Search This Blog

Tuesday, September 10, 2013

Doktor HATTM dituduh makan suap RM700,000


Doktor HATTM dituduh makan suap RM700,000
Dr Kunaseegaran mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan setuju menerima suapan sebanyak RM700,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Shah Alam: Seorang doktor tentera yang berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Wangsa Maju, Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, terhadap dua tuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM700,000, pada akhir Ogos dan awal bulan ini.

Ketua Makmal Patologi HATTM, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 50, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, secara rasuah meminta wang tunai sebanyak RM700,000.

Dia didakwa meminta imbuhan daripada pemilik Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, Abdul Razar Abdullah, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit miliknya.

Ia adalah sebagai upah kerana mencadangkan Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B & S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakasan pakai habis perubatan bagi 2013 untuk HATTM.

Dia didakwa berbuat demikian pada jam 11.58 pada 29 Ogos lalu.

Setuju terima suapan
Bagi kesalahan kedua, Dr Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama, iaitu setuju menerima wang suapan daripada Abdul Razar, sebagai upah kerana mencadangkan ketiga-tiga syarikat berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.15 petang pada 3 September lalu di hadapan Empire Gallery Subang Jaya, Petaling Jaya.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Azlin Sabtu menawarkan wang jaminan sebanyak RM500,000 untuk kedua-dua pertuduhan, selain memohon dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan yang munasabah kerana tertuduh adalah seorang penjawat awam, yang sudah berkhidmat selama 23 tahun.

Hakim Slamat Yahya membenarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, manakala dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Oktober depan.

No comments:

Post a Comment