Search This Blog

Sunday, September 15, 2013

5 keluarga mahu tuntut ganti rugi

Mahu tuntut ganti rugiRumah perlu dibersihkan setiap kali banjir walau hujan hanya sekejap.

BUKIT JENUN - Lima keluarga di Kampung Tanjung Setul di sini membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jenun kerana tidak berpuas hati terhadap projek kereta api dekat kampung itu yang didakwa punca berlakunya banjir, di situ semalam.

Sinar Harian difahamkan laporan itu dibuat bertujuan memohon ganti rugi kepada syarikat yang mengendalikan projek itu apabila semua kelengkapan rumah termasuk barangan elektrik rosak selepas ditenggelami air.

Penduduk, Ramli Ahmad, 42, berkata, lima rumah di situ kerap banjir ketika hujan lebat sejak projek landasan kereta api mula dijalankan lebih dua tahun lalu.

Katanya, air mula masuk dalam rumah kira-kira 2.30 pagi kelmarin namun surut selepas beberapa jam menyebabkan penduduk masing-masing bergegas mencuci rumah, tetapi tidak menyangka banjir berlaku lagi keesokan harinya (semalam).

“Semalam air mula masuk kira-kira jam 6 pagi ketika saya sedang tidur dan terkejut apabila bangun mendapati ruang dalam rumah sudah dipenuhi air menyebabkan kelengkapan rumah rosak kerana tidak sempat diselamatkan.

“Selepas bangun dari tidur, saya dapati semua kelengkapan termasuk peralatan elektrik ditenggelami air menyebabkan rugi ribuan ringgit,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, lebih enam kali kawasan ini dilanda banjir sejak projek itu dijalankan kerana perparitan yang disediakan syarikat terbabit kecil dan tidak mampu menampung pengairan air kawasan ini.


Sepakat tuntut pampasan

Penduduk, Rodiah Derauf, 66, berkata, banjir kali ini adalah paling teruk berbanding kejadian sebelumnya apabila paras air yang masuk ke dalam rumah hampir ke paras pinggang.

“Arus air yang masuk ke dalam rumah sangat laju sehingga saya dan anak-anak tidak sempat berbuat apa-apa selain menyelamatkan dokumen penting sahaja,” katanya.

Rodiah berkata, semua penduduk di sini telah berpakat akan menuntut pampasan daripada pihak syarikat yang mengendalikan projek terbabit ke atas kerosakan kelengkapan rumah yang ditanggung.

“Dah tiga kali kami (penduduk) membuat laporan polis untuk menangani masalah ini agar kejadian banjir tidak berulang lagi namun kecewa apabila pihak terbabit gagal mengambil tindakan.

“Sebelum ini kami bersabar dan menunggu tindakan sahaja, tetapi kali ini kami benar-benar marah apabila banyak kelengkapan rumah rosak dan mahu menuntut ganti rugi,” katanya.

Katanya, dia meminta pihak syarikat terbabit turun padang bertemu penduduk kawasan terbabit untuk berbincang bagi menangani masalah itu.

“Sejak projek landasan kereta api mula dibina, kami rasa susah hati untuk meninggalkan rumah setiap kali hujan kerana bimbang kejadian seperti ini berlaku,” katanya.


Keadaan makin buruk

Seorang lagi penduduk, Mat Zuki Harun, 68, turut rugi ribuan ringgit kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa kelengkapan rumah memandangkan anak dan isterinya berada di Kuala Lumpur.

“Saya tak sangka air akan masuk awal pagi ketika penduduk tengah tidur kerana ketika jam 3 pagi, saya bangun dan mendapati air tiada lagi di ruang tamu.

“Sebelum ini kawasan rumah sahaja yang dilanda banjir sebelum ada projek itu tetapi sekarang keadaan semakin buruk walaupun hujan setengah jam,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian ke kawasan projek terbabit mendapati, perparitan yang disediakan syarikat terbabit tidak mampu berfungsi dengan baik menyebabkan pengairan di kawasan itu tersekat dan turut melimpah ke tandop sungai Lembaga Pertanian Muda (Mada).


Sawah kerap tenggelam

Sementara itu, tiga rumah di Kampung Limbong Kobah dilanda banjir dikatakan turut berpunca daripada projek landasan kereta api yang dibina.

Penduduk, Taib Man, 67, berkata, kejadian berlaku jam 6 petang kelmarin mengejutkan penduduk kawasan ini memandangkan kejadian itu merupakan kali pertama berlaku selepas hujan lebat.

Katanya, kejadian itu berlaku apabila perparitan yang dibina di situ dikatakan sempit dan tidak diselenggara dengan baik.

“Saya telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak terbabit namun mereka hanya datang ambil gambar dan mendiamkan diri sahaja," katanya.

Bagi Siti Fatimah Harun, 32, berkata, terdapat juga kawasan sawah berhampiran rumah yang diusahakan penduduk kampung itu terpaksa dibiarkan kerana kerap tenggelam.

No comments:

Post a Comment