Search This Blog

Thursday, September 26, 2013

Lelaki miliki 15 peluru hidup ditahan

Lelaki miliki  15 peluru  hidup ditahanLelaki (dua dari kanan) yang ditahan selepas didapati memiliki peluru hidup dalam Ops Cantas Khas di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam. 

Kuala Lumpur: Reaksi panik seorang lelaki ketika melalui sekatan jalan raya Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, semalam, terjawab apabila dia dikesan memiliki satu kelopak peluru hidup dalam keretanya.

Lelaki berusia 25 tahun yang memandu kereta Toyota Vios itu berada dalam keadaan mencurigakan semasa melalui pemeriksaan polis sebelum ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman dengan dibantu Polis Daerah Brickfields.
Ketua Penolong Pengarah D7, Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata hasil pemeriksaan terhadap kereta milik lelaki terbabit membawa kepada penemuan satu kelopak dan 15 butir peluru hidup pistol jenis Baretta.


Katanya, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut ke atas lelaki terbabit yang memiliki tatu, dipercayai lambang kumpulan kongsi gelap di belakang badannya.

Siasat pembabitan kongsi gelap

“Dia mempunyai beberapa elemen yang menyokongnya sebagai individu berbahaya yang berkait-rapat dengan kongsi gelap atau mungkin terbabit dalam kegiatan jenayah berat lain.

“Kita percaya laluan sekitar kawasan Taman Sentosa, digunakan ahli kumpulan kongsi gelap atau penjenayah bagi mengelak dikesan atau diperiksa pihak polis sama ada pada waktu siang atau malam,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan secara menyeluruh yang disertai Unit Ops Cantas Khas Motosikal Scrambler di sekitar kawasan perumahan dan rumah kedai di Taman Sentosa itu berikutan kejadian jenayah yang kerap berlaku di kawasan terbabit sejak kebelakangan ini.

“Kita tidak mahu kehadiran polis lengkap bersenjata mendatangkan ketakutan kepada orang ramai, sebaliknya ia diharap dapat mewujudkan rasa selamat dan aman kepada semua pihak.

“Ia juga membolehkan sesuatu maklumat dan informasi lebih tepat dapat disampaikan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jalil berkata, setakat semalam, seramai 11,873 individu ditahan di seluruh negara sejak Ops Cantas Khas dilancarkan 17 Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment