Search This Blog

Tuesday, November 12, 2013

Diberkas selepas 4 jam samun

Diberkas selepas 4 jam samunTiga lelaki dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut.

DUNGUN- Tiga lelaki berputih mata apabila gagal menikmati hasil samun dari dua kedai serbaneka 24 jam setelah diberkas kira-kira empat jam selepas melakukan kegiatan itu, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 2 pagi di Kampung Batu 5, di sini, seorang jurujual yang sedang bertugas, didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang memakai topi keledar.

Suspek dikatakan masuk ke kawasan kaunter lalu mengambil tunai berjumlah RM18 dalam mesin juruwang serta pelbagai jenis rokok sebelum melarikan diri.

Manakala dalam kejadian kedua, kira-kira dua jam selepas menyamun kedai di Batu 5, suspek dengan modus operandi sama menyamun sebuah kedai serbaneka di Kerteh, Kemaman.

Sebaik sahaja Balai Polis Dungun menerima laporan kejadian daripada mangsa pertama, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah diketuai Inspektor Zubir Ismail, melakukan siasatan.

Hasil rakaman CCTV, polis berjaya mengenal pasti penjenayah terbabit sebelum melancarkan operasi khas bagi memburu mereka.

Satu serbuan dilakukan di sebuah pusat snuker di Jalan Santong, dekat sini, setelah lokasi persembunyian mereka dikesan polis.

Ketiga-tiga suspek berjaya ditahan, malah tunai sebanyak RM49 dan pelbagai jenis rokok dipercayai barang kes, turut dirampas.

Semua suspek masing-masing dari Kampung Cacar dan Kemasik, Kemaman kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka bekerja sebagai mekanik, seorang sebagai buruh dan seorang lagi baru meninggalkan alam persekolahan serta tidak bekerja.

Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek pernah ditahan kerana terbabit dengan jenayah kekerasan dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian dan tangkapan tiga suspek terbabit.

“Tiga suspek termasuk dua berusia 17 dan 20 tahun, kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 kerana samun berkumpulan.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah methampethamine,” katanya.

No comments:

Post a Comment