Search This Blog

Tuesday, November 12, 2013

Bekas pegawai MPSJ dijel 4 tahun, denda lebih RM1.2 juta


SHAH ALAM 12 Nov. - Seorang bekas Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Masyarakat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dihukum penjara empat tahun dan denda lebih RM1.2 juta setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan memberi 15 keping invois yang mengandungi butiran palsu.
Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Faizal Azhar, 41, atas kesalahan berhubung pembekalan papan tanda dan tong sampah melibatkan nilai berjumlah RM256,120 dua tahun lalu.
Beliau turut memerintahkan Ahmad Faizal, yang kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan, dipenjara 15 tahun lagi jika gagal membayar denda tersebut.
Walau bagaimanapun mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Asmadi dalam keputusannya menyatakan, tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan keterangan pembelaannya adalah rekaan semata-mata.
Ahmad Faizal didakwa memberi 15 invois daripada enam syarikat dan seorang individu itu kepada Pengarah Perancang Korporat MPSJ, Hamizun Mohd. Basar dan Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ, Hani Salleh berhubung pembekalan 98 papan tanda dan 460 tong sampah untuk Zon Bersih JKP Zon 5 yang sebenarnya pembekalan itu tidak berlaku.
Bapa empat anak itu melakukan semua kesalahan berkenaan di pejabat MPSJ dekat sini, pada 7 Januari 2011 dan 30 Disember 2011.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Azah Kasran manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Mohd. Shahrullah Khan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang singkat kerana bimbang hukuman dalam tempoh lama akan menyebabkan anak guamnya terpengaruh dengan sikap negatif banduan lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131113/ma_05/Bekas-pegawai-MPSJ-dijel-4-tahun-denda-lebih-RM12-juta#ixzz2kUeJEIKP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment