Search This Blog

Tuesday, November 12, 2013

Askar halang kegiatan jarah


KEMUSNAHAN DI SAMAR: Gambar yang diambil dari udara ini menunjukkan kemusnahan yang melanda sebuah bandar pinggit pantai di wilayah Samar, tengah Filipina, semalam. - Foto REUTERS
TAUFAN HAIYAN


Penduduk yang terselamat lapor geng mencuri daripada peniaga kecil
TACLOBAN (Filipina): Beratus askar dan polis Filipina mula tiba semalam di bandar Tacloban yang terjejas teruk Taufan Haiyan bagi menghalang kegiatan menjarah yang mengancam usaha bantuan kecemasan.
Lebih 10,000 orang dikhuatiri terbunuh, walaupun sehingga petang semalam pihak tentera Filipina memberikan 942 mangsa sebagai angka kematian rasmi, lapor agensi berita Associated Press (AP).
Jurucakap tentera, Leftenan Jim Alagao, semalam berkata 275 orang disahkan hilang. Angka kematian dijangka meningkat mendadak dengan dua pegawai wilayah kelmarin meramalkan ia mungkin mencecah 10,000 orang atau lebih.
Pihak berkuasa menyatakan sekurang-kurangnya dua juta penduduk di 41 wilayah terjejas dek bencana yang melanda Jumaat lalu dan sekurang-kurangnya 23,000 rumah rosak atau musnah dengan bandar Tacloban merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas.
Pasukan keselamatan telah berusaha gigih cuba mengirimkan bekalan yang sangat diperlukan kepada ribuan penduduk yang terselamat tetapi kini kelaparan dan tidak mempunyai tempat tinggal di bandar yang menjadi ibu kota wilayah Leyte, lapor agensi berita AFP.
Usaha tersebut menjadi lebih sukar dengan berlakunya kegiatan menjarah dan kumpulan perusuh memecah masuk ke pasar raya dan menyerang konvoi pasukan Palang Merah.
Penduduk yang terselamat turut melaporkan geng-geng yang mencuri barangan seperti televisyen dan mesin basuh daripada perniagaan kecil.
Jurucakap pejabat Pertahanan Awam, Encik Reynalso Balido, memberitahu saluran televisyen ABS-CBN bahawa mengembalikan undang-undang dan ketenteraman di Tacloban dan kawasan lain merupakan salah satu "keutamaan penting".
Walaupun pihak berkuasa telah memindahkan sekitar 800,000 penduduk sebelum taufan melanda, angka kematian tetap tinggi kerana banyak pusat pemindahan - seperti sekolah, gereja dan bangunan pemerintah yang diperbuat daripada batu - tidak dapat menahan angin dan air yang melanda.
Menurut pihak berkuasa, mereka yang berlindung di dalam bangunan-bangunan tersebut sama ada lemas atau dihanyutkan air.
Presiden Filipina, Encik Benigno Aquino III, berkata beliau sedang menimbangkan mengisytiharkan keadaan darurat atau meletakkan Tacloban di bawah perintah tentera.
Keadaan darurat selalunya bermakna perintah berkurung akan dikenakan, harga dan bekalan makanan dikawal, pusat pemeriksaan tentera atau polis akan ditubuhkan serta kawalan keselamatan diperketat.
Taufan Haiyan telah melanda kawasan pantai timur Filipina Jumaat lalu dan segera bergerak ke arah pulau-pulau tengah negara itu dengan angin selaju 235 kilometer sejam yang kadangkala meningkat kepada 275 kilometer sejam dan landaan ribut setinggi enam meter.
Amerika Syarikat, Australia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggembleng bantuan kecemasan ke Filipina setelah skala bencana itu semakin jelas semalam.
Sementara itu, tiga pelajar Singapura dari Universiti Flinders Australia, yang berada di Tacloban dan sebelum ini tidak dapat dihubungi, telah ditemui dalam keadaan selamat.
Cik Eileen Heng, Cik Alyssa Chee dan Cik Vanessa Chong telah pun menghubungi keluarga masing-masing, lapor akhbar Inggeris, The Straits Times.

No comments:

Post a Comment