian menunggang motosikal berkuasa tinggi turut cedera parah dan patah kaki.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, motosikal yang dinaiki oleh kedua peragut berkenaan melanggar bahagian hadapan jentolak berkenaan yang mahu membelok ke kanan dan kedua-duanya terperosok di bawah kenderaan berkenaan.
Sebelum itu, kedua lelaki terbabit melanggar satu sekatan jalan raya yang dilakukan polis di sempadan Kedah Pulau Pinang menyebabkan mereka dikejar.
Selepas berlaku pelanggaran, anggota polis bermotosikal itu turut merempuh jentolak berkenaan menyebabkannya tercampak beberapa meter dan cedera parah.
Mayat kedua-duanya dihantar ke Kepala Batas untuk bedah siasat dan anggota polis berkenaan juga dirawat di hospital sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki kedua lelaki berkenaan telah dicuri beberapa minggu lalu.
"Kes ini disiasat menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131116/je_07/Dua-peragut-maut-motosikal-rempuh-jentolak#ixzz2kmREpac8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment