Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Tukar tarikh cek

Kuala Lumpur: Licik apabila seorang lelaki yang menyamar sebagai ejen hartanah dikesan menipu pemilik premis perniagaan dengan menukar tarikh pada cek yang dibayar kepadanya agar ia dapat ditunaikan lebih awal.
Lelaki itu akan mengubah angka satu menjadi sifar sebelum menunaikan cek berkenaan ke dalam akaunnya.

Tindakan itu difahamkan bertujuan menjadikan tarikh cek diterimanya itu dapat ditunaikan lebih awal dari tarikh cek yang diberikan pelanggan kepada pemilik premis.
Lebih malang lagi, pelanggan yang dimaksudkan lelaki itu sebenarnya tidak wujud, malah semua dokumen yang diserahkan kepada pemilik premis termasuk cek yang dibayar juga palsu.

Seorang mangsa yang juga ahli perniagaan syarikat rekaan dalaman, Yeo Kee Teng, 49, berkata, suspek yang dikenali sebagai Albert Yu itu menghubunginya dan memberitahu seorang wanita mahu menyewa premis dua tingkat miliknya di Kajang seperti yang diiklankan dalam sebuah akhbar, Mac lalu.

“Selepas perbincangan diadakan dan kedua-dua pihak bersetuju, saya meminta bakal penyewa membuat bayaran deposit sebanyak RM12,800 dan pembayaran itu dibuat melalui cek bertarikh 12 April 2013.
Foto
YEO (tengah) bersama Chong (kanan) menunjukkan dokumen palsu diberikan suspek.
“Beberapa hari kemudian, Albert menyerahkan cek itu kepada saya dan meminta membayar komisien kepadanya secara tunai, namun saya enggan berbuat demikian kerana bimbang ditipu memandangkan cek yang diserahkan belum ditunaikan,” katanya.

Katanya, dia membayar komisien lelaki itu melalui cek bertarikh 19 April iaitu seminggu selepas cek pelanggan ditunaikan.
Menurutnya, seperti yang dijangka, cek yang diberikan wanita itu ditendang dan bank memberitahu akaun berkenaan sudah ditutup. Beliau kemudian menghubungi bank untuk membekukan cek yang diberikan kepada Albert, namun malangnya cek berkenaan sudah ditunaikan pada 9 April.

“Saya ke cawangan bank tempat Albert menunaikan cek itu dan mendapati dia sudah mengubah angka satu pada tarikh 19 menjadi sifar bagi membolehkan cek itu ditunaikan lebih awal.

“Semakan pada cek itu mendapati angka sifar yang tertera juga meragukan, malah pegawai bank berkenaan turut menasihatkan saya untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki ditipu,” katanya.

Katanya, dia cuba menghubungi wanita yang dikatakan mahu menyewa premisnya namun nombor telefon berkenaan tiada dalam perkhidmatan dan percaya Albert hanya mereka-reka cerita untuk meyakinkannya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sehingga kini pihaknya sudah menerima empat aduan berhubung kes penipuan mengubah suai cek disyaki daripada lelaki yang sama membabitkan kerugian mencecah RM64,500.

“Ada mangsa yang kerugian hingga RM40,000 gara-gara angka satu pada tarikh cek berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment