Search This Blog

Friday, November 29, 2013

Butiran diri diperguna sindiket

Butiran diri diperguna sindiketZatamah memeriksa penggunaan namanya di laman sosial yang turut mengundang caci maki orang ramai disebabkan sindiket penipuan itu.

KUANTAN – Dipergunakan sindiket penipuan rumah sewa, nama seorang kakitangan awam, Zatamah Yahya, 52 melonjak secara tiba-tiba di internet terutamanya di laman web sewa beli seperti Ibilik.com dan Majalah.com.

Hasil enjin pencarian “Zaharah Yahya” menerusi Google mendapati nama itu menjadi perbualan hangat dan caci hamun orang ramai kerana didakwa menjadi dalang satu sindiket penipuan rumah sewa di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun, pemilik nama berkenaan yang kini bekerja sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan menafikan sekerasnya dakwaan itu danmengaku butir-butir peribadinya telah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Zaharah berkata, dia sudah menyedari tentang kes berkenaan sejak Jun lalu apabila salah seorang mangsa yang ditipu berjaya menghubunginya selepas pihak menabur janji lesap begitu sahaja.
“Saya terkejut apabila beberapa mangsa menelefon saya menerusi talian pejabat dan mereka meminta penjelasan tentang bayaran deposit rumah sewa yang telah dijelaskan.

“Saya tidak tahu menahu tentang perkara itu dan apabila diselidik di internet, ada pihak menggunakan nama dan nombor kad pengenalan saya.

“Saya syak nama dan maklumat diri diambil menerusi blog JKM serta dengan menggunakan maklumat itu ramai yang sudah menjadi mangsa.

“Ada yang kerugian hampir mencecah RM2,000, dan paling kurang RM100 serta mereka dikaburi dengan gambar rumah yang ditunjukkan menerusi e-mal serta tanpa ragu-ragu terus membuat pemindahan wang deposit.

“Apabila dihubungi semula sudah tidak dapat dikesan dan selepas itu barulah mangsa selidik serta berjaya mendapatkan nombor saya menerusi laman web JKM.

“Pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama dan butiran diri menyebabkan orang di luar sana mudah percaya tanpa berfikir panjang mereka sebenarnya sudah terperangkap,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, dia sudah membuat laporan polis mengenai kes itu sejak lima bulan lalu tetapi sehingga kini aktiviti penipuan menggunakan namanya didapati masih aktif.

“Nama baik saya tercemar kerana kes ini, orang lain yang kaut untung dengan menipu tetapi saya menerima akibatnya termasuk dimaki hamun di laman sosial.

“Walaupun sudah lama membuat laporan polis, kes ini didapati masih aktif sekarang dan jika dilihat menerusi laman sosial kes terbaru masih menggunakan nama saya ialah pada Oktober serta November.

“Walaupun menggunakan butiran diri saya, pihak berkenaan menggunakan akuan di atas nama sebuah syarikat bagi urusan pembayaran wang deposit.

“Saya hairan kenapa akuan berkenaan masih aktif dan tidak dibekukan bagi mengelak lebih ramai tertipu.

“Penipuan ini agak teliti kerana turut disertakan dengan surat perjanjian dan saya amat berharap ia ditumpaskan segera supaya dapat membersihkan nama saya, sekali gus mengelak lebih ramai tertipu,” katanya.

No comments:

Post a Comment