Search This Blog

Sunday, September 15, 2013

Terbabas elak kerbau melintas

Terbabas elak kerbau melintas
Keadaan kereta mangsa dan tiang elektrik yang patah dua selepas terlibat dalam Kilometer 12, Jalan Kundur-Linggi, dekat sini, kelmarin.
REMBAU – Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jelai 3 dan adiknya nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas selepas cuba mengelak daripada melanggar seekor kerbau yang melintas di kilometer 12, Jalan Kundur-Linggi, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa, Mohammad Nur Zikri Ruslan, 31, dipercayai baru sahaja menjemput adiknya, Nur Zaidah Ruslan, 29, dari Port Dickson dan ingin pulang ke Rumah Rakyat Gemas.

Mohammad berkata, kejadian itu berlaku begitu pantas sehingga kereta jenis Kia Spectra yang dipandunya terbabas ke bahu kiri jalan dan berpusing sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.

“Saya memandu seperti biasa di kawasan agak gelap itu, bagaimanapun secara tiba-tiba saya lihat ada kerbau melintas dan dengan pantas mengelak daripada melanggarnya.

“Susulan insiden ini, saya dan adik cedera serta luka di anggota badan. Malah, kami juga masih berasa lenguh-lenguh susulan hentakan kuat,” katanya.

Katanya, dia dan adiknya juga masih tergamam dan terperanjat dengan insiden berkenaan.

"Jika diikutkan ini merupakan kali pertama saya melalui jalan ini kerana kebiasaannya saya hanya menggunakan laluan lebuh raya untuk ke Port Dickson," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, kereta berkenaan terbabas ke bahu kiri jalan selepas mengelak binatang di hadapan sebelum merempuh tiang elektrik.

“Susulan rempuhan berkenaan, tiang elektrik patah dua. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

No comments:

Post a Comment