Search This Blog

Thursday, August 15, 2013

Mencuri dalam wad HSNZ

Mencuri dalam wad HSNZ - Terengganu - Sinar Harian:
  • Mencuri dalam wad HSNZZamri

KUALA TERENGGANU - Seorang pesakit lelaki yang menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hanya mampu melihat telefon bimbit miliknya yang disorokkan di bawah bantal diambil pencuri, dalam kejadian awal pagi semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, disebabkan terlalu uzur dan dalam keadaan sakit, mangsa berusia 40-an tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan hanya melihat sahaja telefon bimbit miliknya dilarikan suspek berusia 28 tahun.

“Suspek menghampiri mangsa yang ketika itu sedang tidur sebelum perlahan-lahan menarik telefon bimbit yang disorokkan di bawah bantal.

“Mangsa yang hanya 'tidur-tidur ayam' tersedar kehadiran suspek yang sememangnya dikenali tetapi  tidak mampu berbuat apa-apa kerana uzur dan hanya membiarkan sahaja suspek melarikan telefon bimbitnya,” katanya, semalam.

Sumber berkata, suspek berasal dari Kampung Batu Rakit, di sini, dipercayai berjaya masuk ke dalam wad pada waktu berkenaan kerana menunggu ahli keluarganya yang juga menerima rawatan di hospital tersebut tetapi ditempatkan di wad berlainan.

“Suspek dipercayai tidur di hospital kerana menunggu ahli keluarganya yang sakit di wad empat, namun  dia mengambil kesempatan masuk ke dalam wad mangsa di wad enam untuk mencuri ketika pesakit sedang berehat.

“Sejurus mencuri telefon bimbit berkenaan dan bagi mengelak perbuatannya disedari orang awam, suspek terus turun ke wad empat semula,” katanya.

Jelasnya, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada isterinya berusia 39 tahun yang baru tiba untuk melawatnya beberapa minit kemudian, sebelum isterinya membuat laporan polis.

“Suspek berjaya ditangkap kira-kira jam 6 pagi iaitu setengah jam selepas melakukan jenayah tersebut  di dalam kawasan wad HSNZ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan suspek boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment