Search This Blog

Friday, October 11, 2013

Amah curi barang kemas


Rossazannah Omar menunjukkan gambar pembantu rumahnya bersama beberapa kertas berkaitan perancangan melarikan diri bersama barangan kemas di rumahnya di Seksyen U16, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/SHAFURA ASHIKIN SUFFIAN
SHAH ALAM 10 Okt. - Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang baru dua bulan diambil bekerja melarikan diri bersama barangan kemas milik majikannya bernilai RM185,000 pada Selasa lalu.
Suspek, Wati Wijayanti, 23, didakwa melarikan barangan kemas berupa lapan utas gelang, seutas rantai emas dan sebentuk cincin berlian ketika majikannya yang merupakan pengusaha butik perkahwinan, Rossazannah Omar, 48, berada di One Utama, Damansara, Petaling Jaya dekat sini atas urusan perniagaan.
Menceritakan kejadian, Rossazannah mendakwa, sebelum menuju ke One Utama, beliau telah menghantar anak perempuannya yang berusia enam tahun bersama pembantu rumah terbabit ke butiknya di Seksyen 7 di sini seperti rutin harian.
Beliau bagaimanapun berpatah balik ke butiknya pada pukul 11 pagi kerana tidak sedap hati dan rasa pelik apabila mendapati anak dan pembantu rumahnya sudah tiada di kedai.
"Saya bergegas ke sekolah dan mendapati anak saya telah tiba awal. Kemudian saya hubungi Wati (pembantu rumah) untuk bertanya mengapa dia menghantar anak saya ke sekolah terlalu awal dan telefon tidak berangkat.
"Kerana rasa ada sesuatu yang tidak kena, saya pulang ke rumah dan terkejut apabila mendapati barangan kemas yang disimpan di dalam almari di bilik sudah hilang," katanya kepada pemberita di rumahnya di Seksyen U16 di sini petang ini.
Rossazannah memberitahu, selepas mendapati barangan kemasnya hilang, dia terus memeriksa bilik Wati dan bertambah terperanjat apabila menemukan beberapa kertas yang ditulis wanita itu berkaitan perancangannya untuk melarikan diri bersama barang kemas.
Ujarnya, dia kemudian telah membuat laporan mengenai perbuatan pembantu rumahnya yang ke-11 itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada hari yang sama.
"Saya macam tidak percaya Wati sanggup buat begini kerana kami sekeluarga telah melayannya seperti keluarga sendiri dan dia diberi kepercayaan penuh termasuk urusan menyimpan dan mengeluarkan barangan kemas.
"Malah, saya juga bawa dia pergi ke luar negara atau makan di restoran mewah kerana kasihan kepadanya yang bukan sahaja berasal daripada keluarga miskin malah telah kehilangan anggota keluarga termasuk ibunya dalam satu kemalangan.
"Nasib baik dia tidak bawa lari anak saya sekali," katanya yang mengambil Wati bekerja melalui seorang ejen pembantu rumah di Putrajaya pada awal Ogos lalu dengan bayaran sebanyak RM8,000.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Supritendan Mohd. Idzam Jaafar ketika dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131011/je_05/Amah-curi-barang-kemas#ixzz2hManhyCB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment