Search This Blog

Saturday, October 12, 2013

6 beradik diserah kepada JKM

6 beradik diserah kepada JKMWakil Pejabat Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rozaini Mohd Rosli (tengah) turut hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR - Enam beradik yang ditinggalkan ibu bapa sehingga kelaparan dan mendapat liputan meluas Sinar Harian minggu lalu akhirnya diperintah ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Cheras, Kuala Lumpur untuk jagaan sementara waktu.

Keputusan itu ditetapkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor sehingga mahkamah bagi kanak-kanak bersidang semula pada 18 November nanti.

Dalam pada itu, kedua ibu bapa enam beradik tersebut akan disoal siasat bagi kes pukul yang dilaporkan ibu mereka, Che Suwarti Che Pa, 31, terhadap suaminya.

Sebelum ini, mereka yang berusia tujuh bulan hingga sembilan tahun itu dijaga sementara ahli keluarga sebelah bapa, Mohd Roslan Ismail, 32, selepas dibenarkan JKM pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah semalam agak mengecewakan mereka yang datang dari Kelantan semata-mata mahu mengambil hak jagaan enam beradik itu.

Keadaan di luar mahkamah juga agak kecoh apabila ahli keluarga ada yang berkeras mahu bawa pulang enam beradik itu untuk dijaga.

Menurut Kamariah Ismail, 46, dia sanggup datang dari Pasir Mas bersama adiknya untuk membantu menyelesaikan kes hak penjagaan.

“Saya kasihan melihat anak saudara yang teraniaya kerana ibu bapa mereka bergaduh dan lagi simpati bila tengok si kecil yang tidak tahu apa-apa.

“Ketika bertemu dengan JKM Rabu lalu, mereka minta kami datang semula ke mahkamah hari ini (semalam) untuk keputusan penjagaan. Tetapi apabila mahkamah memerintahkan mereka diserahkan semula kepada JKM, kami kecewa.

“Hati saya sebak mengenangkan datuk mereka yang sudah sedia menunggu kedatangan di kampung," katanya.

Adiknya, Norhayati Ismail, 36, berkata, dia pula terkejut membaca Sinar Harian yang memaparkan kisah enam beradik itu minggu lepas.

“Saya memang sedih mereka diperlakukan begitu dan tak sabar bawa mereka pulang ke kampung,” katanya.

Sementara itu, Che Suwarti ketika ditemui berkata, dia tetap bertegas untuk menjaga anaknya walau terpaksa mengharungi apa halangan sekali pun.

“Saya mahu menjaga mereka dan atas nasihat peguam, saya perlu akur dengan prosedur yang ditetapkan mahkamah dan mahu selesai kes ini cepat,” katanya.

No comments:

Post a Comment