KUANTAN - Perbuatan seorang penganggur bersama rakannya yang melakukan jenayah ragut di bulan Ramadan tanpa mempedulikan kesucian bulan itu membawa padah apabila dia tertangkap dan dibelasah orang ramai pada 17 Julai lalu.

Hukuman atas perbuatannya itu bukan sekadar kesakitan akibat dibelasah suami mangsa, sebaliknya, tertuduh, Diki Ruzaidy Abu Khalid, 25, dari Felda Triang 1, Bera terpaksa juga melupakan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini selepas dia dihukum penjara tiga tahun berserta satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah di hadapan Hakim Fathiyah Idris selepas dihadapkan ke mahkamah itu atas tuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Keputusan hukuman ke atas tertuduh dibuat secara dalam kamar dan hukuman penjara tiga tahun itu bermula dari tarikh dia ditangkap.

Rakannya yang berjaya meloloskan diri selepas kejadian terlepas namun kini menjadi buruan polis.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin, tertuduh bersama seorang rakan yang masih bebas didakwa secara bersama meragut rantai emas milik seorang kerani wanita berusia 40 tahun.

Mereka didakwa melakukan jenayah itu ketika berada di lorong belakang bangunan kedai di Jalan Wong Ah Jang di sini kira-kira jam 10.05 pagi, 17 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang membonceng motosikal meragut rantai mangsa hingga putus sebelum menolak wanita terbabit hingga jatuh.

Kejadian disedari suami mangsa yang berada dalam sebuah kedai sebelum meminta bantuan orang ramai mengejar tertuduh dan rakannya yang cuba melarikan diri.

Nasib tertuduh agak malang apabila motosikal yang dinaiki terjatuh menyebabkan dia berjaya dicekup manakala rakannya sempat melepaskan diri.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di leher dan siku bagaimanapun rantai lehernya berharga kira-kira RM800 berjaya ditemui kembali.

Tertuduh yang cedera akibat dibelasah diserahkan kepada polis manakala motosikal yang digunakan didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.