Search This Blog

Tuesday, November 12, 2013

Bas ke Genting Highlands terbabas: Seorang patah kaki


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Seorang lelaki cedera parah di kaki apabila bas persiaran dinaikinya terbabas ke dalam longkang di Kilometer 3, Jalan Batang Kali-Genting Highlands dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, bas persiaran itu dari Manjung menghala ke Genting Highlands membawa sebanyak 22 penumpang yang kesemuanya merupakan warga tempatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Zulkifli Bidin berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluan kanan bas tersebut.
"Pemandu bas persiaran itu cuba mengelak namun hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang.
"Kesemua penumpang dan pemandu bas hanya cedera ringan kecuali seorang lelaki berusia 58 tahun patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.07 pagi dan tiba di lokasi 25 minit kemudian.
"Kami mendapati sebuah bas persiaran terbalik dan semua penumpangnya cedera ringan dan berjaya keluar kecuali seorang penumpang lelaki tersepit," katanya.
Ini merupakan kemalangan ketiga membabitkan bas menghala ke Genting Highlands. Tragedi pertama berlaku di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur yang meragut 37 nyawa pada 21 Ogos lalu.
Dalam tragedi kedua pula di Kilometer 31.5, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak selepas terowong Genting Sempah menghala ke ibu negara pada 11 September lalu, sebanyak 36 penumpang bas nyaris maut dalam kemalangan melibatkan dua buah bas ekspres, sebuah treler dan sebuah kereta.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131112/je_06/Bas-ke-Genting-Highlands-terbabas-Seorang-patah-kaki#ixzz2kNolGqiI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment