Search This Blog

Friday, November 1, 2013

Cari dadah jumpa wang palsu


29 Oktober 2013

BESUT - Polis Besut percaya berjaya melumpuhkan kegiatan pencetakan wang palsu membabitkan rampasan berjumlah RM42,200 dengan penahanan sepasang suami isteri dan seorang lelaki Sabtu lalu.

Dalam serbuan jam 8 malam itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai mekanik ditahan bersama isterinya berusia 28 tahun seorang peniaga kedai makan.
Seorang lagi rakan pasangan suami isteri itu, lelaki berusia 19 tahun turut ditahan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap dalam serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah selepas mendapat maklumat awam.

Menurutnya, pada awalnya polis mendapat maklumat terdapat aktiviti penyalahgunaan dadah di rumah tidak bernombor di Kampung Nangka dekat Kuala Besut itu.

“Ketika serbuan dilakukan didapati ketiga-tiga suspek berada di ruang tamu dan selepas pemeriksaan dibuat, polis menemui 40 biji dipercayai dadah jenis methamphetamine (pil kuda) yang disembunyikan di dalam satu kotak rokok di ruang tamu rumah itu.

“Pada masa sama polis turut menemui sejumlah wang kertas kesemuanya not RM100 dipercayai palsu juga diruang tamu rumah,” katanya.

Katanya, wang palsu yang dirampas ialah membabitkan 181 keping kertas bersaiz A4 bercetak depan dan belakang not RM100 dengan nombor siri sama, 26 keping kertas A4 bercetak depan sahaja, tiga keping  kertas A4 bercetak belakang sahaja dan dua keping not RM100 yang siap dipotong.

Semua wang kertas tersebut menggunakan nombor siri yang sama dan polis turut merampas tiga unit komputer termasuk dua unit komputer riba, seunit pencetak dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan wang palsu.

Menurut Kamaruddin lagi, pasangan suami isteri itu yang beralamat di Kedah dikatakan telah lama menetap di daerah ini, manakala remaja yang ditahannya beralamat di sebuah taman perumahan dekat Seberang Jertih.

Ujarnya, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki positif dadah jenis pil kuda, manakala suspek perempuan negatif dadah.

Kesemua mereka ditahan reman untuk membantu siasatan dan bagi kes wang palsu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan.

Kes dadah pula disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1957 dan 15(1) akta yang sama.

No comments:

Post a Comment