Search This Blog

Saturday, November 16, 2013

4 warga Afrika ditahan, syabu RM455,000 dirampas


SHAH ALAM 15 Nov. - Polis menahan empat warga Nigeria dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Pusat Bandar Puchong, Rabu lalu dan berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM455,000.
Dalam serbuan pada pukul 9 malam itu, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang membuat pemeriksaan ke atas premis tersebut telah menemukan daun-daun kering di dalam mesin pengisar yang disyaki ganja dengan anggaran berat sebanyak 23 gram.
Suspek kemudiannya menunjukkan polis sebuah kereta di kawasan letak kenderaan di apartmen tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pemeriksaan yang dilakukan di dalam bonet kereta berkenaan menemukan satu beg pakaian mengandungi bahan kristal, disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kira-kira 3.5 kilogram dan satu alat penimbang.
''Kesemua suspek berumur antara 28 hingga 31 tahun itu didapati datang ke negara ini sebagai pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi swasta dan mungkin terlibat dalam kegiatan pengedaran syabu.
''Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 39(A) akta yang sama dengan membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun manakala sebatan tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan jika sabit kesalahan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media IPK Selangor di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
Beliau memberitahu, pihaknya melihat kegiatan pengedaran dadah oleh warga Afrika semakin menjadi-jadi kerana berdasarkan statistik dari Januari hingga Oktober lalu menunjukkan sebanyak 47 lelaki dan seorang wanita dari negara Afrika ditangkap di bawah pelbagai Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, rampasan yang dilakukan pula melibatkan heroin sebanyak 30.1 kilogram, syabu (19.2 kilogram) dan ganja (2.1 kilogram).
Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan dua lelaki dan dua wanita tempatan berumur antara 26 hingga 50 tahun hasil intipan di sekitar Taman Medan, Petaling Jaya pada 12 November lalu dan berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 6.5 kilogram dengan nilai kira-kira RM18,200.
Mohd. Shukri berkata, dalam pemerhatian yang dilakukan kira-kira satu jam bermula pukul 6.30 petang pada hari tersebut, polis melihat dua buah kereta jenis Perodua Viva dan Honda Jazz memasuki kawasan berkenaan.
''Kemudian seorang lelaki iaitu pemandu kereta Perodua Viva dilihat keluar daripada kenderaan tersebut dan berjumpa dengan seorang lelaki yang memandu Honda Jazz. Pemandu kereta Perodua Viva itu kemudian mengeluarkan sebuah kotak daripada kenderaannya.
''Pada masa sama, sepasukan anggota polis bertindak menyerbu kedua-dua kereta tersebut dan berjaya menangkap dua lelaki tersebut dan penumpang dalam kereta. Pemeriksaan lanjut telah menemui lima ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat kira-kira 5 kilogram.," katanya.
Beliau memberitahu, salah seorang suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Medan dan pemeriksaan dilakukan telah menjumpai dua ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dan 30 paket plastik berisi daun-daun kering yang juga disyaki ganja kira-kira 1.5 kilogram.
''Suspek yang ditahan merupakan seorang tukang masak dan seorang lagi bekerja sebagai jurujual kereta manakala kedua-dua perempuan tidak mempunyai pekerjaan," katanya.
Mohd. Shukri berkata, saringan ujian air kencing ke atas kesemua suspek menunjukkan tiga orang daripada mereka positif ganja manakala seorang suspek perempuan negatif.
''Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori. Kesemua suspek ditahan reman bermula Selasa lalu hingga Rabu minggu depan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131116/je_08/4-warga-Afrika-ditahan-syabu-RM455000-dirampas#ixzz2kmR50d37
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment